Thursday, April 14, 2011

Kalau Kasih, Bukan Itu Caranya!

Bismillahirrahmanirrahim..

Lama kekunci elektronik ini kemas berkunci. Menipu jika dikatakan kerana kekangan masa. Sedang sumpah Allah SWT dengan masa pada mereka yang kikir pada erti melambungkan harga masa. Jangan lekas melatah pada masa, sedang kudrat belum cukup semput meratah rajahan hidup yang cacamerba ruangnya. Nah, calitkan pada birai sisi hidup, jangan ada basi terperuk pada ruang yang sia-sia.

Maaf, ini tanda kasih. Tanpa aksi yang paling baik untuk dipersembah. Tapi, hanya bersandarkan pada percaya. Maka dinobatkan padanya langkah pertama. Memang payah. Hanya kerana firmanNya: Faizamta Fatawakkal 'Alallah.

Berat bahu memikul. Senak dada menahan. Buntu kepala memerah. Mana tidaknya, mencungkil-cungkil bungkusan maruah yang kemas balutan pendiriannya. Kerana menjaga nilai maruahlah ku persembahkan ini buatmu.

Semalam raungan si ibu memecah ruang hampa teratak itu. Bergegar lagi arash tuhan dengan jerkahan si anak itu. Ya, dalam benar tusukannya mengena hati sang ibu. Semalam juga, jiwa si anak itu puas. Puas menghambur semua yang terbenam di lubuk hati. Menuntut hak kebebasan dari berkasan. Benar kau rasakan perlu bebas dari berkasan si tua. Ya, kerana merasa dia cukup dewasa.

Wahai anak, ku percaya kau bahagia dengan duniamu sekarang. Malah lebih aku yakin kau sangat kasih akan kebebasanmu sekarang. Tapi, buatmu ingin ku katakan:
Kalau kasih, bukan ini caranya!

Ku kira, kau sendiri buta akan apa maknanya kasih.
Kasihmu itu hanya pada erti yang sementara. Tahukah kau kasih itu juga akan menyedut nyawamu sehari demi sehari. Rakus meragut ruhmu sesaat demi sesaat. Percayalah, suatu ketika saat sedutan itu tinggal seinci, betapa engkau pasti terpanggil membayangi rakaman-rakaman penderitaan 'kasih'mu.

Andai benar kau kasih pada kebebasan. Kau perlu memaknai kembali kebebasan apa yang kau kejari? Cuba engkau carikkan sedikit benang tafakur di hatimu. Andai benarlah bebas itu ertinya tiada batasan pada setiap tindakan untuk melunaskan semua kehendakmu, maka nyatakan padaku keperluan apakah yang tidak pernah mencukupi dalam setiap rinci hidupmu?

Nafasmu masih panjang untuk terus menikmati kehidupan. Inderamu masih bagus untuk membantumu meneroka bumi tuhan. Malah, bumi tuhan yang kau pijakkan sekarang masih belum bergegar membelah badannya menelan sosok tubuhmu. langit masih cerah memayungimu, belum lagi sampai titahNya untuk roboh membinasakan dirimu!

Jika benar kau kasih pada dunia bebasmu, patut kau tahu menyantuni semua keperluan ini!
Nafasmu, perlu kau bayarkah? Bumi ini dihadkan kah untuk kau jejak? Langit ini disekatkah inderamu untuk menikmati keindahannya? Nah! Kau lihat sendiri. Kau rasakan sendiri.

Andai engkaulah ibu yang menelan jerkahan anak sepertimu semalam, pasti engkau akhirnya akan melutut kesal menerima 'anugerah' itu dari tuhan. Ya, mungkin engkau boleh menunding jari mempersalahkan kudrat ibumu yang tidak bijaksana menyusun atur peribadimu. Tapi, pernah engkau belajar untuk menyantuni kudrat lemah ibumu itu selama membesarkan mu semenjak engkau hanya sebesar tapak tangan. Mengapa tidak ibumu hanya melenyek-lenyekkan tubuhmu saat engkau kecil dahulu?

Ya, kerana kasih! Kerana peri kemanusiaan. Malah, lebih utama lagi kerana percaya akan kudrat tuhan. Hanya kerana hidangan kebebasan dunia engkau tewas pada makna kasih. Kasih kau hanya kasih tiruan. Percayalah, penipuan maha besar pada hatimu. Engkau sendiri resah dengan langkahmu. Lara sentiasa jiwamu.

Engkau tahu apa itu percaya? PERCAYA itu adalah ikatan. Ikatan yang ada pergantungan. Pada siapa engkau bergantung? Nah, engkau ada jawapannya? Ya, gantunganmu hanya pada dunia yang ada pengakhirannya!

Sedang bukankah tali tuhan itu tiada penghujung. Malah bersambung-sambung.
Engkau, jika sudah tiada lagi wajah simpati pada ibumu, cukuplah untuk engkau hulurkan secicip kasih untuk dirimu sendiri.

Kalau kasih pada dirimu, bukan itu caranya. Aku percaya, syahadah itu masih menjunjung pada hatimu. Hanya perlu kau ketuk semula benakmu. Aku percaya kau cukup pintar membedakan erti kehidupan dan kehancuran. Jangan tertipu dengan kasih keduniaan. Semuanya akan meninggalkan mu kelak. Sedang sosok tubuh ibumu itulah anugerah buatmu.

Pernah engkau mendengar ratapannya saban malam?
Mengadu pada tuhan akan keperitan hidup yang menyesakkan.
Perit jerih membesarkan fizikal dan jiwamu. Pernah engkau selami apa kata hatinya saban hari?
Yang sentiasa jenuh mencari sekelumit kekuatan menghidangkan mudengan bunga-bunga kebahagiaan. Menurut semua kemahuanmu, mengelak dari luka hatimu dan sedih jiwamu. Pernahkah untuk dalami semua itu?

Kau tahu kudrat si tua itu kian usang.
Hanya menanti detik dan waktunya.
JemputanNya bakal tiba. Mungkin esok, mungkin lusa.
Percayalah, belum terlambat untuk kau sambut kembali
tangan ibumu. Sisihkanlah titis jernih dari kelopok mata ibumu.

Sulami kembali nilai kasih di hatimu.
Kasihilah jiwamu yang pernah suci suatu masa dahulu.
Bukankah itu fitrah kejadianmu?
Kasihilah nilai anugerah sang ibu dari tuhan buatmu.
Itulah, nilai kasih yang menyambungkan talimu pada tuhanmu.
Talian hayat buatmu saat menghadap persoalan tuhan buatmu.
Ya, kerana kasihku juga buatmu, ku persembahkan ini untukmu.

Percayalah.
Kalau kasih, bukan itu caranya!

No comments: