Tuesday, November 23, 2010

Membilang Jari Yang Tinggal



Sepertiga malam menjemput lagi. Hening malam tiada seli suara-suara sang unggas. mengatur langkah di balik tabir malam. Hanya mengharapkan lindungan Tuhan. berkali-kali hati berzikir melantunkan Al-'alaq. Memohon perlindungan dari sebaik-baik pelindung.

medan sekeliling ternyata, hanya runtuhan bangunan ya
ng ranap menyembah bumi. kerikil-kerikil tajam sesekali menyapa tumit kaki.

Di balik timbunan-timbunan itu, bagaikan ada sesuatu yan
g menarik untuk diterokai. Berhati-hati langkah diorak. Sesosok Tubuh kecil sedang menyendiri di situ. Kelihatannya jauh merenung sesuatu.Entah Hilang ke mana segala ragu, lantas tangan menyentuh, kalam menyapa. "Wahai kamu si anak kecil, apa yang kau lakukan sendirian di balik runtuhan ini?"

Si anak kecil mulus itu lantas menoleh, "aku sedang membilang jariku yang tinggal. Aku menghitung berapa hari lagi yang mampu aku aku berjuang. Sejak dua hari lepas, jemari kaki dan tanganku kian berkurang. Aku mahu terus berjuang. Aku menghitung sebanyak-banyak kudrat yang mampu aku gunakan untuk pertahankan segala milik kami di sini. Di balik runtuhan itu ada saudara maraku. Malah kedua ibu bapaku. Biar nanti aku ada jawapan untuk tuhan atas apa yang telah DiA berikan."


Terpana sebentar. Melabuhkan duduk di sisi, bicara bersambung. "wahai anak kecil, ayuh ku bawakan kamu ke tempat yang lebih baik buatmu."

Anak kecil itu lantas menggeleng.

"wahai kakakku yang mulia, sesungguhnya aku bahagia di duniaku ini. Sesungguhnya aqidah dan maruah kami terus teguh di celahan runtuhan bangunan-bangunan yang menyembah bumi. Sesungguhnya, aku lebih bahagia untuk menjawab persoalan tuhan ke atasku untuk segala yang aku dan kaum kerabatku hadapi di sini. Pulanglah kamu ke tempat asalmu. Sesungguhnya, teman kamu di sana lebih derita dari kami. Mereka lebih memerlukan kamu berbanding kami di sini. Aqidah dan maruah mereka telah sama sekali ranap malah lebih jauh ranap ke dalam bumi di celah-celah kemajuan dan ketinggian bangunan-bangunan kamu yang mencakar langit."



Khali. Tiada lagi kalam mahu diluncurkan. Tanpa disedari, tubir mata sudah berkaca. Anak kecil itu sudah mengatur langkah tempang jauh meninggalkan hening malam itu. Hilang di balik celahan bangunan meninggalkan aku sendirian.

"Ya Ayyuhal Muzammil. Qumillailla illa qalila!" Garau suara entah dari mana menyedarkan aku.

Hijab malam terangkat. Terkebil-tebil mencari arah. Hilang segala runtuhan bangunan. Tiada pasir-pasir debu dan kerikil tajam. Yang ada hanyalah ruang 4 segi dan malam yang gelita. Lantas kalam dari jiwa bersuara:

"Wahai kamu anak kecil, besar sungguh cita-citamu. Perkasa sungguh cita-citamu. Ya, aku yang perlu pulang. Tanah airmu sudah terbela dengan semangat juang dan kobar aqidah insan-insan seperti kamu. Tanah airku bagaimana?"

Anak Kecil, Engkau membilang jari yang tinggal untuk meneruskan perjuanganmu. Tapi aku, yang masih punya segala kenikmatan, Pernahkah dihitung bagaimana dan ke mana ku perjuangkan?Astaghfirullah. Ya Allah, apakah ini inzar darimu atas segala amanah yang diabaikan?

Wallahualam

No comments: