Saturday, December 25, 2010

Membedil Semangat dan Kekuatan



Andai Mampu Kamu Bedillah Semangat INI!
Andai Kuat Kamu Bantailah Kekuatan INI!
AKU Cabar KAMU!
Ya!
Kamu Yang DENGKIL!

Tuesday, December 21, 2010

Barakah Muharram Buat Warga PERUBATAN

Assalamualaikum wbt

Dingin Muharram kali ini benar-benar membawa seribu makna buat saya secara peribadinya. Menyaksikan semarak dan kobar semangat dan kesungguhan teman-teman dagang di negara pasir ini, sungguh mengujakan saya.

Teruja untuk terus hidup subur dalam komuniti yang cukup unik ini. Teruja untuk terus berperit jerih mempertahankan keharmonian dan kesatuan ikatan persaudaraan di bumi yang begitu jauh dari tanah air.

sedutan perbahasan usul MTK Pertama tempoh hari lalu

Rupanya percaturan Allah SWT itu begitu baik sekali. Bumi barakah ini rupanya memang tidak pernah sunyi dari catatan-catatan keajaiban ketentuan Ilahi. Penampilan sahabat-sahabat perjuangan di MTK tempoh hari adalah simbolik kematangan komuniti PERUBATAN dalam mendepani arus pertumbuhan PERUBATAN. Saya percaya, keberkatan syura seluruh ahli PERUBATAN di Kaherah tempoh hari bakal menjanjikan percaturan perjalanan PERUBATAN dan ahlinya ke arah yang lebih dinamik dan holistik, Insyaallah. Nantikan bagaimana pula SYURA UTAMA PERUBATAN pada Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN pada Februari ini. Moga-moga pertemuan mega ini meledakkan lagi kemaraan ahli untuk membentuk identiti komuniti mahasiswa sains kesihatan Ardil Kinanah yang penuh wibawa. Amin, Ya rabbal Alamin.


Al-Azhar dan PERUBATAN

Walaupun usia ahli PERUBATAN di Al-Azhar, yang hanya baru setahun jagung rata-ratanya, namun kesedaran dan kematangan mereka terhadap tanggungjawab yang begitu besar yang perlu dipikul selaku nakhoda ummah berjaya meletakkan mereka sebaris dengan ahli PERUBATAN yang lain yang saya kira lebih matang usianya dalam PERUBATAN. Syabas dan tahniah untuk kalian!!

Meyakini potensi dan kemampuan kalian, saya meletakkan sandaran saya sepenuhnya pada tuhan agar dijuruskan hati kalian untuk terus mengisi lompong-lompong ruang peranan dan peluang dalam komunit PERUBATAN khususnya dan mahasiswa Mesir amnya.

Sinar-sinar bintang dari Bumi Al-Azhar

Sambutlah seruannya Allah SWT dalam kalam sucinya:

" dan kami menjadikan mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami mewahyukan kepada mereka agar berbuat kebaikan, melaksanakan solat dan menunaikan zakat dan hanya kepada Kami mereka sembah."
Al-anbiya':73

Tidak dapat tidak, kitalah yang disebutkan Allah SWT itu. Kecil atau besar, tinggi atau rendah, biasa atau luar biasa, semuanya punya peranan yang tersendiri. Sesungguhnya, kebijaksanaan kalian meletakkan kalian di posisi yang betul dalam masyarakat pasti membuahkan kemanisan buat diri kalian. Manisnya menjadi wasilah kemudahan dan kesenangan pada masyarakat di sekeliling kita. Indahnya mendapat didikan secara terus daripada Allah SWT melalui ketentuan-ketentuan serta kejadian di sepanjnag perjalanan menempuh kehidupan bermasyarakat. Terkenang kalimah Syed Naquib Al-Attas:

" Wisdom is know how to deals with things and know to put it at the proper place."

Percayalah, jika kebijaksanaan kalian dimanfaatkan sebaiknya, dinobatkan haknya maka kalian itulah yang bergelar Sang Ulul Albab yang disebut-sebut kemegahannya dalam Al-Quran, Kitab Al-Aziz.

Moga-moga barakah bulan mulia ini menyemarakkan kesatuan kita, membugar keimanan kita. KepadaNyalah juga disandarkan segala pengharapan.

"Dan DIA (Allah SWT) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman) walaupun kamu menginfakkan semua kekayaan yang berada di bumi =, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha bijaksana." 8:63

Saya membataskan sementara kalam buat ketika ini. Moga-moga sedikit kudrat yang diletakkan ini mampu menuai secebis redha Nya. Insyaallah.

Jangan lupa, untuk kalian ahli komunit PERUBATAN Kaherah untuk sama-sama melangsaikan amanah anda pada 24 Disember 2010 ini!

Sekian, salam tangguh. Wallahu'alam




Sunday, December 19, 2010

Apa Lagi Saham Kita?

Assalamualikum wbt

Salam bertamu. Bahang Pilihanraya PERUBATAN 2010 nampaknya sedikit sebanyak meninggikan suhu musim dingin di Ardil Kinanah ini =).

Selaku menjadi kudrat yang pernah menelusuri serba sedikit perjalanan hidupnya PERUBATAN, saya merasakan pemilihan barisan kepimpinan PERUBATAN kali ini seolah-seolah diberi nafas baru dengan sistem pilihnaraya baru yang diperkenalkan oleh JPP PERUBATAN sesi kali ini.

Saya kira ini adalah satu percubaan berani pihak JPP memandangkan sistem ini adalah julung-julung kalinya diwujudkan sepanjang penubuhan PERUBATAN. Sistem baru ini dilihat sebagai inisiatif yang terbaik dalam menyediakan medium pemilihan barisan kepimpinan PERUBATAN ke arah yang lebih telus di samping membuka seluas-luas ruang untuk menampilkan pucuk pimpinan yang benar-benar bersedia untuk menerajui PERUBATAN kelak. Yang lebih utama adalah kepercayaan yang diberikan oleh seluruh ahli PERUBATAN terhadap kredibiliti JPP sebagai badan bebas yang bertindak mengendalikan sepenuhnya pemilihan AJKT pada kali ini melalui sistem pemilihan yang menjurus kepada realiti pemilihan kepimpinan sebagaimana yang sedang berlaku di negara kita kini. Tahniah dan Syabas untuk kalian!

Dahsyat!! Inilah ucapan yang mampu saya nyatakan melihat kepada perkembangan sahabat-sahabat saya di bumi Al-azhar. Kehadiran 89 orang perwakilan ke Mesyuarat Tahunan Kaherah (MTK) kali ini membukti ahli-ahli PERUBATAN di Azhar bukan lagi 'orang-orang' yang hanya kaku dan sepi memandang dan dipandang masyarakat PERUBATAN ke atas kewujudan mereka. Ya! sekaligus menolak semua hujah dan suara-suara sumbang yang menunding jari pada sikap mahasiswa PERUBATAN di azhar yang tidak ambil pusing akan peranan mereka dalam PERUBATAN. Nah! kalian saksikan sendiri! Biarpun ketidakseimbangan di Al-azhar melalui kewujudan generasi G2G yang hanya berapa kerat, dengan kebanjiran ratusan mahasiswa berstatus MOU yang pelbagai latar belakang, namun, hal ini bukanlah dilihat sebagai ancaman kepada komuniti PERUBATAN bahkan masyarakat PERUBATAN Al-Azhar inilah antara komuniti masyarakat yang cukup unik saya kira. Pastinya sinergi kepelbagaian latar belakang masyrakat ini bakal menjanjikan harapan yang lebih cerah untuk PERUBATAN. Percayalah! bintang-bintang di Al-Azhar akan menjadi barisan hadapan dalam menerajui PERUBATAN kelak!

Cubaan BERANI, Impian yang TINGGI

Saya kira, penyertaan 2 orang calon PEREMPUAN dari Al-Azhar iaitu Saudari Nihal Mat Tirmizi dan Saudari Aini Afifah dan 3 lagi calon LELAKI iaitu Saudara Azizul Hakim, Saudara Helmi dan Saudara Hamzah Marwan adalah satu cubaan yang cukup berani dan optimis. Kalau dahulu saya dan saudara Taqiuddin Takril pernah tampil menjadi wakil tunggal suara Al-Azhar dalam barisan kepimpinan AJKT dengan tiket calon popular, tapi mereka kali ini mereka dengan tiket sistem pencalonan yang benar-benar mencabar kemampuan mereka untuk membuktikan kepada seluruh warga PERUBATAN di segenap Mesir bahawa mereka adalah yang terbaik untuk memegang tampuk PERUBATAN. Pembawaan manifesto yang cuba di bawa oleh setiap calon dilihat sebagai impian mereka yang cukup tinggi bukan sahaja untuk membawa suara daripada Al-Azhar bahkan cuba membawa nafas-nafas baru dalam PERUBATAN.




Ya! ini bukan angan-angan kosong. Cukuplah saya nyatakan bahawa saat saya bermula dalam PERUBATAN, saya yakin suara dan kudrat saya bukan tunggal. Hanya perlukan ruang dan masa untuk masyarakat PERUBATAN di Al-Azhar untuk membina kematangan mereka dalam mencorak pembawakan yang tersendiri sebagai ahli PERUBATAN yang komited pada suatu hari nanti. Nah! sekaranglah masanya. Saya pernah memulakan langkah, sekarang calon daripada Al-Azhar perlu diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan kredibiliti dan kemampuan mereka sebagai penerus kesinambungan kami (merangkap kempen untuk saudari Aimi Athirah=).

Saya menanti-nanti kemenangan besar calon-calon Al-Azhar pada pilihanraya kali ini. Ini bukan dasar racist, asobiyah atau yang sama angkatan dengannya. Tapi, inilah bukti kebersamaan ahli PERUBATAN seanteronya. Kalian perlu percaya dan belajar untuk percaya. Sinar-sinar bintang di Al-Azhar dan Ainshams perlu digilap. Bahkan tidak keterlaluan saya menyatakan bahawa bintang-bintang di sana mungkin lebih hebat sinarnya.

Apa lagi SAHAM kita?

Jangan lupa, saya dan anda ada SAHAM di sana. Ya, saham yang bakal dinilai oleh ALLAH SWT di mizan kelak. Kalau mereka yang menjadi calon menyumbang saham dengan menandatangan persetujuan dengan pihak pencadang dan penyokong untuk menjadi calon AJKT PERUBATAN. Pihak JPP pula melaburkan saham sebagai badan bebas yang menanggung amanah sebagai pelaksana pilihanraya PERUBATAN. Kita bagaimana?Mahu terus menjadi pemerhati yang pipih? Tidak berganjak dan hanya berpeluk tubuh melihat nasib PERUBATAN diperjudikan? Oh, malanglah andai anda punya pemikiran begitu.

Mungkin kalian lupa dengan mafhum hadis BAGINDA RAsulullah SAW yang enggan mengakui mereka yang tidak mempedulikan urusan kaum muslimin itu sebagai sebahagian daripada umat Baginda SAW. Pasti! Jemari anda yang begitu sempurna itu ada tanggungjawabnya untuk masa hadapan PERUBATAN. Jangan kalian memandang enteng. Jangan kalian jadi manusia yang sumbing! Sumbing amanahnya, dan sumbing peranannya sebagai hamba dan khalifah. Jadi, apa lagi saham kita? Apa lagi, turunlah kalian pergi MENGUNDI! Istikhorahlah pada tuhan dengan sebaik-baik sandaran.

Pangkahan anda pada kertas undian menentukan siapa pemimpin kalian kelak. Bahkan kudrat kaki kalian yang mengejar bas ke ARMA, kebas sendi kalian yang meredah dingin musim sejuk ini, pasti tidak sia-sia dengan amanah yang akan kalian tunaikan dengan memangkah CALON YANG TERMAKTUB pilihannya sejak di LUH MAHFUZ lagi.

Kalian, sahabat seperjuangan di Al-Azhar,
Bukan saya menuntut pada kalian untuk membuktikan pada seluruh masyarakat PERUBATAN bahawa kalian adalah anggota PERUBATAN yang bertanggungjawab dan proaktif sebagai ahli, tapi saya menuntut untuk kita sama-sama menanggung amanah agung ALLAH SWT dan menunaikan hak kita selaku azhar-azhariah. Amanah kita jauh lebih besar daripada mereka di luar sana. Tidak perlu saya nyata apa amanahnya, kalian sendiri mampu mencerna dan menghadam apa TUGAS KITA! Sanggupkah kalian membawa gedung amalan kalian yang campung hanya gara-gara kegagalan kalian melangsaikan tugasan untuk menjadi pemilih barisan kepimpinan atau lebih tepatnya sebagai PENGUNDI pada sesi pilihanraya kali ini?

Saya percaya, bukan demikian peribadi kalian. Saya juga yakin, kalian pasti akan menjungjung tinggi peribadi mulia seorang mahasiswa Al-Azhar. Kita bukan sendiri di Al-Azhar, umat PERUBATAN menanti kita menjadi agen perubahan. Andai ahli PERUBATAN di universiti dan cawangan lain bermati-matian mencari usaha kesatuan dan kebersamaan dengan kita di Al-Azhar, mengapa kita menjadi buta hati dengan menolak segala usaha dan niat suci ini? Dayuskah kita membiarkan orang lain membanting tulang memperjuangkan hak kita, sedangkan kita hanya membuta dan sekadar menjadi enau yang melepaskan pucuk masing-masing. Saya kira anda cukup pintar malah lebih bijaksana.

Saya berasa beruntung menjadi sebahagian daripada kalian dengan segala keunikan yang kalian miliki di Al-Azhar. Moga-moga mata hati kita sentiasa suci untuk memberi sesuatu pada ummah. Ayuh kalian! Andai tempoh hari di MTK kalian berjaya membuktikan sikap kalian yang begitu positif terhadap tanggungjawab terhadap hidup berkomuniti, teruskanlah langkah kalian. PERKASAKAN keyakinan kalian pada kemampuan PERUBATAN untuk terus menjadi medan penyatuan antara kita.

PENDEK KATA, BAWALAH HATI DAN JIWA anda yang benar-benar ikhlas untuk turun MENGUNDI pada 24 DISEMBER 2010 ini!

Saya menanti kalian!

*nota kaki:
1)sama-sama bermunajat dan solat hajat untuk kelancaran perjalanan Hari Pengundian dan kemenangan berpihak pada calon-calon yang benar-benar mendapat restu di Luh Mahfuz. Amiiin Ya Rabbal 'Alamin.
2) Buah Tangan untuk AHLI PERUBATAN sempena musim sejuk ini: PERUBATAN Winter Carnical (PWtC)~
Jangan Lepaskan peluang keberlianan INI!!!=)
3) kempen saya untuk anda~

PANTUN BERKERAT-KERAT::..

:::.. 1

ini teman sekerja dan sehati,
walau jauh dipisahkan oleh tembok universiti,
ikatan persaudaraan jauh merentas di sudut sanubari,
aisyah & humairah pilihan untuk mengundi!

::.. 2

jalan-jalan pergi perigi,
jumpa ikan berwarna warni,
siapa dia pilihan bertuah kami,
dialah anak pak cik TARMIZI (Nihal la tu, sape lagi ~)

[P/S: jangan contohi kemahiran menulis pantun saya, kelak kemahiran sastera anda akan tercampak ke dalam tong sampah atau tersadai di tepi longkang! sekian~]

Tuesday, November 23, 2010

Change We Believe In

Assalamualaikum wbt

Attention To All PERUBATAN community.

Announcing the next PERUBATAN election on this November and Disember~
The Time Has Come!Time To Change!
Change We believe in.
(as what Obama and PERUBATAN's webmaster said)





*p/s: Ayuh laksanakan tanggungjwab kita sebagai AHLI PERUBATAN yang komited dengan pembangunan ahli dan komuniti mahasiswa ni Perlembahan Nil.

Membilang Jari Yang Tinggal



Sepertiga malam menjemput lagi. Hening malam tiada seli suara-suara sang unggas. mengatur langkah di balik tabir malam. Hanya mengharapkan lindungan Tuhan. berkali-kali hati berzikir melantunkan Al-'alaq. Memohon perlindungan dari sebaik-baik pelindung.

medan sekeliling ternyata, hanya runtuhan bangunan ya
ng ranap menyembah bumi. kerikil-kerikil tajam sesekali menyapa tumit kaki.

Di balik timbunan-timbunan itu, bagaikan ada sesuatu yan
g menarik untuk diterokai. Berhati-hati langkah diorak. Sesosok Tubuh kecil sedang menyendiri di situ. Kelihatannya jauh merenung sesuatu.Entah Hilang ke mana segala ragu, lantas tangan menyentuh, kalam menyapa. "Wahai kamu si anak kecil, apa yang kau lakukan sendirian di balik runtuhan ini?"

Si anak kecil mulus itu lantas menoleh, "aku sedang membilang jariku yang tinggal. Aku menghitung berapa hari lagi yang mampu aku aku berjuang. Sejak dua hari lepas, jemari kaki dan tanganku kian berkurang. Aku mahu terus berjuang. Aku menghitung sebanyak-banyak kudrat yang mampu aku gunakan untuk pertahankan segala milik kami di sini. Di balik runtuhan itu ada saudara maraku. Malah kedua ibu bapaku. Biar nanti aku ada jawapan untuk tuhan atas apa yang telah DiA berikan."


Terpana sebentar. Melabuhkan duduk di sisi, bicara bersambung. "wahai anak kecil, ayuh ku bawakan kamu ke tempat yang lebih baik buatmu."

Anak kecil itu lantas menggeleng.

"wahai kakakku yang mulia, sesungguhnya aku bahagia di duniaku ini. Sesungguhnya aqidah dan maruah kami terus teguh di celahan runtuhan bangunan-bangunan yang menyembah bumi. Sesungguhnya, aku lebih bahagia untuk menjawab persoalan tuhan ke atasku untuk segala yang aku dan kaum kerabatku hadapi di sini. Pulanglah kamu ke tempat asalmu. Sesungguhnya, teman kamu di sana lebih derita dari kami. Mereka lebih memerlukan kamu berbanding kami di sini. Aqidah dan maruah mereka telah sama sekali ranap malah lebih jauh ranap ke dalam bumi di celah-celah kemajuan dan ketinggian bangunan-bangunan kamu yang mencakar langit."



Khali. Tiada lagi kalam mahu diluncurkan. Tanpa disedari, tubir mata sudah berkaca. Anak kecil itu sudah mengatur langkah tempang jauh meninggalkan hening malam itu. Hilang di balik celahan bangunan meninggalkan aku sendirian.

"Ya Ayyuhal Muzammil. Qumillailla illa qalila!" Garau suara entah dari mana menyedarkan aku.

Hijab malam terangkat. Terkebil-tebil mencari arah. Hilang segala runtuhan bangunan. Tiada pasir-pasir debu dan kerikil tajam. Yang ada hanyalah ruang 4 segi dan malam yang gelita. Lantas kalam dari jiwa bersuara:

"Wahai kamu anak kecil, besar sungguh cita-citamu. Perkasa sungguh cita-citamu. Ya, aku yang perlu pulang. Tanah airmu sudah terbela dengan semangat juang dan kobar aqidah insan-insan seperti kamu. Tanah airku bagaimana?"

Anak Kecil, Engkau membilang jari yang tinggal untuk meneruskan perjuanganmu. Tapi aku, yang masih punya segala kenikmatan, Pernahkah dihitung bagaimana dan ke mana ku perjuangkan?Astaghfirullah. Ya Allah, apakah ini inzar darimu atas segala amanah yang diabaikan?

Wallahualam

Friday, November 19, 2010

Untuk Kamu Along

Asslamualaikum wbt.

Untuk kamu Along,
mungkin dinding catatan ini sudah lama sepi,
kalam di kotak-kotak itu mungkin sudah lama bisu,
tapi angin dan bulan masih setia,
jadi makhluk yang taat,
walau awan kadang-kadang mendung,
walau petir ganas membelah,
mereka masih tetap di sana,
tunduk zuhud pada namanya
aturan dan ketentuannya tuhan.

Along,
hanya secebis ibrah di situ,
carilah kekuatan,
binalah keyakinan,
kekuatan demi menggalas segunung harapan,
keyakinan demi meneruskan perjalanan.

Along,
biar darah yang mengalir dalam tubuh itu
sentiasa panas dengan didikan Rabbani,
Didikan yang menjulang semangat Ansarullah tertinggi
biar udara yang dihirup itu
segar dengan keimanan,
Keimanan yang menerobos renik-renik kefuturan
biar jantung yang saksama itu
berdegup dengan zikir
Zikir yang menjauhkan hati dari sifat kikir

Along,
jangan terlalu bersandar pada harapan
kalau cita-cita tidak dibumikan
jangan terlalu leka melakar
kalau penangan ombak ujian belum dibongkar
jangan lekas letih pada kudrat yang dipertaruhkan
kalau langkah pertama tidak diintrospeksikan

Along,
hanya satu
kamu itu bukan sendiri
AL-KHALIQ sentiasa disisi
usah resah pada kelelahan hari-hari yang datang
DIA lah sebenar-benar kekuatan
Cuma perlukan seruas keberanian
Seulas pengorbanan
Terokalah langit di atas sana
Bongkarlah denai di bawah sana
Biar duri mencucuk kanan dan kiri
Biar ribut beliung menyerang bawah dan sisi
Kamulah Along
Yang Luh Mahfuz Catatkan sebagai nakhoda di bumi

Along,
Inilah kemuliaan
Inilah sandaran
Inilah hari hadapan
Inilah harapan

Untuk Kamu Along
Bukalah Langkah
Hebatkan pencak di gelanggang tarbiyah
Kelak hebat pertarunganmu di medan natijah!



Tuesday, November 9, 2010

Apa Khabar Kamu?


Assalamualaikum w.b.t

Hai mata yang bisu, hai tangan yang kelu, apa khabar kamu?
Tidak salah bukan ku bertanya khabarmu?
Kerana aku mahu kamu tahu,
biar kamu tidak punya kudrat sehebat lidah yang mencanang ke hilir ke hulu,
tapi kamu masih punya kudrat yang tersendiri untuk menabur bakti walau sesudu.
Ku harap infiniti horizon capaianmu tidak menceroboh ruang-ruang larangan Tuhan.
Ku harap juga kamu tidak lupa akan sahammu
menjaga panji maruah sang manusia.




Hai hati yang terlindung, kamu pula bagaimana?
Masih cantikkah kerudung yang menabir kamu dari coret-coreng al-wahn?
Aku percaya saban hari semakin hebat ribut ombak
datang meruntun kerudung itu.
Aku hanya mampu bicara sama Tuhan:
Hai Tuhan, kerudung pada hati itu kian tipis,
penyakit dunia makin mesra dengannya,
penawar al-qiyamah makin jauh menyisih daripadanya,
kau turunkanlah tenteramu sebagai benteng,
Kau lampirkanlah kesaksamaan sang iman untuk memandu bantera hati itu.

Hai kamu sang pancaindera berenam,
Ku harap kau tahu kau bukanlah hak milik hakiki,
Tapi ku mahu kau mengerti kau adalah kurniaan,
Di situ ada erti Rahmah Tuhan,
Di situ ruang agar kau bukan lari dari landasan fitrah bertuan,
Tapi agar kau menginsafi maknanya kepatuhan,
jauh dari penderhakaan,

Peringatan buat kamu juga,
berenam atau tempang terkorban atau gugur berkorban,
Kau tetap
Ada tujuan, ada pengakhiran, ada pembalasan, ada ganjaran.
Jadi,
Apa khabar kamu?



Friday, October 29, 2010

Polisi Pendidikan Manusiawi


Bismillahirrahmanirrahim

Persepi, budaya dan kekuasaan
Ini adalah cebis-cebis nutrisi untuk polisi pendidikan manusiawi
cuba singkap sisi-sisi mana yang sempurna terisi
kalau bukan dicoreng-coreng dengan pendustaan pada makna hakiki







Ya, catatan sejarah memang sudah ditoreh-toreh
kita hanya menikmati darah 'bahagia' dari torehan itu
dan mengirup didikan yang sudah bernanah

apa lagi jalannya
kalau bukan kembali bongkarkan di mana yang ditoreh
zahirkan kembali akar nilai-nilai manusiawi
yang diletakkan pada benar yang hakiki



Sunday, October 24, 2010

Kura-Kura Manusia

..:Bismillahirrahmanirrahim:..

Sudah Kelu
Biar sang kura-kura yang berlagu merdu
DIA lagi tahu apa itu sendu


Mana boleh ikan kucing duduk seperdu
inikan pula jahil dan batil jadi sebulu
bukankah zalim namanya itu?


