Saturday, May 8, 2010

SIBUK!

Aduh! Tak cukup masa. Ini tak sempat itu tak sempat. Terkejar sana. Terkejar sini. Terasa begitu sibuk? Terlalu banyak perkara untuk dikejar? Cukup baik anda merasakan begitu. Ini bermakna anda sedang menggunakan masa anda dengan baik. Tapi awas, gejala keciciran dan kecuaian sedang mengintai-ngintai masa sibuk anda.


Cuai dengan amanah yang lebih penting. Lalai dengan kewajipan dan hak pada pihak-pihak di sekeliling anda dan lebih malang lagi adalah apabila anda lalai dan cuai menunaikan hak anda kepada Tuhan yang Sang Pemilik Masa.


Umar Al-Khatab pernah menukilkan:

“Tidaklah dunia menjadi obsesi seseorang, kecuali dunia menjadi sangat melekat di hatinya pada empat keadaan: kefakiran yang tidak kenal kekayaan, keyakinan yang tidak putus-putus, kesibukan yang tidak pernah habis dan angan-angan yang tiada penghujungnya.”


Pemimpin agung ini cuba mengingatkan. Cuba memberi amaran betapa segala yang dikejar hari ini lebih berat kepada dunia semata. Kita leka. Kita kira kitalah yang sedang memaju kemajuan hidup. Mengejar semua yang ada. Meneroka segala yang tersembunyi. Tanpa kita sangka rupanya ada tembok yang terlarang. Kita lupa ada landasan yang perlu diikuti. Lebih malang lagi, mungkin tanpa sedar kita lebih hebat bertingkah dengan ketetapan Allah SWT terhadap fitrah manusia.


Tidak salah mengejar, meneroka, mencari dan menbina kehidupan. Namun, jangan sehingga keinginan mengejar dunia itu mengatasi segala. Biar dunia dalam genggaman, namun bukan bermakna iman jadi mainan.


Tidak pelik jika seseorang itu akhirnya letih, tersungkur malah menjadikan gerbang kematian sebagai pilihan apabila kenikmatan dunia hilang diragut Tuhan. Bukan pelik jika dialah yang meletakkan iman diserendah-rendah dan sehina-hina tempat dalam hidupnya.


Sheikh Abu Hassan asy-Syadhuli r.a menyebutkan:

“orang yang menunjukkanmu kepada dunia beerti dia telah menipumu, orang yang menunjukkanmu kepada amal bererti dia membuatkanmu letih dan orang yang menunjukkan kepada Allah SWT bererti dia telah menasihatimu dengan baik.”


Cukuplah dengan menjadikan Allah SWT itu sebagai matlamat tertinggi dan dunia itu sebagai medan mencari bekal menuju matlamat yang teragung. Bukankah kita telah berjanji dan bersaksi pada Pencipta kita bahawa Dia sahajalah kecintaan kita. Kecintaan yang mengatasi segala cinta?


dan ingatlah (wahai Muhammad SAW) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam a.s (turun-temurun) daripada tulang belakang mereka, dan ia menjadiakn mereka saksi terhadap mereka sendiri.(sambil ia bertanya dengan firmanNya;)Bukankah AKU Tuhanmu?” mereka semua menjawab: “Benar(engkaulah Tuhan kami.”) kami menjadi saksi” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamt kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”

(al-A’raf 7:172)


Moga segala yang dikejar itu diiringi bersamanya redha Allah SWT yang tidak bertepi, insyaallah.


Rujukan:

Mencari Mutiara Di Dasar Hati- Muhammad Nursani

Memahami Tasawuf Yang Sahih- Sheikh Abu Muhammad Rohimuddin Nawawi

No comments: