Friday, May 29, 2009

Pohon















Cukupkah sekadar hanya sekadar menjadi
seperti pepohon,
membiak tumbuh dari
benih sesawi tubuh,
berjuang bertarung merebut kasih,
menyaing perhatian,
antara seribu satu teman,
daripada Sang Mentari,

Demi mencapai satu impian
Melempias pucuk ke bumi,
Memburai seribu satu bakti,
Walau kadangkala maras,
Dengan ancaman tangan-tangan jahat,
barangkali ju ga tenahak,
Dengan nasib diri,
Mengung dengan ketentuan ini,
Tapi bukankah Indah
Jika aku tidak seperti apa-apa,
Hanya sekadar menjadi nyawa yang sedar,
akan Hakikat diri sebagai Hamba..

Tuesday, May 26, 2009

Peluru Saya

Bismillahirrahmanirrahim


Tadi saya menembak lagi. Tapi saya buntu tembakan saya mengena atau tidak.atau mungkin tersasar, salah langkah sasaran lain yang menjadi mangsa tusukan tajam peluru yang tak berisi belerang itu. Tapi sebetulnya tadi saya tidak pasti perlu atau tidak saya menembak. Menggarap semula segala yang ternokhtah di sukma, sekadar mahu menyampaikan apa yang dirasai oleh saya selama ini. Mungkin ada malangnya, mangsa tembakan saya itu belum sampai masanya untuk menerima bahana tembakan saya.


Peluru saya berbunyi begini “ Perlukah menjawab persoalan itu. Semua orang berhak mendapat dan menikmati frasa kata ‘kesayangan’ dan ‘kepunyaan’. Islam sendiri sudah mengatakan semua berhak untuk menjadi sohibul kasih sayang”. Saya nampak ketiadakpuasan atau mungkin kejelikan terhadap kalam saya pada wajah mangsa saya. Bukan saya berhodoh sanagka. Tapi memang itu yang selayaknya saya terima.


Sebenarnya saya tidak mahu terkeliru dan mengelirukan malah mengharu birukan keadaan dengan segala kalam saya selama ini. Entah apa yang saya tulis ini. Saya hanya mahu manusia mengerti akan pencerahan pemikiran yang sedang saya lalui dan yang sedang saya sendiri mencari. Aduh! Saya sudah penat dengan sekular yang menular dalam diri. Barangkali ini padahnya menjadi seseorang yang bersifat fleksible. Buka maksud saya fleksible itu parah, tapi landasan ke arah fleksible itu yang menyebabkan barah menjadi pemangkin segala sel pembunuh. Senyap tetapi hebat kesannya. Bahkan sepastinya tiada penawar jika sudah menempah tempahan khas di kebuk kematian.


Sekarang senjata saya hanya papan kekeunci dan otak sebesar dua penumbuk yang memandu saya untuk melontar segala keterdesakan perkataan saya sekarang. Rasa bagai mahu menumbuk paparan skrin di depan mata ini. Biar berhambur pekat merah darah dari buku lima saya jika itu cukup untuk saya merasai kepuasan mencerna segala kekontangan yanga melanda. Apa yang dilontarkan bagai hanya di awangan. Tapi saya tidak mahu itu. Biar samapai juga dia ke bumi tidak sesat dan menjadi entiti di angkasa.


Bagaimana seorang yang ingin mencari hakikat Islam dalam mencari erti yang sebenar-benar bagi istilah kasih,sayang,cinta dan suka. Ah! Begitu kontot akal manusia. Kamu tahu, kita memang perlu mengakui hakikat ini. Manusia itu sememang bersifat terlalu terhad. Tidak ada variasi yang berbilang-bilang. Huh! Variasi itu sendiri bermaksud berbilang-bilang dan pelbagai. Nah, lihat lagi bukankah terlalu terhad dan kontot kemahiran dan kemampuan manusia? Saya begitu tidak senang memikirkan hal ini. Mungkin saya sendiri tidak punya kosakata yang baik untuk menerangkan segalanya. Tapi, sememangnya kita perlu mengakui memang Dia YANG MAHA LUAS. Kita hanyalah hasil rekaanNya. Dia berhak menentukan hasil karyaNya. Pesetkah, gemukkah, Sumbingkah. Segala terletak di tanganNya. TanganNya di atas tangan kita.


Berbalik pada peluru saya. Saya mahu katakan di sini bahawa manusia miliki hanya sedikit dan sangat terhad cuma daya untuk menakrifkan sesuatu maksud. Lihat ini, cinta,sayang,suka dan kasih. Saya bagi misalan. Hanya Allah yang berhak dicintai dengan sepenuh hati. Saya mencintai ibu sepenuh hati. Saya cinta akan kamu(makhluk). Saya suka pulasari. Saya kasih akan datuk. Allah kasihkan makhlukNYa. Soleh sayang akan rumahnya. Karim sayang akan khazanah itu. Saidina Umar begitu mencintai rasulullah SAW.

Nah! Bagaimana anda meletakkan pengkadaran bagi maksud dan tafsiran semua ayat ini. Sedangkan penggunaan perkataan hampir sama dan berulang-ulang penggunaannya. Jadi, saya merasakan adalah tidak salah saya meluncurkan peluru tadi. Cuma mungkin sasaran saya tidak benar-benar memahami akan apa yang cuba saya mahu dia fahami dan amati. Atau mungkin saya sendiri menggunakan peluru yang salah. Natijahnya, saya menerima senyuman sinis yang begitu menghiris semangat saya. Tapi bukan itu meneyebabkan saya terus menyiput sebaliknya drastik lagi keazaman peluru saya bertukar menjadi peluru berpandu untuk menyerang dan menerjah lagi. Terima kasih wahai mangsa peluruku.


Sesungguhnya, hakikatnya Cinta dan Sayang atau apa-apa lagi perkataan yang sesinonim dengannya membawa maksud yang infiniti. Terpulang bagaimana individu untuk manafsirkannya. Buktinya, banyak sahaja golongan salafussoleh yang telah dihukum dengan begitu ngeri dan kejam kerana perkataan mereka. Pada hakikatnya bukan mereka yang salah. Tetapi sang telinga dan gumpalan pejal dan cecair dalam kepala yang menerima angin kalam mereka yang salah mentafsir. Mungkin tidak dipandu wahyu dan serakah nafsu yang bermaharajalela yang rakus membaham segala kalam demi kepentingan yang busuk dan hanyir dalam diri. Ego bertakhta di hati. Sehinggakan singgahsana kebenaran diroboh dan disental-sentak hingga hanya meninggalkan debu-debu berjisim satu molekul sahaja yang terawang-awang di bawa angin.


Huh! Saya tidak dapat menafsirkan apa yang terdetik di hati kalian. Saya memang mahu menjadi jujur melempiaskan segala yang bersarang di sukma ini. Mungkin saya mempamerkan kebodohan saya. Biar melondeh segala cindai yang menutupi kejahilan ini. Saya mahu mencari kebenaran yang hakiki. Islam itu terlalu universal. Sehinggakan ada yang sesat tersadai, kepenatan dan mungkin akhirnya mengiktiraf dirinya dengan pelbagai maqam yang mungkin dilaknat olehNya. Mungkin juga itu hanya bayangan dalam lapangan daya imaginasi mereka yang terkandas. Bukan saya mengatakan Islam itu melelahkan ummah. Telunjuk saya sendiri tidak mahu kufur pada Penciptanya. Saya tidak juga mahu mendabik dada pada Yang Maha Kaya Agung. Silap-silap menjadi kufur saya ini. Saya hanya mahu memohon izin dariNya untuk menjentik sedikit hati yang ingin mencari hakikat keindahan Islam itu dengan kudrat yang juga dipinjamkan olehnya.


Mengembara mencari hakikat Islam bukan semudah menyertai ekspedisi merentas empat benua dengan pacuan empat roda. Tapi lebih dari itu. Yang pasti kesesatan dan kefuturan pancari-pencari Islam itu kerana mereka terlalai bahawa ada lompong yang tidak ditampal sebelum menyelam ke dasar samudera. Lompong itu apa? Lompong itulah As-sohihul Aqidah. Akibatnya mereka lemas bahkan maut dalam lautan penipuan dan kejahilan yang mungkin sememang tidak Allah mengizinkan hati-hati yang hanyir itu untuk duduk di atas dipan Yang Mulia ini iaitu Ad-Dinul Islam. Ya Allah, aku tidak mahu menjadi pemangkin murkaMu. Aku hanya mahu terus berusaha menggunakan perca kurniaanMU untuk kembali menyulam Iman yang kian merapuh dilanda terik mendung dunia ini.


Perhentian seketika peluru saya ini adalah dengan saya mahu diri saya mengakui bahawa semua mangsa saya punya hak untuk menfsir segala kalam saya. Tapi doa saya biar mangsa-mangsa peluru saya itu mentakwil segalanya bukan mengikut logika akal yang ada nakhoda yang ditabal secara rasmi yakni Nakhoda Keimanan yang Punya kredibiliti dan diiktiraf oleh Yang Teramat Mulia Tuan Wahyu. Kerana apa? Kerana Yang Teramat Mulia Tuan Wahyu itu begitu istimewa. Begitu sempurna sehinggakan tiada tertanding oleh segala peneraju di dunia. Dan hanya satu yang dapat mengungkap segala keelokkan paras rupa dan sifat miliknya iaitu kerana Dia diturunkan ke dunia ini dengan thoriq yang mulia oleh ALLAH RABBUL’ALAMIN....


1458

26052009

MEJA BULAT MILIK SI BULAT

Friday, May 15, 2009

Mencari NiGelLa SaTiVa

Nigella sativa,
bertebar di seantero dunia
mereneh ribuan bakti
melimpah samudera jasa
mampu kau curah seluas alam raya manfaatmu
meski hanya sesawi tubuhmu

Nigella Sativa
Rupanya kau lebih mulia
daripada si pemilik mata
kau celik meski tak punya mata
tapi si celik itu buta rupanya

mereka buta dari melihat
apa yang kau punya
mereka lebih enak mengendong
entiti yang tidak berwajah
sedang namumu sudah gah
hatta harum melata
di bibir yang mulia
Pembawa Rahmat ke alam Semesta

Wira Akhir zaman itu
tabib yang handal
tapi mereka sasau menilai
masih gila dengan si barat keparat

Nigella Sativa
Ku menapak di BUMI ini
demi menjejakmu
Ada syifa yang ku cari
dalam kerdil tubuhmu
Syifa itu yang ku cari

Aku tidak mahu lagi
terus buta dan sasau
jadi si pendokong yang keji
jadi si bodoh yang hina
yang membuat jiwa mati
asbab mubah terus membusung

Aku ingin jadi
Si cindai yang jernih
putih suci...

Nigella Sativa
Aku terus menjejakmu
Aku terus mengintai wujudmu
mencari wahyu dalam kabut jahiliyyah

Nagilla Sativa
Kau tetap ku buru...

Wednesday, May 13, 2009

Kuis jemari, Lagu Sanubari

Bismillahirrahmanirrahim...

entah kenapa pada sepi malam ini terasa bagai ada yang perlu diisi. sudah lama benar dibiar tinta kalam sunyi tanpa bicara. hanya sesekali terkial-kial mengetuk papan-papan kekunci menukil segala yang tersimpul di hujung akal. sinar sepasang mata terus menerus menjadi pemerhati semarak jingga alam bermadah.melukis segala lukisan alam. tidak pernah mati warnanya. malah menjadi cacamerba. hingga terkadang sang penafsir tersalah memandang. melihat dari dimensi yang berbeza. kekadang menjadi iftitah hati, kekadang membawa seribu persoalan yang menanti jawapan yang belum pasti. bukankah Tuhan telah berbicara, Kalam Suci itu hanya menanti untuk dihayati.

Alam itu juga mahaguru untuk yang ingin menjadi penuntut di madrasah kehidupan. tapi mungkin juga layak menjadi penjara buat yang miliki sekeping jiwa yang kontang. Jika alam itu mahaguru, isi alam itu kantung sang guru. kantung itu berisi. kantung itu juga punya erti.

wahai diri, kalammu mungkin enak didengari. Tintamu mungkin bebas menari. Lagakmu mungkin punya identiti tersendiri. Tapi, itu belum cukup untuk melengkapi segala kebuk-kebuk lantaran masih ada duri yang perlu disingkiri, masih ada madu yeng perlu disaringi. Renung ke dalam rona hatimu. Masih suci putihkah? Atau sudah hanyir hitam pekatkah?

Masih ada waktu yang bisa berimu sedikit kesempatan. untuk terus menuju ke puncak amal. Bisa juga jadi loncatan untuk mendaki Al-Ma'rifah. Carilah DIA dalam setiap sisi rimba kehidupan, kelak dapat melihat sang mergastua yang tahu dia punya TUAN. walau bebas melakar segala sempadan. Tapi tetap ada rasa BERTUAN. tidak keruan andai dia merobek rasa itu. Jangan Jemu menggali segala Hikmah.Pelupuk harapan masih mekar. Sandaran tetap segar pada YANG SATU...

Saturday, May 9, 2009

Bedar Kasih Ummi, Bukan Mega Alam Bandingannya...

Seri Pelangi melakar di dada langit
Bagai Pesona Sang Puteri pada buruj di langit
Gelora di lubuk sukma tetap membadai
walau semanis senyuman dihulur di celahan rekahan resah

Wahai Sang Pelangi
Serimu tetap takkan sama
Walau dijalin dengan seribu lagi warna
Wahai Sang Puteri Pesonamu tak sehebat mana
Walau ditambah semega lagi ukiran buruj

Kerana padaku
Seri wajah Ummi lebih agung
dari segala kecantikan seisi bumi
Kerana bagiku juga
Pesona kasih Ummi nun jauh lebih hebat
membunga di dasar jiwa
Nun lebih tinggi dari buruj
yang mendada di hamparan langit dunia

Namun
Bimbang di colek resah
Tsunami merobek
Gundah andai diri telah mencarik
Cebis hati Ummi
lelah memikir
Ke mana dan di mana
Pengganti Lirih Kasih Ummi
Yang tiada penghujung

Hatta senyuman ku hulur
Bukan beerti
ku sudah bangun dari dengkur
Jangan terus tersungkur
RahmatNya harus terus diukur
Agar dapat jadi Anak yang akur

Ummi,
Ku tetap menghitung hari
Ku tetap mengintai ke sisi
Andai ada ruang untuk
terus mengunjur sedikit kudrat
Agar bisa dapat menjadi Sang Anak
Yang berada dalam sandaran redhamu
serta Redha Al-Muhaimin..

~Salam Selaut Cinta Buat Insan Agung Bergelar UMMI~

YA UMMI ENTI MAHBUBATI...

Friday, May 8, 2009

Hijab Sang Perindu

Mengemis kasih Tuhan
Mengintai Redha Ar-Rahman
Bagai meniti tipis titian perit
Menanti untuk kecundang
Membara ruh untuk terus mengembara
Di anjung sana tersadai harapan
Di simpang sana ada pilihan

Mungkin Kelar meninggalkan kesan
Namun manisnya lebih terasa
tatkla pesona iman mula mekar
Ku bina hijab ini...

Hijab Sang Perindu
Bukan kerana ukiran dunia
Hijab Sang Perindu
Dibina Kerana rindu
Dipasak kerana ingin menyatu
Dibentang kerana mahu pulang pada Yang Satu

Hijab Sang Perindu
Moga tetap dalam kalbumu
Moga tenang jiwamu
Namun jangan bisa alpa
Ada duri sedang menantimu
Walau salju sakinah yang menjadi buruanmu...

Sunday, May 3, 2009

Sang Pencinta Medan

Salam ku sapa buat sang Pencinta Medan
Lembah menantimu untuk dijelajahi
Denai menunggumu untuk dijejaki
Lereng-lereng jabal setia menumpah segala isi
Sedia menanti dan menunggu untuk
Diteroka langkah sang perwira

Wahai pejuang srikandi dunia
Biar sedikit jenuh
Namun cinta padaNya jangan luluh
Wahai Pejuang Srikandi Cinta
Tinggi pandanganmu menembusi tujuh langit dunia
Namun jangan kau lupa
Melangit lagi Ketentuan Yang Esa
Berpasaklah di atas Aqidah mu yang Haq
Agar bisa terus meluncur
Mengembara di kembara fantasi
Demi mengejar realiti di kota ukhrawi