Tuesday, January 4, 2011

Hamasah dan Hikmah: Membugar Sinergi Sunnah

"Jom ke sekolah!"

Bersemangat benar si kanak-kanak itu. Menggalas bebanan beg di pundak yang hampir seperempat berat tubuhnya, dengan gaya penumbuk tangan menujah ke langit, gagah mengatur langkah ke sekolah. Mana tidaknya, sesi baru, tahun baru, sepatu baru, baju baru, guru baru, pendeknya semua baru!

Ini cerita di tahun baru persekolahan. Tapi, yang pasti fitrah kanak-kanak memang begitu hendaknya. Hidup penuh dengan semangat. Kaya dengan keazaman. Tiada istilah takut untuk mencuba dalam kamus hidup mereka.

Yang lebih pasti adalah mereka berani untuk kalah kecundang atau jatuh salah pada setiap inci percubaan!


Ajaib bukan semangat sang kanak-kanak? Setiap satu yang lahir di
bibirnya adalah tulus dari hati. Hasratnya, hasrat yang kudus tiada langsung calit hitam yang menoda. Semangatnya, semangat segar dari jiwa. Kudratnya mengalir dengan penuh tekad selari dengan semangat yang membara.

Ada mungkinnya bergegar langit dunia pada setiap kalimah semangat yang dihamburkan si kecil itu. Biar kerdil tubuh, tapi hamasahnya perkasa. Subhanallah. Inilah fitra
h si kecil yang tiada cela. Mengapa tidak kita singkap apa rahsianya?

Benar-benar rindu saat ini~



Kunci Rahsia.

Bila sudah menjejak tangga dewasa, rupanya kita kian jauh meninggalkan 'kehebatan' zaman kanak-kanak. Mengapa tidak kita ulangi kisah ‘kehebatan’ kita yang juga pernah menelusuri saat-saat menjadi si cilik. Formula mudah menyingkap ‘kisah kehebatan’ ini adalah kembali kepada kunci utama. Ini kuncinya:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan untuk (memimpin) manusia, (kerana kamu) menyeru kepada kebaikan dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu sendiri beriman kepada Allah…”. (surah ali imran:110)

Kerana kita Khairu Ummah! Kalimah yang begitu membangunkan jiwa. Sedari peniupan ruh tatkala jasad masih terbenam di perut ibu yang gelita, kita sudah bersemangat menyahut cabaran tuhan untuk menjejak kaki ke bumi, menyebak sinar mentari di langit dunia. Inilah sejarah sulung kehebatan manusia tercatat di lembaran takdir.

Sejak itu iltizam dan tekad mula tertanam. Meneruskan pengembaraan di bumi yang pancarobanya bukan calang-calang.

Kehebatan kita di alam kanak-kanak adalah kerana kita adalah insan terpilih. Dalam banyak-banyak yang terpilih, kita pula tersenarai dalam kelompok muslim. Pendeknya, menjadi anggota pertubuhan yang sangat selamat. Itulah pertubuhan ISLAM.

Lebih hebat lagi, apabila kita disenarai pendek pula oleh Allah swt menjadi Khairu Ummah, menjadi khalifah.

Nah! Kita sudah singkap rahsia pertama!

Kehebatan Khairu Ummah!

Rahsia Kedua, mungkin perlu jadi kanak-kanak seketika.

Hai! Saya Syifa Si Comel..
=)

Mari mengeja bersama saya:

'Ha' 'Mim' 'Sin' 'Ta'[marbuthah]--->
HAMASAH!

*sila rujuk kamus: kalau salah ejaannya menjadi kura-kura maksudnya (x_x)
'Ha' 'Kaf' ' Mim' 'Ta'[marbuth
ah]--->
HIKMAH !

Ini selingan semata-mata. Saya sekadar mahu mengekstrak 2 perkara daripada karakter si cilik ini: Hamasah dan Hikmah.

................................................................................................................................................

Hamasah: Perlu menjadi anggota HAMAS kah?

Di awal lagi, saya menerbitkan kalimah ‘semangat’ sebagai pembuka layar. Hamasah atau dalam terminologi asal bahasa arabnya berasal daripada perkataan hamasa membawa makna kata semangat. Pastinya anda tidak perlu menjadi anggota Hamas hanya untuk meraih semangat untuk meneruskan hidup. Tetapi, saya menganjurkan saya dan anda meneladani semangat juang mereka. Saya kira jika anda menelusuri catatan kisah As-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin, sudah cukup membakar dan menyemarakkan kobar semangat anda.

Semangat yang saya katakan ini, bukanlah hanya semangat yang suam-suam kuku. Tetapi, semangat yang mampu membawa ke arah merealisasi dan dan merealitikan impian dan cita-cita. Biar apa pun natijahnya, biar apa pun kadaran masa perolehan hasilnya, pastinya semangat ini memiliki daya tujahan yang sentiasa meningkat. Punya kekuatan untuk kembali melonjak saat penangan ujian datang merudumkannya.

Kanak-kanak yang menjadi subjek perbicaraan kali ini tidak lain hanya kerana mahu membugarkan kembali karakter milik si cilik ini dalam diri kita yang ‘dewasa’. Kata orang makin lama, makin usang. Barangkali semangat dan keazaman kita turut sama usang di mamah usia yang kian bertambah, kian lapuk dek panas hujan ranjau kehidupan. Benar, renik-renik peluh kepenatan, keluh dengus kelesuan dan kehampaan seringkali mencelah-celah di ruang kehidupan yang menyesakkan.

Kanak-kanak Zaman Baginda Rasulullah SAW

Mengapa tidak kita hirup setitis ibrah sunnah baginda Rasulullah SAW? Semangat yang sediakala dimiliki oleh kanak-kanak ini sentiasa dipanaskan bara kemaraannya demi membentuk peribadi yang unggul. Peribadi yang mampu terus hidup dalam suasana tumbesaran yang cacamerba cabaran dan halangannya. Tiada sebab untuk kanak-kanak di zaman baginda SAW kelihatan mandom/ rendah kerana didikan dan teladan Rasulullah SAW yang begitu berjaya menyemarakkan kemaraan semangat dan keazaman mereka. Pasti anda kenal dengan nama-nama masyhur ini Zaid bin Tsabit (ra), Usamah bin Zaid (ra),Samurah bin Jundub (ra) dan Rafi’ bin Khadij (ra).

Merekalah antara kanak-kanak bertuah yang menerima sentuhan langsung didikan Rasulullah SAW. Baginda Rasulullah SAW membangkitkan semangat juang dan jihad dalam jiwa mereka sehinggakan mereka sering berlumba-lumba menjadi calon yang terpilih ke medan perang bersama baginda SAW.

Tersentuh dengan keletah mereka menjelang peperang Uhud. Ketika mana pemilihan anggota perang dibuat, Khadij r.a menyatakan hasratnya kepada Rasulullah SAW untuk membawa Rafi’ r.a, anaknya ke medan perang.

Khadij (ra) berkata,

“Rafi’ anak saya ini pandai memanah.”

Seiring dengan pembelaan ayahnya tersebut, dengan semangat waja, Rafi’ menjijitkan kakinya agar terlihat lebih tinggi. Agar ia kelihatan pada pandangan Nabi SAW. Diizinkan Allah SWT, Rasulullah mengizinkan Rafi’ bin Khadij (ra) ikut berperang.

Melihat keberhasilan Rafi’ (ra), maka Samurah bin Jundub (ra) merayu ayah tirinya, Murrah bin Sinan (ra):

Ayah, Rafi’ diperbolehkan ikut berperang, sedangkan saya tidak, padahal saya lebih kuat daripadanya. Jika adu tanding, pasti saya dapat mengalahkannya.”

Rasulullah SAW memperkenankan usulannya, sehingga keduanya ditandingkan di hadapan Rasulullah SAW. Ternyata Samurah bin Jundub (ra) dapat mengalahkan Rafi’ bin Khadij (ra). Kemudian Samurah diizinkan beliau untuk ikut berperang.