Kalau bukan namanya pungguk
manakan tunggu rembulan yang lesu
Kalau bukan namanya hajat
mana dia kuda putih belantara

Kota larangan jangan ditembus
andai pedang digenggam belum terasah
selamat tinggal saja
kura-kura sudah muak bicara
biar Tuhan jadi penentu utama!

Saturday, October 23, 2010

Amanah Ini Bukan Mainan!


Bismillahirrahmanirrahim

"Pembangunan perlu terus dilaksanakan kerana dunia ini dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk manusia, bukan untuk malaikat atau makhluk lain. Namun pembangunan yang kosong rohaninya hanyalah umpama pokok besar yang akarnya buruk dan reput. Daunnya sekalipun merimbun tidak akan lama menaungi, masanya tersemban jatuh sangat mudah. Di antara ajaran penting dalam Islam ialah dunia ini bersambung dengan akhirat dan ini tidak ada di dalam ajaran ideologi yang lain selain Islam. Oleh yang demikian, sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata!" (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)


Thursday, October 14, 2010

Ilmu dan Da'I

Assalamualikum wbt.

Seawal terbit mentari pagi ini, jemari saya ligat menyelongkar fail-fail lama dalam komputer riba. Alhamdulillah, terjumpa saki baki penulisan saya ketika zaman kanak-kanak rebina dulu-dulu. Zaman baru nak kenal dunia. Dengan harapan tidak tersadai basi dalam folder, saya semadikan di sini. Moga kalian yang sudi bertamu, beroleh cebisan yang bermanfaat.

Seingat saya, penulisan ini ketika saya mencecah usia 18 tahun. Produk segar dari bangku alam persekolahan. Transisi ke horizon mahasiswa. Barangkali kalian akan menemui banyak kecacatan. Mohon untuk dibetulkan haluan-haluan yang salah dalam penulisan ini. Mohon dibaiki apa yang cela, diintropeksi apa yang sumbing. Moga ada nilaian di sisi Allah SWT kelak.

.........................................................................................

Di kesempatan yang sedikit ini, insyaallah ana ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang moga-moga dapat menjadi intisari perjuangan dan insyaallah juga menjadi peringatan bersama. Kandungan yang serba dhoif ini mungkin juga atas kesinambungan perolehan titipan ilmu yang kita peroleh ketika daurah ilmi yang lalu. Di sini ana tertarik untuk berkongsi dan barangkali memanjangkan diskusi pada daurah tempoh hari bersama kalian berkenaan Ilmu dan Da'i.

Persoalan yang seringkali menujah pemikiran kerdil ini adalah: Cemerlangkah langkahku sebagai seorang Da'i? mungkin pada dasarnya masih terlalu muda dan mentah pengalaman dan pengetahuan yang ada dalam medan ini. Dan sebetulnya masih belum ampuh diri ini untuk memegang karisma seorang da'i. Maka,pencarian perlu diteruskan dan pastinya pencarian ini tidak pernah berakhir. Persiapan-persiapan yang benar-benar rapi perlu kita sama-sama lampiri.

Yang pasti, tanpa benih yang berkualiti mana mungkin mampu membuahkan hasil yang berkualiti. Oleh itu, benih-benih itu perlu dicambah dengan keperluan-keperluan yang benar-benar menepati piawaian-piawaian yang mampu menempa dan menempuh sebarang keadaan jua tatkala melempiaskan pucuknya di muka bumi kelak. Dalam konteks kita sebagai manusia normal yang kepingin mendapat tempat termulia disisiNya dengan menobatkan diri sebagai seorang da'I maka, tidak dapat tidak persiapan yang terutama ialah menjadikan Ilmu sebagai nakhoda utama penggerak bedar pelayaran di samudera perjuangan.

Menyorot pandangan Dr. Yusof Al-Qardhowi dalam kitab beliau, Kritik dan Saran Untuk Para Da'I yang menyarankan bahawa antara persiapan penting seorang da'I ialah persiapan dari sudut pemilikan ilmu dan pengetahuan. Beliau menegaskan antara persiapan ilmu dan pengetahuan yang harus dimiliki dan disajikan kepada para da'i meliputi beberapa cabang. Antara cabang-cabang berikut ialah:

- Ilmu pengetahuan Islam
- Pengetahuan Sejarah
- Pengetahuan Bahasa dan Kesusasteraan
- Pengetahuan Kemanusiaan
- Pengetahuan Ilmiah dan
- Pengetahuan Kenyataan-Kenyataan/ semasa (Fenomenologi)

Jika didasarkan pada kenyataan-kenyataan beliau maka, dapat ditafsirkan di sini bahawa sebagai seorang da'I bidang pengetahuan dan penguasaan ilminya haruslah bersifat universal dan fleksibel. Mengapa di sini, ditekankan penguasaan ilmu seorang da'I bukan dalam ruang lingkup ilmu-ilmu Islam sahaja bahkan ilmu-ilmu lain seperti pengetahuan sejarah misalnya turut melangit hendaknya dalam kedudukan ilmu-ilmu para da'i? jika dilihat dari sudut penguasaan ilmu sejarah; hal ini adalah disebabkan sejarah merupakan antara guru yang begitu setia dan tidak pernah menipu muridnya. Buktinya, sejarah adalah masa lampau. Masa lampau adalah pengalaman. Dan pengalaman adalah antara sumber ilmu dan pengajaran ; pastinya hal ini akan dilalui oleh setiap insan. Kalam Suci Al-Qur'an sendiri memiliki ribuan catatan sejarah yang menuntut kita sebagai muslim yang mengimani Al-Qur'an sebagai sumber wahyu, untuk kita mencicip pengajaran dan teladan daripadanya.

" dan sungguh, kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penjelasan, dan contoh dari orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan sebagai pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa" (Annur:34)

Perjuangan seorang da'I juga pastinya tidak lari daripada bercampur gaul dengan manusia yang berbilang ragam. Maka, kukuhlah alasan untuk seorang da'I untuk terjun ke dalam lembah masyarakat dengan membawa daya pemikiran dan gaya pergaulan yang benar-benar mampu menambat hati para mad'u dan hakikatnya pembawaan karisma seorang da'I dalam reality masyarakat dewasa kini perlu diperkasa dengan penguasaan ilmu dan kemahiran yang pelbagai. Tuntasnya, da'I yang kreatif dan kritis dilahirkan atas tunas-tunas ilmu dan aplikasi yang membentuk uslub(cara) dan maudhu' yang dapat disampaikan secara berkesan kepada mad'u tanpa tercicir walau sezarah pun kandungan kesyumulan Islam. Jadi, tidak hairanlah jika Dr. Yusof Qordhawi menggariskan ilmu-ilmu yang telah disebutkan di atas harus tersenarai dalam koleksi dalam gedung-gedung ilmu para da'i.

Menyebut tentang uslub atau kaedah-kaedah penyampaian dakwah, perlu untuk diingatkan pada diri kita bahawa adalah menjadi kewajipan kita untuk memahami prinsip-prinsip yang bertepatan dengan uslub dakwah yang sebenar agar tidak tempang langkah kita kelak dalam menyampaikan kebenaran Islam. Dr. Ali Mahmud dalam bukunya Tarbiyah Dzatiyah telah memberi landasan kaedah dakwah yang ana kira cukup relevan untuk dipraktikkan. Kaedah-kaedah tersebut ialah :

- Qudwah qabla Da'wah : teladan sebelum dakwah
- Ta'liful qulub qabla ta'rif : tautan hati sebelum memperkenalkan
- Ta'rif qabla taklif : memperkenalkan sebelum membebankan
- Taysir la ta'sir : memudahkan bukan menyusahkan
- Tadarruj fi takalif : berperingkat dalam memberi bebanan@tugasan
- Usul qabla furu' : Prinsip sebelum cabang
- Targhib qabla tarhib : khabar gembira sebelum peringatan
- Tafhim la at-talqin :memberi kefahaman bukan sekadar menyampaikan
- Tarbiyah la at-ta'riyah : mendidik bukan membela
- Tilmiz al-imam la tilmiz al-kitab : berguru dengan imam@guru bukan berguru dengan buku.

Seandainya semua saf da'I itu benar-benar memahami, arif serta mempraktikkan kaedah-kaedah ini, pastinya matlamat dan pergerakannya lebih padu dan terarah ke destinasi sebenar seorang pejuang di medan dakwah, insyaallah.

Berbalik kepada persoalan ilmu dan da'I, Dr.Yusuf Qordhawi turut mengatakan:
" Seorang da'I itu pada hakikatnya adalah pemberi. Dia perlu kaya dengan ilmu dan pengetahuan"

Benarlah yang dikatakan ; orang yang tidak memiliki apa-apa, tidak mampu memberi apa-apa.

Di sini ingin juga ana berkongsi bersama kalian kata-kata seorang ilmuan agung masa kini. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam kenyataan lisan beliau yang dirakamkan menjadi sebuah buku: Risalah Untuk Kaum Muslimin (terbitan ISTAC) mengatakan:

" ilmu itu merupakan peringatan, gambaran akal, renungan, pandangan batin. Ilmu adalah suatu sifat yang menghapuskan kejahilan, shak dan dugaan. Ilmu itu kenyataan sesuatu dari pihak dirinya sendiri. Ilmu itu cahaya yang diletakkan oleh Allah SWT dalam kalbu.."
(ruj: perenggan 17: m/s : 52)

Persoalan penguasaan ilmu sememangnya telah acap kali kita dengari. Cumanya, bagaimana kita memanipulasikan cara mendapatkannya serta menzahirkannya dalam bentuk amalan sehari-hari. Di sinilah di ukur sejauh mana kebijaksanaan kita menguasai keadaan dengan secarik bekalan ilmu yang dimiliki. Sesungguhnya, dalam mengorak langkah sebagai pejuang, pastinya kadangkala tersadung dan adakalanya juga rebah tersungkur ke bumi. Tatkala itu, hanya ilmu yang didasari iman dan taqwa padaNya mampu menyuntik semula kekuatan dan membakar semangat untuk kembali segar dan tegar menyambung larian perjuangan yang tiada penghujungnya.

Oleh itu, ayuh kita renung sejenak dan layarkan kembali kisah perjuangan para mujahidin terdahulu untuk diamati. Bandingkan langkah mereka dan langkah kita. Tilik semula onak dan badai perjuangan mereka dan perjuangan kita. Berapa jauh pengorbanan yang dilakukan mereka berbanding kita. Sedalam mana jurang kepahitan dan keperitan antara mereka dan kita. Dan akhirnya singkap semula sumbangan dan peranan mereka berbanding kita. Sedarkah kita bahawa terlalu kerdil dan kecil perjuangan kita dibandingkan mereka??? Ayuh! Kita renung dan muhasabah kembali siapa kita. Lontarkan kembali persoalan-persoalan ini pada diri kita. Sudah cukupkah persiapan kita? Ikhlaskah nawaitu kita? Ke manakah arah tuju kita? Kukuhkah pengharapan kita padaNYA? Adakah kita benar-benar seorang pendokong panji-panji Islam?

Dan di sini juga, persoalan yang dilontarkan di awal persada bicara dikemukan semula untuk menuntut bicara jawapan. Cemerlangkah langkahku sebagai seorang da'i?? jangan dibiar persoalan ini hanya tersadai sepi, ketuklah benakmu, berkomentarlah dengan imanmu, tuntutlah jawapan dari sukmamu, dan pancarkan segalanya pada tingkah dan amalmu. Moga segalanya benar bersama iringan panduan dan pimpinan Yang Esa, insyaallah.

Ana menutup tabir kalam ana pada kali ini, dengan meninggalkan kalian secalit bicara daripada Hassan Al-Basri untuk renungan bersama, insyaallah.

"di antara ciri-ciri seorang muslim itu adalah kuat dalam memegang agama, selalu melakukan kewajiban dengan baik meskipun diberi keringanan oleh agama, memiliki iman yang kuat, santun, lemah lembut, memberi dalam kebenaran, berhemat sekalipun mampu, bersabar dalam situasi sulit, tidak terkalah oleh marah, tidak tertumpas oleh hawa nafsu, akan memberi maaf andainya teraniaya dan memaafkan orang yang berbuat salah kerana kebodohannya. Ia akan berusaha mencapai semuanya, sehingga orang yang melihatnya akan berada dalam kebahagiaannya" ~ Hassan Al-Basri

Moga-moga kita beroleh secebis manfaat daripadanya. Seandainya punya sebarang kelemahan pada penulisan kali ini, ana menyusun jari memohon seribu kemaafan. Teguran dan ajaran daripada kalian amat diharapkan. Insyaallah dapat dijadikan panduan dan pembaikan pada masa hadapan, insyaallah. Wallahua'alam.

Hingga ketemu lagi pada ruangan masa yang lain. Salam'alaik.

Liqa' 3 in 1 APIS
18/9/2008

Wednesday, October 13, 2010

Kerana Takhta Itu

Bismillahirrahmanirrahim

Benarlah titah Tuhan Yang Tertinggi itu, pada setiap takhta kemuliaan itu, pasti menuntut sedalam-dalamnya erti pengorbanan dan ketekunan. Yang pasti, takhta kemuliaan itu adalah kurniaan daripadaNya.

"Barangsiapa yang mengkehendaki kemuliaan, maka ketahuilah kemuliaan itu semuanya milik Allah. KepadaNya lah akan naik perkataan-perkataan yang baik dan amal kebajikan Dia akan mengangkatnya. Adapun orang-orang yang merencanakan kejahatan mereka akan mendapat azab yang sangat keras, dan rencana jahat mereka akan hancur."
Al-Fatir: 10

Menjadi mulialah dengan menjadi insan yang paling banyak memberi. Memberi untuk yang memerlukan. Memberi bukan hanya kepada orang lain, tapi percayalah di sana kita juga sedang memberi pada diri sendiri. Mengajar diri makna sebenar keikhlasan. Menuntut jiwa untuk memahami fitrah kejadian. Memberi itu satu keperluan dan satu kelengkapan diri.

Andai direnung sejenak, pernah kita merasa rugu dan tandus dengan setiap pemberian yang dihulurkan. Tidakkah pernah mengungkap pada benak akalmu, betapa ribuan hati dan tangan sedang menadah doa agar tangan yang menghulur itu diangkat kemuliaannya, dibuka ruang-runag kemudahan dan ketenangan.

Mengapa digundah pada kekurangan pada setiap pemberian, sedangkan di sana ada takhta kemuliaan. Ya, segenap catatan alam menjadi saksi kepada empunya kemuliaan itu. Usah terhitung-hitung bagaimana dan ke mana huluran mu pergi, cukup sekadar bermohon rayu agar pemberian itu diiringi redha tuhan yang berpanjangan yang membawa kamu jauh mengeangkasa ke Istana Kemuliaan, Takhta Kesejahteraan di Negeri Abadi.

Percaya! Itu yang perlu kau pateri pada hati. Janji Allah SWT itu pasti!

"Wahai manusia! Sungguh, Janji Allah SWT itu benar. Janganlah kehidupan memperdayakan kamu dan janganlah (syaitan) yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah SWT."
Al-Fatir: 5

Biarlah sesekali merasa senak pada setiap inci pemberian, kerana di sebalik perit kudrat yang memberi itu, ada bersamanya kemanisan pada erti penghargaan dan kesyukuran pada nikmat Tuhan.

Wallahualam



Friday, October 8, 2010

Wahai Kamu Makhluk Yang Teragung!

Bismillahirrahmanirrahim

Meletakkan sangkaan yang terbaik pada setiap ketetapan Allah SWT adalah penawar yang paling ampuh untuk membina segenap kekuatan demi menempuh sebuah perjalanan kehidupan dengan penuh ketabahan. Demikianlah adat dan adab kehidupan seorang hamba yeng mengabdikan segenap kudratnya kepada Allah SWT.

Bumi mana yang tidak pernah dilanda bencana, langit mana yang tidak pernah mendung, demikianlah juga lumrah ketetapan Allah SWT bagi kehidupan makhluk yang begitu agung ciptaannya. Pasti dugaan dan ujian datang menempa. Ya, kitalah makhluk itu. Makhluk yang menerima pujian melangit daripada Allah SWT.

“dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.”Mereka berkata: “ Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang akan merosakkan dan menumpahkan darah di sana, sedang kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu.” Dia berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” (Al-Baqarah:30)

Sehinggakan malaikat tidak punya hujah untuk memangkas titah Allah SWT untuk menobatkan manusia sebagai khalifah. Kerana itu juga, kita terpilih menerima ujian-ujiannya demi menambah kemuliaan pada takhta khalifah yang telah dianugerahkan.

Khalifah, gah dan perkasa nama itu. Segagah dan seperkasa kudrat yang diperlukan untuk memartabatkan ketelusan jiwa khalifah itu dalam mentadbir bumi. Sehebat nama dan kuasanya, sehebat itu juga badai yang menanti di jalan-jalan hidup seorang khalifah.

Wahai kamu yang bergelar khalifah, tahukah kamu mulianya jalan yang sedang kamu lalui? Kerana mulianya jalan itu, maka maqammu di sisiNya juga jauh mengangkasa. Membedakan antara kamu dan makhluk-makhluk lain. Kerana kemuliaan maqam itu, maka jenuhlah pengorbanan yang harus diletakkan. Kerana pada setiap inci perjalanan itu pasti ada tapisan dan halangan. Demi menapis dan membasuh sesuci-sucinya hati yang bakal dinobatkan sebagai khalifah yang membawa risalah Allah SWT di bumi.

Mencicip cebisan sirah, saat makhluk pertama diciptakan Allah SWT, saat itulah bermulanya ketetapan lumrah manusia. Ya, Nabi Adam a.s dididik secara terus dengan Allah SWT. Catatan di lembaran Jannah menyaksikan Nabi Adam a.s jauh tercampak ke bumi kerana pengkhianatan pada titah Allah SWT. Nah, inilah ibrah yang perlu dikutip. Baginda a.s ditarbiyah untuk menerima natijah daripada kesalahan dan ketelanjuran. Bukan kerana dibenci Allah SWT, baginda diuji demikian rupa. Namun, tiada lain hanya demi mencipta dan menetapkan pada lembaran fitrah manusia, bahawa melakukan kesalahan adalah fitrah yang tidak dapat dipinggirkan daripada manusia.

Kerana kesalahan itu, baginda bangkit dengan lebih tegar dan penuh kesungguhan. Tegar untuk melakukan segenap pengabdian sebagai hamba Allah sekaligus menjadi insan yang paling teguh memegang panji amanah Allah SWT sebagai khalifah yang memakmurkan bumi berpaksikan penyaksian aqidah pada Dia Yang Maha Satu. Inilah fitrah kita wahai manusia. Fitrah melakukan kesalahan tapi dididik oleh Allah agar kembali menuntut taubat dan pengabdian padaNya. Demkianlah, yang dirakamkan dalam sunnah Baginda Rasulullah SAW yang dititipkan buat panduan umat baginda SAW:

Dari Anas r.a ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “setiap anak adam pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah mereka yang mahu bertaubat.”
(HR Tirmizi dan Ibnu Majah)

Maka, cerahlah pada yang kabur. Bahawa pada setiap kesalahan dan ketelanjuran pasti ada hikmah yang mengukir di sebaliknya. Jangan lekas melatah. Jangan mampir pada penyesalan yang tiada kesudahan. Cukuplah dengan kembali bermuhasabah dan bingkas kembali untuk menyusun langkah. Menjahit kembali cindai penghambaan yang carik. Menyulam kembali benang-benang yang mengikat hati dan jiwa kepada kezuhudan dan keikhlasan menjalani kehidupan di dunia.

Biar mekar maknanya iman, biar kukuh ertinya keyakinan. Pada setiap keperitan untuk bangkit kembali, percayalah di sana ada segenap kekuatan yang telah engkau paterikan. Nilailah kembali kemampuan diri pada setiap jendela yang mahu disingkap. Hisab kembali persediaan kendiri pada setiap jurang yang mahu ditawan. Ke mana pun lirih langkahmu, biar padanya ada sandaran pada Tuhan. Sandaran itu bukan pada permulaan. Bukan juga pada pengakhiran tapi adalah pada setiap ruas perjalanan. La Haula wala quwwata illa billah. Tiada kekuatan dan sandaran selain pada Allah SWT. Sematkan baik-baik pada lubuk hatimu. Ini kalam mulia buat introspeksi pencakmu:

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sepatutnya orang mukmin itu menghinakan dirinya.” Mereka bertanya: “Bagaimana mereka menghinakan dirinya?” Baginda menjawab: “ Dia menjerumuskan dirinya dalam tribulasi yang tidak mampu ditanggung oleh.” (HR Tirmizi)

Janjian Allah SWT itu tiada pengkhianatan wahai manusia yang mendambakan janji. JanjiNya tetap akan dikota. Kemuliaan itu milikmu. Ujian dan tribulasi itulah tanda kecintaanNya padamu. Jangan letih menitipkan munajat. Jangan gundah para kelelahan. Teruskan langkah, teguhkanlah keyakinan. Bukankah dirimu makhluk yang teragung?

Wallahualam

Thursday, October 7, 2010

Ghurabaa': Then You Are The Soldier


غرباء غرباء غرباء غرباء

غرباء غرباء غرباء غرباء

Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`

غرباء غرباء غرباء غرباء
غرباء غرباء غرباء غرباء

Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`


غرباء ولغير الله لا نحنى الجباة

(Guraba Un’wali Ghayril La hilaa Nahnil Jiba)
Ghurabaa` do not bow the foreheads to anyone besides Allah


غرباء وارتضيناها شعارا للحياة

(Guraba Un’war Tadyna Hashia’ral lil Haya)
Ghurabaa` have chosen this to be the motto of life


إن تسل عنّا فإنّا لا نبالى بالطغاة

(Inta Sal Anna Fa Inna La Nubalii bit Tugha)
If you ask about us, then we do not care about the tyrants


نحن جند الله دوما دربنا درب الأباة

(Nahnu Jundullahi dauman darbuna darbul uba)
We are the regular soldiers of Allah, our path is a reserved path
————————————————-

غرباء غرباء غرباء غرباء
غرباء غرباء غرباء غرباء

Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`


لن نبالى بالقيود بل سنمضى للخلود

(Lanu Balii bil Qoyood Bal sanam diilil Khulood)
We never care about the chains, rather we’ll continue forever

لن نبالى بالقيود بل سنمضى للخلود

(Lanu Balii bil Qoyood Bal sanam diilil Khulood)
We never care about the chains, rather we’ll continue forever

فلنجاهد ونناضل ونقاتل من جديد

(Fal Nujahid wa nunadil Wa Nuqaatil min jadeed)
So let us make jihad, and battle, and fight from the start

غرباء … هكذا الأحرار في دنيا العبيد

(Ghuraba Uh haka zal ahraroo fee duniyal a’beed)
Ghurabaa`, this is how they are free in the enslaved world

فلنجاهد ونناضل ونقاتل من جديد

(Fal Nujahid wa nunadil Wa Nuqaatil min jadeed)
So let us make jihad, and battle, and fight from the start

غرباء … هكذا الأحرار في دنيا العبيد

(Ghuraba Uh haka zal ahraroo fee duniyal a’beed)
Ghurabaa`, this is how they are free in the enslaved world
————————————————-

غرباء غرباء غرباء غرباء
غرباء غرباء غرباء غرباء

Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`


كم تذاكرنا زمانا يوم كنّا سعداء

(Kamtaza Karna Zamanan, youma kunna su a’da)
How many times we remembered a time when we were happy


بكتاب الله نتلوه صباحا و مساء

(Bi Kitaabillahi nat’luhu sabahan,wa masa)
In the book of Allah, we recite in the morning and the evening


كم تذاكرنا زمانا يوم كنّا سعداء

(Kamtaza Karna Zamanan, youma kunna su a’da)
How many times we remembered a time when we were happy

بكتاب الله نتلوه صباحا و مساء

(Bi Kitaabillahi nat’luhu sabahan,wa masa)
In the book of Allah, we recite in the morning and the evening
————————————————-

غرباء غرباء غرباء غرباء
غرباء غرباء غرباء غرباء

Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`


غرباء غرباء غرباء غرباء
غرباء غرباء غرباء غرباء

Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa`, ghurabaa`, ghurabaaa` ghurabaa`

————————————————-

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

بدأ الاسلام غريبا وسيعود غريبا كما بدأ فطوبى للغرباء

The Prophet SAW said:
“Islam began as something strange, and it will return as something strange the way it began. So give glad tidings to the strangers.”

Saturday, October 2, 2010