Monday, January 10, 2011

Periksa!

Bismillahirrahmanirrahim.

Jom periksa.

Peperiksaan paling besar dan paling penting serta paling hebat soalan dan keputusannya.

PERIKSA HATI!

Ibnul Qayyim berkata:

“Periksalah hatimu pada tiga keadaan : ketika kamu membaca al-Quran, ketika dalam majlis zikir dan ketika kamu bersendirian dengan tuhan. Sekiranya kamu dapati hati kamu kosong maka hendaklah kamu meminta pada Allah menganugerahkan hati pada mu. Sesungguhnya kamu tidak ada hati.”


“ Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah iman mereka apabila dibacakan ayat2 Allah swt dan berserah hati mereka pada tuhan.” (Ayat 2 surah al-Anfal)

Stamina hati perlu sentiasa di perkasakan latihannya demi menempuh panjang perjalanan hidup yang belum tahu bila penghujungnya. Tiada lain latihannya, hanya tafakur dan zikrullah mampu mempertahankan keteguhannya.

Salam imtihan~

Tuesday, January 4, 2011

Hamasah dan Hikmah: Membugar Sinergi Sunnah

"Jom ke sekolah!"

Bersemangat benar si kanak-kanak itu. Menggalas bebanan beg di pundak yang hampir seperempat berat tubuhnya, dengan gaya penumbuk tangan menujah ke langit, gagah mengatur langkah ke sekolah. Mana tidaknya, sesi baru, tahun baru, sepatu baru, baju baru, guru baru, pendeknya semua baru!

Ini cerita di tahun baru persekolahan. Tapi, yang pasti fitrah kanak-kanak memang begitu hendaknya. Hidup penuh dengan semangat. Kaya dengan keazaman. Tiada istilah takut untuk mencuba dalam kamus hidup mereka.

Yang lebih pasti adalah mereka berani untuk kalah kecundang atau jatuh salah pada setiap inci percubaan!


Ajaib bukan semangat sang kanak-kanak? Setiap satu yang lahir di
bibirnya adalah tulus dari hati. Hasratnya, hasrat yang kudus tiada langsung calit hitam yang menoda. Semangatnya, semangat segar dari jiwa. Kudratnya mengalir dengan penuh tekad selari dengan semangat yang membara.

Ada mungkinnya bergegar langit dunia pada setiap kalimah semangat yang dihamburkan si kecil itu. Biar kerdil tubuh, tapi hamasahnya perkasa. Subhanallah. Inilah fitra
h si kecil yang tiada cela. Mengapa tidak kita singkap apa rahsianya?

Benar-benar rindu saat ini~



Kunci Rahsia.

Bila sudah menjejak tangga dewasa, rupanya kita kian jauh meninggalkan 'kehebatan' zaman kanak-kanak. Mengapa tidak kita ulangi kisah ‘kehebatan’ kita yang juga pernah menelusuri saat-saat menjadi si cilik. Formula mudah menyingkap ‘kisah kehebatan’ ini adalah kembali kepada kunci utama. Ini kuncinya:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan untuk (memimpin) manusia, (kerana kamu) menyeru kepada kebaikan dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu sendiri beriman kepada Allah…”. (surah ali imran:110)

Kerana kita Khairu Ummah! Kalimah yang begitu membangunkan jiwa. Sedari peniupan ruh tatkala jasad masih terbenam di perut ibu yang gelita, kita sudah bersemangat menyahut cabaran tuhan untuk menjejak kaki ke bumi, menyebak sinar mentari di langit dunia. Inilah sejarah sulung kehebatan manusia tercatat di lembaran takdir.

Sejak itu iltizam dan tekad mula tertanam. Meneruskan pengembaraan di bumi yang pancarobanya bukan calang-calang.

Kehebatan kita di alam kanak-kanak adalah kerana kita adalah insan terpilih. Dalam banyak-banyak yang terpilih, kita pula tersenarai dalam kelompok muslim. Pendeknya, menjadi anggota pertubuhan yang sangat selamat. Itulah pertubuhan ISLAM.

Lebih hebat lagi, apabila kita disenarai pendek pula oleh Allah swt menjadi Khairu Ummah, menjadi khalifah.

Nah! Kita sudah singkap rahsia pertama!

Kehebatan Khairu Ummah!

Rahsia Kedua, mungkin perlu jadi kanak-kanak seketika.

Hai! Saya Syifa Si Comel..
=)

Mari mengeja bersama saya:

'Ha' 'Mim' 'Sin' 'Ta'[marbuthah]--->
HAMASAH!

*sila rujuk kamus: kalau salah ejaannya menjadi kura-kura maksudnya (x_x)
'Ha' 'Kaf' ' Mim' 'Ta'[marbuth
ah]--->
HIKMAH !

Ini selingan semata-mata. Saya sekadar mahu mengekstrak 2 perkara daripada karakter si cilik ini: Hamasah dan Hikmah.

................................................................................................................................................

Hamasah: Perlu menjadi anggota HAMAS kah?

Di awal lagi, saya menerbitkan kalimah ‘semangat’ sebagai pembuka layar. Hamasah atau dalam terminologi asal bahasa arabnya berasal daripada perkataan hamasa membawa makna kata semangat. Pastinya anda tidak perlu menjadi anggota Hamas hanya untuk meraih semangat untuk meneruskan hidup. Tetapi, saya menganjurkan saya dan anda meneladani semangat juang mereka. Saya kira jika anda menelusuri catatan kisah As-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin, sudah cukup membakar dan menyemarakkan kobar semangat anda.

Semangat yang saya katakan ini, bukanlah hanya semangat yang suam-suam kuku. Tetapi, semangat yang mampu membawa ke arah merealisasi dan dan merealitikan impian dan cita-cita. Biar apa pun natijahnya, biar apa pun kadaran masa perolehan hasilnya, pastinya semangat ini memiliki daya tujahan yang sentiasa meningkat. Punya kekuatan untuk kembali melonjak saat penangan ujian datang merudumkannya.

Kanak-kanak yang menjadi subjek perbicaraan kali ini tidak lain hanya kerana mahu membugarkan kembali karakter milik si cilik ini dalam diri kita yang ‘dewasa’. Kata orang makin lama, makin usang. Barangkali semangat dan keazaman kita turut sama usang di mamah usia yang kian bertambah, kian lapuk dek panas hujan ranjau kehidupan. Benar, renik-renik peluh kepenatan, keluh dengus kelesuan dan kehampaan seringkali mencelah-celah di ruang kehidupan yang menyesakkan.

Kanak-kanak Zaman Baginda Rasulullah SAW

Mengapa tidak kita hirup setitis ibrah sunnah baginda Rasulullah SAW? Semangat yang sediakala dimiliki oleh kanak-kanak ini sentiasa dipanaskan bara kemaraannya demi membentuk peribadi yang unggul. Peribadi yang mampu terus hidup dalam suasana tumbesaran yang cacamerba cabaran dan halangannya. Tiada sebab untuk kanak-kanak di zaman baginda SAW kelihatan mandom/ rendah kerana didikan dan teladan Rasulullah SAW yang begitu berjaya menyemarakkan kemaraan semangat dan keazaman mereka. Pasti anda kenal dengan nama-nama masyhur ini Zaid bin Tsabit (ra), Usamah bin Zaid (ra),Samurah bin Jundub (ra) dan Rafi’ bin Khadij (ra).

Merekalah antara kanak-kanak bertuah yang menerima sentuhan langsung didikan Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah SAW membangkitkan semangat juang dan jihad dalam jiwa mereka sehinggakan mereka sering berlumba-lumba menjadi calon yang terpilih ke medan perang bersama baginda SAW.

Tersentuh dengan keletah mereka menjelang peperang Uhud. Ketika mana pemilihan anggota perang dibuat, Khadij r.a menyatakan hasratnya kepada Rasulullah SAW untuk membawa Rafi’ r.a, anaknya ke medan perang.

Khadij (ra) berkata,

“Rafi’ anak saya ini pandai memanah.”

Seiring dengan pembelaan ayahnya tersebut, dengan semangat waja, Rafi’ menjijitkan kakinya agar terlihat lebih tinggi. Agar ia kelihatan pada pandangan Nabi SAW. Diizinkan Allah SWT, Rasulullah mengizinkan Rafi’ bin Khadij (ra) ikut berperang.

Melihat keberhasilan Rafi’ (ra), maka Samurah bin Jundub (ra) merayu ayah tirinya, Murrah bin Sinan (ra):

Ayah, Rafi’ diperbolehkan ikut berperang, sedangkan saya tidak, padahal saya lebih kuat daripadanya. Jika adu tanding, pasti saya dapat mengalahkannya.”

Rasulullah SAW memperkenankan usulannya, sehingga keduanya ditandingkan di hadapan Rasulullah SAW. Ternyata Samurah bin Jundub (ra) dapat mengalahkan Rafi’ bin Khadij (ra). Kemudian Samurah diizinkan beliau untuk ikut berperang.

Pertandingan itu benar-benar membangkitkan semangat anak-anak yang lain, sehingga banyak diantara mereka yang kembali mengajukan permohonan kepada Rasulullah agar mereka diizinkan untuk ikut berperang. Bagaimanapun akhirnya Rasulullah hanya membenarkan beberapa anak saja yang dapat menyertai peperangan ini. Subhanallah.

Seharusnya, jejak-jejak ini perlu ditanam dalam diri kita. Jangan biarkan kobar semangat kita ketika kanak-kanak dahulu lesap dibawa arus zaman. Didiklah diri menjadi insan yang paling bersemangat dalam melakukan semua perkara hatta sekecil perkara. Saya percaya natijahnya pasti cemerlang!

Jom terbang!

Hikmah: apakah itu dan bagaimana?

Mungkin biasa telinga dan mata tertancap pada kalimah Hikmah. Ya, hikmah itu banyak sekali tafsirannya. Cuma, di sini saya sekadar memetik seruas definisi hikmah.

Melihat dunia dari kacamata kanak-kanak.

Ya, dunia dari kacamata kanak-kanak penuh dengan imaginasi. Tapi, kenapa tidak imaginasi ini di julang menjadi realiti jika kita sudah ada daya dan kudrat? Kerana apa? Tiada lain, kerana kita dewasa. Yang telah diiktiraf kemampuan akalnya. Mampu menimbang buruk baik percaturannya.

“maka tidakkah mereka memerhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana cara Kami bangunkannya dan menghiasinya dan tidak terdapat sedikit retak pun?” Qaf:6

Anjuran Allah SWT begitu banyak sekali dalam Kitab Al-Aziz yang menuntut kita memerhati dan berfikir. Pengamatan yang baik pada setiap peristiwa dan kejadian di sekeliling kita pasti membuahkan hasil. Kebaikan atau teladan, pengajaran atau peringatan. Segalanya boleh dinobatkan pada setiap layar kehidupan yang merentang di hadapan.

Realiti adalah imaginasi yang dibumikan. Amat berbeza dengan angan-angan. Angan-angan hanyalah khayalan kosong yang merampas makna masa dan harapan.

Maka, pandanglah segalanya dengan pandangan hikmah. Jika berimaginasi, lakarkan impian yang ada tekad dan kudrat yang mampu diletakkan bersamanya. Biar kita jadi umat Baginda SAW yang besar jiwanya, yang perkasa cita-citanya. Optimis pendek katanya.

Oh ya, mungkin kita perlu amati kembali kisah janji Rasulullah SAW tentang penaklukan Kota Konstantinopel itu. Janji itu bukan janji kosong. Tapi simbolik sikap optimis Baginda SAW. Walau bukan pada zaman itu kota tersebut ditakluk Islam, tetapi al-Fatih itu yang berjaya membongkar natijah daripada sikap optimis Rasulullah SAW, malahan menjadi penyambung jejak-jejak usaha generasi sebelumnya.

Ladenilah Kanak-kanak itu.

Menyudu kata dari mangkuk bicara si penulis skrip laskar pelangi di Indonesia sana:

‘saat itu aku menyadari bahwa kami sesungguhnya adalah kumpulan persaudaraan cahaya dan api. kami berjanji setia di bawah halilintar yang menyambar-nyambar dan angin topan yang menerbangkan gunung-gunung. janji kami tertulis pada tujuh tingkatan langit, disaksikan naga-naga siluman yang menguasai Laut China Selatan. kami adalah lapisan lapisan pelangi terindah yang pernah diciptakan Tuhan’ – Laskar Pelangi – Andrea Hirata

Laskar Pelangi, sisipan cita-cita si cilik

Saya yakin, penulis ini juga pernah mendokong karakter kanak-kanak suatu ketika dulu. Bahkan, survivor zaman yang dibawanya berjaya diterjemahkan pada sisipan birai masa dan usia. Jika benar realiti ini, kalian lihatlah, kudusnya pandangan si anak-anak ini. Perhatiannya yang penuh hikmah. Berusaha meneroka ertinya kebenaran. Tegar menggalas cita-cita. Meneliti segala peluang demi pendirian dan hak yang perlu dipacakkan. Subhanallah.

Ya, mungkin kanak-kanak kini atau zaman yang pernah kalian lalui, diselubungi penuh kasih sayang, diselimut kesenangan dan kemewahan. Ruang lingkup pemikiran dan pandangannya juga begitu terhad pada keseronokan semata-mata. Namun, selaklah sebentar di birai jendela dunia. Mungkin di penghujung dunia sana, kalian temui kanak-kanak sekental Ayat Al-Akhras atau senekad Faris Audah. Pastinya perhatian mereka penuh cita-cita. Bukan sekadar melepaskan diri dari senak derita bahkan mungkin juga hasrat mencacak panji Agama ISLAM adalah lebih jauh mengangkasa daripada kita.

Kini, Kita Bukan Kanak-kanak

Kerana kini kita bukan kanak-kanak, maka berpijaklah di bumi nyata. Amanah tuhan lebih jauh menimbun di pundak untuk dilangsaikan. Usah tenggelam dengan kesenangan yang berpanjangan. Singkap-singkaplah ruang amanah yang tidak tertembus dek akalmu. Terlalu banyak lopong di sana yang menuntut kita isi dan dalami.

Tuntasnya, tidak salah meneladani sinergi Hamasah dan Hikmah kanak-kanak ini. Malahan kita sedang membidik 2 perkara dalam satu masa. Ya, kita sedang membugarkan kembali sunnah Baginda SAW dalam diri kita.


Akhir kalam,
Jom Hidupkan Sunnah!

Dari Ibnu Abbas ra. bahwa Nabi SAW yang berkata:

"Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi)

Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbedaan, aitu katanya: Baginya pahala orang yang mati syahid. (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44)


.::wallahualam::.

nota sisi:

1)Selamat menjalani peperiksaan buat seluruh anak dagang di Ardil Kinanah!

2) Jangan menipu, memang saya rindu pada taman yang satu ini~


Ini taman yang pernah mengasuh saya!