Tuesday, August 31, 2010

Merentasi Aplikasi Konsep Kemerdekaan dan Etika Kerja Dalam Pengurusan Organisasi (siri 2)

Memahami Konsep Etika Kerja

Etika kerja pada tafsiran moden barat hanyalah bersendikan nilai-nilai kemanusian semata. Pengertian etika kerja itu juga diletakkan sebagai disiplin atau tatatertib bekerja berdasarkan nilai manusiawi. Persoalan etika kerja yang dimaksudkan juga hanyalah sekitar soal prinsip etika, moral serta permasalahan di sekitar dunia pekerjaan.

Namun, dari kacamata Islam, etika adalah sistem nilai dan akhlak yang berpaksikan sifat taqwa yang tiada sempadan masa dan tempat. Inilah antara titik perbezaan antara etika barat dan etika kerja dalam Islam. Etika barat yang bersifat sekular yang menolak kebergantungan kepada tuhan dalam aspek-aspek pekerjaan dilihat sebagai satu sistem yang hanya berjaya memenjara jiwa manusia untuk menjaga sebahagian nilai-nilai manusiawi dan terhad kepada masa dan ketika tertentu sahaja. Hakikatnya, sistem ini gagal menjadi sistem etika yang sempurna kerana pelaksanaan sistem ini bukanlah atas dorongan dalaman diri manusia sebaliknya hanya semata-mata kerana kepatuhan kepada peraturan kerja yang ditetapkan. Sesungguhnya, konsep ini hanya mementingkan kualiti hasil kerja berbanding keutamaan membina keunggulan peribadi manusia.

Hal ini berbeza dengan etika kerja dalam Islam yang dasarnya dipaksikan kepada pembinaan sahsiah dan jati diri muslim. Motivasi yang bersifat dalaman yang hadir dengan kerelaan menjadikan muslim itu mematuhi etika kerja bukan disebabkan oleh peraturan nilai manusia tetapi disebabkan atas kesedaran hubungannya dengan tuhan dan penilaian tuhan terhadap setiap amalan yang dilakukannya. Paradigma inilah yang membentuk peribadi yang mampu memimpin dan dipimpin secara telus dan saksama.

Introspeksi Generasi dan Organisasi Merdeka

Rata-rata gejala korupsi yang berlaku dalam sesebuah pentadbiran organisasi dilihat sebagai satu kegagalan kepada sistem pembentukan peribadi individu dalam organisasi itu sendiri. Dalam erti kata yang lain, berlakunya korupsi adalah disebabkan berlakunya pencabulan dan pelanggaran etika kerja. Hal ini menyebabkan, pentadbiran ditadbir dengan sewenang-wenangnya mengikut kepentingan tertentu sekaligus mengabaikan tujuan asal kemudi sebuah pentadbiran.

Melalui penelitian umum, pihak barat sendiri mengambil pelbagai pendekatan untuk mengatasi korupsi dalam sesebuah institusi. Sebagai contoh, Doig & Riley (1998) membataskan soal korupsi dan etika dengan mengetengahkan konsep pemulihan dalaman insan. Walaubagaimanapun, pembawakan konsep “enhancing profesionalism, independence and technical skill” masih dilihat sebagai bersifat teknikal dan tidak menekankan soal dalaman manusia secara keseluruhan. Di sini, terbongkar satu lagi kelemahan konsep ini apabila berlaku kongkangan jiwa manusia walaupun pada dasarnya konsep ini adalah salah satu cubaan untuk memerdekakan institusi dan organisasi daripada gejala korupsi.

Walaupun begitu, masih terdapat segolongan yang mengambil pendekatan spiritual sebagai jalan penyelesaian kepada barah korupsi ini. LW Fry (2005) misalnya menzahirkan kepercayaannya bahawa persoalan spiritual adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh organisasi.

Hakikatnya, apabila kembali menghalusi pensyariatan agama Islam terhadap nilai kepimpinan maka telah ditemui jalan keluar yang paling efektif. Mengekstrak sedutan episod perintah Allah SWT dalam al-Quran yang berbunyi:

dan Kami menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi penunjuk dengan perintah kami dan Kami wahyukan kepada mereka agar berbuat kebaikan, melaksanakan solat dan menunaikan zakat dan hanya kepada Kami mereka menyembah.” 21:73

Inilah etika yang harus dijadikan panduan bagi seluruh anggota organisasi. Nyata di sini, sedari awal lagi Islam mementingkan persoalan qudwah dan uswah hasanah pemimpin sebagai jaminan keberjayaan sesebuah organisasi. Jiwa-jiwa pemimpin yang merdeka daripada segala nanah-nanah sifat mazmumah pastinya bakal mencorakkan generasi rakyat mewarisi sifat-sifat kemuliaan insan. Hal ini lantas mewujudkan suasana harmoni dalam organisasi meskipun dilanda ombak fitnah dan ujian dalam rencah kehidupan bermasyarakat.

Generasi pimpinan dan rakyat yang merdeka tidak tertakluk pada kebebasan mereka mencorak suasana organisasi untuk menuntut hak-hak tertentu semata-mata. Tetapi, kehidupan berkomuniti ini seharusnya dilihat sebagai satu peluang untuk melakukan pembaikan kepada tamadun manusia tanpa mengorbankan nilai-nilai dan adab sesama manusia. Hasilnya, lahirlah organisasi yang merdeka daripada penyakit-penyakit sosial masyarakat di samping menyuntik potensi-potensi yang mampu menjaga kemaslahatan seluruh anggota masyarakat.

Bersambung..

No comments: