Saturday, May 29, 2010

Berhajatkan Langit

Berhajatkan Langit
Perlu tabah
Memang bumi kaki menapak
Bukan salah kepala mendongak

Berhajatkan langit
Perlu terbang meninggi
Tapi jangan lupa ribut tiada tanda
Hunus dia lingkup semua

Berhajatkan langit
bukan ceritera di toko pinggir desa
tapi impian yang perkasa
hatta dia si tua renta
walau dia kanak-kanak muda
berhajatkan langit
mencapai tujuan pencipta

Berhajatkan langit
itu kemestian yang ada pateri
yang lekat pada si celik yang tidak buta
Berhajatkan langit!!!

"isbiru, wasobiru wa rabithu..."
3:200

Monday, May 24, 2010

Fitrah Suci Si Kecil


//salam fitrah//

Jam 0005 saat ini di Perlembahan Nil
Menatap helaian-helain Embroyology membawa figur-figur seni memenuhi ruangan di minda
Comel subhanallah
Unik Masyaallah
Sekadar menatap sesaat hilang semua kabut serabut
Bayi itu suci bukan?
Kanak-kanak itu unik bukan?

Hadiah saya buat kalian. Fitrah insan mencari Tuhan. Fitrah insan tunduk bertuan. Mengapa bila keluar menatap dunia kian jauh meninggalkan fitrah insan? Terkenang kisah Saidina Ali R.A. Karamallahuwajhah. Allah SWT palingkan wajahnya daripada berhala patung tidak bernyawa. Nah, ini buktinya. Si bayi kecil mampu bersujud tatkala mendengar kalimah-kalimah agung TuhanNya. Apatah lagi kuasa Allah SWT memuliakan Khalifah keempat itu...Subhanallah..


.::Subhanallah::.
Terkenang adinda-adinda kecil di teratak sana~



Sunday, May 23, 2010

BIDADARI


Bidadari, bidadari
Temanilah resahku
Bidadari, bidadari
Tenangkanlah jiwaku

Sumpah setia hidup mati
Selamanya
Kerana kau isteriku
Isteriku tercinta pelengkap rusuk kiriku

Bidadari, bidadari
Jadilah pedampingku
Bidadari, bidadari
Jadilah sang setia

Kerna cinta cinta suci
Buktinya tidak pernah sepi
Sepi daripada cubaan yang tak terduga

Kau umpama bintang utara
Penunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan saat ku jatuh
Bangun semula

Dan berikan sakti cintamu
Penawar racun berbisa
Dan ikatan kita cinta abadi hanya di syurga

oleh;Munif Hijjaz

Thursday, May 20, 2010

Keratan Rentas

.::Bismillahirrahmanirrahim::.

Sekadar keratan rentas daripada ribuan kata yang membungkam di atma
Ingatan daripada anakanda buat bonda tercinta
Buat Bonda Yang Bergelar GURU dan juga IBU

"Ummi bukan wanita biasa. Usia hampir setengah abad itu banyak mematangkan ummi. Biar dicakar ribuan derita, bukan bermakna selamanya hidup melara. Ummi melakar pelangi ceria bukan sekadar menepis cindai lara hidup sendiri, bahkan bias cahayanya menjirus ke atma-atma di desa."

*Andai diizin TUHAN rentasan kata ini akan melakar di kanvas yang dakwatnya hitam. Moga mengalir daripadanya titisan segar buat jiwa sang anak yang mendamba kasih TUHAN, mengagung kasih insan bergelar GURU dan IBU.

..::Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik::..

Sunday, May 16, 2010

Manhaj Azhari: Ya Allah, Ini Amanahmu

.::Bismillahirrahmnirrahim::..

Salam Imtihan.

Sebetulnya, waktu sedang meruncing sekarang. Tapi layaran saya menelusuri mega maya sejenak selepas menghadapi timbunan buku-buku, membawa saya menatap catatan dan peringatan penting ini. Sekurang-kurangnya, peringatan ini sudah cukup untuk buatkan saya kecut perut. Walau bukan di bidang Pengajian Islam. Tapi, 'title' azhariah telah dan sedang ditanggung. Mahu tidak mahu, saya wajib memikul, meneruskan perjalanan yang memang sedari awal saya yang pilih. Tiada lain. Teruskan! Hanya itu kalam yang mampu diluncurkan. Rabbi yassir Wa la Tu'assir. Saya catatkan di sini, agar saya dan sahabat-sahabat Azhari-azhariah segar dan tidak lupa. Ini amanah kita. Umat menanti untuk dibimbing. Mizan menanti untuk menghitung dan persoalan Tuhan sedang menanti untuk ditanggung.
Moga kita tidak lupa dan leka!



Syaikhuna al-Allamah al-Muhaddis Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari hafizahullahmengatakan berdasarkan pemerhatian dan penelitian beliau sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran di al-Azhar al-Syariff, beliau dapat simpulkan bahawa ciri-ciri utama bagi pembinaan jati diri seorang Azhari adalah terbina daripada 8 ciri serta manhaj utama:


1. Bersambung Sanad ( silsilah ) pengambilan ilmu sama ada secara riwayah, dirayah serta tazkiyah. Ini akan diperolehi bilamana seseorang tersebut bertalaqqi ilmu serta bersahabat dengan para ulama di Bumi al-Azhar ini. Ini perlulah dilakukan dalam tempoh masa yang lama bagi memperolehi keahlian serta kefahaman yang jelas tentang ilmu sebenar di dalam Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu itu diperolehi dengan cara bertalaqqi dengan para ulama bukan sekadar membaca tanpa guru.

2. Mengambil perhatian di dalam menguasai ilmu-ilmu asas bagi mempelajari serta memahami al-Quran dan al-Sunnah seperti ilmu Nahwu, Sarf, Balaghah, al-Ishtiqaq, Usul Fiqh, Ulum al-Hadis, Ulum al-Quran dan lain-lain.

3. Mengetahui secara menyeluruh serta jelas tentang Maqasid al-Syariah ( Prinsip-Prinsip di dalam Syariat). Pengetahuan secara mendalam terhadap Maqasid Syariah menyebabkan seseorang tersebut akan dapat membezakan perkara usul dan cabang di dalam agama. Maka ini akan menyebabkan seorang Azhari tersebut tidak akan cepat menghukum sewenang-wenangnya serta akan berlembut dengan golongan yang Jahil serta memberikan tunjuk ajar sebaiknya kepada mereka.

4. Meletakkan ayat al-Quran pada tempat yang sepatutnya. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj sesetengah pihak yang terkadang meletakkan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir kepada golongan Muslimin. Bilamana perkara sebegini berlaku maka secara tidak langsung akan wujud perpecahan serta buruk sangka kepada muslim yang lain.

5. Membesarkan kedudukan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam. Bilamana seorang Azhari tersebut mengetahui akan kedudukan serta kemuliaan Umat Baginda sallallahu alaihi wasallam, maka secara tidak langsung akan hilanglah perasaan ingin menuduh fasiq kepada umat Islam yang lain, menghukum kafir, ahli Bid’ah serta lain-lain hanya kerana melakukan perkara yang bagi fikiran mereka(yang tidak bermanhaj seperti Azhari) adalah merupakan Syirik Terbesar seperti Bertawassul dan lain-lain. Sedangkan hakikat sebenarnya adalah bertentangan dengan apa yang mereka fikirkan.

6. Meletakkan bahawa perkara paling utama adalah menyampaikan hidayah Islam kepada seluruh alam.

7. Mempunyai ciri-ciri lengkap di dalam pembentukan ilmu iaitu dengan 1) berpandukan al-Quran, al-Sunnah, Ijma’ dan al-Qiyas, 2) mempunyai manhaj ilmu yang muktamad serta mempunyai kaedah yang jelas bagi memahami sesuatu nas tersebut, 3) mempunyai kemampuan serta anugerah daripada Allah taala bagi mendalami ilmu tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa manhaj al-Azhar berbeza dengan manhaj yang lain . Jika tidak punya kaedah yang jelas di dalam pembentukan ilmu maka akan lahirlah kelompok yang hanya mengetahui istilah dalil tetapi tidak mengetahui apakah cara untuk mengeluarkannya , mengumpul serta meneliti dalil satu persatu berdasarkan keahlian seseorang tersebut di dalam bidang ilmu tersebut.

8. Sentiasa mengambil faedah daripada Turath Ummah (Tinggalan umat Islam terdahulu seperti kitab-kitab karya mereka serta apa sahaja yang memberikan faedah dan manfaat), menyedari akan kedudukan serta keagungan tinggalan umat Islam silam serta mengetahui cara bagaimana mengambil segala faedah daripadanya . (catatan asal: Ustaz Nazrul Nasir)

Moga Allah SWT memberi kekuatan dan menetapkan langkah kita di medan ini. Wallahu3alam.


Thursday, May 13, 2010

Wednesday, May 12, 2010

Tajri Min Tahtihal Anhar



"Dalam Quran pun dikatakan “tajri min tahtihal anhar”, mengalir di bawahnya sungai-sungai.Walaupun tidak ada apa-apa, air mesti ada di situ. Banyak ahli arkitek Islam moden sekarang memikirkan bahawa yang dikatakan functional itu mesti ada guna. Jadi dia bertanya, fountain ini untuk apa? Untuk diminumkah? Dia tidak sedar bahawa guna itu tidak bererti mesti boleh diminum atau digunakan untuk air sembahyang. Kalau seseorang yang memandangnya mendapat rasa senang pun, sudah ada gunanya. Jadi kalau ada bunga-bunga pun, itu pun fungsional. Lihatlah rumah orang Melayu di kampung, mesti ada bunga. Kalaupun tidak ada bunga lain, ada bunga kertas. Kalaupun tidak harum, warnanya ada. Pokok pisang pula ditanam di belakang rumah. Bunga-bunga ditanam di depan. Tetapi sekarang banyak orang menanam pokok pisang di depan. Pokok kelapa pun ditanam di depan rumah. Itu tak betul."
(Syed Naquib Al-Attas)

Salam Bertamu..

Sekian lama saya mencari dan menggeladah segala sumber. Mencari dan tercari. Alhmadulillah, hari ini saya bertemu. Terima kasih blogger saudara Rausyan yang menghadiahkan entrinya untuk tatapan insan kangan seperti saya. Ya, kangan mahu pulang ke tanah air.

Berbalik pada sasaran utama saya. Sebetulnya, telah lama saya mencari dan mengkaji tentang ISTAC. Teruja saya apabila ayahanda mengunjuri saya buku setebal 200 muka surat tika saya usia mentah dahulu. Teruju melihat hasil ta
ngan Syed Naquib yang begitu halus dan seni. Kalau dahulu, teruja saya hanya keterujaan yang hampa dan tidak tinggi mana maknanya. Tapi, hari ini baru saya benar-benar merasakan tahapan keterujaan saya ada nilainya. Lama benar akal saya mengambil masa untuk mencerna. Seingat saya hampir sepuluh tahun lalu saya melihat koleksi buku-buku dan makalah himpunan ayahanda di perpustakaan di teratak permai tanah air. Baik juga ayahanda memberi laluan awal untuk saya teroka. Sekurang-kurangnya tidak saya buta dan kabur mencari dan memahami catatan zaman ini.

Cuba kalian perhati baik-baik kalam Syed Naquib yang saya rentaskan tadi. Nilaian yang begitu halus dan teliti untuk binaan sebuah teratak kediaman. Mungkin hari ini anda berbumbungkan mozek berhawakan pendingin hawa membuatkan anda merasa sudah cukup selesa dan berbangga dengan teratak anda. Tapi, berapa ramai hari ini, lupa bahawa kediaman tempat kita berteduh itu sendiri punya falsafah yang istimewa.

Pembinaan ISTAC merupakan antara idea halus dan cukup seni perhatian dan pembikinannya. Saya berani memberi jaminan bahawa tangan Syed Naquib
dan otak sebesar penumbuknya itu benar-benar memahami dan cuba menzahirkan sebuah nilaian yang di mana letakknya erti syariat dan kemanusiaan. Jalinan yang hidup. Alam dan manusia. Hamba dan pencipta. Bukan taasub. Namun, di sini saya cuba membawakan betapa manusia hari ini terutamanya kita yang bergelar muslim semakin jauh dari hakikat penciptaan. Tiada penghayatan ruh agama dalam setiap nadi kehidupan.

Kalau di congak-congak dan di gali-gali, tentu nampak begitu rumit dan halus benar hasil binaan para pendahulu zaman. Zaman kegemilangan Melayu contoh yang begitu mudah untuk diperhatikan. Tiang serinya, anjungnya, ruang istirehatnya dan segenap pelusuk kawasan teratak itu ada keistimewaannya. Maksudnya terperinci. Kalau dahulu, teratak kediaman itulah syurga. Tempat yang paling selamat dan selesa. Ruang-ruang di rumah itu, jadi sandaran menghasilkan buah fikiran. Menjadi tempat memburai permasalahan dan kekusutan. Lapangan di rumahlah yang membunga kasih dan cinta sesama keluarga, penghubung yang terputus, pengakrab yang jauh dan dekat. Di sana semua yang kelat menjadi manis. Di sana, kehalusan budi dan kesaksian agama menjadi tunjang yang mengikat semua ahlinya. Pokoknya, teratak itulah medan didikan jiwa dan fizikal yang benar-benar mempengaruhi segenap kehidupan.

Hakikatnya, nilaian inilah yang semakin jauh dipinggirkan oleh masyarakat madani hari ini. Cukuplah sekadar, kita menghitung kembali. Andai dahulu teratak kediaman adalah tempat terbaik untuk seluruh ahli keluarga dibentuk dan dididik, bagaimana pula kita kini. Hari ini, kita menyaksikan tiang seri keluarga muslim kian hari kian tergugah. Masjid-masjid banyak yang dibina, malangnya lebih banyak yang retak di pertengahan jalan. Anak-anak membesar dalam suasana yang begitu terancam. Ibu bapa memandang enteng didikan di rumah. Barah umat perlu rawatan segera. Kembalikan kesucian binaan teratak kediaman anda. Bukan sekadar pada falsafah fizikal binaannya, tapi hakikat ruh agama perlu ditiup sama. ADDEEN. Cara hidup yang cukup sempurna. Wallahu3alam.


Catatan berkaitan:
http://tintaqubnani.blogspot.com/2010/01/istac.html
http://rausyanfikir.com/2010/05/letakkan-masing-masing-pada-tempatnya.html



Saturday, May 8, 2010

SIBUK!

Aduh! Tak cukup masa. Ini tak sempat itu tak sempat. Terkejar sana. Terkejar sini. Terasa begitu sibuk? Terlalu banyak perkara untuk dikejar? Cukup baik anda merasakan begitu. Ini bermakna anda sedang menggunakan masa anda dengan baik. Tapi awas, gejala keciciran dan kecuaian sedang mengintai-ngintai masa sibuk anda.


Cuai dengan amanah yang lebih penting. Lalai dengan kewajipan dan hak pada pihak-pihak di sekeliling anda dan lebih malang lagi adalah apabila anda lalai dan cuai menunaikan hak anda kepada Tuhan yang Sang Pemilik Masa.


Umar Al-Khatab pernah menukilkan:

“Tidaklah dunia menjadi obsesi seseorang, kecuali dunia menjadi sangat melekat di hatinya pada empat keadaan: kefakiran yang tidak kenal kekayaan, keyakinan yang tidak putus-putus, kesibukan yang tidak pernah habis dan angan-angan yang tiada penghujungnya.”


Pemimpin agung ini cuba mengingatkan. Cuba memberi amaran betapa segala yang dikejar hari ini lebih berat kepada dunia semata. Kita leka. Kita kira kitalah yang sedang memaju kemajuan hidup. Mengejar semua yang ada. Meneroka segala yang tersembunyi. Tanpa kita sangka rupanya ada tembok yang terlarang. Kita lupa ada landasan yang perlu diikuti. Lebih malang lagi, mungkin tanpa sedar kita lebih hebat bertingkah dengan ketetapan Allah SWT terhadap fitrah manusia.


Tidak salah mengejar, meneroka, mencari dan menbina kehidupan. Namun, jangan sehingga keinginan mengejar dunia itu mengatasi segala. Biar dunia dalam genggaman, namun bukan bermakna iman jadi mainan.


Tidak pelik jika seseorang itu akhirnya letih, tersungkur malah menjadikan gerbang kematian sebagai pilihan apabila kenikmatan dunia hilang diragut Tuhan. Bukan pelik jika dialah yang meletakkan iman diserendah-rendah dan sehina-hina tempat dalam hidupnya.


Sheikh Abu Hassan asy-Syadhuli r.a menyebutkan:

“orang yang menunjukkanmu kepada dunia beerti dia telah menipumu, orang yang menunjukkanmu kepada amal bererti dia membuatkanmu letih dan orang yang menunjukkan kepada Allah SWT bererti dia telah menasihatimu dengan baik.”


Cukuplah dengan menjadikan Allah SWT itu sebagai matlamat tertinggi dan dunia itu sebagai medan mencari bekal menuju matlamat yang teragung. Bukankah kita telah berjanji dan bersaksi pada Pencipta kita bahawa Dia sahajalah kecintaan kita. Kecintaan yang mengatasi segala cinta?


dan ingatlah (wahai Muhammad SAW) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam a.s (turun-temurun) daripada tulang belakang mereka, dan ia menjadiakn mereka saksi terhadap mereka sendiri.(sambil ia bertanya dengan firmanNya;)Bukankah AKU Tuhanmu?” mereka semua menjawab: “Benar(engkaulah Tuhan kami.”) kami menjadi saksi” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamt kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”

(al-A’raf 7:172)


Moga segala yang dikejar itu diiringi bersamanya redha Allah SWT yang tidak bertepi, insyaallah.


Rujukan:

Mencari Mutiara Di Dasar Hati- Muhammad Nursani

Memahami Tasawuf Yang Sahih- Sheikh Abu Muhammad Rohimuddin Nawawi

Monday, May 3, 2010

Ini Episod Hidup Mereka









Ummi

Bismillahirrahmanirrahim..

Saat ini, jendela minda terkuak perlahan. Ummi. Wajah di jendela minda. Ummi. Semangat Ummi! Peribadi Ummi!
..::Ummi::..
Nokhtah.





Sunday, May 2, 2010

NATIJAH iringannya JUANG

Bismillahirrahmanirrahim..


Bahang kehangatan peperiksaan kian terasa buat seluruh warga mahasiswa di Perlembahan Nil. Masing-masing sudah bersedia dengan pecutan yang bakal menuju destinasi kemuncak, GERBANG PEPERIKSAAN. Namun, dalam kesibukan dan kekalutan, saya dihambat rasa terharu.


Menerima panggilan daripada teman seusai kuliah petang semalam benar-benar menggamit rasa syukur dan sebak. Rupanya dalam klimaks masa yang meruncing masih ada insan yang mendamba dan tidak lupa akan santapan untuk kalbunya demi mengejar sesuatu yang jauh lebih berharga daripada kecemerlangan natijah peperiksaan. Ya, santapan jiwa, mencari PENCIPTA.


“Ukhti, adik-adik mahu bertemu petang ini, dalam pukul 3 petang. Mahu bergabung dengan adik-adik smart circle (SC) enti katanya.” Tenang sahabat dihujung talian memberi perkhabaran.


Pendek kalam, walaupun lewat sejam daripada masa yang dirancang, teratak kekanda saya jadi sasaran. Wajah-wajah ceria memenuhi circle di ruang tamu dan kali ini saya tidak berseorangan, teman saya, KENTAL dan kekanda saya ada bersama. Semangatnya lain. Rona-rona di langit juga lain. Seolah-olah turut sama turun ke tanah bumi menyaksikan mata-mata dan hati-hati ini bertamu. Secebis perbincangan kami bersama:


NATIJAH iringannya JUANG.

“Begins from the end of mind”. Ya, itu permulaannya dan iringannya adalah juang. Sebagai manusia biasa, formula merealisasikan impian adalah usaha. Merentasi sejarah silam sudah cukup menampung seribu bukti bahawa usaha adalah satu kewajipan hatta para anbiya walaupun sudah dijanjikan Allah SWT dengan kemenangan atau kebenaran, tetapi Allah SWT tetap meletakkan suatu ketetapan bahawa setiap pembawa risalahNYa tetap perlu berusaha.


“dan sekiranya Kami kehendaki nescaya Kami hapuskan sahaja daya penglihatan pada mata mereka. Sekiranya Kami berbuat demikian nescaya mereka akan terus teraba-raba mencari jalan keluar, maka bagaimanakah agaknya mereka akan dapat melihat semula? Dan sekiranya Kami kehendaki, kami juga akan menjadikan mereka kaku di tempat mereka, lantas mereka tidak dapat maju ke hadapan atau mundur ke belakang.” (Yaasin:66-67)


Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT berkuasa untuk mematahkan sahaja segala rencana musuh dalam membantu para rasul mencapai kemenangan dengan mudah. Allah SWT juga boleh mengizinkan para rasul menggunakan mukjizat yang dikurniakan untuk melemahkan musuh. Namun, sesungguhnya di sebalik ketetapan ini terselit mesej yang cukup padat daripada Allah SWT kepada para rasul dan umat manusia bahawa kejayaan yang dicapai dengan cara demikian bukanlah dikatakan hasil perjuangan yang dituntut Allah SWT.


Sebaliknya, erti kemenangan sebenar adalah apabila adanya usaha dan pengorbanan dalam mencapai natijah yang disasarkan. Biarlah natijahnya kadangkala tersasar daripada yang diimpikan, namun perkara utama adalah setiap usaha ke arah menuju impian itu ada nilai yang tersendiri daripada Allah SWT.


Jaminan Allah SWT bukti Kasih Sayang

Suatu yang lebih berharga adalah apabila jaminan Allah SWT mengiringi langkah juang kita. Bukankah Allah SWT ada menyebut:


“oleh itu Kami jadikan musuh yang menentang setiap nabi itu terdiri daripada manusia dan jin yang saling membantu menggodanya. Tetapi yakinlah bahawa sekiranya Tuhanmu mahu terus menjagamu, nescaya mereka tidak mampu melakukan sesuatu terhadapmu. Oleh itu biarlah mereka melakukan apa yang mereka mahu.” (Al-An’am:112)


Jaminan Allah SWT inilah sepatutnya menjadi peniup semangat kita untuk terus berusaha dalam hidup. Inspirasi daripada rentetan perjuangan para rasul seharusnya mengalir dalam seluruh saraf tubuh-tubuh yang mahu berjuang.


Juang itu perlukan kesungguhan

‘melepas batuk di tepi tangga’. Indah kiasan orang lama mengingatkan. Berusaha biar sehabis daya. Jangan sekadar culas-culas dan bersambil lewa. Lagi indah nasihat daripada kalam suci mengingatkan:


“dan berjihadlah bersungguh-sungguh demi untuk memelihara agama Allah”

(Al-hajj:78)


Lihatlah, betapa teliti Allah SWT menyusun kalamNya untuk tatapan umat manusia. Hatta perkara sekecil ini diingatkan. Ingat, kejayaan perlukan usaha dan usaha itu perlukan kesungguhan!


Imam Abu Hanifah r.a berkata:

“ Sesungguhnya aku mendapat ilmu dengan kesungguhan, pujian (pada Allah SWT) dan bersyukur kepadaNya. Setiap kali aku memahami dan mendapat taufiq sesuatu ilmu atau kalimat, aku menyatakan: Alhamdulillah ta’ala, maka bertambahlah ilmuku.”

Subhanallah..


Juang itu ada Strategi

Pasti kelam kabut keadaan jalanraya yang bersimpang siur dan sibuk jika tiada polis keselamatan atau lampu isyarat yang mengawalnya. Begitulah juga, usaha dan kerja yang tiada strategi dan sistem yang menyusun atur perjalanannya. Mahu tidak mahu, strategi perlu dirancang dengan teliti agar segala perancangan dapat dilaksanakan dan akhirnya membuahkan natijah yang diidam-idamkan. Insyallah. Orang kulit putih di seberang sana juga percaya bahawa matlamat perlukan startegi!


“we must look for ways to be an active force in our lives. We must take charge of our own destinies, design a life of substance, and truly begin to live our dreams.”

-Les Brown


Kita yang bergelar muslim bagaimana?


Perjuangan jangan ditangguhkan!

Rasa tertarik mahu berkongsi firman Allah SWT ini:


“dan (hendaklah diingatkan bahawa) bahawa mereka yang Kami panjangkan umur, Kami boleh menjadikannya nyanyuk. Oleh itu mereka mestilah berwaspada.”

(Yaasin:68)


Peringatan yang baik untuk si penangguh masa dan yang bersantai-santai melakukan ibadah. Ya, benar kita punya masa. Tapi, tiada jaminan masa yang ada menjanjikan sesuatu yang berharga. Bukankah begitu? Oleh itu, perjuangan juga menuntut kita membuang segala tabiat menangguh. Formulanya mudah, selagi punya masa, punya kudrat, punya kemampuan dan punya segala kelebihan segerakan tindakan!


Kita mahukan natijah yang luar biasa, maka perjuangannya juga menuntut sesuatu yang luar biasa. Ayuh, terus berusaha. Tiada nokhtah pada erti perjuangan. Teruslah bermohon pada Allah SWT agar berterusan menerima hidayah dan kekuatan daripadaNya.


Sejenak bersama:

Subhanallah. Sesekali duduk bertadabur bersama ayat-ayat suciNya dan membandingkan dengan sulaman rutin harian hidup memang membuahkan kemanisan yang tiada taranya. Akhir pertemuan SC hari itu, daripada semua kesimpulan adik-adik SC saya, maka dapat saya menyimpulkan:


“jangan berangan kalau tiada perjuangan!”

*nota kaki:
1)Smart Circle
(SC) dikenali sebagai kumpulan usrah di Malaysia. Smart Circle bagi mahasiswa Pengajian Sains Hayat di Perlembahan Nil dikendalikan sepenuhnya oleh PERUBATAN, wadah rasmi mahasiswa Sains Hayat di Mesir.
2)Semoga dikuatkan Allah SWT untuk kita menghadapi imtihan kali ini, insyaallah.
3)Sebetulnya, ini entry tertangguh saya. Jadi, jangan bertangguh lagi!!!

Rujukan:
-Tafsir Surah Yaasin dari Perspektif Sains dan Sejarah- Zawawi Haji Ahmad
-Al-Qiyadah Mua'thirah-Jamal Madhi
-Put Your Dream To The Test-John C. Maxwell