Thursday, June 25, 2009

Kamu Fikir Orang Suka?

Kamu fikir orang suka? Atau sekadar kamu yang suka fikir semuanya baik,mudah dan senang manusia di sekitarmu berlapang dada menerima semuanya daripada kamu?

Sekadar cuba mengetuk benak ini, benarkah selama ini kalam dan perbuatan kita disenangi orang. Sememangnya tidak dinafikan, segalanya hanyalah untuk mendapat redha Allah. Tapi, tumpuannya sekarang adalah mahu difikirkan adakah selama ini ikhlas itu benar-benar subur dalam hati kita. Berapa ramai hari ini yang mampu berdiri gah memberi ucapan berapi di sana sini, memberi motivasi, memberi dorongan dan tidak kurang juga yang menjadikan pena sebagai ganti gemersik suara menutur kalam. Cuma, perlu untuk dipersoalkan untuk apa kita menulis? adakah hanya kerana kita memiliki bakat dalam arena penulisan? Atau kerana minat yang begitu mendalam? Atau juga hanya kerana mahu membongkar dan mencemuh kebobrokan orang? Mungkin juga hanya sekadar menjadikan bidang penulisan sebagai pentas untuk menghentam pihak sana sini dan menyebar fitnah berapi-rapi?atau mungkin juga penulisan itu benar-benar dari sangkar suara hati anda?

Berbicaralah dengan bahasa HATI kerana sapaannya lebih HALUS menyentuh HATI yang lain juga

Jika benar anda menulis kerana tujuan mahu benar-benar menyampaikan apa yang asal dari lubuk kalbumu, maka mesej penulisan itu juga akan mudah menyerap ke atma-atma yang membaca dengan hatinya. sesungguhnya berbicaralah dengan hati. Tapi, sebelum membiarkan bicara hati bebas melakar kata, bersihkannya dahulu daripada segala durja. Sesungguhnya kemuliaan itu hanya singgah pada hati-hati yang benar-benar tulus dan mulus. Kemulusan hati yang suci itu pasti menghasil sesuatu yang suci dan juga sentuhannya juga lebih halus dan lembut menyapa hati-hati lain apabila bertaut dengannya. contohi sahaja Rasulullah SAW, semua yang lahir dari kalam baginda adalah terbit daripada hati baginda. Lahir dengan rasa kasih dan cinta kepada umatnya.

Demikianlah teladan yang baik untuk diteladani. Tidak semestinya perlu berbunga buah bahasa. Cukup dengan bahasa yang mudah difahami dan sesuai dengan si pembaca. Betapa ramai yang tidak sedar, pena itu juga adalah senjata. Mungkin ramai yang bersangka-sangka bahawa mereka yang menulis hanyalah golongan-golongan pencinta sastera semata, atau sekadar bagi mereka yang berperwatakan aneh yang suka menyendiri menyepi, jauh daripada masyarakat.

Mungkin ada sedikit kebenaran. Tapi bukan itu hakikat yang sebenar-benar. Penulisan kini bukan sekadar itu. Malah lebih luas dan lebih jauh menjangkau realiti. Menulis bukan hanya sekadar fantasi bukan juga mimpi. Tetapi jika kita bijak mengolah, pintar berfikir, penulisan adalah seni, seni yang menjadi bayangan dan pandangan dimensi realiti dunia seisinya. Betapa besar peluang dalam bidang penulisan untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat.

Berdirilah di tengah-tengah masyarakat, lihatlah dengan mata hati. Pasti anda menemui betapa banyak perkara yang perlu diteliti. Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan diperbaharui. Maka, tidak cukup hanya sekadar untuk membetulkan semuanya dengan kalam semata kerana kadangkala kalam itu tidak benar-benar mewakili apa yang hati kita mahu luahkan. Jadi mungkin pena adalah saluran yang mampu menggantikannya. Lihat sahaja, betapa ramai tokoh-tokoh besar dunia, semuanya menjadikan pena sebagai teman setia. sehari-hari setia melakar catatan-catatan masa, tekun mencatat segala pengaduan dan permasalahan manusia, sabar pula menjawab dan memberi dan membuka laluan keluar bagi segala kemusykilan. Kadangkala tulisannya juga menjadi ubat bagi sang pesakit, perawat bagi segala kemelaratan, membuah ceria dan bahagia bagi jiwa-jiwa yang ingin merdeka daripada segala duka. Lihat! betapa besar kuasa dan aura pena itu.

Oleh itu, tidak sepatutnya pena yang begitu banyak berjasa itu disia-siakan baktinya. Tidak pula layak untuk mencemar kesuciannya dengan kita menintakan sesuatu yang keji. Ingat ini pesanan Ilahi:

" Apakah orang-orang yang berpenyakit di hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan kejahatannya dan kedengkian mereka?" Muhammad:29

Tulisan yang keji tujuannya melambangkan kebusukan hati penulisnya. mempamerkan kejelikan tingkah lakunya. Betapa rendah dan jijiknya maruah si penulis jika hanya sekadar itu hadaf penulisannya. Tidak salahh untuk menyatakan kritikan, tapi biarlah kritikan itu berganding dengan niat untuk mengislah bukan untuk menghentam dan merendah-rendahkan. Bukankah indah jika demikian wajahnya penulisan.

Tidak susah untuk buatkan orang suka membaca hasil sesuatu penulisan. Meskipun citarasa individu itu berbeza, namun setidak-tidaknya cubalah menapak di hati mereka dengan membawakan sesuatu yang boleh menyuburkan hati, membuka minda dan menjana pemikiran serta melakarkan peribadi yang baik dan terpuji.

Perjuangan kini, bukanlah lagi dengan senjata semata. Kerana musuh-musuh umat terutamanya para kafir laknatullah juga menyerang dengan serangan atas hasil tangan-tangan mereka yang menulis. Pembawakan segala jenis ideologi begitu bebas menempa tempat-tempat dalam bahan-bahan bacaan masyarakat. Jadi, mengapa tidak kita melihat betapa perlu untuk kita meningkah segala kesesatan ideologi itu juga dengan bahasa penulisan bukan dengan bahasa senapang atau bom semata.




Dunia penulisan begitu universal. Maka bijaklah menyantuninya


Penulisan bukan sekadar melakar puisi dan cerita. Dunianya begitu universal. Semua bidang boleh menyatu dengannya. Maka, jadilah antara pejuang pena yang kreatif mengatur strategi untuk memenangi hati para pembaca dan mengubah segala dogma. Biar benar-benar menepati apa yang anda fikirkan dan tidak beratlah untuk memberi jawapan "Ya, mereka suka dengan apa yang saya lakarkan." gandingan bagi soalan "Kamu fikir orang suka?"

Cubalah membuatkan mereka suka dengan apa yang dicoretkan, kerana kelak hal itu bakal meninggalkan kesan yang mendalam buat jiwa-jiwa yang mahu mengerti dan tahu berfikir dengan mata hati.

Renung-renungkanlah, mungkin anda bakal dan sedang menjadi pejuang pena. Kudrat fikiran dan tinta anda diperlukan untuk membawa arus perubahan pada masyarkat dunia dan Islam khususnya.

Uqal pernah mendengar Rasulullah SAW berkata:

"Tidak zahid seorang itu di dunia melainkan Allah menumbuhkan hikmah di dalam hatinya dan Allah petahkan (lancarkan) lidah dia untuk bertutur dan Allah memperlihatkan kepadanya keaiban dunia dan ubat untuk merawat dunia dan Allah akan membawa dia keluar daripada dunia menuju Darussalam (syurga) dengan selamat"

~pena tetap menjadi senjata pilihan

No comments: