Thursday, June 18, 2009

Hidup Yang Hidup, Mati Yang Hidup

Bismillahirrahmanirrahim...

Pelikkah tajuk catatan kali ini? Barangkali 'YA' jika anda tidak menyental baik-baik akal fikiran anda. Bicara kali ini hanya sekadar perbicaraan biasa tapi mungkin bakal mengundang sesuatu yang luar biasa jika saya dan anda masing-masing mahu memberi sedikit ruang kepada akal untuk meneliti dan kepada iman untuk menilai.

Hidup yang hidup. Tidak ganjil bukan? Kerana sememang menjadi lumrah sesuatu yang hidup itu pasti miliki kehidupan yang tersendiri. Bukan sekadar itu yang saya mahu ketengahkan. Kehidupan bukan sekadar diisi dengan hirupan dan hembusan nafas insan bergelar manusia. Bukan juga sekadar menelusuri harian hidup daripada seorang bayi suci yang tidak mengerti yang mengalami perubahan demi perubahan, anjakan demi anjakan sehinggalah bergelar dewasa yang punya identiti. Akhirnya mengendong janjian fitrah 'sesuatu yang baharu' untuk kembali menghadap Sang Pencipta. Bukan sekadar itu wahai teman! Menguak dimensi yang berbeza. Menanggung di pundak gelaran dan 'jawatan' sebagai muslim dan khalifah pastinya menuntut sesuatu yang lebih saksama dan lebih bermakna.

Jadi panas hati ini apabila menatap satu persatu insan menempa tiket-tiket 'kezaliman'. 'Kezaliman' apa itu? Banyak sekali wahai teman. Membiarkan diri terus dibelenggu jahiliyah. Atau mungkin juga sudah 'alim(kaya dengan ilmu) tapi berperilaku umpama masih hidup di gua batu. Hilang tamadun kemanusiaan. Tiada nilai-nilai identiti insan. Hidup tidak dipandu iman. Nafsu yang jadi TUHAN. Kehidupan yang benar-benar hidup bukan begini coraknya. Ketuk sedikit pintu benakmu. Baginda Rasulullah SAW sudah merenjiskan penawar dan panduan yang baik:

"Jikalau ada engkau berakal utamalah engkau,jika ada engkau bersopan maka budimanlah engkau,jika engkau berharta maka bangsawanlah engkau, dan jika ada tawa maka beragamalah engkau" (HADIS)

HAMKA juga memberi ingatan yang baik buat mereka yang ingin hidupnya benar-benar hidup. Cuba perhatikan baik-baik nukilannya dalam karyanya Falsafah Hidup:

"Gerak-geri dalam sopan, duduk tegak dalam adab, fikir dahulu baru amal, jangan hanya terdorong-dorong sahaja. Bukan hidup sembarangan hidup, khinzir di hutan juga hidup, tapi hidup dengan harta orang. Anjing di desa juga hidup, tapi hidup dengan lebihan tulang-temulang. Kucing di rumah juga hidup, tetapi hidup dengan makan sisa. Hidup insan lain letakknya. Lazat akal sempurna rasa, mulia hati lautan fahaman, penuh melaut kira-kira."

Biarlah hidup ini benar-benar bermakna. Bukan hidup dengan menerima sebanyak-banyaknya, tapi memberilah dengan sebanyak-banayknya. Buat mereka yang menobatkan diri sebagai pejuang. Harus diingat perjuanganmu adalah tanpa nama. Bukan Nama dan kemegahan yang dicari, tapi kebenaran yang ingin dituntut. Biarlah apa pun lapangan bidang kita, semarakkanlah Islam di dalamnya. Jangan jadi hamba kepada kehendak dan nafsu semata. jangan sekali-kali membiarkan segala virus sekularisme,liberalism atau cacamerba lagi 'ism' menular dalam diri. Islam bukan boleh dipilih-pilih mana suka, mana yang enak dengan kehendakmu. Tapi, Islam itu universal. Rugilah mereka yang hanya berjuang memenuhi kebuk kehidupan duniawi. Tapi tercicir untuk memenuhkan kantung unkhrawi. Lagaknya bagai robot atau setepatnya boneka permainan pentas dunia. Pengakhirannya hanyalah tersadai di sudut pentas. mungkin dipijak mungkin juga dinista dan diinjak apabila sudah usang tidak berguna. Janganlah enak dengan kenikmatanmu sekarang.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Makasyafatul Qulub (Penenang Hati) menukilkan ingatan daripada Rasulullah SAW untuk membangkitkan yang lena, menyedarkan yang lali dan menyegarkan yang lesu.

