Assalamualaikum w.b.t
Hai mata yang bisu, hai tangan yang kelu, apa khabar kamu?
Tidak salah bukan ku bertanya khabarmu?
Kerana aku mahu kamu tahu,
biar kamu tidak punya kudrat sehebat lidah yang mencanang ke hilir ke hulu,
tapi kamu masih punya kudrat yang tersendiri untuk menabur bakti walau sesudu.
Ku harap infiniti horizon capaianmu tidak menceroboh ruang-ruang larangan Tuhan.
Ku harap juga kamu tidak lupa akan sahammu
menjaga panji maruah sang manusia.
Hai hati yang terlindung, kamu pula bagaimana?
Masih cantikkah kerudung yang menabir kamu dari coret-coreng al-wahn?
Aku percaya saban hari semakin hebat ribut ombak
datang meruntun kerudung itu.
Aku hanya mampu bicara sama Tuhan:
Hai Tuhan, kerudung pada hati itu kian tipis,
penyakit dunia makin mesra dengannya,
penawar al-qiyamah makin jauh menyisih daripadanya,
kau turunkanlah tenteramu sebagai benteng,
Kau lampirkanlah kesaksamaan sang iman untuk memandu bantera hati itu.
Hai kamu sang pancaindera berenam,
Ku harap kau tahu kau bukanlah hak milik hakiki,
Tapi ku mahu kau mengerti kau adalah kurniaan,
Di situ ada erti Rahmah Tuhan,
Di situ ruang agar kau bukan lari dari landasan fitrah bertuan,
Tapi agar kau menginsafi maknanya kepatuhan,
jauh dari penderhakaan,
Peringatan buat kamu juga,
berenam atau tempang terkorban atau gugur berkorban,
Kau tetap
Ada tujuan, ada pengakhiran, ada pembalasan, ada ganjaran.
Jadi,
Apa khabar kamu?
No comments:
Post a Comment