Pertandingan itu benar-benar membangkitkan semangat anak-anak yang lain, sehingga banyak diantara mereka yang kembali mengajukan permohonan kepada Rasulullah agar mereka diizinkan untuk ikut berperang. Bagaimanapun akhirnya Rasulullah hanya membenarkan beberapa anak saja yang dapat menyertai peperangan ini. Subhanallah.

Seharusnya, jejak-jejak ini perlu ditanam dalam diri kita. Jangan biarkan kobar semangat kita ketika kanak-kanak dahulu lesap dibawa arus zaman. Didiklah diri menjadi insan yang paling bersemangat dalam melakukan semua perkara hatta sekecil perkara. Saya percaya natijahnya pasti cemerlang!

Jom terbang!

Hikmah: apakah itu dan bagaimana?

Mungkin biasa telinga dan mata tertancap pada kalimah Hikmah. Ya, hikmah itu banyak sekali tafsirannya. Cuma, di sini saya sekadar memetik seruas definisi hikmah.

Melihat dunia dari kacamata kanak-kanak.

Ya, dunia dari kacamata kanak-kanak penuh dengan imaginasi. Tapi, kenapa tidak imaginasi ini di julang menjadi realiti jika kita sudah ada daya dan kudrat? Kerana apa? Tiada lain, kerana kita dewasa. Yang telah diiktiraf kemampuan akalnya. Mampu menimbang buruk baik percaturannya.

“maka tidakkah mereka memerhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana cara Kami bangunkannya dan menghiasinya dan tidak terdapat sedikit retak pun?” Qaf:6

Anjuran Allah SWT begitu banyak sekali dalam Kitab Al-Aziz yang menuntut kita memerhati dan berfikir. Pengamatan yang baik pada setiap peristiwa dan kejadian di sekeliling kita pasti membuahkan hasil. Kebaikan atau teladan, pengajaran atau peringatan. Segalanya boleh dinobatkan pada setiap layar kehidupan yang merentang di hadapan.

Realiti adalah imaginasi yang dibumikan. Amat berbeza dengan angan-angan. Angan-angan hanyalah khayalan kosong yang merampas makna masa dan harapan.

Maka, pandanglah segalanya dengan pandangan hikmah. Jika berimaginasi, lakarkan impian yang ada tekad dan kudrat yang mampu diletakkan bersamanya. Biar kita jadi umat Baginda SAW yang besar jiwanya, yang perkasa cita-citanya. Optimis pendek katanya.

Oh ya, mungkin kita perlu amati kembali kisah janji Rasulullah SAW tentang penaklukan Kota Konstantinopel itu. Janji itu bukan janji kosong. Tapi simbolik sikap optimis Baginda SAW. Walau bukan pada zaman itu kota tersebut ditakluk Islam, tetapi al-Fatih itu yang berjaya membongkar natijah daripada sikap optimis Rasulullah SAW, malahan menjadi penyambung jejak-jejak usaha generasi sebelumnya.

Ladenilah Kanak-kanak itu.

Menyudu kata dari mangkuk bicara si penulis skrip laskar pelangi di Indonesia sana:

‘saat itu aku menyadari bahwa kami sesungguhnya adalah kumpulan persaudaraan cahaya dan api. kami berjanji setia di bawah halilintar yang menyambar-nyambar dan angin topan yang menerbangkan gunung-gunung. janji kami tertulis pada tujuh tingkatan langit, disaksikan naga-naga siluman yang menguasai Laut China Selatan. kami adalah lapisan lapisan pelangi terindah yang pernah diciptakan Tuhan’ – Laskar Pelangi – Andrea Hirata

Laskar Pelangi, sisipan cita-cita si cilik

Saya yakin, penulis ini juga pernah mendokong karakter kanak-kanak suatu ketika dulu. Bahkan, survivor zaman yang dibawanya berjaya diterjemahkan pada sisipan birai masa dan usia. Jika benar realiti ini, kalian lihatlah, kudusnya pandangan si anak-anak ini. Perhatiannya yang penuh hikmah. Berusaha meneroka ertinya kebenaran. Tegar menggalas cita-cita. Meneliti segala peluang demi pendirian dan hak yang perlu dipacakkan. Subhanallah.

Ya, mungkin kanak-kanak kini atau zaman yang pernah kalian lalui, diselubungi penuh kasih sayang, diselimut kesenangan dan kemewahan. Ruang lingkup pemikiran dan pandangannya juga begitu terhad pada keseronokan semata-mata. Namun, selaklah sebentar di birai jendela dunia. Mungkin di penghujung dunia sana, kalian temui kanak-kanak sekental Ayat Al-Akhras atau senekad Faris Audah. Pastinya perhatian mereka penuh cita-cita. Bukan sekadar melepaskan diri dari senak derita bahkan mungkin juga hasrat mencacak panji Agama ISLAM adalah lebih jauh mengangkasa daripada kita.

Kini, Kita Bukan Kanak-kanak

Kerana kini kita bukan kanak-kanak, maka berpijaklah di bumi nyata. Amanah tuhan lebih jauh menimbun di pundak untuk dilangsaikan. Usah tenggelam dengan kesenangan yang berpanjangan. Singkap-singkaplah ruang amanah yang tidak tertembus dek akalmu. Terlalu banyak lopong di sana yang menuntut kita isi dan dalami.

Tuntasnya, tidak salah meneladani sinergi Hamasah dan Hikmah kanak-kanak ini. Malahan kita sedang membidik 2 perkara dalam satu masa. Ya, kita sedang membugarkan kembali sunnah Baginda SAW dalam diri kita.


Akhir kalam,
Jom Hidupkan Sunnah!

Dari Ibnu Abbas ra. bahwa Nabi SAW yang berkata:

"Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi)

Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbedaan, aitu katanya: Baginya pahala orang yang mati syahid. (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44)


.::wallahualam::.

nota sisi:

1)Selamat menjalani peperiksaan buat seluruh anak dagang di Ardil Kinanah!

2) Jangan menipu, memang saya rindu pada taman yang satu ini~


Ini taman yang pernah mengasuh saya!

Saturday, December 25, 2010

Membedil Semangat dan Kekuatan



Andai Mampu Kamu Bedillah Semangat INI!
Andai Kuat Kamu Bantailah Kekuatan INI!
AKU Cabar KAMU!
Ya!
Kamu Yang DENGKIL!

Tuesday, December 21, 2010

Barakah Muharram Buat Warga PERUBATAN

Assalamualaikum wbt

Dingin Muharram kali ini benar-benar membawa seribu makna buat saya secara peribadinya. Menyaksikan semarak dan kobar semangat dan kesungguhan teman-teman dagang di negara pasir ini, sungguh mengujakan saya.

Teruja untuk terus hidup subur dalam komuniti yang cukup unik ini. Teruja untuk terus berperit jerih mempertahankan keharmonian dan kesatuan ikatan persaudaraan di bumi yang begitu jauh dari tanah air.

sedutan perbahasan usul MTK Pertama tempoh hari lalu

Rupanya percaturan Allah SWT itu begitu baik sekali. Bumi barakah ini rupanya memang tidak pernah sunyi dari catatan-catatan keajaiban ketentuan Ilahi. Penampilan sahabat-sahabat perjuangan di MTK tempoh hari adalah simbolik kematangan komuniti PERUBATAN dalam mendepani arus pertumbuhan PERUBATAN. Saya percaya, keberkatan syura seluruh ahli PERUBATAN di Kaherah tempoh hari bakal menjanjikan percaturan perjalanan PERUBATAN dan ahlinya ke arah yang lebih dinamik dan holistik, Insyaallah. Nantikan bagaimana pula SYURA UTAMA PERUBATAN pada Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN pada Februari ini. Moga-moga pertemuan mega ini meledakkan lagi kemaraan ahli untuk membentuk identiti komuniti mahasiswa sains kesihatan Ardil Kinanah yang penuh wibawa. Amin, Ya rabbal Alamin.


Al-Azhar dan PERUBATAN

Walaupun usia ahli PERUBATAN di Al-Azhar, yang hanya baru setahun jagung rata-ratanya, namun kesedaran dan kematangan mereka terhadap tanggungjawab yang begitu besar yang perlu dipikul selaku nakhoda ummah berjaya meletakkan mereka sebaris dengan ahli PERUBATAN yang lain yang saya kira lebih matang usianya dalam PERUBATAN. Syabas dan tahniah untuk kalian!!

Meyakini potensi dan kemampuan kalian, saya meletakkan sandaran saya sepenuhnya pada tuhan agar dijuruskan hati kalian untuk terus mengisi lompong-lompong ruang peranan dan peluang dalam komunit PERUBATAN khususnya dan mahasiswa Mesir amnya.

Sinar-sinar bintang dari Bumi Al-Azhar

Sambutlah seruannya Allah SWT dalam kalam sucinya:

" dan kami menjadikan mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami mewahyukan kepada mereka agar berbuat kebaikan, melaksanakan solat dan menunaikan zakat dan hanya kepada Kami mereka sembah."
Al-anbiya':73

Tidak dapat tidak, kitalah yang disebutkan Allah SWT itu. Kecil atau besar, tinggi atau rendah, biasa atau luar biasa, semuanya punya peranan yang tersendiri. Sesungguhnya, kebijaksanaan kalian meletakkan kalian di posisi yang betul dalam masyarakat pasti membuahkan kemanisan buat diri kalian. Manisnya menjadi wasilah kemudahan dan kesenangan pada masyarakat di sekeliling kita. Indahnya mendapat didikan secara terus daripada Allah SWT melalui ketentuan-ketentuan serta kejadian di sepanjnag perjalanan menempuh kehidupan bermasyarakat. Terkenang kalimah Syed Naquib Al-Attas:

" Wisdom is know how to deals with things and know to put it at the proper place."

Percayalah, jika kebijaksanaan kalian dimanfaatkan sebaiknya, dinobatkan haknya maka kalian itulah yang bergelar Sang Ulul Albab yang disebut-sebut kemegahannya dalam Al-Quran, Kitab Al-Aziz.

Moga-moga barakah bulan mulia ini menyemarakkan kesatuan kita, membugar keimanan kita. KepadaNyalah juga disandarkan segala pengharapan.

"Dan DIA (Allah SWT) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman) walaupun kamu menginfakkan semua kekayaan yang berada di bumi =, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha bijaksana." 8:63

Saya membataskan sementara kalam buat ketika ini. Moga-moga sedikit kudrat yang diletakkan ini mampu menuai secebis redha Nya. Insyaallah.

Jangan lupa, untuk kalian ahli komunit PERUBATAN Kaherah untuk sama-sama melangsaikan amanah anda pada 24 Disember 2010 ini!

Sekian, salam tangguh. Wallahu'alam




Tuesday, November 23, 2010

Membilang Jari Yang Tinggal



Sepertiga malam menjemput lagi. Hening malam tiada seli suara-suara sang unggas. mengatur langkah di balik tabir malam. Hanya mengharapkan lindungan Tuhan. berkali-kali hati berzikir melantunkan Al-'alaq. Memohon perlindungan dari sebaik-baik pelindung.

medan sekeliling ternyata, hanya runtuhan bangunan ya
ng ranap menyembah bumi. kerikil-kerikil tajam sesekali menyapa tumit kaki.

Di balik timbunan-timbunan itu, bagaikan ada sesuatu yan
g menarik untuk diterokai. Berhati-hati langkah diorak. Sesosok Tubuh kecil sedang menyendiri di situ. Kelihatannya jauh merenung sesuatu.Entah Hilang ke mana segala ragu, lantas tangan menyentuh, kalam menyapa. "Wahai kamu si anak kecil, apa yang kau lakukan sendirian di balik runtuhan ini?"

Si anak kecil mulus itu lantas menoleh, "aku sedang membilang jariku yang tinggal. Aku menghitung berapa hari lagi yang mampu aku aku berjuang. Sejak dua hari lepas, jemari kaki dan tanganku kian berkurang. Aku mahu terus berjuang. Aku menghitung sebanyak-banyak kudrat yang mampu aku gunakan untuk pertahankan segala milik kami di sini. Di balik runtuhan itu ada saudara maraku. Malah kedua ibu bapaku. Biar nanti aku ada jawapan untuk tuhan atas apa yang telah DiA berikan."


Terpana sebentar. Melabuhkan duduk di sisi, bicara bersambung. "wahai anak kecil, ayuh ku bawakan kamu ke tempat yang lebih baik buatmu."

Anak kecil itu lantas menggeleng.

"wahai kakakku yang mulia, sesungguhnya aku bahagia di duniaku ini. Sesungguhnya aqidah dan maruah kami terus teguh di celahan runtuhan bangunan-bangunan yang menyembah bumi. Sesungguhnya, aku lebih bahagia untuk menjawab persoalan tuhan ke atasku untuk segala yang aku dan kaum kerabatku hadapi di sini. Pulanglah kamu ke tempat asalmu. Sesungguhnya, teman kamu di sana lebih derita dari kami. Mereka lebih memerlukan kamu berbanding kami di sini. Aqidah dan maruah mereka telah sama sekali ranap malah lebih jauh ranap ke dalam bumi di celah-celah kemajuan dan ketinggian bangunan-bangunan kamu yang mencakar langit."



Khali. Tiada lagi kalam mahu diluncurkan. Tanpa disedari, tubir mata sudah berkaca. Anak kecil itu sudah mengatur langkah tempang jauh meninggalkan hening malam itu. Hilang di balik celahan bangunan meninggalkan aku sendirian.

"Ya Ayyuhal Muzammil. Qumillailla illa qalila!" Garau suara entah dari mana menyedarkan aku.

Hijab malam terangkat. Terkebil-tebil mencari arah. Hilang segala runtuhan bangunan. Tiada pasir-pasir debu dan kerikil tajam. Yang ada hanyalah ruang 4 segi dan malam yang gelita. Lantas kalam dari jiwa bersuara:

"Wahai kamu anak kecil, besar sungguh cita-citamu. Perkasa sungguh cita-citamu. Ya, aku yang perlu pulang. Tanah airmu sudah terbela dengan semangat juang dan kobar aqidah insan-insan seperti kamu. Tanah airku bagaimana?"

Anak Kecil, Engkau membilang jari yang tinggal untuk meneruskan perjuanganmu. Tapi aku, yang masih punya segala kenikmatan, Pernahkah dihitung bagaimana dan ke mana ku perjuangkan?Astaghfirullah. Ya Allah, apakah ini inzar darimu atas segala amanah yang diabaikan?

Wallahualam

Friday, November 19, 2010

Untuk Kamu Along

Asslamualaikum wbt.

Untuk kamu Along,
mungkin dinding catatan ini sudah lama sepi,
kalam di kotak-kotak itu mungkin sudah lama bisu,
tapi angin dan bulan masih setia,
jadi makhluk yang taat,
walau awan kadang-kadang mendung,
walau petir ganas membelah,
mereka masih tetap di sana,
tunduk zuhud pada namanya
aturan dan ketentuannya tuhan.

Along,
hanya secebis ibrah di situ,
carilah kekuatan,
binalah keyakinan,
kekuatan demi menggalas segunung harapan,
keyakinan demi meneruskan perjalanan.

Along,
biar darah yang mengalir dalam tubuh itu
sentiasa panas dengan didikan Rabbani,
Didikan yang menjulang semangat Ansarullah tertinggi
biar udara yang dihirup itu
segar dengan keimanan,
Keimanan yang menerobos renik-renik kefuturan
biar jantung yang saksama itu
berdegup dengan zikir
Zikir yang menjauhkan hati dari sifat kikir

Along,
jangan terlalu bersandar pada harapan
kalau cita-cita tidak dibumikan
jangan terlalu leka melakar
kalau penangan ombak ujian belum dibongkar
jangan lekas letih pada kudrat yang dipertaruhkan
kalau langkah pertama tidak diintrospeksikan

Along,
hanya satu
kamu itu bukan sendiri
AL-KHALIQ sentiasa disisi
usah resah pada kelelahan hari-hari yang datang
DIA lah sebenar-benar kekuatan
Cuma perlukan seruas keberanian
Seulas pengorbanan
Terokalah langit di atas sana
Bongkarlah denai di bawah sana
Biar duri mencucuk kanan dan kiri
Biar ribut beliung menyerang bawah dan sisi
Kamulah Along
Yang Luh Mahfuz Catatkan sebagai nakhoda di bumi

Along,
Inilah kemuliaan
Inilah sandaran
Inilah hari hadapan
Inilah harapan

Untuk Kamu Along
Bukalah Langkah
Hebatkan pencak di gelanggang tarbiyah
Kelak hebat pertarunganmu di medan natijah!



Tuesday, November 9, 2010

Apa Khabar Kamu?


Assalamualaikum w.b.t

Hai mata yang bisu, hai tangan yang kelu, apa khabar kamu?
Tidak salah bukan ku bertanya khabarmu?
Kerana aku mahu kamu tahu,
biar kamu tidak punya kudrat sehebat lidah yang mencanang ke hilir ke hulu,
tapi kamu masih punya kudrat yang tersendiri untuk menabur bakti walau sesudu.
Ku harap infiniti horizon capaianmu tidak menceroboh ruang-ruang larangan Tuhan.
Ku harap juga kamu tidak lupa akan sahammu
menjaga panji maruah sang manusia.




Hai hati yang terlindung, kamu pula bagaimana?
Masih cantikkah kerudung yang menabir kamu dari coret-coreng al-wahn?
Aku percaya saban hari semakin hebat ribut ombak
datang meruntun kerudung itu.
Aku hanya mampu bicara sama Tuhan:
Hai Tuhan, kerudung pada hati itu kian tipis,
penyakit dunia makin mesra dengannya,
penawar al-qiyamah makin jauh menyisih daripadanya,
kau turunkanlah tenteramu sebagai benteng,
Kau lampirkanlah kesaksamaan sang iman untuk memandu bantera hati itu.

Hai kamu sang pancaindera berenam,
Ku harap kau tahu kau bukanlah hak milik hakiki,
Tapi ku mahu kau mengerti kau adalah kurniaan,
Di situ ada erti Rahmah Tuhan,
Di situ ruang agar kau bukan lari dari landasan fitrah bertuan,
Tapi agar kau menginsafi maknanya kepatuhan,
jauh dari penderhakaan,

Peringatan buat kamu juga,
berenam atau tempang terkorban atau gugur berkorban,
Kau tetap
Ada tujuan, ada pengakhiran, ada pembalasan, ada ganjaran.
Jadi,
Apa khabar kamu?



Friday, October 29, 2010

Polisi Pendidikan Manusiawi


Bismillahirrahmanirrahim

Persepi, budaya dan kekuasaan
Ini adalah cebis-cebis nutrisi untuk polisi pendidikan manusiawi
cuba singkap sisi-sisi mana yang sempurna terisi
kalau bukan dicoreng-coreng dengan pendustaan pada makna hakiki







Ya, catatan sejarah memang sudah ditoreh-toreh
kita hanya menikmati darah 'bahagia' dari torehan itu
dan mengirup didikan yang sudah bernanah

apa lagi jalannya
kalau bukan kembali bongkarkan di mana yang ditoreh
zahirkan kembali akar nilai-nilai manusiawi
yang diletakkan pada benar yang hakiki