Ketika semangat membara, ketika kudrat berdaya pasti semua cita terlaksana dengan izin-Nya. Kita tersenyum. Hati kita girang. Jiwa kita tenang melihat satu persatu percaturan hidup terlaksana. Namun, pernah terfikir andai suatu hari kita tempang, andai suatu hari tubuh kita lumpuh. Andai suatu hari mata kita kabur, andai suatu hari kudrat sudah menyembah bumi. Semangat lari, teman jauh menyisih. Di situ hanya ada sandaran yang kekal. Ya, Tuhan yang memberi dan menciptakan.
Desa tidak selamnaya tenang. Penghulunya pasti berganti. Penduduknya pasti mati. Tanam dan tuai hasil buminya pasti terjadi. Cantik bukan ketentuan Tuhan?
Biarkan ilmu terus kaya dijiwa. Tapi, jangan kita lupa, biar amal soleh berjalan sama. Biarkan minda terus membina dan terbuka. Tapi jangan lupa, keterbukaan itu ada batasannya. Batasan tuhan itu ketetapannya. Ya Allah!!
Berilah sedikit ruang pada jiwamu untuk memerhati kehendak Tuhan. Al-Khaliq itu tetap Teragung!! Ya Allah!!
SUMBANGAN ULAMA AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH DALAM MEMELIHARA KEMURNIAN AQIDAH AHL AS-SUNNAH WA AL-JAMAAH DI AMBANG KERUNTUHAN OTHMANIYYAH: PENGAJARAN BUAT UMMAH
2.Rasional Memilih Era Othmaniyyah Sebagai Kes Kajian
DISKUSI UTAMA
1.Institusi Ulama di era pemerintahan Othmaniyyah
2.Analisa Beberapa Punca Kemerosotan Othmaniyyah
3.Krisis Salaf – Khalaf di Era Othmaniyyah
4.Peranan Ulama di bidang Siasah, Dakwah dan Pendidikan
a.Siasah: Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi
b.Dakwah: Bediuzzaman Said al-Nursi
c.Pendidikan: Al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan
PENUTUP
1.Pengajaran Buat Ummah
2.Pelan Bertindak
3.Nota
MUKADIMAH
Dewasa ini, umat Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran yang hampir-hampir tidak pernah ditempuh oleh mana-mana generasi yang lalu. Bukan sahaja serangan berbentuk fizikal, malah paling membimbangkan adalahpertempuran yang bersifat maknawi, membinasakan bukan sahaja kefahaman umat Islam terhadap agamanya sendiri, malah cara berfikir dan fitrah kemanusiaan mereka juga menjadi sasaran.Hingga ke satu tahap, musuh sudah tidak perlu bersusah payah memikirkan kaedah berterusan yang boleh mengekalkan umat Islam di daerah krisis dan kemunduran. Umat Islam sudah berjaya bergerak sendiri ke arah membinasakan diri, melalui kecelaruan pemikiran, pandangan dan tindakan. Mereka kini self-sabotaging!
Adalah menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk bersegera mencari jalan keluar daripada permasalahan ini. Mereka perlu tangkas mengenal pasti permasalahan sebenar yang menimpa, membezakan di antara punca (cause) dan kesan (effect), dan seterusnya menumpukan usaha secara optimum kepada punca itu, dengan keyakinan bahawa kesan-kesan yang pelbagai itu akan selesai dengan sendirinya, selepas penyakit di akar umbi selesai dirawat.
Tidak salah bagi kita untuk meminjam kaedah Prinsip Pareto yang diperkenalkan oleh Joseph M. Juran yang lebih dikenali sebagai kaedah 80-20[1]. Kaedah ini menjelaskan kepada kita bahawa 80% masalah yang wujud sebenarnya berpunca daripada 20% sumber. Oleh yang demikian, tindakan yang optimum di dalam menyelesaikan sesuatu masalah, adalah dengan memberikan fokus kepada menangani 20% itu. Islam dihantar oleh Allah kepada bani insan untuk menyelesaikan 20% itu, dan bukannya 80% yang memeningkan.
PENDEKATAN SEJARAH: RASIONAL TAJUK KERTAS KERJA
Salah satu kaedah menganalisa situasi, adalah dengan meneropong sesuatu isu melalui Sejarah. Perbandingan yang dibuat di antara situasi semasa dengan contoh yang wujud dalam sejarah, membolehkan kita mengenalpasti hukum Allah yang berlaku ke atas peristiwa tersebut. Sunnatullah ini ditegaskan oleh al-Quran di dalam firman Allah s.w.t:
(Kekalahan orang-orang Yang menentang Rasulullah sudah tetap menurut) "Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.” (al-Fath 48: 23)
Kaedah mengambil pelajaran dari Sejarah, merupakan sebahagian daripada intisari ajaran al-Quran. Firman Allah s.w.t:
“Demi sesungguhnya, kisah mereka itu mengandungi iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.” (Yusuf 12: 111)
Usaha seminar ini mencari formula ke arah mengharmonikan umat Islam dari sudut kepercayaan, pemikiran dan tindakan, amat memerlukan kepada suntikan Sejarah. Mudah-mudahan, bukti-bukti Sejarah ini akan dapat menginsafkan kita bahawa perjalanan masa dan umur umat yang panjang ini, tidaklah membawa kepada skrip kehidupan yang berbeza sehingga timbul teka-teki apakah hari ini Islam masih relevan dan mampu menyelesaikan krisis Ummah. Umat hari ini hanya mampu diselamatkan oleh apa yang telah menyelamatkan umat yang terdahulu. Sunnatullah itu tiada penggantinya...
RASIONAL MEMILIH ERA OTHMANIYYAH (1300 – 1924) SEBAGAI KES KAJIAN
Kebanyakan krisis besar yang menimpa umat Islam hari ini, mempunyai akar umbi yang dalam serta latar belakang sejarah yang panjang. Kebanyakannya bermula secara langsung semenjak di zaman pemerintahan Othmaniyyah (1300 – 1924). Krisis Palestin dan negara Arab secara umumnya, isu umat Islam di Balkan, malah isu-isu seperti krisis identiti dan sekularisma di Malaysia, turut berkongsi usul, bahawa benih-benihnya sudah wujud semenjak di era Othmaniyyah. Di atas alasan itulah, kita melihat Mehmet Ozay menulis bukunya Islamic Identity And Development: Studies of the Islamic Periphery (ISBN 0-415-04386-7) dengan cuba membuat suatu kajian perbandingan bahawa krisis identiti umat Islam di Malaysia dan Turki semasa, mempunyai banyak persamaan kerana kedua-duanya berkongsi punca dalam Sejarah yang sama[2].
Di samping itu, era Othmaniyyah adalah era terdekat bagi umat Islam mendapatkan contohkehidupan sebuah Ummah yang memenuhi kriteria asasnya sebagai sebuah Masyarakat, Pemerintahan, Negara dan Khilafah Islam.
Justeru itu amat wajar bagi kita mengambil contoh iktibar yang ditawarkan oleh Sejarah era Othmaniyyah khususnya di dalam konteks peranan dan sumbangan Ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah di dalam memikul amanah mereka sebagai Pewaris Nabi, memelihara Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah ketika berhadapan dengan ancaman anasir asing, khususnya Sekularisma yang telah memancung mati Khilafah Islam terakhir itu.
INSTITUSI ULAMA DI ERA PEMERINTAHAN OTHMANIYYAH
Ulama mempunyai kedudukan yang penting dan istimewa di dalam era pemerintahan Othmaniyyah. Ia menjadi institusi yang bukan sahaja dihormati oleh massa, malah menjadi teras dan sumber kekuatan serta kewibawaan para Sultan itu sendiri. Hal ini boleh dirujuk seawal zaman terasasnya pemerintahan Othmaniyyah, tatkala Osman Gazi (1300 – 1326) menyampaikan wasiat akhirnya kepada pewaris takhka Orhan (1326 – 1362) sebagaimana yang dicatatkan oleh Aşık Çelebi:
“Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama' untuk mencari jalan penyelesaian"
"Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli Syariah..."
"Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh..."
"Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!"[3]
Nasihat Osman Gazi kepada anakandanya Orhan, menjadi batu asas kepada corak pemerintahan Othmaniyyah. Ia juga telah mengikat Ulama dan Institusi Syariah agar terus menjadi tiang seri tempat bersumbernya kekuatan dan pengaruh Sultan.
Memahami fungsi dan peranan institusi Ulama’ Othmaniyyah adalah sebahagian daripada subjek penting di dalam memahami tabiat pentadbiran malah polisi-polisi yang dihasilkan di era Othmaniyyah. Secara ringkasnya, Institusi Penguatkuasaan Agama Islam di dalam pemerintahan Othmaniyyah boleh dikemukakan seperti berikut[4]:
1.Sheikh al-Islam
2.Para Qadhi di pelbagai peringkat dan kedudukan
3.Para Mufti
4.Sarjana Syariah dan Usul al-Deen
5.Institusi Perguruan di Madrasah-madrasah Islamiah
Sheikh al-Islam merupakan jawatan keagamaan tertinggi di dalam institusi Ulama’ di era Othmaniyyah. Kadang-kadang jawatan itu disebut sebagai Mufti al-‘Âsimah atau juga sebagai al-Mufti al-Akbar. Kedudukannya yang tinggi dan penting, menjadikan Sadr-ı azam (Perdana Menteri), para menteri, malah Sultan sendiri sering mengambil kira pandangan Sheikh al-Islam di dalam pelbagai urusan yang besar dan penting.
Pengaruh besar Sheikh al-Islam adalah paling menonjol pada bidang kuasanya yang boleh mengeluarkan fatwa untuk menurunkan mana-mana Sultan yang didapati sama ada menyeleweng daripada tanggungjawabnya melaksanakan hukum Syariat Islam, atau sekiranya Sultan ditimpa penyakit, khususnya penyakit mental yang tiada lagi diharapkan sembuhnya.
Contoh dapat dilihat pada peristiwa Sheikh al-Islam memfatwakan agar Sultan Selim III (1789 – 1808) dipecat kerana merombak haikal Tentera Othmaniyyah kepada sistem Barat (baca sebagai non-Islamik). Fatwa tersebut berbunyi, “Sesungguhnya setiap Sultan yang bertanggungjawab mengimport masuk sistem-sistem asing (non-Islamik) dan memaksa rakyat patuh kepada sistem itu, tidak boleh menjadi pemerintah!”. Hasil fatwa Sheikh al-Islam itu, Sultan Selim III telah dipecat dan kemudiannya dibunuh oleh tentera Yeni Çeri (Janissaries)[5].
Fatwa kedua yang boleh diperhatikan adalah fatwa Sheikh al-Islam yang dikeluarkan pada tahun 1876 untuk memecat Sultan Abdul Aziz (1861 – 1876) berasaskan kepada sikap borosnya yang membawa kepada mengikat perjanjian meminjam sejumlah wang daripada institusi kewangan di Paris dan London. Beliau juga dilihat tidak berupaya melaksanakan tugasnya sebagai ketua negara. Pemecatan Sultan Abdul Aziz berlaku sehari selepas fatwa tersebut dikeluarkan[6].
Jawatan Sheikh al-Islam telah dimansuhkan apabila sistem Kesultanan dibubarkan pada tahun 1922. Ketika mana Khilafah Othmaniyyah dibubarkan sepenuhnya pada tahun 1924, Republik Turki telah menggantikan jawatan Sheikh al-Islam dengan satu badan pentadbiran baru yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri di Ankara. Ketua kepada jabatan ini dikenali sebagaiDiyanet İşleri Reis (Ketua Hal Ehwal Agama) dan dianggap sebagai ketua kepada semua kakitangankeagamaan di Republik Turki.
KEMEROSOTAN OTHMANIYYAH
Kerajaan Othmaniyyah telah mencapai kemuncak kegemilangannya di era pemerintahan Sultan Süleyman I (1520 – 1566). Ketika itu pemerintahan Othmaniyyah mencakupi kawasan sejauh Eropah Tengah ke Lautan Hindi dan ia dianggap sebagai kuasa terbesar dunia. Di dalam sebuah manuskrip bertarikh 1538, Sultan Süleyman I telah meluahkan pandangannya terhadap penguasaan beliau kepada kuasa dunia:
“Beta adalah hamba Allah dan Sultan kepada dunia ini. Dengan limpah kurniaan Allah, beta menjadi ketua umat Muhammad. Kekuasaan Allah dan mukjizat Rasulullah menjadi teman beta. Beta adalah Süleyman, yang namanya dibacakan di dalam Khutbah di Makkah dan Madinah. Di Baghdad beta adalah Shah. Di tanah Byzantine, beta adalah Caesar. Di Mesir pula beta adalah Sultan; yang menghantar armada tenteranya ke perairan Eropah, Maghribi dan India. Beta adalah Sultan yang merampas mahkota dan takhta Hungary, untuk diberikan kepada hamba yang tunduk. Voivoda Petru cuba mengangkat kepalanya untuk menentangku, tetapi telapak kaki kudaku telah memijaknya tenggelam menjadi debu. Beta jugalah yang telah menawan tanah Moldavia[7]”.
Walau bagaimana pun, selepas berlakunya peperangan yang berterusan, kesatuan yang berlaku di antara kuasa-kuasa Eropah, pengkhianatan kerajaan Safavid Syiah di Iran dan pelbagai lagi faktor, keperkasaan Othmaniyyah mula merintis graf menurun.
PUNCA KEMEROSOTAN OTHMANIYYAH
Sebab-sebab yang membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan Othmaniyyah adalah pelbagai, namun semuanya terangkum di dalam satu kenyataan iaitu, “menjauhkan diri dari kepatuhan kepada Syariat Allah dan menghukum dengannya”. Ia dapat dilihat di pelbagai sudut seperti sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.
Hal inilah yang mengundang musibah sebagaimana yang telah pun diperingatkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
“Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga supaya jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Noor 24: 63)
Kelakuan-kelakuan yang menyimpang oleh Sultan-sultan Othmaniyyah di akhir usia pemerintahan, telah memberikan impak yang negatif kepada umat Islam. Kehidupan mereka yang tenggelam di dalam arus materialisma dan Jahiliah telah menjadikan diri dan masyarakat hidup dalam keresahan, celaru dan hilang jati diri. [8]
Hal ini berlaku seiringan dengan kebangkitan musuh Othmaniyyah, sama ada di Barat, mahu pun Timur seperti kerajaan Safavid Syiah di Iran. Pada tahun 1599, Shah Abbâs dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian diEropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan.
1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah.Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut.
Akan tetapi amat menarik untuk kita meneliti, apakah perbalahan tentang isu yang cuba diketengahkan oleh seminar ini pernah berlaku di era Othmaniyyah. Pernahkan masyarakat Othmaniyyah ‘diganggu’ oleh pertembungan pandangan di antara Salaf dan Khalaf? Seandainya ya, apakah pelajaran yang boleh kita pelajari daripadanya?
ISU SALAF VS. KHALAF DI ERA OTHMANIYYAH
Sebagaimana yang kita semua sedia tahu, Othmaniyyah bermazhab Hanafi. Mazhab Hanafi telah menjadi pegangan negara-negara bangsa Turki di era Islam semenjak dari zaman Karakhanid. Dengan tabiat yang wujud di dalam kaedah pengambilan hukum dan pengembangannya di dalam Mazhab Hanafi, masyarakat Othmaniyyah menganggap mereka sebagai terbuka dan fleksibel. Ia memberikan ruang kebebasan yang banyak di bidang siasah dan penguatkuasaan polisi dari semasa ke semasa. Di atas sifat ini, Halil İnalcık berpendapat bahawa Othmaniyyah adalah sebuah masyarakat Islam yang paling bersikap terbuka terhadap pengaruh budaya luar[9].
Keterbukaan Othmaniyyah itu telah mengundang kepada kemasukan unsur yang positif dan negatif. Kemunculan gerakan Kızılbaş (‘kepala merah’) yang membawa propaganda dan pengaruh Syiah telah menjadi senjata Kerajaan Safavid untuk mengkucar-kacirkan Othmaniyyah. Apabila ancaman ‘rakan sekiblat’ dari golongan Syiah ini muncul, ia telah menimbulkan suatu kesedaran betapa para Sultan perlu benar-benar menguasai ilmu pengetahuan demi untuk berhadapan dengan serangan pemikiran seperti yang dilakukan oleh golongan Kızılbaş itu tadi. Sultan Süleyman I telah menuntut ilmu dengan Imam Ebussüûd (1490 – 1574) untuk tujuan tersebut.
Perbicaraan yang membabitkan Molla Kâbiz (m. 1527) menarik perhatian kita berkaitan dengan isu ini. Ketika mana berlakunya pemberontakan Kızılbaş Kalender Çelebi di Anatolia pada tahun 1527, Molla Kâbiz telah mempertahankan pendapat bahawa Jesus adalah lebih hebat berbanding dengan Rasulullah Muhammad s.a.w. Semasa beliau dibicarakan buat kali pertama di Imperial Council, para kâdîasker tidak dapat mendatangkan hujah Syara’ yang cukup untuk membolehkan Molla Kâbiz dihukum. Sultan yang tidak berpuas hati dengan hal ini telah menitahkan agar dilangsungkan perbicaraan kedua terhadap Molla Kâbiz dan kali ini ia membabitkan perdebatan bersama Sheikh al-Islam Kemâl Paşazâde yang juga merupakan kâdî Istanbul. Sheikh al-Islam telah berjaya mendatangkan hujah yang menyebabkan Molla Kâbiz terdiam, namun beliau tetap dengan pandangannya. Akhirnya Molla Kâbiz dihukum bunuh selepas perbicaaraan itu.
Ekoran daripada peristiwa itu, pada tahun 1537, semua gabenor telah menerima perkeliling daripada kerajaan Othmaniyyah bahawa sesiapa yang meragui ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah dianggap sebagai kafir dan boleh dihukum bunuh. Para gabenor juga menerima arahan agar setiap kampung didirikan sebuah masjid dan setiap mukallaf diwajibkan hadir ke Solat Jumaat. Ini merupakan langkah yang diharapkan dapat menjadi mekanisma yang boleh mengesan golongan yang menolak Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
Kemunculan cabaran yang berbentuk serangan pemikiran di dalam sebuah masyarakat sebesar Othmaniyyah, mendorong kepada munculnya kebiasaan melaksanakan agama secara penguatkuasaan undang-undang (law enforcement) dan hal ini mengundang kepada benih-benih fanatisma di dalam soal beragama[10].
Lazimnya, golongan yang keras pendekatannya adalah terdiri daripada sarjana yang masyhur dari kalangan mereka yang mengajar di masjid-masjid besar yang utama. Manakala Ulama’ yang mengambil pendekatan yang lebih bersederhana adalah terdiri daripada mereka yang mengajar di Sekolah Tinggi atau berkhidmat sebagai kakitangan di institusi agama. Di antara mereka itu, adalah Taşköprülüzâde Ahmed (1495 – 1561)[11].
Taşköprülüzâde telah mengkritik secara keras terhadap tindakan Ulama’ yang keras kerana pada anggapannya telah mengeksploitasi kejahilan orang ramai dan menjuruskan mereka kepada kesesatan. Katanya, “Allah menghalang kita daripada mendekati mereka yang menonjolkan fanatisma di dalam agama!” Pada tanggapan Taşköprülüzâde, setiap orang adalah bebas untuk memilih mazhab pegangannya. Dakwaan bahawa mazhab seseorang adalah betul secara muktamad, manakala mazhab-mazhab yang lain sebagai palsu, serta melemparkan tuduhan kufur kepada mana-mana Muslim sebagai bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
Gerakan yang memilih pendekatan yang berbau fanatisma ini menjadi semakin berleluasa sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan orang ramai dan ia telah menarik perhatian pemerintah untuk mengambil sikap berjaga-jaga.
Salah seorang daripada sarjana yang bertindak keras di dalam pengajarannya adalah Mehmed of Birgi (1522 – 1573). Aktivitinya paling menonjol di sekitar tahun 1558 hingga 1565. Beliau telah mengkritik amalan-amalan kebiasaan Othmaniyyah seperti berjabat tangan dan tunduk kerana memberi hormat, budaya mencium tangan, memakai jubah-jubah yang besar dan apatah lagi perbuatan mengadakan upacara-upacara keagamaan di kawasan perkuburan sebagai Bid’ah dan mesti dibanteras habis-habisan. Malah serangan Mehmed of Birgi juga menyentuh beberapa polisi rasmi kerajaan Othmaniyyah seperti menggajikan mereka yang bertugas di institusi agama, menganggap pewasiatan wang serta harta alih sebagai wakaf, sebagai polisi yang batil. Pada masa yang sama, tulisan-tulisannya yang menghentam perbuatan membaca mentera dan menari-nari di dalam majlis zikir telah mengundang huru-hara di dalam masyarakat ketika itu.
Anak murid Mehmed of Birgi iaitu Kâdizâde Ahmed (m. 1635) dan sekumpulan pendakwah yang menjadi pengikut kepada Mehmed of Birgi, dikenali sebagai fakĭs, meneruskan kontroversi tersebut. Seruan mereka dari mimbar-mimbar Istanbul telah mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat dan menyebabkan masyarakat berpecah kepada dua. Golongan fakĭs ini menegaskan bahawa sebarang amalan yang tidak wujud di zaman Nabi s.a.w. adalah Bid’ah dan sesiapa yang mengamalkannya dianggap kafir. Mereka menyatakan juga bahawa rokok tembakau dan kopi adalah haram, seiringan dengan sebarang muzik dan tari menari. Malah tuntutan golongan fakĭs membawa hingga kepada menuntut agar subjek seperti matematik dan ilmu sains dimansuhkan daripada Madrasah.
Seruan golongan ini berlarutan serta berkembang dan ia sampai ke suatu tahap di mana Sultan Murâd IV (1623 – 1640) telah cuba untuk meraih pengaruh lantas menggubal serta menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan rokok tembakau dan alkohol serta tidak bertolak ansur terhadap mereka yang engkar.
Dakwaan golongan fakĭs juga mempertikaikan kehidupan mewah para pemerintah serta menyeru kepada penentangan terhadap sebarang ketidakadilan yang berlaku. Pada tahun 1656, mereka menghentam kesemua tekke (pusat kegiatan golongan Sufi) dan cuba untuk melancarkan revolusi agama secara besar-besaran.
Malang sekali, apabila pengaruh golongan fakĭs menjadi begitu kuat, khususnya di kalangan rakyat bawahan, terdapat sebahagian pegawai tinggi pemerintah dan ahli politik cuba memanipulasi pengaruh itu dengan menyatakan sokongan mereka kepada golongan fakĭs. Golongan ini yang secara dasarnya cuba mengembalikan masyarakat kepada Sunnah, telah dijadikan sebagai alat konspirasi oleh golongan ahli politik itu tadi.
Akhirnya Köprülü Mehmed (m. 1661) yang menjadi Perdana Menteri ketika itu telah mengambil tindakan mengusir keluar golongan fakĭs ini daripada Istanbul demi untuk mengelakkan tercetusnya perang saudara.
PENGAJARAN
Inilah sebahagian daripada sedutan peristiwa yang pernah berlaku di zaman Othmaniyyah. Isu utama yang menjadi pencetus huru hara di masa itu adalah soal BID’AH dan fokusnya masih sama dengan apa yang berlaku hari ini.
Di dalam hal ini Kâtip Çelebi[12] (1609 – 1657) telah membuat ringkasan terhadap pandangan para Ulama berhubung engan hal ini. Beliau menyatakan bahawa adat istiadat dan Bid’ah yang telah menjadi kebiasaan sebahagian besar masyarakat, tidak boleh dan tidak sepatutnya dihapuskan secara kekerasan. Bid’ah mungkin tidak sejajar dengan kehendak Syara’. Akan tetapi, manusia, sebagai hamba Allah adalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Allah s.w.t. ‘menangani’ kelemahan manusia itu dengan sifatnya yang Maha Pengampun, lantas Islam lebih mengutamakan toleransi berbanding paksaan dan kekerasan. Tindakan menggunakan kekerasan ini hanya akan mencetuskan penentangan dan akhirnya mengakibatkan kegusaran serta perpecahan di kalangan masyarakat.
Kâtip Çelebi juga mengusulkan bahawa penyelesaian terhadap fanatisma di dalam agama, boleh diperolehi dengan mengkaji beberapa sains keintelektualan sebagaimana yang diamalkan di era pemerintahan Fatih Sultan Mehmed. Padanya Mehmed of Birgi tidak memahami fungsi adat di dalam masyarakat kerana beliau tidak mempelajari Sejarah dan Falsafah. Kâtip Çelebi juga percaya bahawa perdebatan sememangnya bermanfaat, namun ia terhad kepada sarjana (Ulama’) sahaja, dan tidak seharusnya membabitkan orang ramai.
Usaha yang dilakukan oleh Mehmed of Birgi dan pengikutnya adalah reaksi yang wajar apabila masyarakat semakin terbelenggu dengan amalan-amalan yang menyalahi ajaran Islam. Namun, usaha itu menjadi gagal kerana dua sebab yang berulang-ulang di sepanjang sejarah Islam iaitu:
Fanatisma terhadap pandangan sendiri
Menggunakan pendekatan keras dan paksaan di dalam dakwah
Inilah yang sepatutnya menjadi pelajaran kepada Ummah. Manipulasi golongan politik terhadap seruan ‘pulang kepada Sunnah’ ini juga mesti diberi perhatian kerana pendukung Sunnah sudah pun pernah menjadi ‘alat konspirasi’ sesama ahli Politik yang sentiasa memikirkan kepentingan politik mereka sahaja.
Ketika golongan fakĭs sibuk dengan isu Bid’ah, pada masa itulah Othmaniyyah jatuh merudum kerana ancaman sebenar pada masa itu adalah:
Serangan kuasa bersekutu dari Barat
Serangan Syiah dari Timur
Rakyat Othmaniyyah sendiri berpecah belah pada masa tersebut.
Jika pisang berbuah berkali-kali, ia rezeki yang baik. Namun, sekiranya umat Islam disengat pada lubang yang sama untuk kali yang ke seterusnya, ia suatu petanda yang malang bagi kita.
PERANAN ULAMA DI BIDANG SIASAH, DAKWAH DAN PENDIDIKAN
Peranan yang dimainkan oleh Ulama di dalam memantau perjalanan implimentasi Syariat Islam tidak terikat kepada jawatan rasmi mereka di dalam Institusi Keagamaan Othmaniyyah. Mereka sebagai pemimpin yang berpengaruh di tengah-tengah massa, sentiasa memainkan peranan yang pro aktif khususnya ketika timbul krisis-krisis tertentu yang membabitkan maslahah ramai.
Misalnya al-Sheikh Ali b. Ahmed el-Hittî (meninggal dunia 1029H) pernah menulis sebuah buku bertajuk Al-Sayf al-Bâtir li Arqâb ‘ala al-Syiah al-Rafidhah al-Kawafir untuk menghuraikan tentang akidah sesat golongan Syiah dan kesepakatan ulama terhadap kewajipan memerangi mereka. Beliau menulis buku itu ekoran daripada perbuatan biadap penduduk Thabaristan berarak di jalan raya pada Hari Asyura, mencela dan mengutuk sahabat Nabi s.a.w. Al-Hittî telah menghantar salinan buku itu kepada Sultan Ahmed I (1603 – 1617) di Istanbul dengan mesej, “setelah kamu ketahui tentang hakikat Syiah Rafidhah yang sebenarnya, wajiblah kamu menyiapkan bala tentera untuk menundukkan mereka di Thabaristan. Seandainya kamu lengah daripada berbuat demikian, maka aku akan siapkan tentera untuk menyerang kamu!”[13]
Walau bagaimana pun, kertas kerja ini akan memfokuskan kepada tiga orang sarjana yang paling menonjol di era kejatuhan Othmaniyyah. Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi dipilih mewakili Ulama’ yang berjuang di medan siasah. Badiuzzaman Said al-Nursi pula dipilih mewakili Ulama’ yang gerak kerjanya di medan dakwah. Manakala yang ketiga, Sheikh Süleyman Hilimi Tunahan pula dipilih sebagai kajian kes terhadap sumbangan dan peranan Ulama di medan pendidikan.
Mustafa Sabri dilahirkan pada tahun 1869 di bandar Tokat yang terletak di kawasan Anatolia Laut Hitam. Zaman kelahiran beliau adalah zaman yang menyaksikan Khilafah Othmaniyyah sedang merudum runtuh oleh seribu satu sebab yang ada pada masa itu. Pada tahun 1908, Sheikh Mustafa Sabri telah menjadi wakil rakyat bagi bandar Tokat di Meclis-i Mebusan iaitu Parlimen Kerajaan Othmaniyyah. Jawatan ini terhasil selepas kelantangan beliau menyuarakan pendapatnya di Majlis Tempatan Tokat, kampung halaman kelahiran beliau
Apabila Parti Hürriyet ve İtilaf memperolehi kuasa pemerintahan pada tahun 1919, kerajaan telah dibentuk di bawah kepimpinan Damad Farid Pasha. Sheikh Mustafa Sabri telah dilantik pada tahun 1920 menjadi Sheikh al-Islam. Mustafa Sabri kemudiannya dikenali sebagai Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi (gelaran Efendi diberikan mengikut tradisi kerajaan Othmaniyyah kepada ilmuan agama).
Semasa Perdana Menteri ketika itu melawat Paris bagi menghadiri suatu perhimpunan di sana, Mustafa Sabri telah dilantik sebagai pemangku yang mempengerusikan kerajaan. Semasa inilah pertembungan pendapat dan perbezaan fahaman telah meruncing di antara Mustafa Sabri dengan menteri-menteri yang lain sehingga beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Sheikh al-Islam dan kemudiannya menubuhkan partinya sendiri yang juga dikenali sebagai Parti Hürriyet ve Itilaf tetapi Mu’tadil iaitu yang sederhana dan adil.
Perletakan jawatan beliau inilah yang mengundang hari-hari yang hitam di dalam hidupnya. Sadık Albayrak berkata, “Sheikh al-Islam Mustafa Sabri sentiasa menyeru kepada Syariah serta mahu menempatkan kalimah Allah di dalam pemerintahan dan masyarakat”.
Namun, Sheikh al-Islam Mustafa Sabri semasa itu menjadi minoriti yang menongkah arus. Beliau berhadapan dengan gelombang proses pembaratan yang amat dahsyat. Perlucutan Islam daripada pemerintahan dan kehidupan masyarakat berlaku dengan begitu drastik .
Realiti di masa itu tidak melemahkan semangat beliau. Mustafa Sabri terus komited menyuarakan Islam di mana-mana sahaja. Sedangkan pada masa itu kebanyakan Ulama sudah lemah upaya untuk berdiri tegak seiring dengan Mustafa Sabri.
Era itu menyaksikan bagaimana kaum wanita diseru untuk keluar dari rumah masih-masing dan bermusafir sebebas-bebasnya. Sheikh al-Islam dengan tegas dan lantang menyuarakan penentangannya terhadap usaha ‘pembebasan’ palsu ini. Ia lebih merupakan usaha pembebasan wanita dari ikatan agama dan mengungkaikan kemuliaan yang dikurniakan Islam kepada wanita selepas mereka terhina di zaman Jahiliyyah.
Pada tahun 1922, Mustafa Sabri telah dibuang negeri. Beliau telah bermusafir ke Yunan (Greece) dan telah mengumpulkan masyarakat Muslim Turki di kawasan Trakia (Thrace) serta menyatukan mereka. Beliau juga telah menerbitkan akhbar berbahasa Turki Othmaniyyah yang menggunakan huruf Arab dan akhbar tersebut diberi nama ‘Yarın’ bermakna ‘Esok’. Akhbar ini penuh memuatkan kritikan terhadap fahaman barat semasa itu terutamanya aliran Kemalisma yang dibawa oleh Atatürk, terutamanya proses menukar keperibadian umat Islam melalui proses pembaratan agresifnya. Majalah Yarın ini menjadi bahan kajian yang sangat penting kepada ahli sejarah yang mahu mengkaji idea-idea penentangan kepada Revolusi Ataturk.
Dari Greece, Mustafa Sabri telah bermusafir ke Mesir untuk menyebar luaskan seruan beliau. Kemudiannya beliau ke Hijaz, seterusnya kembali semula ke Mesir dan bermastautin di ibu kota Kaherah. Semasa di Kaherah, Sheikh al-Islam telah menyeru kepada sekalian umat Islam agar kembali kepada perlaksanaan Syariat Islam dan meninggalkan fahaman sekularisma yang semakin menular di dalam masyarakat. Kehadiran dan seruan Mustafa Sabri telah menggusarkan golongan sekular di Mesir yang pro Revolusi Atatürk.
Mustafa Sabri telah menghasilkan banyak buku di dalam Bahasa Turki dan Arab. Akan tetapi di kalangan hasil tulisan itu, kitabnya yang paling masyhur adalah Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin (Kedudukan Akal, Ilmu dan Alam di Dalam Hubungannya Dengan Rabbul Alamin dan Para Rasul). Ia diterbitkan di Kaherah pada tahun 1950.
MUSTAFA SABRI DAN MASALAH PEMISAHAN DI ANTARA AGAMA DAN POLITIK
Permasalahan ini adalah di antara permasalahan paling utama yang dibahaskan oleh Mustafa Sabri di dalam kitabnya Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin. Mustafa Sabri memulakan perbahasan dengan menerangkan pandangan beliau tentang tulisan Dr. Haikal Pasha di dalam bukunya Hayat Muhammad. Kata Sheikh al-Islam, “Walaupun Islam di Mesir telah pun dipisahkan daripada negara dan kerajaan dengan membahagikan mahkamah kepada Mahkamah Syariah dan Sivil, serta mengeluarkan Sheikh al-Azhar daripada kabinet menteri dan sebagainya, namun Haikal Pasha mahukan pemisahan itu berlaku di dalam bentuk yang lebih terang iaitu dengan menghapuskan terus Islam daripada kedudukannya sebagai agama rasmi negara sebagaimana yang terjadi kepada Turki Baru (Turki di bawah kuasa Ataturk). Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi menegaskan bahawa seruan seperti itu adalah seruan yang mengeluarkan negara dari pegangan Islam. Sokongan masyarakat dengan mendokong kerajaan seperti ini juga adalah sokongan yang mengeluarkan mereka dari Islam. Dalam erti kata yang lain, seruan sedemikian rupa adalah seruan kepada murtadnya kerajaan dan murtadnya Ummah!
KESIMPULAN FIKRAH YANG DIPERJUANGKANNYA
Di antara isi penting fikrah yang diperjuangan oleh Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi, adalah seperti berikut:
Membangunkan umat Islam untuk bangkit menghapuskan segala anasir sekularisma serta pembaratan tamadun dan akhlak.
Berpegang teguh dengan jalan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
Mengembalikan Khilafah Islamiyyah.
Selain kitab Mauqif al-‘Aql wa al-‘Ilm wa al-‘Aalam min Rabb al-‘Alamin wa Ibadihi al-Mursalin,di antara kitabnya yang juga terkenal adalah Dini Mucedditleri (Mujaddid-mujaddid Agama), Mes‘eletü Tercemet-il-Kur‘an (Masalah-masalah Terjemahan al-Quran), Savm Risâlesi (Risalah Puasa), El-Kavl-ül Fasl (Kata-kata Pemutus) dan lain-lain.
Semenjak sekian lama, Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi di mata pendokong Kemalisma, adalah seorang penjenayah yang mengancam negara. Beliau bersama sejumlah besar Ulama’ dan tokoh masyarakat telah dihukum dengan pelbagai peruntukan undang-undang. Ada yang dihukum bunuh, dipenjara dan ada juga yang dibuang negeri seperti Mustafa Sabri. Walau bagaimana pun semasa beliau berada di Mesir, Mustafa Sabri bersama-sama dengan 150 orangyang lain telah ‘dikurniakan pengampunan’ oleh kerajaan Atatürk
Akan tetapi Mustafa Sabri menolaknya dan enggan pulang ke Turki sehinggalah beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 1954. Sheikh al-Islam Mustafa Sabri telah meninggal dunia selepas perjuangannya yang panjang. Usaha beliau mempertahankan Islam dan berkata TIDAK kepada segenap lapisan masyarakat yang sudah mabuk Kemalisma dan segala yang datang dari Barat.
Semoga Allah merahmati Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi yang menjadikan tulang empat keratnya sebagai tiang penahan rebah Ummah di kala musnahnya Khilafah.
Said dilahirkan di perkampungan Nurs di Wilayah Bitlis, yang terletak di timur Anatolia pada tahun 1876M, iaitu tahun Sultan Abdul Hamid II menaiki takhta pemerintahan Othmaniyyah. Beliau yang kemudiannya diberi gelaran Badiuzzaman (Keagungan Zaman) berketurunan Kurdi dan tidak bertutur di dalam Bahasa Turki, hinggalah beliau berhijrah ke bandar Van.
Semasa di Van, beliau telah membuat analisa terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya kaum Kurdi terhadap Islam. Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa beliau berkewajipan untuk belajar ilmu-ilmu Sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Badiuzzaman Said al-Nursi telah meluangkan masa belajar dengan tekun ilmu Geografi, Fizik dan Falak.
Beliau seterusnya mengusahakan agar ilmu Sains ini diajar seiringan dengan ilmu agama agar mereka yang tidak dapat memahami kecuali melalui ‘bahasa Sains’ akan dapat juga sampai kepada hakikat Iman.
Ketika berlakunya kucar kacir besar-besaran di Istanbul pada 13 April 1909 yang membawa kepada tersingkirnya Sultan Abdul Hamid II dari takhta Khalifah, Parti Ittihad ve Terakki telah pun menguasai negara. Mereka telah menangkap ramai sarjana Islam dan diheret ke muka pengadilan.Di antara mereka itu ialah Badiuzzaman Said al-Nursi. Tetapi disebabkan oleh kepintarannya berhujah, mahkamah gagal mensabitkan beliau dengan sebarang pertuduhan, dan akhirnya dibebaskan.
Badiuzzaman Said al-Nursi juga pernah pergi ke Syam (Damascus) dan menyampaikan khutbahnya di Masjid al-Umawi di sana. Khutbah yang disampaikannya di situ dikenali sebagai al-Khutbah al-Syâmiyyah, menjelaskan tentang sebab-sebab kemunduran umat Islam sebagaimana yang diperhatikannya.
Beliau juga telah secara sukarela menyertai Perang Dunia Pertama bersama-sama dengan 3000 orang anak muridnya. Mereka bertempur dengan tentera Russia yang bekerja keras menawan Bitlis. Selepas ramai tentera Russia terbunuh di satu pihak, serta tentera Islam dari kumpulan Turki dan Kurdi di satu pihak yang lain, akhirnya Bitlis jatuh ke tangan Russia. Badiuzzaman Said al-Nursi telah ditawan dan dipenjarakan. Akan tetapi, semasa di penjara itu, beliau tetap meneruskan kerjanya mengajar Islam kepada tawanan perang.
Badiuzzaman telah berjaya melepaskan diri dari tawanan tersebut dan melarikan diri ke Siberia. Kemudiannya beliau ke Eropah dan seterusnya pulang ke Istanbul melalui Warsaw, Berlin dan Vienna.
Di Istanbul, Enver Paşa yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu telah mengurniakan Badiuzzaman Said al-Nursi pelbagai anugerah kehormat di atas jasanya memimpin orang ramai ke arah bangkit menentang penjajahan Russia. Enver Paşa juga telah melantik beliau menjadi anggota Darü’l-Hikmeti’l-Islamiye, sebuah akademi yang menghimpunkan sarjana Islam di Istanbul ketika itu.
Selepas berlakunya Perang Kemerdekaan dan berjayanya Turkish Grand National Assembly dibentuk, kabinet Atatürk telah menjemput Badiuzzaman menyertainya di Ankara. Jemputan itu diterima, namun selepas tibanya Badiuzzaman ke Ankara, dia tidak dapat bersekongkol dengan mereka kerana beliau mendapati anggota kabinet itu tidak patuh kepada Syariat Islam.
Beliau menegur Atatürk dan anggota kabinetnya, “tidak ada kebaikan yang boleh saya harapkan daripada golongan yang mengabaikan Solat!”
