Tuesday, April 20, 2010

'Iqob: Dari Diri Untuk Diri

Bismillahirrahmanirrahim..


“Ukhti, kenapa berjalan kaki hari ni ke kuliah? Bukan ke selalunya ukhti naik bas. Sedang dalam tempoh nak turunkan berat badan ke?” Mas berseloroh.


Hidayah cuma tersenyum diam. Tapi semacam ada kelat dalam senyumannya. “Ukhti, ada masalah ke? Takkan dengan ana pun ukhti nak berselindung. Tak silap ana memang minggu ni terus-terusan ana nampak enti berjalan pergi balik ke kuliah” Mas masih cuba mencungkil.


Memang dia dan Hidayah bukan orang lain. Dah hampir 10 tahun sebantal setalam,tidur makan.

“Betul enti nak tahu?” Hidayah memberi reaksi. Mas mengangguk.


“Ana dalam tempoh ‘iqob.” Mas terkedu. “Iqob? Siapa yang ‘iqob enti?” Hidayah diam lagi.

“Ana sendiri. Untuk kesalahan berat yang ana buat. Tapi, tak perlu rasanya enti tahu kesalahan apa.” Hidayah senyum. Kali ini senyumannya ada erti. Mas tidak lagi bertanya. Dia ana khulasohnya tersendiri. Dan dia pasti sahabat yang cukup dihormatinya itu, ada mesej yang mahu dia selami.

*******************************

Sketsa ringkas tadi mengheret saya untuk membuka kembali catatan lama dalam gumpalan benak ini. Ya, ‘iqob. Mungkin ada yang sudah biasa mendengarnya. Tapi, untuk yang baru kali pertama, ‘iqob dalam bahasa ibunda hukuman atau denda ertinya. Dalam ejaan bahasa arabnya ‘ain’ , ‘khof’, dan ba’. Tidak pelik jika seseorang yang melakukan kesalahan menerima hukuman. Memang wajar. Tapi kali ini, mesej saya berbeda. Mungkin kebiasaannya, hukuman diberi dan diterima oleh dua pihak yang berbeza. Kali ini, hukuman daripada diri untuk diri.


Sekadar cuba mengajak kita renung seketika. Alangkah baiknya jika setiap kesalahan yang dilakukan, apabila kita menyedarinya, kita lekas berazam dan bertindak membaiki dan menjauhi diri daripada mengulang kesalahan tersebut buat kali kedua. Cuma perkaitan kisah di atas adalah mengenakan ‘iqob ke atas diri sendiri adalah satu motivasi dan sebagai langkah untuk mengingatkan diri agar lagi tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan. Kita boleh mengambil iktibar bagaimana telitinya insan-insan soleh dalam menjaga setiap sudut amalan mereka. Termasuklah mengenakan hukuman pada diri sendiri atas setiap kecuaian atau kesalahan dalam amalan. Hal ini menunjukkan betapa mereka berwaspada dan tertib dalam ibadah kepada Allah SWT.


Pada peringkat awal, mungkin perkara ini suatu yang ganjil dan sulit untuk dilaksanakan. Tapi, percayalah ‘iqob adalah langkah yang berkesan buat mereka yang benar-benar mahu mendisiplinkan diri mereka dalam amalan-amalan atau sebarang perkara yang kebiasaan menjadi prinsip hidup.





Saya beri contoh mudah. Kalau kebiasaannya solat malam (qiamullail) menjadi amalan, tetapi suatu hari kita meninggalkan solat malam gara-gara kelalaian kita dalam pengurusan masa tidur. Maka, cuba kita kenakan sedikit hukuman pada diri sendiri dengan selawat 100 kali misalnya. Untuk peringkat permulaan,tidak perlu kenakan hukuman yang terlalu berat. Jangan sehingga membebankan dan menjejaskan amalan lain pula. Cukup sekadar peringatan pada diri agar lebih berhati-hati dalam menjaga amalan.


Selari dengan ‘iqob. Jangan pula anda pinggirkan kelebihan dan kecemerlangan yang telah dicapai oleh diri sendiri. Jadi, di sini dianjurkan konsep meraikan dan memberi penghargaan serta pujian pada diri sendiri apabila berjaya melakukan sesuatu perkara dengan cemerlang. Sebagai contoh, anda mensasarkan untuk mengulangkaji pelajaran selama 10 jam sehari. Maka, setiap kali berjaya melakukannya berilah ganjaran pada diri sendiri. Menjamu selera di restoran yang lazat misalnya atau sebarang perkara yang difikirkan relevan untuk memberi penghargaan pada diri. Tapi, berpada-pada dalam setiap perkara. Bersederhana adalah jalan terbaik.


Sesungguhnya ‘iqob dan ganjaran hanyalah satu anjuran untuk meningkatkan motivasi dan disiplin dalam diri. Bukankah ketika kecil usia setahun jagung ibu bapa dan guru begitu juga mendidik kita? Memberi ganjaran ketika membuat kebaikan dan menghukum ketika melakukan kesalahan. Selain itu, ‘iqob dan ganjaran mampu membuatkan kita lebih berwaspada menjaga perkara-perkara wajib bahkan menjadikan kita lebih terdorong untuk melakukana amalan sunat.


Apabila dewasa, kadang-kadang kita lupa. Bermula didikan yang kelihatan kecil dan remeh itulah yang menjadikan seperti kita sekarang. Tidak salah bukan andai kita mengulang semula sebagaimana ibu bapa dan guru telah lakukan untuk kita. Bukankah lebih bermakna jika kita menjadi lebih celik mata hati bahawa dengan setiap tindakan dan amalan kita itu ada nilaian di sisiNya.


Tidak berat mana hukuman yang dilalui di dunia. Jika dibandingkan dengan azab dan hukuman yang bakal menanti di hari pengadilan kelak untuk setiap dosa yang kita lakukan, nauzubillah. Betapa besar dan nikmat juga ganjaran yang bakal kita peroleh di kediaman abadi di syurga sana, andai amalan baik kita diterima Allah SWT. Subhanallah.


Sekadar renungan sebelum menangguhkan catatan:


dan sesungguhnya (pertolongan) Allah SWT adalah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya

(Al-‘ankabut:26:69)


Wallahu3alam..

No comments: