"Dalam Quran pun dikatakan “tajri min tahtihal anhar”, mengalir di bawahnya sungai-sungai.Walaupun tidak ada apa-apa, air mesti ada di situ. Banyak ahli arkitek Islam moden sekarang memikirkan bahawa yang dikatakan functional itu mesti ada guna. Jadi dia bertanya, fountain ini untuk apa? Untuk diminumkah? Dia tidak sedar bahawa guna itu tidak bererti mesti boleh diminum atau digunakan untuk air sembahyang. Kalau seseorang yang memandangnya mendapat rasa senang pun, sudah ada gunanya. Jadi kalau ada bunga-bunga pun, itu pun fungsional. Lihatlah rumah orang Melayu di kampung, mesti ada bunga. Kalaupun tidak ada bunga lain, ada bunga kertas. Kalaupun tidak harum, warnanya ada. Pokok pisang pula ditanam di belakang rumah. Bunga-bunga ditanam di depan. Tetapi sekarang banyak orang menanam pokok pisang di depan. Pokok kelapa pun ditanam di depan rumah. Itu tak betul."
(Syed Naquib Al-Attas)
Salam Bertamu..
Sekian lama saya mencari dan menggeladah segala sumber. Mencari dan tercari. Alhmadulillah, hari ini saya bertemu. Terima kasih blogger saudara Rausyan yang menghadiahkan entrinya untuk tatapan insan kangan seperti saya. Ya, kangan mahu pulang ke tanah air.
Berbalik pada sasaran utama saya. Sebetulnya, telah lama saya mencari dan mengkaji tentang ISTAC. Teruja saya apabila ayahanda mengunjuri saya buku setebal 200 muka surat tika saya usia mentah dahulu. Teruju melihat hasil tangan Syed Naquib yang begitu halus dan seni. Kalau dahulu, teruja saya hanya keterujaan yang hampa dan tidak tinggi mana maknanya. Tapi, hari ini baru saya benar-benar merasakan tahapan keterujaan saya ada nilainya. Lama benar akal saya mengambil masa untuk mencerna. Seingat saya hampir sepuluh tahun lalu saya melihat koleksi buku-buku dan makalah himpunan ayahanda di perpustakaan di teratak permai tanah air. Baik juga ayahanda memberi laluan awal untuk saya teroka. Sekurang-kurangnya tidak saya buta dan kabur mencari dan memahami catatan zaman ini.
Cuba kalian perhati baik-baik kalam Syed Naquib yang saya rentaskan tadi. Nilaian yang begitu halus dan teliti untuk binaan sebuah teratak kediaman. Mungkin hari ini anda berbumbungkan mozek berhawakan pendingin hawa membuatkan anda merasa sudah cukup selesa dan berbangga dengan teratak anda. Tapi, berapa ramai hari ini, lupa bahawa kediaman tempat kita berteduh itu sendiri punya falsafah yang istimewa.
Pembinaan ISTAC merupakan antara idea halus dan cukup seni perhatian dan pembikinannya. Saya berani memberi jaminan bahawa tangan Syed Naquib dan otak sebesar penumbuknya itu benar-benar memahami dan cuba menzahirkan sebuah nilaian yang di mana letakknya erti syariat dan kemanusiaan. Jalinan yang hidup. Alam dan manusia. Hamba dan pencipta. Bukan taasub. Namun, di sini saya cuba membawakan betapa manusia hari ini terutamanya kita yang bergelar muslim semakin jauh dari hakikat penciptaan. Tiada penghayatan ruh agama dalam setiap nadi kehidupan.
Kalau di congak-congak dan di gali-gali, tentu nampak begitu rumit dan halus benar hasil binaan para pendahulu zaman. Zaman kegemilangan Melayu contoh yang begitu mudah untuk diperhatikan. Tiang serinya, anjungnya, ruang istirehatnya dan segenap pelusuk kawasan teratak itu ada keistimewaannya. Maksudnya terperinci. Kalau dahulu, teratak kediaman itulah syurga. Tempat yang paling selamat dan selesa. Ruang-ruang di rumah itu, jadi sandaran menghasilkan buah fikiran. Menjadi tempat memburai permasalahan dan kekusutan. Lapangan di rumahlah yang membunga kasih dan cinta sesama keluarga, penghubung yang terputus, pengakrab yang jauh dan dekat. Di sana semua yang kelat menjadi manis. Di sana, kehalusan budi dan kesaksian agama menjadi tunjang yang mengikat semua ahlinya. Pokoknya, teratak itulah medan didikan jiwa dan fizikal yang benar-benar mempengaruhi segenap kehidupan.
Hakikatnya, nilaian inilah yang semakin jauh dipinggirkan oleh masyarakat madani hari ini. Cukuplah sekadar, kita menghitung kembali. Andai dahulu teratak kediaman adalah tempat terbaik untuk seluruh ahli keluarga dibentuk dan dididik, bagaimana pula kita kini. Hari ini, kita menyaksikan tiang seri keluarga muslim kian hari kian tergugah. Masjid-masjid banyak yang dibina, malangnya lebih banyak yang retak di pertengahan jalan. Anak-anak membesar dalam suasana yang begitu terancam. Ibu bapa memandang enteng didikan di rumah. Barah umat perlu rawatan segera. Kembalikan kesucian binaan teratak kediaman anda. Bukan sekadar pada falsafah fizikal binaannya, tapi hakikat ruh agama perlu ditiup sama. ADDEEN. Cara hidup yang cukup sempurna. Wallahu3alam.
Catatan berkaitan:
http://tintaqubnani.blogspot.com/2010/01/istac.html
http://rausyanfikir.com/2010/05/letakkan-masing-masing-pada-tempatnya.html
1 comment:
haha assalmualaikum.
pisang pun hebat apa. betapa peliknya pisang itu. ia membiak melalui keratan rentas tetapi masih menghasilkan "buah". buah itu pun bukan sukar untuk dinikmati, tidak seperti nanas yang berduri atau madu yang diharungi lebah. kalaulah memang evolusi itu seperti enau. berlumba menjadi organisma terhebat, macam manalah pisang itu senang2 bagi kita makan.
aduh, sekarang terasa lapar XP
Post a Comment