Monday, July 25, 2011
Nah!
Sunday, October 24, 2010
Kura-Kura Manusia


Friday, September 10, 2010
Gema Lembayung Syawal
Sunday, September 5, 2010
Demi Perkasa
Saturday, July 3, 2010
Andai Masih Berbaki..
Friday, June 4, 2010
Jaddi, Jaddi
- sesuai untuk kalian yang mahu perkasakan juga penguasaan Bahasa Syurga ! Lebih enak daripada menonton hidangan dari Tanah Besar mahupun si sepet dan si hidung tinggi di Tanah Gelap itu! kasihan mata dan jiwa halus kamu yang derita itu. Parabola di Lembah Nil itu kurang enak untuk yang kurang berhati-hati menjaga hak seorang HAMBA.
- Jaddi alih bahasanya ialah datukku dalam bahasa Syurga!
Thursday, May 20, 2010
Keratan Rentas
Wednesday, March 3, 2010
Tahu Itu Apa?
Terbias pada lembaran kenangan. Hening malam bersama ayahanda. Pulang dari destinasi infiniti menuju ke desa menanti. Melewati masjid tua usang yang kian dimamah usia. Serasa sepi hati melihat kelibat-kelibat si bongkok tua, si tua renta di anjung masjid. Menadah kitab kuning bersama sang guru. Sang Guru, si tua juga. Muridnya hanya bilangan jari sahaja. Mengapa hati sepi, sedang itulah sebaik amalan juga. Mata kecil ini lagi sepi melihat kelibat si muda perkasa, si belia sasa meruntun di birai-birai sunyi jalan di penghujung desa. Ya, sebetulnya di hadapan masjid juga. Ayahanda bagai mengerti. "Tahu itu apa?"
Pandangan jadi mati. Kalam jadi khali. Ya Allah, apa jawapan mahu diberi. Sedang pengamatanku amat kerdil sekali. Dunia yang ku impi bukan di sini. Tapi inilah realiti. "Itulah dia, mereka yang tiada hati" jawapan ayahanda merentap hati. Ya aku juga belia. Aku juga si muda. Masih sempit akal. Masih senteng budi. Malu pada si tua itu. Malu pada si bongkok itu. Usianya di mamah, tapi imannnya bertambah. Matanya kabur tapi ilmunya subur. Dia tua renta tapi bakti pada agamanya terkota. Ya Allah, kudrat ini kurniaannya. Mengapa dikhianati sesuka rasa. Wahai mata, bukalah seluasnya. Wahai minda tinggikanlah puncaknya. Wahai hati kuatkan juangnya.
Kalam ayahanda itu, ku kira ada sindirnya. Ada hemahnya. Tersadai harapan bersama. "Bila dewasa biar kamu punya cita." Lembut memandu sang anak. Ya, saya sudah tahu itu apa. CITA! Impian perlu dicipta. Agar ukiran di awangan tidak menyisir hilang tanpa panduan. Tapi menjadi realiti yang tertacap pada lembaran catatan di negeri abadi. Dan kamu bagaimana?
pantun 3 kerat adinda kecil:
bangun pagi-pagi,
pandang tinggi-tinggi,
sebab cita-cita memang tinggi!
"kemuliaan itu kepunyaaan Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman..."
(Al-Munafiqun: 8)
*****Wallahu'alam*****
Kata seorang teman, saya menunggu kamu.
Jawapan saya untuk kamu: Maaf, saya tidak tahu apa yang kamu tunggu.
Friday, February 5, 2010
Saiyyidul Ayyam Mengingatkan..
Saiyyidul Ayyam Mengingatkan..
Detik ini 21 Safar 1431, sudah hampir separuh bulan Safar ditinggalkan bererti juga sudah hampir 2 dekad juga umur ini berlari. Berlari meninggalkan gerbang 16 Safar yang lalu. Detik yang sama 16 Safar 1411, mata dan jiwa kerdil ini mula mengenal dunia. Saat ini juga merakamkan keperitan bonda, keresahan ayahanda menanti sang puteri lahir ke dunia. Wahai ayahanda wahai bonda, hari ini anakandamu sudah remaja dewasa. Sudah jauh meninggalkan saat melata di sisi mata. Walau kini tidak bertamu mata menatap rupa, tapi bayangan ruh dan semangat tidak gugah walau seketika. Terima kasih yang tiada terhingga atas perit jerih kalian menatang permata ini. Moga redhaNya menaungi kalian dan kaum keluarga ini.
Saiyidul ayyam benar-benar mengubat jiwa. Sayu mendengar kalam-kalam Al-fadhilatul Syeikh Yusri Rushdi Hafizahullah menyusup meresap lembut ke dalam atma. Rahmat allah itu luas. Rahmat Allah itu luas. Allahuakbar! Alhamdulillah! Berulang kali Al-fadhilatul Syeikh menyebutnya. Bagai mengerti jiwa-jiwa muridnya. Moga Allah SWT terus menerus merahmati Al-fadhilatul sheikh dah keturunannya.
Saiyyidul Ayyam mengingatkan lagi...
Betapa kita selalu lupa. Betapa kita selalu alpa. Bahawa Rahmat Allah SWT itu luas tidak terhingga. Mengapa perlu ada putus asa jika jiwa meyakini bahawa bantuan Allah tidak pernah padam bahkan sentiasa mengunjungi kita. Hanya yang menentukannya adalah sejauh mana pengharapan kita. Hidup bukan mengejar ganjaran pahala semata. Namun hakikat sebenar adalah mendamba redha Allah SWT dalam setiap detik denyutan nadi. Wahai diri yang bakal meninggalkan pesona dunia, perlu kau sedari, perit memikul beban khalifah di muka bumi Allah SWT itu ada galang gantinya. Redha Allah SWT itu adalah kemanisan yang tiada taranya.
Saiyyidul Ayyam berbahasa lagi...
Seawal pagi memenuhi undangan. Sebuah lagi masjid terbina. Mabruk 'alaik untuk kalian. Moga bahtera hidup dilayari dengan tenang seadanya. Allah SWT bersama kalian. Moga kelak beduk-beduk perjuangan terus menerus berpalu dengan hadirnya dua tiang seri yang teguh dipasak dengan ikatan suci ini. Barakallahulakuma wa baraka 'alaikkuma wa jama'a bainakuma fi khoir..Ingatlah wahai empunya nyawa, ikatan ini demi memburu redhaNya. Janganlah dilekakan dengan nikmat dunia yang penuh tipu daya. Binalah sehebat-hebat kekuatan. Biar bisa menjadi sehebat-hebat perjalanan di muka bumi tuhan.
Ya Allah, kuatkan jiwa-jiwa yang ingin mencariMu. Jangan dilemparkan ujian yang tidak mampu ditanggunginya. Naungi dengan redhaMu sepanjang masa. Amin Ya Rabbal 'alamin..
Sunday, December 27, 2009
La yadkhulul Jannah Baakhilun!!!
Bukan niat di hati mencoret panjang kali ini. Sekadar teringat kisah adinda saya yang nun jauh di pisahkan oleh lautan.
Mari saya kongsikan cebisan celoteh adinda bongsu saya si Aliah Hana. satu hari adinda saya Arwa, pulang dari asramanya bercuti di teratak kami. Pada kebiasaannya kepulangan kami kakak-kakak daripada asrama sememangnya ditunggu-tunggu oleh adinda-adinda kecil comel ini. kenapa ya? BUAH TANGAN!! memang itu yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak rebina ni. Nak dijadikan cerita, kali ni adinda Arwa membeli satu bar coklat. Apalagi, menyeranglah angkatan kanak-kanak rebina ni. Nak tahu ape adinda bongsu saya lakukan?
hana : "la yadkhulul jannah bakhilun!!"(tidak masuk syurga orang yang kedekut)
arwa : tercengang dan terkebil-kebil macam ayam berak kapur lantas menghulurkan bar coklat pada hana. Hana tersenyum riang!
Mana tidak terkesima adinda saya dan semua yang ada, hana yang ketika itu baharu berusia lima tahun sudah pandai melantunkan sepotong hadis dengan begitu fasih. Namun, bagi saya begitu itu tarikan utama disebalik cebisan keletah adinda saya yang seorang ini. Saya ingin menyorotkan beberapa mesej utama di sini. Kisah tadi bagaikan tamparan yang cukup berbisa buat saya kerana dengan detik yang seringkas itu betapa membuatkan saya sedar dan bermuhasabah kembali. Betapa, Allah itu maha Kaya dan Maha Luas, begitu indah teguran daripada Allah, barangkali DIA mahu mengingatkan kita dengan wasilahnya seorang kanak-kanak kecil. Nah, kalian nilai sendiri, sesungguhnya berbahagialah kita jika melihat semua perkara dengan pandangan hikmah. kadangkala kita merasakan teguran yang baik mestilah dengan cara yang lembut dan berhemah sahaja, tapi pernahkan terfikir celaan, hinaan yang datang daripada musuh dan mana-mana insan yang kita fikirkan tidak layak untuk memberi teguran juga adalah salah satu yang perlu diniliai dan barangkali boleh diterima pakai. Bersyukur kita tidak dibiarkan leka. Belajarlah berlapang dada. Kelak ketengan pasti bertandang. Subhanallah. Subahnallah. Subhanallah....
p/s: Adinda Farah dan Amal, tahniah atas kejayaan kalian. Bersyukur dengan setiap ketetapan...
Tuesday, December 8, 2009
Tuesday, November 10, 2009
Khabaran Gembira

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, bertambah lagi kaum kerabat Al-Hussin, Syifa' Lutfiah cahayamata ke-4 pasangan bapa saudara dan ibu saudara saya (Pak Tam Sani& Mak Tama Siti)merangkap cucunda ke-34 Nenda Husssin dan Nenda Aisyah selamat dilahirkan. Barangkali masih saya tidak terlewat melayarkan Kalam Tahniah Buat semua kaum kerabat di tanah air. Bertambah meriahlah teratak Wan Hussin=)
Monday, July 20, 2009
Ummi, Kasihmu Abadi

Salam Sayang dari kejauhan buat Ummi yang tercinta...
Moga Ummi sentiasa berada dalam redha dan rahmat Allah SWT selalu..
Anakandamu ini mengasihimu sepenuh hati.
Namun, sesungguhnya tiada kata yang dapat
mewakili segala rasa kasih dan cinta ini buat UMMI....
Selamat Menyambut Ulangtahun Yang ke-47
Sesungguhnya bersama peningkatan umur itu adalah
pengkayaan pengalaman dan pertambahan kearifan dan kematangan.
Moga Ummi terus dibekali Allah dengan kecekalan dan
kekuatan menjadi sayap kiri perjuangan
Anakandamu memohon redha darimu,
untuk terus berjuang di medan ilmu,
untuk terus teguh menyemarak kalimah Ilahi di muka bumi,
untuk terus menjahit sulaman hamparan kekuatan
demi menyambung rantai-rantai perjuangan..
Anakandamu tidak mahu kempunan menghidu wangian syurga,
Anakandamu ini juga tidak mampu menanggung tempias murka dan amarah,
Maka anakanda memohon iringan doa dan redha daripadamu,
Agar langkah ini bisa menapak utuh,
tidak lelah berlari,
tidak gusar mendaki...
Salam Penuh Kerinduan
daripada
Anakandamu..
Sunday, July 12, 2009
Rindu...
Sekadar melempiaskan rindu buat insan-insan penyeri wajah hidup saya..

PEACE!!
Aliah Hana; adik bongsu saya!
Amir Fawzan Ayyub, Si Putera Tunggal Mak Teh Fatimah dan Pak Teh Fauzi
Along Faiz Hakimi dan Adik Ngah (Farid Wajdi)
Body Guard Pak Cik Syauqi dan Mak Cik Kiah
Nailah Uzma, Anith Syahirah dan Nadiah Firzanah.
Firzanah nak cekup katak ke?
Udin nak telan apa tu, nganga luas sangat?
Dri kiri berdiri: K long afifah,K chik Anith, Huda.
Duduk dari kiri: Firdaus (Adilah dalam pangkuan), Izzudin, Fahmi dan Hana
Farhan dan Pak Tam Man
Kanak-Kanak Ribena di pagi Raya 08
Tahun ni kurang seorang chef kat dapur. Heheheh=)
...Baik-baik ya di Malaysia wahai kanak-kanak ribena sekalian...
...Jadi anak soleh umi ayah...
...Penyejuk mata keluarga...
...Penyambung rantai-rantai sunnah perjuangan Baginda SAW...
...Kekandamu di sini rindu selalu...
Thursday, July 9, 2009
Bila Sang Kancil Tersenyum 2

Lawatan Deligasi Antarabangsa ke Institusi Pendidikan Elit di Cyberjaya
Bumi yang begitu banyak berjasa pada penulisSetahun lamanya, penulis berperang dengan jiwa yang menentang keadaan sekeliling. Ikutkan hati mahu sahaja melompat keluar daripada pagar kesengsaraan ini. Tapi, penulis tidak mahu menjadi anak yang ingkar, anak yang membunuh harapan bonda dan ayahanda. Akhirnya, penulis redha sememangnya takdir penulis bersemi di bumi ini. Peningkatan usia mematangkan dan mendewasakan pemikiran penulis.
Institusi ini adalah lakaran realiti masyarakat!Tiada penipuan dan kepura-puraan, inilah yang hakiki!
Suatu masa dahulu penulis pernah berbangga dengan misi dan visi sekolah penulis. Begini bunyinya:
Sekolah Seri Puteri menjadi sebuah institusi pendidikan terunggul untuk melahirkan pemimpin yang terbilang dan bermaruah, komited terhadap pendidikan sepanjang hayat, memanfaatkan kehidupan dan sedia berkhidmat kepada masyarakat
Sekolah Seri Puteri as an internationally renowned educational institution, nurturing notable dignified leaders who are committed towards lifelong education, benefiting life and ever ready to serve the community
Antara infrastruktur kelas pertama di Sekolah Seri Puteri
Namun demikian, ada sesuatu yang mengasak benak ini. Semenjak penulis berpijak di bumi bertuah ini, berceratuk persoalan menanti untuk disempurnakan jawapan. Sehingga kini rasa cinta akan bumi ini membuatkan penulis perlu untuk melakukan sesuatu demi kepentingan generasi mendatang khususnya generasi warga puteri di SSP. Terpanggil juga untuk berkongsi dengan kalian agar sama-sama melakukan pencerahan minda dan mengatur langkah yang lebih segar juga sebagai penunjuk jalan buat generasi yang akan datang. Biarlah sudah hampir 2 tahun bangku sekolah penulis tinggalkan. Namun, mana mungkin begitu mudah penulis melupakan renik-renik peluh yang menitis sepanjang perjalanan di sana.
Penulis tangguhkan dahulu penulisan ini. Sesungguhnya begitu banyak yang ingin dikongsi, sehinggakan penulis terasa sayang untuk meninggalkan satu kalam sekalipun dalam pengkisahan ini. Insyaallah, penulisan akan cuba menyempurnakan penulisan ini dalam siri yang seterusnya. Harap anda setia menjadi pengunjung teratak kecil ini.
Monday, July 6, 2009
Bila Sang Kancil Tersenyum..


Menyingkap sejarah silam dan rentetan catatan perjalanan pengalaman penulis sendiri, penulis merasakan begitu terpanggil dan menganggapnya sebagai satu tuntutan untuk dideadahkan kepada masyarakat. Mungkin anda biasa mendengar nama-nama masyhur seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Sekolah Sultan Alam Shah, Kolej Tunku Kurshiah, MRSM Jasin, MRSM Langkawi dan pelbagai lagi nama-nama sekolah kelompok Sekolah Berasrama Penuh atau singkatannya SBP dan Maktab Rendah Sains MARA. Sebagaimana maklum, pelajar-pelajar di semua SBP dan MRSM merupakan antara kelompok pelajar yang tersenarai dan terpilih serta memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan besar di MALAYSIA seperti UPSR, SPM dan STAM. Dalam kata lain, mereka inilah yang dikatakan sebagai butir-butir permata harapan negara bagi menerajui kemajuan dan pembangunan negara pada suatu hari kelak. Walaupun demikian, bukanlah bermakna penulis menidakkan kehadiran pelajar-pelajar pintar lain yang bertaburan di seluruh negara.

Penulis kurang arif tentang hal pentadbiran MRSM namun, insyaallah penulis agak sebati dengan SBP. Jadi, moleknya mahu dibicarakan secara lebih mendalam tentang SBP. Secara kasarnya SBP merupakan kelompok sekolah pintar yang merupakan projek besar Kementerian Pelajaran Malaysia dengan visi untuk melahirkan individu yang berkarisma, unggul dan memiliki tahapan intelaktual yang tinggi yang mampu bersaing di dunia global atau secara ringkasnya melahirkan masyarakat minda kelas pertama (first class mentality) yang mampu menjadi tunggak negara kelak. Berikutan itu, kelompok sekolah ini begitu mendapat perhatian berat daripada pihak kementerian.Tidak kiralah daripada sudut sistem pentadbirannya, kemudahan-kemudahan Pelajaran dan Pembelajaran P&P sehinggalah ke sekecil-kecil perkara dalam SBP amatlah dititik beratkan. Pelbagai strategi diatur dari semasa ke semasa untuk memastikan kualiti SBP dipertingkatkan semaksima yang mungkin.
Sekolah Berasrama Penuh kini mencapai 54 buah di seluruh pelosok negara. SBP ini pada awalnya bermula dengan idea untuk menempatkan pelajar-pejalajar pintar yang kurang berkemampuan. Walaubagaimanapun, idea ini telah berkembang dari sehari ke sehari sehinggakan telah membuka sebesar-besar peluang untuk mana-mana pelajar cemerlang di seluruh negara untuk berpijak di SBP. Terdapat SBP yang beraliran Agama, Sains Agama, Sains serta integrasi. KISAS, SMAP Labu dan SMAP Kajang merupakan antara SBP beraliran Sains Agama. Manakala, SBP Integrasi Gombak (INTEGOM), SBPI Sabak Bernam (INTERSABER) dan SBPI Rawang(SEPINTAR) merupakan antara SBP beraliran integrasi.
Salah satu yang menarik tentang SBP adalah wujudnya pengkelasan SBP dwi jantina dan uni jantina (perempuan sahaja atau lelaki sahaja). Antaranya Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Sekolah Dato' Abdul Razak(SDAR), Kolej Melayu Kuala kangsar(MCKK), Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER), Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS), Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) bagi pelajar lelaki sahaja. Sekolah Seri Puteri (SSP), Sekolah Tunku Fatimah (STF), Sekolah Sains Seri Puteri (SESERI), Kolej Tuanku Kursiah (KTK). Kesemua SBP uni jantina ini beraliran sains tulen.
Berbalik kepada tajuk penulisan ini. Perkaitan apakah yang dapat anda perhatikan antara sang kancil dan SBP? Harap para pembaca dapat setia membaca dalam siri yang seterusnya. Ada sesuatu yang saya mahu anda fikir dan renungkan. Yang pastinya impaknya cukup besar bagi masyarakat dan Islam khususnya, jika hal ini mendapat perhatian yang baik daripada anda terutamanya bagi mereka yang pernah menjadi salah seorang warga pelajar, pendidik mahupun pekerja di mana-mana SBP. Nantikan sambungan penulisan ini. Insyaallah, ada manfaatnya.
*penulisan ini bersambung dalam siri kedua
Monday, June 29, 2009
Mari, Mari Pesta Sudah Bermula!!!
Salam hormat untuk semua teman dan selamat bercuti juga buat semua mahasiswa dan mahasiswi di seluruh bumi Mesir. Pasti senyuman memanjang menguntum di bibir masing-masing memandangkan beban lelah menatap buku-buku kuliah sudah menutup tirai serentak dengan pengakhiran musim peperiksaan. Tidak kurang juga buat teman-teman yang berpeluang pulang ke tanah air dan bertandang ke negara-negara lain bagi tujuan yang pelbagai, moga kalian memanfaatkan masa cuti ini dengan sebaik yang mungkin.
Bagi mereka yang masih setia menanti di Bumi anbiya' ini, janganlah gusar dan bersedih hati, kerana ada pesta besar sedang menanti anda. Apalagi kalau bukan pesta Talaqqi. Ayuh meriahkan cuti anda dengan merebut peluang keemasan ini.

" JoM Pi TaLaQqi!"
Moga budaya menuntut ilmu bukan sekadar untuk melirik tinta di atas kertas peperiksaan semata, sebaliknya biarlah dijadikan santapan harian bahkan suburkanlah setiap saat dalam diri anda dengan memantapkan penguasaan segala cabang ilmu ini dengan sedalam-dalamnya. Ayuh teman, masih belum terlambat. Jangan menjadi kelompok yang sia-sia usia dan masanya. Inilah masanya kita berpesta!
DAURAH SAIFIAH BERSAMA ULAMA' UNIVERSITI AL-AZHAR
TARIKH : 27 JUN 2009 HINGGA 18 OGOS 2009
MASA : 6.00PETANG HINGGA WAKTU MAGHRIB
HARI : SETIAP HARI KECUALI (KHAMIS DAN JUMAAT)
TEMPAT :ASRAMA DARUL AMAN 3,HAIYYU SABIEK,MADINAT NASR
TENAGA PENGAJAR
DR THOHAHUBAISY
DR BAKAR 'ASWAD
DR MUSTHOFA 'IMARAH
DR JAMAL FAROQ
DR ABDUS SALAM ATIQ
ANTARA BIDANG ILMU
AKIDAH
QADAYA FIQH MU'ASARAH
ULUM HADIS
MANTIQ
USUL FIQH
Pengajian-pengajian yang lain antaranya ialah :
1)SYEIKH MAHMUD SAID MAMDUH
KITAB :RIADHU ASSOLIHIN & FATHUL QORIB
HARI :MALAM JUMAAT
TEMPAT : ASRAMA DARUL AMAN 3, HAIYU SABI'.
2)MADRASAH IMAM SYAFIE
Tempat : Rumah Selangor, Haiyu 'Asyir.
HARI :SABTU-KHAMIS
MASA :7.00PAGI-9.00PAGI
3)UST NAZRUL
Hari : Setiap Sabtu
Masa : Selepas Maghrib (Sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian)
Tempat : Dewan Tasammuh wal Iqa', Asrama Darul Aman 3, Haitu Sabi',Nasr
City, Kaherah.
Kitab : Qaulul Tamr Fi Ahkam al-Makmun wa al-Imam
4)UST ZAMRI
Hari : Setiap Ahad
Masa: Selepas solat Maghrib( 8mlm-9.30mlm)
Tempat : Dewan Tasammuh wal Iqa', Asrama Darul Aman 3, Haitu Sabi',Nasr
City, Kaherah.
Kitab : Fathul Qorib
5)UST SALMAN(akan dimaklumkan kemudian oleh pihak yang berkenaan)
6)BABA ADNAN
Hari : Ahad dan khamis (bermula pada Ogos 2009)
Masa : 6.30 Pagi
Tempat : Rumah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Kitab : ta'lim Muta'alim, Hidayatu salikin
7) Ustaz Helimy Arif
Pengajian Kitab Syamail Muhammadiah
Hari : Isnin dan selasa
Masa : 6.30 pagi
Tempat : Rumah WP. Kuala Lumpur, Haiyu Sabi'
8)Pengajian Bersama Sheikh Yusry
Tempat : Jabal Muqottom (Masjid di Kediaman Sheikh Yusry)
Masa : Selepas solat Jumaat
Kitab : 1-Syamail Muhammadiah
2- Al-Hikam Ibnu Atthoiyah
3-Al-Muwatto' Imam Malik
9) Ustaz Mohd Faisal bin Mohd Zaki
Kitab : Matan Abi Syuja' (Fiqh)
Masa : selepas maghrib
Hari : Ahad dan Selasa
Tempat : Rumah WP. Kuala Lumpur, Haiyu Sabi'
10) Ustaz Syed Abdul Kadir bin Syed Hussein Al-Jufri
Kitab : Fiqh Sirah
Masa : selepas maghrib
Hari : Isnin
11) Ustaz Mohd Syauqi bin Ismail
Masa : Selepas maghrib
Hari : Rabu (bermula pada bulan ogos ini)
Kitab : Fiqh
Tempat : Rumah WP. Kuala Lumpur, Haiyu Sabi'
"Ilmu yang dikongkong iman, yang menghargai kehidupan sesudah kehidupan sekarang, itulah pangkal bahagia. Kalau tidak demikian rupa, walau setinggi mana timbunan kitab, apalah gunanya?"~HAMKA
"Gelanggang amal yang menentukan kemuncak ilmumu"~Kibrit Merah~
Saturday, June 20, 2009
Ya Allah, Kesibukan Kian Mencengkam!
Syukur, masih punya nafas...
Kesibukan Kian Mencengkam...
Rasa hati mahu menukilkan sesuatu,
Tapi tuntutan kewajipan menghalang seketika,
Tunggu ya, kamu tidak mungkin diabaikan...
Pesanan Untuk ORANG BIJAK:
"HAK diberi bukan untuk DIKHIANATI, FITRAH disaji adalah untuk DISANTUNI"
Harap kamu mengerti...
Sunday, June 14, 2009
Senandung Kasih Ayah
Buat tatapan semua insan yang bergelar anak, bapa, ibu, isteri, suami, atau mungkin juga kepada yang bakal bergelar isteri dan suami..
Hari ini saya menerima pesanan ringkas dari ayahanda daripada tanah air.
"Salam. Al-Fatihah, Al-Ustaz Fathi Yakan sudah kembali ke rahmatullah.."
Pemergiannya sukar dicari ganti....Hanya sekadar itu. Biar pun sistem pesanan ringkas itu tidak bernyawa. Biarpun telefon bimbit saya kelu tidak bersuara dan tidak punya dan tidak mampu meluahkan rasa, tapi saya tahu jauh di sudut hati ayahanda, pasti sedikit terkesan. Terkesan dengan peribadi dan jasa Murabbi dan Mujaddid Agung ini. Nama AL-Ustaz Fathi Yakan memang sudah tidak asing lagi bagi semua individu yang mengisytihar kerelaan dirinya bernaungan di bawah panji gerakan Islam. Kilauan permata ilmu kian kabur...
Ayah pasti lagi terkesan, kerana hari ini hari ulang tahun ayah yang ke-53. Ini bermakna hampir setengah abad sudah ayah menjerih pahit maung sebagai insan yang memegang status hamba. Sudah setengah abad rupanya usia ayah. Biar wajah dan kudrat ayah kian dimamah usia, tapi pastinya semangat ayah tidak pernah luntur. Tidak pernah pudar. Biarlah sesiapa pun mahu menafikannya. Tapi, saya sebagai sang anak yang menyaksikan setiap inci ruas kehidupan ayah, teguh mempertahankan kalam ini. Kata orang, jangan menulis peribadi seseorang yang masih hidup. Tapi, saya mohon ingkar. Kerana saya tiada kekuatan untuk membekukan hati ini, memandang sepi dan sekadar membiarkan peluang itu membolos keluar dari kebuk pengalaman. Biar saya mengaut sebanyak-banyak hikmah daripada bentangan nikmat di depan mata ini. Tidak mahu hati ini dibiarkan buta dan tuli dari menilai dan meneladani.
"Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik kepada orang tuanya). Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,dan menyusuinya sehingga 2 tahun. Bersyukurla kepadaku dan kepada orang tuamu. Hanya kepada aku kamu kembali"
(Luqman:14)
Mungkin masa bersama keluarga tidak sebanyak mana seperti ayah-ayah lain di dunia luar. Sudah menjadi kebiasaan masa bersama ayah adalah ketika berdiskusi di dalam kereta, mahupun bercucuk tanah di kebun di pinggir senja atau sekadar bertamu wajah dan menelaah koleksi kertas-kertas kumal di teratak keluarga tika saat sudah hampir dinihari. Tapi, bagiku bukan banyaknya masa ayah bersama, tapi sebijak mana masa itu dimanfaatkan. Mungkin, waktu kecilku pernah ku mempertikaikan. Mengapa hidup kami umpama manusia tidak normal(itu hanya pemikiranku ketika usia setahun jagung). Tidak ada melancong tika cuti sekolah. Atau membeli belah sekeluarga di hujung minggu. Atau bersatai-santai minum petang bersama.Tapi, alhamdulillah, akhirnya usia dan masa mendewasakan pemikiran kerdil ini. Ummi sebagai sebahagian pelengkap hidup ayah juga banyak memahamkan diri ini. Ayah bukan milik kita yang hakiki. Ayah adalah hak milik yang perlu dikongsi. Terima kasih ummi, ayah. Hari ini anakmu mengerti. Teringat salah satu sabda baginda Rasulullah SAW. Terasa bagai disuntik semangat dan ilham baharu..
"Allah menjadikan segolongan hambanya memberikan nikmat yang diberikan Allah untuk kemanfaatan hamba-hambaNya yang lain. Siapa bakhil akan kemanfaatan itu terhadap orang lain maka Allah akan memberi nikmat itu kepada orang lain"
Saya tidak mahu direnggut nikmat ini. Saya sudi berkongsi Ya Allah..
Jika ditanya siapa ikon hidup saya selepas Rasulullah SAW. Tiada jawapan lain. Tiada tergugat jawapan saya. DIA ialah AYAH dan UMMI sebagai sayap kirinya...
Mungkin ayah tegas dalam mendidik. Tapi bukan bermakna keras dan kasar. Ayah lebih banyak bersikap penunjuk arah. Bukan pengarah. Menyebabkan tidak terasa seperti ditekan atau dipaksa. Mungkin ada sebahagian anak-anak terutamanya yang berdarah muda, mati-mati menyalahkan bapa. Kerana terlalu tegas mendidik. Sehingga menjadikan bapa sebagai musuh. Walau HAMKA ketika kecilnya juga pernah tergolong dalam insan yang menjadi anti-bapa gara-gara tidak senang dengan gaya bapanya, namun akhirnya beliau sedar, satu kerugian malahan satu dosa jika berperilaku demikian terhadap insan mulia bergelar bapa. Terkenang kata-kata Ibnu Hajar Al-Haitsami:
Tidak salah rasanya kite merenung seketika kalam beliau ini. Cicip sedikit pengajaran. Bapa itu juga guru. Bahkan Bapa adalah antara guru terawal buat setiap insan yang kahir ke bumi. Wahai anak, jangan cepat melatah. Jangan cepat menghukum. Jadilah orang yang bijaksana. Bijak menilai dan menyantuni..
Sedikit coretan jari...
Bapa itu RAJA. Pasti anda pernah dengar ini bukan?Peranan seorang bapa dalam keluarga umpama sang khalifah yang mentadbir khilafah kecil. Tidak dapat tidak bila termaterainya pateri pernikahan maka bermula saat itu setiap lelaki itu memikul amanah dan kesanggupan untuk bergelar suami dan juga bapa. Sudah digariskan begitu ketat dan teliti panduan yang diberikan Islam untuk dilandasi. Memikul beban ini bagai meniti di titian yang bersungaikan lahar berapi. Silap langkah padah! Lebih perit apabila mengintai semula ke realiti dunia, berjuang menyambung sunnah perjuangan baginda, pasti menuntut seinfiniti pengorbanan. Bergelar lelaki bukan sekadar membawa sifat si ADAM semata, tapi menjunjung bersama entiti dakwah yang bernyawa. Membawa peribadi diri dan keluarga jua masyarakat yang begitu memerlukan perawat yang benar-benar punya syifa' yang ampuh.
Berapa banyak masjid didirikan, tapi tiada kemakmuran di dalamnya. Hanya sekadar tercatat di atas sekeping sijil perkahwinan. Namun, tanggungjawab memikul beban yang sebenar adakah benar-benar terlaksana. Peranan si suami bukan sekadar menabur kemewahan harta semata, tetapi tugasan mentarbiyah isteri dan anak-anak mengikut acuan Islam yang suci itulah yang menjadi ukuran. Sudah lupakah kita dengan amaran Allah SWT ini??
"Hai, orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka dan bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras yang tidak menderhakai Allah SWT terhadap apa yang diperintah-Nya kepada mereka dan menegrjakan apa yang diperintahkan-Nya" (At-Tahrim:6)
Sikap beringan-ringan dalam pentarbiyah rumah tangga bagai merejam agama yang tercinta ini ke sehina-hina tempat. Membiarkan isteri dan anak-anak selesa bergelumang dosa dan maksiat seolah-olah menjadi kebiasaan dan satu kebanggaan. Inikah nilaian yang harga diri kamu wahai lelaki? Sepatutnya keegoan kamu sebagai bapa dan suami bukan di situ gunanya. Tapi kamu seharusnya menjadikan sifat tegas dan kerasmu itu untuk membentuk dan mendidik keluarga. Biar lembut dalam tegas. Itu adalah yang terbaik. Sejuk mata memandang isteri dan anak-anak santun budi, mulia pekerti, segar iman disemai dan dibajai. Wahai yang bergelar lelaki, bukan ingin menguji atau menunding jari. Sekadar mahu mengkhabari, bahawa HAWA ini sungguh lemah untuk dikasari, sungguh lesu untuk dibiar bersendiri. Maka hulurkanlah bimbingan yang selayaknya apabila kamu mahu memateri janji. Jangan dicampak kaum yang lemah ini ke lembah yang keji.
Untuk mereka yang mengaku pejuang, mahu dikongsi sedikit catatan ini. Mungkin hanya sebutir daripada sepantai pasir warna dunia. Mencarik sedikit perca-perca kehidupan keluarga-keluarga pejuang untuk direnung dan dimuhasabah bersama.
KISAH 1
Sebuah keluarga di teratak usang yang hanya menanti rebah sedang menjamu selera mengisi keroncong si perut yang hanya di alasi nasi dan kicap berlauk masin. Tawa mesra si ibu bapa dan anak memecah ceria seri malam. Namun, segalanya sekadar bagai hanya mimpi indah, bila rumah usang itu diterjah. Diterjah oleh insan-insan tidak berperikemanusiaan berseragam lengkap bersenjata. Si ayah diheret bagai si anjing keparat tidak bermaruah. Berhambur air mata si anak. Sayu tangisan si anak. Si isteri tenang mengiringi 'pemergian' si suami. Hanya kerana apa si bapa diperlaku demikian?Dikatakan 'pengkhianat' negara bila menegakkan ISLAM...
KISAH 2
Hanya beberapa jam debaran menanti disatukan dengan insan tersayang. Sabar menanti kehadiran si ayah sebagai wali. Tersenyum si dara sepanjang hari. Namun segala kemanisan disentap lagi. Rombongan si ayah bukan tiba di teratak seri tetapi berkampung di tirai besi. Bagai disambar halilintar si isteri, melihat suami diperlaku seperti pecacai keji. Hanya kerana LANGKAH SI BAPA SEBAGAI PEMACU KEBANGKITAN UMMAH. Salahkah???
Ribuan lagi kisah yang tidak dapat dicoretkan di sini. cukuplah sekadar ini untuk direnung bersama. Tiada maksud lain yang ingin disampaikan di sini melainkan mahu kita bersama-sama renung kembali. Adakah sekadar cukup membina rumah tangga, memiliki kekayaan anak pinak dan harta. Tapi denai dakwah ditinggal berhutankan lalang. Jika pada zaman muda remaja dahulu, begitu tegar berjuang di kampus, tapi mengapa kini setelah mahligai hidup dibina tiba-tiba sunyi menikus. Terbang ke mana semangatmu itu? Dimamah apa lantang suaramu dahulu? Sudah lenakah dengan keayuan wajah si isteri? Sudah enakkah diulit kekayaan harta duniawi?
Sudah bersediakah kamu wahai insan yang bernama LELAKI???

SERLAHKAN KEIZZAHAN, DAULATKAN PERJUANGAN DINUL ISLAM PENUH GAGAH!!!
Tuesday, June 2, 2009
Rindu Dia
Saat ini saya jadi rindu. Tatkala fikiran dibebani dengan figur soalan-soalan peperiksaan yang silih berganti datang memenuhi ruang-ruang neuron di minda, saya mula rindu. Rindu akan bonda di teratak kesayangan saya. Rindu akan kaum keluarga di tanah air. Beban rindu saya bertambah-tambah lagi, saya rindu benar dengan sahabat2 saya di tanah tumpah darah saya. DIA, itu antara wajah yang menghiasi pandangan mata hati saya saat ini. Dia antara sahabat yang begitu halus budinya. Halus hatinya. Terkenang kembali saat akhir di bangku persekolahan.
"Tidak beriman seseorang itu sehinggalah kamu kasih terhadap saudara kamu sebagaimana kamu mengasihani diri kamu sendiri" (HR Bukhari dan Muslim)
Dialah yang telah membuka mata hati saya. Rupanya dia mulia. Rupanya dia pilihan Allah untuk membawa saya ke dunia realiti. Saya jadi rindu. Rindu menatap wajahnya. Rindu mendengar kalamnya. Biarpun dia seorang yang begitu pendiam dan suka memendam rasa, walaupun dia kelu tidak berkata, saya tahu rasa hatinya. Saya tahu kejujurannya. Menerima saya seadanya. Dialah yang berjaya membuatkan air mata keegoan saya selama ini tumpah. Entah ke mana lenyapnya rasa malu saya untuk menumpahkan air mata ini di hadapannya. Bukan setakat menitis, tapi bercucuran air mata saya saat mendengar pengakuan ikhlas dan suci darinya. Sedangkan saya memang seorang yang begitu sukar menumpahkan air mata. Betapa manisnya ukhwah bila disulami kejujuran. Biar dia hanya insan biasa tapi dia punya aura yang luar biasa.
"Indahnya ukhwah andai disulami kejujuran dan keikhlasan untuk mencari redhaNYa"
Saya harap kamu tenang di Malaysia. Kerana kamu juga saya ditakdirkan berpijak di bumi anbiya’ ini. Tidak saya sangka rupanya kamu begitu mengambil berat setiap kalam saya. Sehinggakan hasrat kecil saya untuk memijak bumi anbiya’ yang saya suarakan ketika berbual-bual santai di waktu senggang ketika itu juga kamu semat baik-baik. Terngiang-ngiang lagi perbualan saya dengan kamu melalui telefon hampir dua tahun lepas.
“ nak teruskan tak hasrat ke bumi anbiya’. Insyaallah kalau mahu, hubungi ........... insyaallah dia boleh bantu. Ana sokong sangat kalau enti ke sana.”
“enti bagaimana? Hendak ikut sama ke sana?”
“tak mengapa, ana di Malaysia. Enti dulu ke sana, ana insyaallah, ada rezeki sampai la.”
Kamu di matrikulasi. Kamu anak yang baik. Mahu terus menemani bonda. Mahu terus membantu bonda mendidik adik-adik. Bertuah benar adik-adik kamu, memiliki insan seperti kamu dalam keluarga. Alangkah bahagianya bonda dan ayahanda kamu memiliki kamu sebagai cahaya matanya.
Terima kasih wahai teman. Saya menulis ini bukan kerana apa-apa. Cuma saya hanya mahu menyatakan terima kasih saya buat kamu. Dedakasi buat seorang teman yang begitu jujur. Seorang teman yang begitu ikhlas. Kekurangan dan kecacatan diri ini bukan penghalang buat kamu menerima saya. Mulianya hati kamu. Tidak tahu lagi bagaimana mahu menyatakan penghargaan saya buat kamu. Begitu besar nikmat Allah berikan buat saya. Rasa malu padaNYa. Walaupun begitu banyak keingkaran saya pada DIA, dia tetap kurniakan permata ini. Menjadi cerminan saya.
Saya jadi rindu pada pertemuan kita yang terakhir. Malam yang menjadi saksi. Saya ingat lagi saat itu, hingga jam 3 pagi kita berbual. Tidak pernah selama 17 tahun saya hidup sebelum itu, saya merasakan saat yang begitu manis sebagaimana malam itu. Saya ingat lagi, kamu mengalunkan terjemahan surah Al-Ahzab ayat 59 yang begitu menyentuh hati seorang muslimah. Walaupun memang sudah saya maklum akan kandungannya, tapi malam itu seolah-olah ada sesuatu rasa yang ghaib yang menusuk di hati ini. Membuatkan saya begitu terharu menerima apreasasi begitu. Kamu begitu jujur menyatakan segalanya. Saya berpegang hingga hari ini. Moga akan ada lagi seribu manusia seperti kamu.
Terima kasih atas utusan email kamu dari Malaysia. Utusan kamu itu meniupkan lagi semangat saya. Saya doakan kamu dapat juga ke sini. Bersama-sama saya menggali rahsia ilmu Allah. Saya doakan kamu sentiasa kuat menghadapi segala cubaan Allah buat kamu. Jangan kamu gundah, Allah akan bersama-sama insan yang mulia hatinya seperti kamu.
Saya rindu mahu ketemu dengan kamu..
1202
2 jun 2009





