Friday, April 29, 2011

Menongkah Arus!

Bismillahirrahmnirrahim:..

Salam Sayyidul Ayyam. Moga belahan langit hari ni dilimpahan rahmat buat seluruh jiwa yang mendasari makna pengabdian diri. Amin..

Kadangkala, kita tidak dapat menolak desakan-desakan diri yang mahu menongkah arus yang sedia ada terbentang di depan mata berbanding hanya larut dan hanyut mengikut arus. Ya, kadang-kadang ada untungnya jadi orang yang menongkah arus. Kenapa tidak? Tahukah anda, ramai motivator terkenal meletakkan indikator 'gila-gila' adalah ciri-ciri insan kreatif. Dan kebiasaannya, gila-gila itu ditakrifkan sebagai berani menongkah arus. Jadi, saya percaya. Tidak dapat tidak, menongkah arus itu kadang-kadang jadi keperluan.


Apa yang hendak ditongkahkan?

Cuba lihat ini:

“Pasukan yang hebat adalah apabila ahlinya mampu untuk saling menampung kekuatan dan kelemahan yang dimiliki.”

Anda setuju? Barangkali, ya. Tapi ini yang mahu ditongkahkan.

Teringat kala menjadi pelajar di bangku sekolah, selalu 'team work' ditekankan dan disumbat-sumbatkan doktrin bahawa KERJA HEBAT hanya terhasil dengan TEAM YANG HEBAT. Saya tidak nafikan. Malah, saya telah berada dalam arus ini sejak berdekad. Tambah-tambah lagi tika di anjung Puteri, 'batch spirit', 'house spirit' hatta 'dorm spirit' pun dipintal-pintal dalam cadar identiti diri si PUTERI! Sehinggakan kayu ukur semua prestasi ini dinilai pada sistem MERIT yang begitu intim bagi setiap pergerakan pelajar! Sampai-sampai seorang kaunselor sekolah saya melabelkan kami sebagai ROBOT! Bunyi seperti agak sadis, tapi itu realiti!

Untuk apa semua ini? Tidak ada lain jawapannya. Semata-mata kerana demi kelangsungan produk manusia yang berkualiti yang miliki daya bukan sahaja unt mencapai keunggulan prestasi individu bahkan demi membentuk komuniti yang hebat! Hebat bukan? Semua itu juga secara tidak langsung melayarkan pada kita ceritera tentang kepimpinan!


Tapi, usia dan pengalaman sedikit sebanyak cuba menggugah doktrin ini. Bukan untuk menjejaskan prestasi, sebaliknya demi langkahan yang lebih berpendiri!

Mungkin kadangkala, sukar untuk memahami semua perkara.
Memang, kadang-kala ilmu yang sampai ke benak belum tentu sampai ke hati. Boleh jadi, masa dan ketika yang jadi penentu tahap kefahaman pada ilmuyang dipateri. Pernah terbias pada mata saya, menatap titipan seorang penulis:


"tidak semua perkara sampai pada orangnya, sampai juga pada masanya,

tidak semua yang telah sampai masanya telah sampai juga pada orangnya."


Oleh itu, jangan rasa resah dengan ilmu yang anda peroleh tapi belum cukup kudrat untuk anda menghadamnya. Pengalaman dan masa akan memasak ranumkan ilmu anda.


Kembali kepada TEAM YANG HEBAT tadi. Sahabat intim komuniti adalah kepimpinan. Pasti ianya menuntut kepada kapasiti individu untuk mengisi lajur kepimpinan. Intipati yang merajah arena kepimpinan adalah kerjasama dan sokongan. Saya percaya, ramai antara kita yang meyakini bahawa kekurangan sesebuah barisan kepimpinan itu dapat ditampung apabila setiap ahli barisan kepimpinan itu mampu memanfaatkan kemampuan dan kelebihan masing-masing untuk mencorak kepimpinan mereka yang tersendiri. Yang lebih penting mereka mampu menampung kekurangn dan kecacatan rakan sepasukan daripadan merenjatkan kredibiliti kepimpinan mereka.


Namun, saya sekadar cuba menarik anda untuk kembali membetulkan haluan persepsi ini atau dengan kata lain menambah panji pendirian ini agar lebih terhala dan lebih berhati-hati panduannya. Lihat pula cebisan ini:



انزلو الناس منازلهم

“Posisikan manusia pada posisi mereka” ( HR Abu Daud da Sahih Hakim)

Lihat, betapa Baginda Rasulullah SAW begitu teliti mengajarkan kita strategi kapimpinan. kebijaksanaan meletakkan seseorang itu di posisi yang betul sesuai dengan kemampuan dan kepakarannya, pasti menjamin kemaslahatan dan keuntungan buat pasukan pimpinannya




Saya loretkan ini. Mari nilai sama-sama nilai dan perhalusi. Benar, dalam kerja berpasukan saling melengkapi adalah keperluan. Tapi, terlebih dahulu sebelum itu perlu kita ingat, meletakkan individu yang betul pada kemampuan yang betul dan pada kedudukan yang betul adalah syarat wajib sebelum pasukan itu menyatukan tenaga kemudian barulah kekuatan dan kelemahan dapat diselaraskan. Tidak dapat tidak, berbalik kepada kemampuan individu!


Jika, sejak awal lagi telah meletakkan individu yang salah, pada kedudukan yang salah dan kemampuan yang lemah, Awal-awal lagi pasukan itu telah menempa panji kehancuran untuk pasukan itu!


Maka, tidak keterlaluanlah jika saya mengatakan bahawa kekuatan dan kelebihan yang dimiliki oleh individu dalam sesebuah pasukan belum tentu menjamin
kelemahan individu dapat ditutupi dan kegagalan individu itu dapat dihindari. Karisma dan kredibiliti bukan satu perkara yang boleh ditampung ditutupi
sesuka hati melainkan memang untuk mereka yang ahli!

Sekadar mencerahkan pandangan...walahualam

Saturday, April 16, 2011

Inspirasi Al-Kahfi

Bismillahirrahmanirrahim..

"Hati-hati baca buku tu." Pesan ayah tatkala menoleh melihat saya membelek salah satu buku di maktabah ayah.

Jarang ayah berpesan demikian untuk mana-mana buku yang saya sambar untuk tatapan. Tapi, kali ini, buku Membangun Syurga (Tafsir Surah Al-Fatihah), serius benar pesanan ayah. Itulah juga kali pertama saya menatap tulisan Nur Cholis Madjid. Itu semua gara-gara operasi saya menyelongkar maktabah ayah selama 3 bulan terperuk di teratak seusai SPM.

Tanpa disangka, rupanya kali ini bedahan ke atas buku Ashabul Kahfi oleh Maslahul Falah (terbitan Media Insani) merapatkan semula jodoh bacaaan saya dengan tulisan Nur Cholis Madjid atau lebih dikenali sebagai Cak Nur. Maslahul Falah rupanya turut tidak ketinggalan meneliti cebis-cebis tulisan beliau. Saya sepatutnya perlu menyelongkar maktabah ayah lebih awal lagi untuk memahami konsekuansi penulisan-penulisan beliau. Tapi, apakan daya memang kelembapan daya saya masih tidak mampu membongkar semua isi maktabah. Rugi. Usia muda, otak masih segar tapi sayang ketekunan masih tumpul.

Sebaiknya, ditangguh dulu perbicaraan tentang Nur Cholis Madjid kerana kajian saya masih campung tentang tulisan-tulisan beliau. Tapi, cukup saya katakan Indonesia sudah memiliki jutaan lambakan penulis-penulis sehinggakan pengemis-pengemis ilmu berkejar-kejar menceduk semua bahan hamburan mereka. Sehingga kadang-kadang para pembaca perlu begitu benar-benar berhati-hati untuk menadah benak menerima semua hasil-hasil penulisan perbahasan mereka. Budaya penulisan dan perbahasan secara ilmiah seolah-olah sudah mendarah daging dalam masyarakat mereka.

Umpamanya, hari ini seorang Penulis A di sana membahaskan tentang sesuatu disiplin ilmu menurut kajian dan kehafamannya, maka esok harinya pasti akan ada lagi Penulis B yang menerbitkan hasil karyanya sama ada untuk menjawab semua perbahasan yang ditulis oleh Penulis A atau mungkin menambah baik penulisan si Penulis A. Saya melihat, para ahli akademik dan ilmuan di sana cukup proaktif dalam pembudayaan ilmu.

Tapi nyata, saya hampa apabila menoleh ke sisi negara tercinta. Sudahlah masyarakat kian sakit nilai akhlaknya, makin sakit bila nilai intelektual turut hampir lumpuh. Mungkin kelihatan seperti isu lapuk, kerana seingat saya ketika terkial-kial saya menulis karangan Bahasa Melayu di tingkatan satu, tajuk kerendahan nilai intelektual dan ketandusan bahan ilmiah di negara sering menjadi tajuk pilihan guru bahasa melayu saya. Aduh! hanya kurang 2 tahun dari sedekad saya meninggalkan bangku tingkatan satu, tapi pola masyarakat tampaknya masih seperti siput! Mungkin, revolusi masih belum bertapak dalam minda dan jiwa masyarakat di tanah air.

Ya. Kerana anjakan kemahuan dan keazamanlah jiwa dan minda masyarakat terdahulu mula mengalami transisi-transisi pola pemikiran lantas membentuk tamadun manusia yang begitu membanggakan. Tak perlu melangkah jauh. Cukuplah untuk kita berbangga dengan ilmuan Islam yang ribuan itu. Tiada lain kuncinya adalah menceduk semula sejarah mereka. Sejarah ketekunan mereka, sejarah kajian mereka.

Bedahan ke atas buku Ashabul Kahfi juga tidak ketinggalan membawa pembaca menyorot satu persatu catatan sejarah sebagai inti utama perbahasan isu Al-Kahfi. baik dari sorotan pandangan ilmuan Islam mahupun bukan Islam.

Keratan tulisan Ziauddin Sardar (Rekayasa Masa Depan Peradaban Muslim, 1993) turut bersetuju bahawa dorongan untuk mempelajari sejarah membuatkan pengkajinya terinspirasi untuk menentukan corak tindakan yang merupakan natijah kepada penilitian dan penilaian terhadap sebuah nilai sejarah.

"...sesunguhnya ada dorongan besar untuk mempelajari sejarah dalam Islam. Gagasan utama mengenai penilaian diterapkan untuk mengevaluasi tindakan-tindakan masa kini. Kerana seluruh tindakan seseorang dan motif-motif yang mendasari tindakan tersebut cukup berperan dalam pembentukan masa depannya, termasuk msa depan setelah kematiannya, maka apapun yang dilakukan kelmarin, tidak akan terhapus hari ini, begitu juga dengan tindakan hari ini yang tidak akan terhapus esok." (39)

Cuma seperkara yang saya mahu contengkan di sini. Bahawa pola penentuan tamadun manusia sudahpun termaktub nasibnya. Hanya tinggal kita melunaskan kajian dari sejarah lampau. Nilai semula, dan lorekkan langkah yang seterusnya. Ya. Kelihatan seperti teori. Tapi saya percaya, melalui rakaman peristiwa-peristiwa yang kian mengasak masyarakat dunia hari ini, jika kembali diteliti, pola keseluruhannya hampir sama. Semuanya adalah natijah dari sejarah. Sama ada baik atau buruk cuma itu bezanya.

Saya ambil satu contoh mudah. Dalam surah Al-Anbiya' : 25

"Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan kami mewahyukan kepadanya, " bahawasanya tidak ada tuhan melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku."

Meneliti ayat ini, membuktikan kepada kita bahawa telah tersurat dalam rahim sejarah bahawa sejak penurunan rasul Allah ke muka bumi, tugas mereka tidak lain adalah menyeru kepada Allah atau lebih popular istilahnya adalah Ud'u Ila Allah (dakwah ila Allah).

Maka, mahu tidak mahu perintah agung ini perlu dituruti oleh semua manusia di mana-mana zaman. Apabila mengaku pejuang agama, maka tanggungjawab mereka adalah menyeru manusia kepada Allah. Bukan membidikkan padanya kata pendua atau berlapis-lapis tujuan pengakhiran matlamat seruan mereka.

Tidak dinafikan, kini sudah begitu ramai yang tersedar bahawa diri mereka adalah 'duta' yang bertanggungjawab membawa seruan menghayati agama Islam. tapi , malangnya kadang-kadang langkah tersadung ditengah jalan menyebabkan matlamat berubah laluan. Seruan Ila Allah rupa-rupanya telah bersulamkan seruan sampingan yang mungkin berkepentingan yang tersendiri. Barangkali juga kefahaman belum benar-benar mendasar pada jalan yang ditempuh.

Pesanan untuk diri dan yang menatap hati dan minda di jalan ini, tuangkanlah kefahaman yang sahih dalam gayung perjuangan. Agar segar dan tidak tercemar jalan perjuangan dakwah Ila Allah ini.

Ya, sejarah sudah banyak merakamkan betapa kemenangan itu hampir, tapi langkah kita yang kadang-kadang melambatkannya. Satukanlah matlamat pada jalan dan posisi yang paling sahih, kelak natijah sejarah itu pasti baik polanya.

Pemuda Al-Kahfi dan Qitmir benar-benar menginspirasi untuk kembali mengevaluasi nilai keutuhan aqidah dalam perjuangan. Sejarah Al-Kahfi juga berjaya membuka mata untuk kembali belajar untuk menyusun strategi tindakan melalui tribulasi dan ancaman. Anda bijak? Jika ya, bedahlah sejarah Al-Kahfi. Pasti anda terinspirasi satu keajaiban untuk azam dan aksi anda.

Wallahualam.


Thursday, April 14, 2011

Kalau Kasih, Bukan Itu Caranya!

Bismillahirrahmanirrahim..

Lama kekunci elektronik ini kemas berkunci. Menipu jika dikatakan kerana kekangan masa. Sedang sumpah Allah SWT dengan masa pada mereka yang kikir pada erti melambungkan harga masa. Jangan lekas melatah pada masa, sedang kudrat belum cukup semput meratah rajahan hidup yang cacamerba ruangnya. Nah, calitkan pada birai sisi hidup, jangan ada basi terperuk pada ruang yang sia-sia.

Maaf, ini tanda kasih. Tanpa aksi yang paling baik untuk dipersembah. Tapi, hanya bersandarkan pada percaya. Maka dinobatkan padanya langkah pertama. Memang payah. Hanya kerana firmanNya: Faizamta Fatawakkal 'Alallah.

Berat bahu memikul. Senak dada menahan. Buntu kepala memerah. Mana tidaknya, mencungkil-cungkil bungkusan maruah yang kemas balutan pendiriannya. Kerana menjaga nilai maruahlah ku persembahkan ini buatmu.

Semalam raungan si ibu memecah ruang hampa teratak itu. Bergegar lagi arash tuhan dengan jerkahan si anak itu. Ya, dalam benar tusukannya mengena hati sang ibu. Semalam juga, jiwa si anak itu puas. Puas menghambur semua yang terbenam di lubuk hati. Menuntut hak kebebasan dari berkasan. Benar kau rasakan perlu bebas dari berkasan si tua. Ya, kerana merasa dia cukup dewasa.

Wahai anak, ku percaya kau bahagia dengan duniamu sekarang. Malah lebih aku yakin kau sangat kasih akan kebebasanmu sekarang. Tapi, buatmu ingin ku katakan:
Kalau kasih, bukan ini caranya!

Ku kira, kau sendiri buta akan apa maknanya kasih.
Kasihmu itu hanya pada erti yang sementara. Tahukah kau kasih itu juga akan menyedut nyawamu sehari demi sehari. Rakus meragut ruhmu sesaat demi sesaat. Percayalah, suatu ketika saat sedutan itu tinggal seinci, betapa engkau pasti terpanggil membayangi rakaman-rakaman penderitaan 'kasih'mu.

Andai benar kau kasih pada kebebasan. Kau perlu memaknai kembali kebebasan apa yang kau kejari? Cuba engkau carikkan sedikit benang tafakur di hatimu. Andai benarlah bebas itu ertinya tiada batasan pada setiap tindakan untuk melunaskan semua kehendakmu, maka nyatakan padaku keperluan apakah yang tidak pernah mencukupi dalam setiap rinci hidupmu?

Nafasmu masih panjang untuk terus menikmati kehidupan. Inderamu masih bagus untuk membantumu meneroka bumi tuhan. Malah, bumi tuhan yang kau pijakkan sekarang masih belum bergegar membelah badannya menelan sosok tubuhmu. langit masih cerah memayungimu, belum lagi sampai titahNya untuk roboh membinasakan dirimu!

Jika benar kau kasih pada dunia bebasmu, patut kau tahu menyantuni semua keperluan ini!
Nafasmu, perlu kau bayarkah? Bumi ini dihadkan kah untuk kau jejak? Langit ini disekatkah inderamu untuk menikmati keindahannya? Nah! Kau lihat sendiri. Kau rasakan sendiri.

Andai engkaulah ibu yang menelan jerkahan anak sepertimu semalam, pasti engkau akhirnya akan melutut kesal menerima 'anugerah' itu dari tuhan. Ya, mungkin engkau boleh menunding jari mempersalahkan kudrat ibumu yang tidak bijaksana menyusun atur peribadimu. Tapi, pernah engkau belajar untuk menyantuni kudrat lemah ibumu itu selama membesarkan mu semenjak engkau hanya sebesar tapak tangan. Mengapa tidak ibumu hanya melenyek-lenyekkan tubuhmu saat engkau kecil dahulu?

Ya, kerana kasih! Kerana peri kemanusiaan. Malah, lebih utama lagi kerana percaya akan kudrat tuhan. Hanya kerana hidangan kebebasan dunia engkau tewas pada makna kasih. Kasih kau hanya kasih tiruan. Percayalah, penipuan maha besar pada hatimu. Engkau sendiri resah dengan langkahmu. Lara sentiasa jiwamu.

Engkau tahu apa itu percaya? PERCAYA itu adalah ikatan. Ikatan yang ada pergantungan. Pada siapa engkau bergantung? Nah, engkau ada jawapannya? Ya, gantunganmu hanya pada dunia yang ada pengakhirannya!

Sedang bukankah tali tuhan itu tiada penghujung. Malah bersambung-sambung.
Engkau, jika sudah tiada lagi wajah simpati pada ibumu, cukuplah untuk engkau hulurkan secicip kasih untuk dirimu sendiri.

Kalau kasih pada dirimu, bukan itu caranya. Aku percaya, syahadah itu masih menjunjung pada hatimu. Hanya perlu kau ketuk semula benakmu. Aku percaya kau cukup pintar membedakan erti kehidupan dan kehancuran. Jangan tertipu dengan kasih keduniaan. Semuanya akan meninggalkan mu kelak. Sedang sosok tubuh ibumu itulah anugerah buatmu.

Pernah engkau mendengar ratapannya saban malam?
Mengadu pada tuhan akan keperitan hidup yang menyesakkan.
Perit jerih membesarkan fizikal dan jiwamu. Pernah engkau selami apa kata hatinya saban hari?
Yang sentiasa jenuh mencari sekelumit kekuatan menghidangkan mudengan bunga-bunga kebahagiaan. Menurut semua kemahuanmu, mengelak dari luka hatimu dan sedih jiwamu. Pernahkah untuk dalami semua itu?

Kau tahu kudrat si tua itu kian usang.
Hanya menanti detik dan waktunya.
JemputanNya bakal tiba. Mungkin esok, mungkin lusa.
Percayalah, belum terlambat untuk kau sambut kembali
tangan ibumu. Sisihkanlah titis jernih dari kelopok mata ibumu.

Sulami kembali nilai kasih di hatimu.
Kasihilah jiwamu yang pernah suci suatu masa dahulu.
Bukankah itu fitrah kejadianmu?
Kasihilah nilai anugerah sang ibu dari tuhan buatmu.
Itulah, nilai kasih yang menyambungkan talimu pada tuhanmu.
Talian hayat buatmu saat menghadap persoalan tuhan buatmu.
Ya, kerana kasihku juga buatmu, ku persembahkan ini untukmu.

Percayalah.
Kalau kasih, bukan itu caranya!

Saturday, April 9, 2011

Kau, Aku

Bismillahirrahmanirrahim::.

Kau,
semalam kau kata sejarah
jawabku itu ibrah.

Kau,
mentari kau kata cerah,
jawabku itu rahmah.

Kau,
ujian kau kata pedih,
jawabku itu iman sedang merenih.

Kau,
dunia kau kata tipuan,
jawabku itu sumur buat bangsawan iman.

Kau,
dewasa kau kata bebas,
jawabku itu berkasan taqwa pengawas.

Kau,
bisa apa saja kau kata,
jawabku kalam ku pinjaman semua.

Kau,
hidup ini jenuh kau kata,
jawabku itu hanya buat yang tandus atma.

Kau.
Aku.
Kita khilaf di sini.
Tapi ada temunya.
Kita yang buta.
Atau jidar ego lebih berkota.
Cukuplah DIA yang jadi pembuka.

Yakin,
Kau, aku ada ruang,
ruang menuju hakikat dicipta!