Saturday, December 8, 2012

Awas! Aku Bijaksana

Siapa yang tidak arif akan nama keluarga pelaut Barbarossa, sang adik-beradik berjanggut merah. Ya, Ishak, Aruj dan Khairuddin asalnya hanya pemuda biasa lahir di tanah yang pernah disiram dengan darah sekularisasi Mustafa Kamal yang terkutuk.

Namun, titik hitam pembunuhan si adik bongsu oleh tentera St. John of Jerusalem, membuatkan Aruj dan Khairuddin bingkas menjadi singa lautan, menuntut dendam. Walaubagaimana pun, tersungkurnya Kota Andalus yang dinaungi empayar pemerintahan Uthmaniyah ketika itu, membuatkan misi menunutut bela bertukar menjadi misi mempertahankan negara. Kehebatan aksi Aruj di perairan Turki-Yunani itu tidak ternokhtah di situ, walau beliau gugur dalam pertempuran di Tilmisan.

Khairuddin Barbarossa kemudiannya menyambung misi suci kekandanya dengan mengetuai armada perang Turki Uthmaniyah dalam menakluk Semenanjung Iberia. Meskipun hasratnya juga terkubur dengan kematiannya setelah 14 tahun lamanya mengatur serangan demi serangan, namun lembaran sejarah merakamkan kewibawaan beliau telah mengukir prestasi ketenteraan maritim yang paling cemerlang pada zaman beliau.

Malah, kehebatan keluarga Barbarossa rupanya benar-benar menghantui para tentera Kristian sehinggakan pada abad moden ini para pengemudi seni karya barat cuba menyuntik kebencian dan membusukkan sejarah Barbarossa ini dengan karakter-karakter hitam dalam karya mereka sebagaimana watak lanun perompak sial dalam filem Pirates of Carribean dan komik Asterix.

Catatan kisah Khairuddin Barbarossa barangkali kisah terpencil yang jarang diamati nilainya. Kewibawaannya lahir dari hak yang dicabuli. Rentetan sejarah hitam, dari kerdil dia menjadi gergasi. Dari manusia yang tiada visi, menjadi manusia yang tahu nilai diri malah mengemudi sejuzuk daripada posisi kepimpinan yang mencorakkan warna-warni sejarah Turki hari ini.

Itulah juga bukti fitrah manusia, ia akan bingkas bangun apabila ada inci haknya yang dicabar. Namun, hakikatnya empangan syariat meletakkan manusia menjadi pemimpin bukan untuk menjaga hak semata, mahupun kerana menjunjung kemajuan manusia tapi, ia adalah persoalan tujuan manusia itu sendiri diciptakan.

Kewujudan manusia di dunia adalah kerana fungsinya sebagai hamba yang perlu tunduk patuh kepada ketentuanNya. Di sana sekaligus terangkai bersama tanggungjawab manusia mentadbir bumi sebagaimana penegasan Allah SWT secara mutlak melalui firmanNya “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” [2:30] serta “Dan tidak Aku ( Allah ) ciptakan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Aku ( Allah )” [51: 56]

Maka elemen fitrah dan syariat ini harus diadun rapi agar manusia memahami dan mendorong diri untuk mengakari teraju kepimpinan dengan saksama dan bijaksana. Membongkar sisi pandang yang lebih terbuka, ternyata pada sejarah tamadun manusia turut membenarkan bahawa ada suatu kuasa yang mengukir ulir-ulir jatuh bangun nasib manusia.

Apabila meneliti adikarya Maulana Iqbal, beliau rupanya turut berjabat setuju dengan hakikat ini melalui jalinan halus dalam syairnya, “Bangsa itu lahir melalui tangan para penyair, jatuh bangun mereka itu berpunca daripada tangan politikus.”

Maulana Iqbal cuba membawa takrif ‘para penyair’ itu dengan menisbahkannnya sebagai golongan yang selari makna dengan pengertian ulama-ilmuan, lantas melalui kebijaksanaan dan kesaksamaan mereka inilah nilai ketamadunan sesuatu bangsa itu diangkat.

Sentuhan halus Maulana ini akhirnya, turut menyeret kita merenung kelahiran tamadun bangsa Arab yang pernah disalut dengan syair-syair Jahiliyah. Namun, penularan syair-syair jahiliyyah ini dapat dipatahkan melalui keindahan gaya bahasa al-Quran bahkan hakikat kebenaran Kalam Allah itu sendiri merupakan kuasa sakti yang berjaya membentuk tamadun manusia itu sendiri. Kalam-kalam syariat yang indah itu jugalah yang memandu teraju kepimpinan tamadun manusia untuk merangsang dan menggerakkan pembangunan akliah anak bangsa untuk melakukan perubahan dan kemajuan. Pendeknya, nasib mereka ditentukan oleh kuasa-kuasa ahli politik. Politikus yang baik akan memajukan bangsa, demikianlah sebaliknya.

Nukilan seni Maulana ini membumikan lagi, bahawa kehidupan manusia ini tidak pernah renggang dengan nilai kepimpinan walau ruang lingkupnya hanya terhad buat dirinya semata. Konsep ini bukanlah berdiri hanya kerana wujud kemampuan untuk manusia menguruskan kehidupan, bahkan ia menampung satu sudut kelemahan manusia.

Buktinya, Al-Mawardi sebagaimana Plato, Aristoteles dan Ibnu Abi Rabi’ berpendapat bahwa manusia itu adalah makhluk sosial, yang saling bekerjasama dan membantu satu sama lain. Beliau meyakini, kelemahan manusia yang gagal untuk memenuhi semua keperluannya sendiri serta terdapatnya cacamerba perbedaan bakat, pembawaan dan kecenderungan semula jadi mendorong manusia untuk bersatu dan saling membantu.

Maka, akhirnya manusia sepakat untuk mendirikan negara dan kewujudannya adalah melalui kontrak sosial atau perjanjian atas dasar sukarela. Atas dasar itu juga Al- Mawardi berpendapat, bahwa pemimpin negara merupakan garapan khalifah kenabian di dalam memelihara agama dan mentadbir dunia.

Al- Farabi turut tidak ketinggalan dalam mengemukakan gagasan konsep kepimpinan apabila beliau tampil dengan karya agungnya Kota Utama (al-Madinah al-Fadhilah).

Seputar tentang konsep kota ini, al-Farabi sebenarnya merencam formula kota idealnya dengan mengangkat dua konsep utama iaitu kepimpinan dan kebahagiaan. Asasnya, kerangka dasar yang membangun gagasan al-Madinah al-Fadilah ini berpaksikan konsep kepimpinan yang menuntut perlunya muncul seorang pemimpin yang memiliki autoriti meneraju manusia ke arah kebahagiaan.
Demikianlah bagaimana cendekiawan menilai keluasan erti kepimpinan. Ia lahir dari sikap pengawasan dan pengamatan teliti mereka pada corak pembangunan manusia yang akhirnya membawa titik temu pandang alam agama dan logik akal manusia.

Elemen inilah yang menyumbang kepada pola kehidupan yang terkawal dan terarah kepada tujuan yang jelas dan bermakna. Barangkali keseimbangan ini juga berjaya membuka mata Michael H. Hart, penulis buku The 100, A Ranking of the Most Influential Persons in History apabila mengambil langkah drastik dengan memilih Nabi Muhammad SAW sebagai manusia yang paling berpengaruh di dalam sejarah manusia sehingga kini. Hart berpendirian bahawa Baginda SAW berkeupayaan yang sangat cemerlang dalam kedua-dua bidang: agama dan pemerintahan.