"Banyaklah mengingati perosak kelazatan, Ertinya dengan itu kita patahkan kelazatan hingga putus tiang-tiang untuk kemudian menghadap Allah SWT."

Maka, ubat segala kemanisan adalah MATI! Jika mati sentiasa diingati, masakan sanggup kamu turun ke lembah maksiat. Masakan enak bergurau senda. Sedangkan amal masih senteng. Ibadah masih campung.

Syair karya Mus'ar Bin Kaddam menghentam hebat;

"Wahai orang yang tertipu oleh dunia!
Siang engkau tidur dan malas melampau

Malam pun kau tidur dan hina.
Kau tertipu oleh sesuatu yang fana

Kau bahagia dalam khayalan, persis orang tidur yang tertipu dengan kelazatan
Akhir kesibukanmu hanyalah kebosanan
Demikianlah kehidupan haiwan-haiwan."

Erti 'Hidup yang hidup' adalah apabila setiap nadi yang berdenyut itu hanyalah di tasbihkan untuk NYA. setiap gerak geri itu hanya bersandar pada redhaNYa. Biarlah di bumi mana di campakkan. Tapi, tetap merasakan dirinya dipandang oleh YANG MAHA MENYAKSIKAN.

Demikianlah erti 'Hidup yang Hidup'

Bagaimana pula 'Mati yang Hidup'?

Cukup sekadar di sini untuk ditegaskan, bahawa jika tatkala nafasmu sudah terhenti dan sudah dikuburi jasadmu di bawah bumi, tapi ruh juangmu masih lincah bersilat di atas muka bumiNYa. Itu tandanya Matimu itu Hidup. Lihat saja pada rentetan hidup mereka yang terdahulu. Yang punya sejarah teragung, yang melakar jutaan warna bagi perca lukisan zaman. Peribadi Rasulullah SAW sendiri sudah cukup memberi motivasi. Nama-nama seperti Muhammad Al-Fatih (Sang Penakluk Konstantinopel), Salehuddin Al-Ayyubi, Sheikh Yassin, Izzudin Al-Qasam, Syed Qutb,Al-Banna dan ribuan lagi nama yang tidak tersebut di sini. Biar jasad sudah berkubur, namun pemikiran mereka, perjuangan mereka, semangat mereka, pendirian mereka atau apa-apa sahaja pembawaan mereka memberi kesan yang cukup mendalam buat mereka yang tahu menyantuni dan meneladani sejarah silam mereka.

"Dan jiwa dan penyempurnaannya. Maka Dia (ALLAH) memberikan ilham kepadanya (jiwa itu) jalan kejahatan dan ketaqwaan" (AL-An'am:17)

Pilih satu antara dua. Jiwa yang hidup selamanya dengan nafas ketaqwaan pada-Nya atau sekadar Jiwa yang hidup dengan nafas dunia semata. Jika pilihan yang pertama yang bertakhta di akalmu, maka tiada kelelahan dalam kamu mengejar kehidupanmu. Kerana pasti akan ketemu puncak kehidupan itu.

Wahai TEMAN janganlah hanya sekadar menjadi BONEKA hiasan pentas DUNIA. Tapi, jadilah kita dengan sebaik-baik kejadian yang telah ditentukan olehnya. Hidup demi pengabdian untuk-Nya. Jangan sekadar kobar semangat tika muda. Tapi luluh semuanya tika tua renta. "Hiduplah dengan sebenar-benar kehidupan, Biar matimu mencipta sebuah lagi kehidupan"

'Hidu Yang Hidup, Mati Yang Hidup'

No comments: