Bismillahirrahmanirrahim
Meletakkan sangkaan yang terbaik pada setiap ketetapan Allah SWT adalah penawar yang paling ampuh untuk membina segenap kekuatan demi menempuh sebuah perjalanan kehidupan dengan penuh ketabahan. Demikianlah adat dan adab kehidupan seorang hamba yeng mengabdikan segenap kudratnya kepada Allah SWT.
Bumi mana yang tidak pernah dilanda bencana, langit mana yang tidak pernah mendung, demikianlah juga lumrah ketetapan Allah SWT bagi kehidupan makhluk yang begitu agung ciptaannya. Pasti dugaan dan ujian datang menempa. Ya, kitalah makhluk itu. Makhluk yang menerima pujian melangit daripada Allah SWT.
“dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.”Mereka berkata: “ Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang akan merosakkan dan menumpahkan darah di sana, sedang kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu.” Dia berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” (Al-Baqarah:30)
Sehinggakan malaikat tidak punya hujah untuk memangkas titah Allah SWT untuk menobatkan manusia sebagai khalifah. Kerana itu juga, kita terpilih menerima ujian-ujiannya demi menambah kemuliaan pada takhta khalifah yang telah dianugerahkan.
Khalifah, gah dan perkasa nama itu. Segagah dan seperkasa kudrat yang diperlukan untuk memartabatkan ketelusan jiwa khalifah itu dalam mentadbir bumi. Sehebat nama dan kuasanya, sehebat itu juga badai yang menanti di jalan-jalan hidup seorang khalifah.
Wahai kamu yang bergelar khalifah, tahukah kamu mulianya jalan yang sedang kamu lalui? Kerana mulianya jalan itu, maka maqammu di sisiNya juga jauh mengangkasa. Membedakan antara kamu dan makhluk-makhluk lain. Kerana kemuliaan maqam itu, maka jenuhlah pengorbanan yang harus diletakkan. Kerana pada setiap inci perjalanan itu pasti ada tapisan dan halangan. Demi menapis dan membasuh sesuci-sucinya hati yang bakal dinobatkan sebagai khalifah yang membawa risalah Allah SWT di bumi.
Mencicip cebisan sirah, saat makhluk pertama diciptakan Allah SWT, saat itulah bermulanya ketetapan lumrah manusia. Ya, Nabi Adam a.s dididik secara terus dengan Allah SWT. Catatan di lembaran Jannah menyaksikan Nabi Adam a.s jauh tercampak ke bumi kerana pengkhianatan pada titah Allah SWT. Nah, inilah ibrah yang perlu dikutip. Baginda a.s ditarbiyah untuk menerima natijah daripada kesalahan dan ketelanjuran. Bukan kerana dibenci Allah SWT, baginda diuji demikian rupa. Namun, tiada lain hanya demi mencipta dan menetapkan pada lembaran fitrah manusia, bahawa melakukan kesalahan adalah fitrah yang tidak dapat dipinggirkan daripada manusia.
Kerana kesalahan itu, baginda bangkit dengan lebih tegar dan penuh kesungguhan. Tegar untuk melakukan segenap pengabdian sebagai hamba Allah sekaligus menjadi insan yang paling teguh memegang panji amanah Allah SWT sebagai khalifah yang memakmurkan bumi berpaksikan penyaksian aqidah pada Dia Yang Maha Satu. Inilah fitrah kita wahai manusia. Fitrah melakukan kesalahan tapi dididik oleh Allah agar kembali menuntut taubat dan pengabdian padaNya. Demkianlah, yang dirakamkan dalam sunnah Baginda Rasulullah SAW yang dititipkan buat panduan umat baginda SAW:
Dari Anas r.a ia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “setiap anak adam pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah mereka yang mahu bertaubat.”
(HR Tirmizi dan Ibnu Majah)
Maka, cerahlah pada yang kabur. Bahawa pada setiap kesalahan dan ketelanjuran pasti ada hikmah yang mengukir di sebaliknya. Jangan lekas melatah. Jangan mampir pada penyesalan yang tiada kesudahan. Cukuplah dengan kembali bermuhasabah dan bingkas kembali untuk menyusun langkah. Menjahit kembali cindai penghambaan yang carik. Menyulam kembali benang-benang yang mengikat hati dan jiwa kepada kezuhudan dan keikhlasan menjalani kehidupan di dunia.
Biar mekar maknanya iman, biar kukuh ertinya keyakinan. Pada setiap keperitan untuk bangkit kembali, percayalah di sana ada segenap kekuatan yang telah engkau paterikan. Nilailah kembali kemampuan diri pada setiap jendela yang mahu disingkap. Hisab kembali persediaan kendiri pada setiap jurang yang mahu ditawan. Ke mana pun lirih langkahmu, biar padanya ada sandaran pada Tuhan. Sandaran itu bukan pada permulaan. Bukan juga pada pengakhiran tapi adalah pada setiap ruas perjalanan. La Haula wala quwwata illa billah. Tiada kekuatan dan sandaran selain pada Allah SWT. Sematkan baik-baik pada lubuk hatimu. Ini kalam mulia buat introspeksi pencakmu:
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sepatutnya orang mukmin itu menghinakan dirinya.” Mereka bertanya: “Bagaimana mereka menghinakan dirinya?” Baginda menjawab: “ Dia menjerumuskan dirinya dalam tribulasi yang tidak mampu ditanggung oleh.” (HR Tirmizi)
Janjian Allah SWT itu tiada pengkhianatan wahai manusia yang mendambakan janji. JanjiNya tetap akan dikota. Kemuliaan itu milikmu. Ujian dan tribulasi itulah tanda kecintaanNya padamu. Jangan letih menitipkan munajat. Jangan gundah para kelelahan. Teruskan langkah, teguhkanlah keyakinan. Bukankah dirimu makhluk yang teragung?
Wallahualam
No comments:
Post a Comment