Pemilihan ini tentunya mengejutkan ramai pembaca. Hart begitu bersungguh mempertahankan pengaruh Islam dalam kehebatan prestasi Rasulullah SAW sehingga beliau membandingkan kombinasi Nabi Isa a.s dan St. Paul dalam agama Kristian ternyata tidak mampu mengatasi Rasulullah SAW. Lebih lanjut lagi Hart menjelaskan bahawa Nabi Muhammad saw (tidak seperti Nabi Isa a.s) adalah seorang pemimpin tentera yang menjadi daya penggerak terbesar kepada kekuatan bangsa Arab. 

Namun apabila kembali meneliti suasana politik semasa mahasiswa Malaysia di Mesir ini, kemajuan pembangunan fizikal dan intelektual dewasa kini ternyata tidak mampu menongkah sikap individualistik di samping opurtunis segelintir mahasiswa yang ternyata mencarik sedikit demi sedikit nilai ini. Institusi kepimpinan seolah-olah menjadi medan yang dipandang sepi. Ia tidak lagi dilihat sebagai mandat tuhan yang perlu dipelihara kesuciaannya. Tidak diambil pusing siapa yang cuba menjejak takhta kepimpinan di kelompok mereka.

Seharusnya, busana pemimpin yang dipakai oleh kita hari ini, adalah busana jalinan benang kehambaan yang mendakap erti bahagia menuju tuhan. Ia bukan sekadar peragaan untuk kemegahan tapi kerana demi memagari harga diri dan amanah Ilahi.

Oleh itu, renunglah kembali kisah pencil Barbarossa sehinggalah pendirian Hart. Jika diamati, nilai kepimpinan dalam Islam adalah berdasarkan modal Tuhan yang menjadikan umat Islam mudah berubah.

Kuncinya, bukanlah menobatkan diri sebagai pemimpin kerana ada nilai hebat pada diri. Tetapi, kerana tuntutan suci aqidah yang meraja dihati, seharusnya menjadi rantai tambatan yang menyedarkan seseorang itu untuk tampil memikul amanah kepimpinan dengan penuh rasa keinsafan seorang abdi kepada tuhan.

Atas nama Allah swt, dengan usaha membaiki diri yang istiqomah, kefahaman yang jelas dan ibadah yang sahih membentuk kekuatan pemimpin yang mampu mengawasi dan mengetuai masyarakat kepada perubahan dan kebaikan yang lebih sempurna.

Ya, atas kesedaran itu kita mengakui pentadbiran sesuatu komuniti itu memerlukan individu yang benar-benar mahu dan mampu memikul beban pentadbiran. Maka, mengapa kita mengambil sikap sambil lewa membiarkan komuniti di sekitar kita berdiri tanpa awasan siapa pemimpinnya dan siapa yang menobatkan tampuk pimpinannya. Bukankah, kita seolah-olah sedang merancang kepincangan sistem sosial masyarakat itu sendiri lantaran sikap yang hodoh ini? Cubalah amati julangan kata oleh Professor Nargis Albert Labib agar deria kita berfungsi dengan bijaksana dan saksama: “Surveillance is the first step towards prevention.”

*artikel ini ditulis sempena Piliharaya PERUBATAN 2012

Saturday, July 28, 2012

Kembara~

::.. Bismillahirrahmanirrahim..

Moga ada kesempatan saya menjejak gudang-gudang ini. Sudah tandus benar amatan pada bahan-bahan meligatkan kepala untuk berfikir~

1. Diwan Bookstores
2. BookSpot
3. AUC
4. Al-Kotob Khan


Tuesday, July 24, 2012

Guru Di Anjung Al-Azhar

::.. Bismillahirrahmanirrahim

Dedikasi doa ibu Samiah Rifa'i di anjung Jami' Al-Azhar seolah masih sayup-sayup melantun. Penghujung ufuk merah ramadhan kedua itu membawa penawar. Penawar buat jiwa yang mencari dawa'.

"Yakinlah dengan Tuhanmu, Bukankah engkau membaca kalam-kalamNya?"

Serak-serak suara Ibu Samiah perlahan-perlahan meresap ke lubuk atma paling dalam. Lekas membalut gundah yang mencengkam.

Benar, bumi anak panah ini kaya dengan keajaiban. Walau tidak pernah mengenali siapa aku, ibu Samiah bersungguh benar menitip pesan-pesan buatku.  Bagai guru, bagai ibu.

Moga madrasah ramadhan ini terus mendidik aku. Menemukan aku dengan ramai lagi guru.

Alhamdulillah, Allah masih mahu aku bersekolah di madrasahNya.

Alhamdulillah..Alhamdulillah

Sunday, July 15, 2012

Wan

Bismillahirrahmanirrahim.

Membilang hari menjejak tanah jawi. Mengheret rasa, mampu atau tidak menerima kepulangan kali ini, tiada lagi bertamu menghadap Wan tercinta.

Wan si penghuni setia desa, mungkin bukan pemikir tersohor.

Tapi, Wan juga yang mengajar aku belajar menjadi pemikir saksama. Teliti menata susun bicara dan aksi biar sama rona.

Mungkin tadbirnya hanya sempit sekitar kebun belukar dan teratak pondok tua.

Tapi, dia memberkas aku dengan ihsan dalam tadbir. Wan membentang makna keluasan pada makrifat.

Mungkin belum pernah aku dapati Wan berguru setia dengan mursyid pendidik jiwa.

Tapi, hati budi yang ku kenal itu belum pernah karam di sepertiga malam. Pesanannya selalu sampai pada makna paling dalam.



Rasa ada sudut yang tiada terisi dengan perginya Wan menghadap Yang Maha Pemilik.
Tok pasti lagi sunyi. Sedang dialah peneman setia di sisi.


Sunday, June 3, 2012

Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
~ A. Samad Said

Friday, May 25, 2012

Senandung Burung Pungguk

::..bismillahirrahmanirrahim

Suram menatap ruangan maya ini. Moga-moga ini bukan petanda sudah lelah meneroka keluasan jambatan ke negeri abadi sana.

Terpana mendengar kalam Syeikh Yusry rahimullah di bustan Al-azhar tadi. Benar, mengaku azhari mudah sekali, tapi bukan semudah memikul beban amanah.Saban masa melihat naik turun suhu perubahan tanah air, menatap sedu tawa rakyat di sana, menarik-menarik minda menyelak catatan tua.

Di sebalik jatuh bangun masyarakat madani itu, bukankah padanya ada sosok tubuh yang bergelar Ulul Amri? Yang mampu mengorak langkah setiap pasang kaki yang terjejak di bumi, tidak menyimpang dari fitrah bertuhan? Namun, sejauh mana kejernihan hati, kegagahan kudrat, ketajaman akal mampu meniti titian ketaatan, memberi janji setia pada ulul amri selepas Kekasih Agungnya, Rasulullah SAW?

Terkenang nostalgia dia insan yang biasa, tapi luar biasa penangannya pada erti pengabdian dan cita-cita. Tanpa disedari sepurnama lagi, genaplah sedekad kembalinya beliau menemui Al-Khaliq.

Cita-citanya melihat bulan terus mengambang. Harapannya, tempias nur purnama itu menepis az-zulumat.Walau ada yang menangguk di air keruh. Tapi keikhlasannya jauh tembus ke arash. Rupanya, hati-hati sang insan begitu terpaut pada qudwahnya. Dialah Al-Marhum Ustaz Fadzil Nor. Lahir dari tanah barakah Darul Aman. Yang kian hari kian aman dengan suluhan bulan. Walau ada pahit yang sesekali perlu ditelan. Moga-moga masih ada pewaris Ulul Amri sepertinya, mentadbir kegoyahan tamadun madani. Membawa kembali ke mercu Baldatun Toyyibatun.

Mungkin pungguk rindukan kekasihnya sang rembulan. Sayalah pungguk yang rindukan bulan. Rembulan yang sentiasa ada hawa keamanan. Rembulan yang isinya ada pimpinan qudwah uswah hasanah warisan Rasulullah SAW.

