Tuesday, November 23, 2010

Membilang Jari Yang Tinggal



Sepertiga malam menjemput lagi. Hening malam tiada seli suara-suara sang unggas. mengatur langkah di balik tabir malam. Hanya mengharapkan lindungan Tuhan. berkali-kali hati berzikir melantunkan Al-'alaq. Memohon perlindungan dari sebaik-baik pelindung.

medan sekeliling ternyata, hanya runtuhan bangunan ya
ng ranap menyembah bumi. kerikil-kerikil tajam sesekali menyapa tumit kaki.

Di balik timbunan-timbunan itu, bagaikan ada sesuatu yan
g menarik untuk diterokai. Berhati-hati langkah diorak. Sesosok Tubuh kecil sedang menyendiri di situ. Kelihatannya jauh merenung sesuatu.Entah Hilang ke mana segala ragu, lantas tangan menyentuh, kalam menyapa. "Wahai kamu si anak kecil, apa yang kau lakukan sendirian di balik runtuhan ini?"

Si anak kecil mulus itu lantas menoleh, "aku sedang membilang jariku yang tinggal. Aku menghitung berapa hari lagi yang mampu aku aku berjuang. Sejak dua hari lepas, jemari kaki dan tanganku kian berkurang. Aku mahu terus berjuang. Aku menghitung sebanyak-banyak kudrat yang mampu aku gunakan untuk pertahankan segala milik kami di sini. Di balik runtuhan itu ada saudara maraku. Malah kedua ibu bapaku. Biar nanti aku ada jawapan untuk tuhan atas apa yang telah DiA berikan."


Terpana sebentar. Melabuhkan duduk di sisi, bicara bersambung. "wahai anak kecil, ayuh ku bawakan kamu ke tempat yang lebih baik buatmu."

Anak kecil itu lantas menggeleng.

"wahai kakakku yang mulia, sesungguhnya aku bahagia di duniaku ini. Sesungguhnya aqidah dan maruah kami terus teguh di celahan runtuhan bangunan-bangunan yang menyembah bumi. Sesungguhnya, aku lebih bahagia untuk menjawab persoalan tuhan ke atasku untuk segala yang aku dan kaum kerabatku hadapi di sini. Pulanglah kamu ke tempat asalmu. Sesungguhnya, teman kamu di sana lebih derita dari kami. Mereka lebih memerlukan kamu berbanding kami di sini. Aqidah dan maruah mereka telah sama sekali ranap malah lebih jauh ranap ke dalam bumi di celah-celah kemajuan dan ketinggian bangunan-bangunan kamu yang mencakar langit."



Khali. Tiada lagi kalam mahu diluncurkan. Tanpa disedari, tubir mata sudah berkaca. Anak kecil itu sudah mengatur langkah tempang jauh meninggalkan hening malam itu. Hilang di balik celahan bangunan meninggalkan aku sendirian.

"Ya Ayyuhal Muzammil. Qumillailla illa qalila!" Garau suara entah dari mana menyedarkan aku.

Hijab malam terangkat. Terkebil-tebil mencari arah. Hilang segala runtuhan bangunan. Tiada pasir-pasir debu dan kerikil tajam. Yang ada hanyalah ruang 4 segi dan malam yang gelita. Lantas kalam dari jiwa bersuara:

"Wahai kamu anak kecil, besar sungguh cita-citamu. Perkasa sungguh cita-citamu. Ya, aku yang perlu pulang. Tanah airmu sudah terbela dengan semangat juang dan kobar aqidah insan-insan seperti kamu. Tanah airku bagaimana?"

Anak Kecil, Engkau membilang jari yang tinggal untuk meneruskan perjuanganmu. Tapi aku, yang masih punya segala kenikmatan, Pernahkah dihitung bagaimana dan ke mana ku perjuangkan?Astaghfirullah. Ya Allah, apakah ini inzar darimu atas segala amanah yang diabaikan?

Wallahualam

Friday, November 19, 2010

Untuk Kamu Along

Asslamualaikum wbt.

Untuk kamu Along,
mungkin dinding catatan ini sudah lama sepi,
kalam di kotak-kotak itu mungkin sudah lama bisu,
tapi angin dan bulan masih setia,
jadi makhluk yang taat,
walau awan kadang-kadang mendung,
walau petir ganas membelah,
mereka masih tetap di sana,
tunduk zuhud pada namanya
aturan dan ketentuannya tuhan.

Along,
hanya secebis ibrah di situ,
carilah kekuatan,
binalah keyakinan,
kekuatan demi menggalas segunung harapan,
keyakinan demi meneruskan perjalanan.

Along,
biar darah yang mengalir dalam tubuh itu
sentiasa panas dengan didikan Rabbani,
Didikan yang menjulang semangat Ansarullah tertinggi
biar udara yang dihirup itu
segar dengan keimanan,
Keimanan yang menerobos renik-renik kefuturan
biar jantung yang saksama itu
berdegup dengan zikir
Zikir yang menjauhkan hati dari sifat kikir

Along,
jangan terlalu bersandar pada harapan
kalau cita-cita tidak dibumikan
jangan terlalu leka melakar
kalau penangan ombak ujian belum dibongkar
jangan lekas letih pada kudrat yang dipertaruhkan
kalau langkah pertama tidak diintrospeksikan

Along,
hanya satu
kamu itu bukan sendiri
AL-KHALIQ sentiasa disisi
usah resah pada kelelahan hari-hari yang datang
DIA lah sebenar-benar kekuatan
Cuma perlukan seruas keberanian
Seulas pengorbanan
Terokalah langit di atas sana
Bongkarlah denai di bawah sana
Biar duri mencucuk kanan dan kiri
Biar ribut beliung menyerang bawah dan sisi
Kamulah Along
Yang Luh Mahfuz Catatkan sebagai nakhoda di bumi

Along,
Inilah kemuliaan
Inilah sandaran
Inilah hari hadapan
Inilah harapan

Untuk Kamu Along
Bukalah Langkah
Hebatkan pencak di gelanggang tarbiyah
Kelak hebat pertarunganmu di medan natijah!



Tuesday, November 9, 2010

Apa Khabar Kamu?


Assalamualaikum w.b.t

Hai mata yang bisu, hai tangan yang kelu, apa khabar kamu?
Tidak salah bukan ku bertanya khabarmu?
Kerana aku mahu kamu tahu,
biar kamu tidak punya kudrat sehebat lidah yang mencanang ke hilir ke hulu,
tapi kamu masih punya kudrat yang tersendiri untuk menabur bakti walau sesudu.
Ku harap infiniti horizon capaianmu tidak menceroboh ruang-ruang larangan Tuhan.
Ku harap juga kamu tidak lupa akan sahammu
menjaga panji maruah sang manusia.




Hai hati yang terlindung, kamu pula bagaimana?
Masih cantikkah kerudung yang menabir kamu dari coret-coreng al-wahn?
Aku percaya saban hari semakin hebat ribut ombak
datang meruntun kerudung itu.
Aku hanya mampu bicara sama Tuhan:
Hai Tuhan, kerudung pada hati itu kian tipis,
penyakit dunia makin mesra dengannya,
penawar al-qiyamah makin jauh menyisih daripadanya,
kau turunkanlah tenteramu sebagai benteng,
Kau lampirkanlah kesaksamaan sang iman untuk memandu bantera hati itu.

Hai kamu sang pancaindera berenam,
Ku harap kau tahu kau bukanlah hak milik hakiki,
Tapi ku mahu kau mengerti kau adalah kurniaan,
Di situ ada erti Rahmah Tuhan,
Di situ ruang agar kau bukan lari dari landasan fitrah bertuan,
Tapi agar kau menginsafi maknanya kepatuhan,
jauh dari penderhakaan,

Peringatan buat kamu juga,
berenam atau tempang terkorban atau gugur berkorban,
Kau tetap
Ada tujuan, ada pengakhiran, ada pembalasan, ada ganjaran.
Jadi,
Apa khabar kamu?



Friday, October 29, 2010

Polisi Pendidikan Manusiawi


Bismillahirrahmanirrahim

Persepi, budaya dan kekuasaan
Ini adalah cebis-cebis nutrisi untuk polisi pendidikan manusiawi
cuba singkap sisi-sisi mana yang sempurna terisi
kalau bukan dicoreng-coreng dengan pendustaan pada makna hakiki







Ya, catatan sejarah memang sudah ditoreh-toreh
kita hanya menikmati darah 'bahagia' dari torehan itu
dan mengirup didikan yang sudah bernanah

apa lagi jalannya
kalau bukan kembali bongkarkan di mana yang ditoreh
zahirkan kembali akar nilai-nilai manusiawi
yang diletakkan pada benar yang hakiki



Sunday, October 24, 2010

Kura-Kura Manusia

..:Bismillahirrahmanirrahim:..

Sudah Kelu
Biar sang kura-kura yang berlagu merdu
DIA lagi tahu apa itu sendu


Mana boleh ikan kucing duduk seperdu
inikan pula jahil dan batil jadi sebulu
bukankah zalim namanya itu?


Kalau bukan namanya pungguk
manakan tunggu rembulan yang lesu
Kalau bukan namanya hajat
mana dia kuda putih belantara

Kota larangan jangan ditembus
andai pedang digenggam belum terasah
selamat tinggal saja
kura-kura sudah muak bicara
biar Tuhan jadi penentu utama!

Saturday, October 23, 2010

Amanah Ini Bukan Mainan!


Bismillahirrahmanirrahim

"Pembangunan perlu terus dilaksanakan kerana dunia ini dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk manusia, bukan untuk malaikat atau makhluk lain. Namun pembangunan yang kosong rohaninya hanyalah umpama pokok besar yang akarnya buruk dan reput. Daunnya sekalipun merimbun tidak akan lama menaungi, masanya tersemban jatuh sangat mudah. Di antara ajaran penting dalam Islam ialah dunia ini bersambung dengan akhirat dan ini tidak ada di dalam ajaran ideologi yang lain selain Islam. Oleh yang demikian, sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata!" (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat)


Thursday, October 14, 2010

Ilmu dan Da'I

Assalamualikum wbt.

Seawal terbit mentari pagi ini, jemari saya ligat menyelongkar fail-fail lama dalam komputer riba. Alhamdulillah, terjumpa saki baki penulisan saya ketika zaman kanak-kanak rebina dulu-dulu. Zaman baru nak kenal dunia. Dengan harapan tidak tersadai basi dalam folder, saya semadikan di sini. Moga kalian yang sudi bertamu, beroleh cebisan yang bermanfaat.

Seingat saya, penulisan ini ketika saya mencecah usia 18 tahun. Produk segar dari bangku alam persekolahan. Transisi ke horizon mahasiswa. Barangkali kalian akan menemui banyak kecacatan. Mohon untuk dibetulkan haluan-haluan yang salah dalam penulisan ini. Mohon dibaiki apa yang cela, diintropeksi apa yang sumbing. Moga ada nilaian di sisi Allah SWT kelak.

.........................................................................................

Di kesempatan yang sedikit ini, insyaallah ana ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang moga-moga dapat menjadi intisari perjuangan dan insyaallah juga menjadi peringatan bersama. Kandungan yang serba dhoif ini mungkin juga atas kesinambungan perolehan titipan ilmu yang kita peroleh ketika daurah ilmi yang lalu. Di sini ana tertarik untuk berkongsi dan barangkali memanjangkan diskusi pada daurah tempoh hari bersama kalian berkenaan Ilmu dan Da'i.

Persoalan yang seringkali menujah pemikiran kerdil ini adalah: Cemerlangkah langkahku sebagai seorang Da'i? mungkin pada dasarnya masih terlalu muda dan mentah pengalaman dan pengetahuan yang ada dalam medan ini. Dan sebetulnya masih belum ampuh diri ini untuk memegang karisma seorang da'i. Maka,pencarian perlu diteruskan dan pastinya pencarian ini tidak pernah berakhir. Persiapan-persiapan yang benar-benar rapi perlu kita sama-sama lampiri.

Yang pasti, tanpa benih yang berkualiti mana mungkin mampu membuahkan hasil yang berkualiti. Oleh itu, benih-benih itu perlu dicambah dengan keperluan-keperluan yang benar-benar menepati piawaian-piawaian yang mampu menempa dan menempuh sebarang keadaan jua tatkala melempiaskan pucuknya di muka bumi kelak. Dalam konteks kita sebagai manusia normal yang kepingin mendapat tempat termulia disisiNya dengan menobatkan diri sebagai seorang da'I maka, tidak dapat tidak persiapan yang terutama ialah menjadikan Ilmu sebagai nakhoda utama penggerak bedar pelayaran di samudera perjuangan.

Menyorot pandangan Dr. Yusof Al-Qardhowi dalam kitab beliau, Kritik dan Saran Untuk Para Da'I yang menyarankan bahawa antara persiapan penting seorang da'I ialah persiapan dari sudut pemilikan ilmu dan pengetahuan. Beliau menegaskan antara persiapan ilmu dan pengetahuan yang harus dimiliki dan disajikan kepada para da'i meliputi beberapa cabang. Antara cabang-cabang berikut ialah:

- Ilmu pengetahuan Islam
- Pengetahuan Sejarah
- Pengetahuan Bahasa dan Kesusasteraan
- Pengetahuan Kemanusiaan
- Pengetahuan Ilmiah dan
- Pengetahuan Kenyataan-Kenyataan/ semasa (Fenomenologi)

Jika didasarkan pada kenyataan-kenyataan beliau maka, dapat ditafsirkan di sini bahawa sebagai seorang da'I bidang pengetahuan dan penguasaan ilminya haruslah bersifat universal dan fleksibel. Mengapa di sini, ditekankan penguasaan ilmu seorang da'I bukan dalam ruang lingkup ilmu-ilmu Islam sahaja bahkan ilmu-ilmu lain seperti pengetahuan sejarah misalnya turut melangit hendaknya dalam kedudukan ilmu-ilmu para da'i? jika dilihat dari sudut penguasaan ilmu sejarah; hal ini adalah disebabkan sejarah merupakan antara guru yang begitu setia dan tidak pernah menipu muridnya. Buktinya, sejarah adalah masa lampau. Masa lampau adalah pengalaman. Dan pengalaman adalah antara sumber ilmu dan pengajaran ; pastinya hal ini akan dilalui oleh setiap insan. Kalam Suci Al-Qur'an sendiri memiliki ribuan catatan sejarah yang menuntut kita sebagai muslim yang mengimani Al-Qur'an sebagai sumber wahyu, untuk kita mencicip pengajaran dan teladan daripadanya.

" dan sungguh, kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penjelasan, dan contoh dari orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan sebagai pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa" (Annur:34)

Perjuangan seorang da'I juga pastinya tidak lari daripada bercampur gaul dengan manusia yang berbilang ragam. Maka, kukuhlah alasan untuk seorang da'I untuk terjun ke dalam lembah masyarakat dengan membawa daya pemikiran dan gaya pergaulan yang benar-benar mampu menambat hati para mad'u dan hakikatnya pembawaan karisma seorang da'I dalam reality masyarakat dewasa kini perlu diperkasa dengan penguasaan ilmu dan kemahiran yang pelbagai. Tuntasnya, da'I yang kreatif dan kritis dilahirkan atas tunas-tunas ilmu dan aplikasi yang membentuk uslub(cara) dan maudhu' yang dapat disampaikan secara berkesan kepada mad'u tanpa tercicir walau sezarah pun kandungan kesyumulan Islam. Jadi, tidak hairanlah jika Dr. Yusof Qordhawi menggariskan ilmu-ilmu yang telah disebutkan di atas harus tersenarai dalam koleksi dalam gedung-gedung ilmu para da'i.

Menyebut tentang uslub atau kaedah-kaedah penyampaian dakwah, perlu untuk diingatkan pada diri kita bahawa adalah menjadi kewajipan kita untuk memahami prinsip-prinsip yang bertepatan dengan uslub dakwah yang sebenar agar tidak tempang langkah kita kelak dalam menyampaikan kebenaran Islam. Dr. Ali Mahmud dalam bukunya Tarbiyah Dzatiyah telah memberi landasan kaedah dakwah yang ana kira cukup relevan untuk dipraktikkan. Kaedah-kaedah tersebut ialah :

- Qudwah qabla Da'wah : teladan sebelum dakwah
- Ta'liful qulub qabla ta'rif : tautan hati sebelum memperkenalkan
- Ta'rif qabla taklif : memperkenalkan sebelum membebankan
- Taysir la ta'sir : memudahkan bukan menyusahkan
- Tadarruj fi takalif : berperingkat dalam memberi bebanan@tugasan
- Usul qabla furu' : Prinsip sebelum cabang
- Targhib qabla tarhib : khabar gembira sebelum peringatan
- Tafhim la at-talqin :memberi kefahaman bukan sekadar menyampaikan
- Tarbiyah la at-ta'riyah : mendidik bukan membela
- Tilmiz al-imam la tilmiz al-kitab : berguru dengan imam@guru bukan berguru dengan buku.

Seandainya semua saf da'I itu benar-benar memahami, arif serta mempraktikkan kaedah-kaedah ini, pastinya matlamat dan pergerakannya lebih padu dan terarah ke destinasi sebenar seorang pejuang di medan dakwah, insyaallah.

Berbalik kepada persoalan ilmu dan da'I, Dr.Yusuf Qordhawi turut mengatakan:
" Seorang da'I itu pada hakikatnya adalah pemberi. Dia perlu kaya dengan ilmu dan pengetahuan"

Benarlah yang dikatakan ; orang yang tidak memiliki apa-apa, tidak mampu memberi apa-apa.

Di sini ingin juga ana berkongsi bersama kalian kata-kata seorang ilmuan agung masa kini. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam kenyataan lisan beliau yang dirakamkan menjadi sebuah buku: Risalah Untuk Kaum Muslimin (terbitan ISTAC) mengatakan:

" ilmu itu merupakan peringatan, gambaran akal, renungan, pandangan batin. Ilmu adalah suatu sifat yang menghapuskan kejahilan, shak dan dugaan. Ilmu itu kenyataan sesuatu dari pihak dirinya sendiri. Ilmu itu cahaya yang diletakkan oleh Allah SWT dalam kalbu.."
(ruj: perenggan 17: m/s : 52)

Persoalan penguasaan ilmu sememangnya telah acap kali kita dengari. Cumanya, bagaimana kita memanipulasikan cara mendapatkannya serta menzahirkannya dalam bentuk amalan sehari-hari. Di sinilah di ukur sejauh mana kebijaksanaan kita menguasai keadaan dengan secarik bekalan ilmu yang dimiliki. Sesungguhnya, dalam mengorak langkah sebagai pejuang, pastinya kadangkala tersadung dan adakalanya juga rebah tersungkur ke bumi. Tatkala itu, hanya ilmu yang didasari iman dan taqwa padaNya mampu menyuntik semula kekuatan dan membakar semangat untuk kembali segar dan tegar menyambung larian perjuangan yang tiada penghujungnya.

Oleh itu, ayuh kita renung sejenak dan layarkan kembali kisah perjuangan para mujahidin terdahulu untuk diamati. Bandingkan langkah mereka dan langkah kita. Tilik semula onak dan badai perjuangan mereka dan perjuangan kita. Berapa jauh pengorbanan yang dilakukan mereka berbanding kita. Sedalam mana jurang kepahitan dan keperitan antara mereka dan kita. Dan akhirnya singkap semula sumbangan dan peranan mereka berbanding kita. Sedarkah kita bahawa terlalu kerdil dan kecil perjuangan kita dibandingkan mereka??? Ayuh! Kita renung dan muhasabah kembali siapa kita. Lontarkan kembali persoalan-persoalan ini pada diri kita. Sudah cukupkah persiapan kita? Ikhlaskah nawaitu kita? Ke manakah arah tuju kita? Kukuhkah pengharapan kita padaNYA? Adakah kita benar-benar seorang pendokong panji-panji Islam?

Dan di sini juga, persoalan yang dilontarkan di awal persada bicara dikemukan semula untuk menuntut bicara jawapan. Cemerlangkah langkahku sebagai seorang da'i?? jangan dibiar persoalan ini hanya tersadai sepi, ketuklah benakmu, berkomentarlah dengan imanmu, tuntutlah jawapan dari sukmamu, dan pancarkan segalanya pada tingkah dan amalmu. Moga segalanya benar bersama iringan panduan dan pimpinan Yang Esa, insyaallah.

Ana menutup tabir kalam ana pada kali ini, dengan meninggalkan kalian secalit bicara daripada Hassan Al-Basri untuk renungan bersama, insyaallah.

"di antara ciri-ciri seorang muslim itu adalah kuat dalam memegang agama, selalu melakukan kewajiban dengan baik meskipun diberi keringanan oleh agama, memiliki iman yang kuat, santun, lemah lembut, memberi dalam kebenaran, berhemat sekalipun mampu, bersabar dalam situasi sulit, tidak terkalah oleh marah, tidak tertumpas oleh hawa nafsu, akan memberi maaf andainya teraniaya dan memaafkan orang yang berbuat salah kerana kebodohannya. Ia akan berusaha mencapai semuanya, sehingga orang yang melihatnya akan berada dalam kebahagiaannya" ~ Hassan Al-Basri

Moga-moga kita beroleh secebis manfaat daripadanya. Seandainya punya sebarang kelemahan pada penulisan kali ini, ana menyusun jari memohon seribu kemaafan. Teguran dan ajaran daripada kalian amat diharapkan. Insyaallah dapat dijadikan panduan dan pembaikan pada masa hadapan, insyaallah. Wallahua'alam.

Hingga ketemu lagi pada ruangan masa yang lain. Salam'alaik.

Liqa' 3 in 1 APIS
18/9/2008