Sabarlah menghadapi tekanan, yang cuba menggagalkan sang bulan terus mengambang. Sabarlah pungguk menantikan rembulan singgah di mana-mana langit tuhan! Sabarlah pungguk!


 







Sunday, March 25, 2012

How To Use Your Energy?


Bismillahirrahmanirrahim

“Do not use your energy except for a cause more noble than yourself.
Such a cause cannot be found except in Almighty God Himself: to preach the truth,
to defend womanhood, to repel humiliation which your Creator has not imposed upon you,
to help the oppressed.
Anyone who uses his energy for the sake of the vanities of the world
is like someone who exchanges gemstones for gravel."

[Ibn Hazm]

Monday, January 2, 2012

An-Nisa' As-Syifa'

Bismillahirrahmanirrahim.

Menyusuri pesisir rahsia Ilmu Allah SWT, menuntut untuk kita benar-benar memahami susur galur amanah ilmu itu dipasak di bumi.Jika tidak, si mubtadi pasti jauh tersasar atau lebih lebih parah lagi mendabik dada megah dengan kemampuan menguasai bidang ilmu itu kononnya atas kemampuan kudratnya sendiri.

Ayuh, selongkarlah sejarah. Kamu pasti takjub dengan indahnya aturan Allah pada setiap rinci IlmuNya yang diturunkan ke bumi. Titipan ini berhasrat mengabadikan catatan ketentuan tuhan atas insan pelengkap si Adam dalam mendasari bidang perubatan seawal kurun pertama Islam.

Nasibah Binti Ka'ab Al-Anshariyah ternyata antara wanita yang mempelopori bidang Perubatan. Beliau merupakan antara wanita yang begitu setia menganggotai pasukan ketenteraan di zaman Rasulullah SAW.

Dari Hafsah bin Sirin dari Ummu Athiyah,Nasibah Binti Ka'ab Al-Anshariyah berkata: Sesungguhnya aku ikut berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak tujuh kali. Aku berada di barisan belakang kaum lelaki, menyediakan makanan untuk mereka, merawat mereka yang sakit dan mengubati mereka yang terluka.

Dari Muhammad Bin Ishaq berkata: Dua orang perempuan telah memberi bai'ah kepada Rasulullah SAW di Aqobah. Salah seorang daripada mereka adalah Nasibah Binti Kaab. Lalu ia ikut berperang bersama Rasulullah SAW dalam peperangan Uhud.

Nasibah bin Ka'ab begitu setia berdiri di belakang kaum muslimin dalam memainkan peranannya sebagai pasukan perawat tentera sehingga beliau turut menerima 12 bekas luka serta tusukan tombak di leher belaiu. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, beliau turut serta dalam peperangan menentang kaum murtadin.

Seorang lagi tokoh kedoktoran pada zaman Rasulullah SAW ialah Rufaidah Al-Anshariyah Al-Aslamiyah. Beliau memiliki ruangan khas di masjid yang dibuka bagi tujuan rawatan untuk mereka yang tercedera di medan perang. Dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad, Imam Al-Bukhari menukilkan " ketika Saad mengalami luka di perang Khandaq, maka diperintahkan: pindahkanlah ia di tempat perempuan yang bernama Rufaidah. Beliau adalah perempuan yang mengubati orang-orang yang terluka. Apabila Rasulullah SAW melewati Saad di ruangan tersebut pada waktu pagi atau petang, pasti Rasulullah SAW akan bertanya khabar Saad."

Beruntunglang menjadi mereka yang mengikut jejak-jejak wanita mulia ini. Frasarana dan kajian yang lebih meluas dewasa kini dalam bidang perubatan seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penuntut di bidang ini. Semarakkan semangat dan kesungguhan mendalami bidang ini, tanpa disapihkan nilai-nilai sunnah yang menyulam keindahan ilmu itu sendiri.

Wallahulam

ruj: Annisa' Adda'iyat , Taufiq Yusuf Al-Wa'ie