Selepas itu, Badiuzzaman Said al-Nursi meneruskan kegiatannya berdakwah, mendidik masyarakat dan sentiasa berulang alik di antara penjara dan pembuangan, hasil tekanan yang dibuat oleh regim Atatürk.
Pada tahun 1935, kerajaan Republik Turki telah membuat pertuduhan terhadap Badiuzzaman bahawa kononnya beliau menubuhkan sebuah gerakan rahsia yang menentang pemerintah. Beliau telah didakwa di Mahkamah Eskişehir dan kemudiannya dibuang ke Kastamonu. Manakala pada tahun 1943, Mahkamah Denizli telah mendakwa Badiuzzaman Said al-Nursi bahawa beliau memimpin sebuah pergerakan rahsia yang bertujuan menggulingkan pemerintah, serta menuduh Atatürk sebagai ‘Dajjal dan Pembinasa Agama’. Pendakwaan itu berlangsung selama 9 bulan. Beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan tetapi ditahan daerah di Emirdağ, sebuah bandar di daerah Afyon.
Pada tahun 1952, Badiuzzaman tiba di Istanbul tetapi kemudiannya pulang semula ke Emirdağ dan di peringkat inilah, risalah-risalah karangannya, dikumpul dan ditulis dengan huruf Arab untuk disebarkan kepada orang ramai. Pengikut Badiuzzaman menjadi semakin ramai khususnya selepas tahun 1950 iaitu di era pemerintahan İsmet İnonu.
Penulisan Badiuzzaman telah menjadi pembimbing yang besar kepada umat Islam di Turki. Beliau menulisnya secara non linear iaitu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran bukan mengikut susunan Surah atau Ayat. Sebaliknya berdasarkan kepada keperluan masyarakat menerusi isu-isu yang timbul dari semasa ke semasa. Beliau sendiri menggelar Risalahnya sebagai “penolak keraguan yang ditimbulkan oleh Syaitan-syaitan Jin dan manusia, serta pengukuh Aqidah kaum Muslim di jalan yang Haq dan betul”
Pada tahun 1960 Said al-Nursi berhasrat untuk berpindah dari İsparta ke Urfa. Di rehlah kali inilah, Badiuzzaman Said al-Nursi menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas suatu perjalanan hidup yang panjang dan berliku, iaitu pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379. Beliau selamat dikebumikan di Urfa.
Akan tetapi pada 11 Julai 1960, Revolusi Tentera telah menggulingkan pentadbiran kabinet Adnan Menderes dan beliau sendiri dihukum gantung oleh pihak Tentera dengan alasan bersikap acuh tidak acuh di dalam mengekang kebangkitan semula golongan pro-Islam. Pada masa itulah, anggota revolusi telah mengarahkan supaya makam Badiuzzaman Said al-Nursi dibongkar dan jenazahnya dikeluarkan untuk dipindahkan ke İsparta. Di bandar itulah, Badiuzzaman Said al-Nursi bersemadi di suatu tempat yang tidak diketahui, hingga ke hari ini.
Badiuzzaman Said al-Nursi telah mewariskan hasil pemikirannya di dalam jumlah yang besar. Antaranya ialah:
Rasâil al-Nur yang terdiri daripada 130 Risalah, terbahagi kepada:
Sözler (al-Kalimât) yang terdiri daripada 33 Risalah.
Mektubât, terdiri daripada 50 Risalah.
Lem’ât, terdiri daripada 15 Risalah.
Juzuk tambahan kepada Rasâil al-Nur iaitu Lâhika Kastamonu, Lâhika Emirdağ dan Lâhika Barla.
Tulisan-tulisan lain seperti İşaratü'l-İ'caz, Mesnevi-i Nuriye dan sebagainya
Dakwah yang dilakukan oleh Badiuzzaman Said al-Nursi menonjolkan kesungguhan beliau memecahkan kebekuan tradisi pengajian ilmu Islam, mendorong kepada penguasaan ilmu Syariat dan Sains dan saling mempergunakan kedua-dua ilmu tersebut ke arah memahami hakikat Iman.
Beliau tidak banyak mendatangkan perselisihan pandangan Ulama, sebaliknya banyak memfokuskan kepada meneroka pelbagai kaedah penyampaian demi membolehkan semua lapisan masyarakat dapat memahami mesej yang hendak diketengahkan.
Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran untuk Badiuzzaman Said al-Nursi yang kehidupan dan matinya bujang, kerana berkahwin dengan perjuangan yang gigih dan berpanjangan.
Al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan adalah daripada keluarga sarjana Islam yang terkemuka.Datuknya adalah Kaymak Hâfiz dan keluarganya adalah dari silsilah keturunan İdris Bey yang nasabnya sampai kepada Rasulullah s.a.w. Di zaman Sultan Muhammad al-Fatih (1444 – 1446 / 1451 – 1481), beliau mencari orang yang mempunyai nasab keturunan Nabi s.a.w. dan apabila İdris Bey ditemui, beliau dikahwinkan dengan saudara perempuan al-Fatih.
İdris Bey kemudiannya dilantik sebagai Amir bagi kawasan Tuna dan diberi gelaran Tuna Hanı atau Tunahan. Beliau bertanggungjawab menguruskan hal cukai dan jawatan serta gelaran Tunahan itu kekal kepada cucu cicitnya hinggalah sampai kepada Osman Bey iaitu ayahanda Süleyman Efendi. Osman Bey merupakan tenaga pengajar di Madrasah Satırlı. Suatu ketika, beliau bermimpi yang sebahagian anggota tubuhnya terkeluar dan terangkat ke langit lalu mengeluarkan cahaya. Mimpi tersebut ditafsirkan bahawa akan lahir daripadanya seorang anak soleh yang akan menyebarkan Islam di serata alam.
Osman Bey kemudiannya berkahwin dan beroleh empat orang anak lelaki iaitu Fehmi, Süleyman Hilmi, İbrahim dan Halil.
Süleyman Hilmi dilahirkan di bandar Ferhatlar yang terletak di wilayah Silistre, (Bulgaria hari ini) pada tahun 1888. Pendidikan awalnya bermula di Madrasah Satırlı bersama-sama dengan adik beradiknya yang lain. Semasa di madrasah inilah, Osman Bey dapat melihat kelebihan Süleyman Hilmi berbanding dengan anak-anaknya yang lain. Süleyman Hilmi diberikan perhatian yang intensif, malah dilayan secara istimewa agar kematangannya meningkat cergas. Osman Bey sering menyebut, “Silakan wahai anakku, wahai Süleyman Efendi!”. Ia menimbulkan rasa segan yang amat sangat pada diri Süleyman Hilmi atas penghormatan yang diberikan oleh ayahandanya walau pun dirinya masih lagi seorang anak kecil.
Selepas menamatkan pengajian di Madrasah Satırlı, beliau dihantar ke Istanbul oleh ayahnya untuk menyambung pengajian. Süleyman Hilmi dibekalkan dengan tiga pesanan:
Agar dirinya berjimat cermat dan tidak membazir
Agar dirinya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai ilmu al-Usul.
Mempelajari ilmu Mantiq (Logik) sebaik mungkin sehingga ilmunya menjadi teguh.
Di Istanbul, beliau menamatkan pengajiannya di Madrasah al-Fatih, dan seterusnya di Dar al-Khilafah al-‘Aliyah pada tahun 1913. Kelulusan di dalam modul kehakiman, telah membawa kepada tawaran perlantikan Süleyman Hilmi sebagai Kadi di Kastamonu. Hal ini diketahui oleh bapanya, lalu beliau menghantar surat kepada Süleyman Hilmi yang berbunyi, “wahai Süleyman, ketahuilah bahawa aku tidak menghantar engkau ke Istanbul agar engkau berada di dalam neraka!” Lalu bapanya mengingatkan Süleyman tentang hadith Nabi s.a.w daripada Buraidah yang menjelaskan tentang tiga Kadi, satu di syurga, dua di neraka. Osman tidak mahu anaknya memegang jawatan Kadi. Süleyman Hilmi menjelaskan bahawa dia tidak meminta jawatan tersebut, tetapi hanya untuk mempelajari aspek-aspek kehakiman agar sempurna penguasaan ilmunya. Osman Bey gembira dengan penjelasan anaknya Süleyman Hilmi.
Süleyman Hilmi membesar di Istanbul di dalam suasana negara yang sedang kacau bilau. Semasa berlakunya rampasan kuasa penggulingan Sultan Abdul Hamid II pada tahun 1909, Süleyman Hilmi masih lagi di bangku pengajian.Dia menentang sekeras-kerasnya revolusi itu serta sebarang usaha pembaratan yang dilakukan.
Malang sekali, tidak sampai lima tahun Süleyman Hilmi beroleh ijazah pendidikannya, bumi Turki ditimpa musibah. Turkish Grand National Assembly telah dibentuk, Kesultanan dan Institusi Khilafah dimansuhkan, Sultan Mehmed VI Vahîdeddîn (1918 – 1922) digulingkan, Republik Turki diisytiharkan penubuhannya, dan akhir sekali, semua 520 sekolah di Turki telah digabungkan di bawah polisi pendidikan sekular pada tahun 1924.
Polisi ini telah menyebabkan semua pendidik ilmu Syariah di sekolah hilang pekerjaan. Ramailah yang diserapkan ke jawatan-jawatan lain seperti imam dan penceramah di masjid, malah tidak kurang yang mengambil keputusan untuk bersara. Namun Süleyman Hilmi menolak semua itu kerana baginya, perbuatan itu semua akan menyebabkan bangsa Turki buta Islam dan al-Quran.
Oleh itu, Süleyman Hilmi bergerak aktif meneruskan aktiviti mengajarnya di Masjid Sultan Ahmet dan Süleymaniye, Yeni Cami, Şahzade Paşa, Kasim Paşa dan beberapa masjid yang lain.
Beliau juga terus menerus memberi peringatan kepada rakan-rakannya agar tidak takut kepada pemerintah, sebaliknya meneruskan usaha mengajar masyarakat ilmu Islam. Katanya, “Wahai saudara-saudaraku para guru sekalian, sesungguhnya kamu hari ini adalah jaminan keselamatan agama di bumi ini dengan jumlah kita yang melebihi 500 orang. Seandainya setiap seorang dari kalangan kamu mengajar 3 orang di rumah masing-masing, kita sudah boleh melahirkan 1500 orang yang memperolehi tarbiah Islam. Dengan jumlah itu, Allah akan memanjangkan umur Islam sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang dan ia adalah usaha untuk satu atau dua generasi.”
Seruan Süleyman Hilmi itu telah menaikkan semangat para guru dan mereka telah menulis surat kepada kerajaan menyatakan kesanggupan mereka untuk mengajar tanpa gaji memandangkan negara yang belum pulih dari menanggung perbelanjaan perang. Surat mereka telah dibalas dengan surat pekeliling kabinet Atatürk yang menyebut, “Telah diputuskan penerimaan polisi penyatuan sekolah. Maka sebarang aktiviti yang bercanggah dengan keputusan ini akan dikenakan tindakan yang sekeras-kerasnya”.
Ini telah mencetuskan bibit-bibit hitam di dalam perjalanan seorang guru yang amat cintakan profesyennya, Süleyman Hilmi Tunahan. Dia telah memulakan aktiviti mengajar anak-anak muridnya secara rahsia kerana merasakan dirinya berdosa di hadapan Allah jika berhenti. Namun tiada siapa yang berani untuk menjadi anak muridnya, bimbang diketahui oleh rejim Atatürk. Süleyman Hilmi tidak berputus asa, sebaliknya beliau memulakan pengajian itu dengan mengajar kedua-dua anak perempuannya di rumah, supaya mereka boleh mengajar suami dan anak masing-masing.
Usaha mendapatkan anak-anak murid bagi Süleyman Hilmi bukanlah suatu usaha yang mudah. Namun dia tetap cekal lantaran kecintaan dan komitmennya yang mendalam terhadap pendidikan. Seandainya ada anak muridnya yang jatuh sakit, Süleyman Hilmi akan membawa sendiri budak itu berjumpa dengan doktor, dan dibayar dengan duit beliau sendiri, agar anak-anak murid terus bersemangat tinggi berkhidmat untuk Islam. Beliau adalah bapa yang penyayang dan guru yang murabbi. Anak-anak muridnya datang dari segenap ceruk kampung Anatolia yang fakir dan miskin tetapi kemudiannya pulang ke kampung masing-masing sebagai seorang insan yang berhemah tinggi.
Strategi Süleyman Hilmi Tunahan di dalam meneruskan profesyen perguruannya adalah seperti berikut:
Sentiasa Bertukar Tempat
Di suatu hari, beliau mengajar anak-anak muridnya di bilik Muazzin di Masjid Şahzade Paşa dan pada hari yang berikutnya beliau mengajar di rumah salah seorang anak muridnya di penjuru Istanbul. Kadang-kadang beliau membawa anak muridnya ke celah-celah bangunan usang, atau di bilik-bilik bawah tanah di bangunan yang ditinggalkan. Pernah beliau berkata kepada anak muridnya, “Apa yang penting ialah dakwah kita berjaya, kerana itulah kita tidak kisah dengan nasib diri masing-masing. Kita menerima sahaja seandainya tempat kita adalah di tempat orang meletak kasut di majsid. Aku mengajar kamu dan aku pindahkan kamu dari satu tempat ke satu tempat seperti kucing yang menggendong anaknya”. Itulah Süleyman Hilmi Tunahan.
Mengambil Upah Bercucuk Tanam
Al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan mengambil upah bercucuk tanam bersama anak muridnya di ladang. Di waktu siang mereka memakai pakaian peladang dan bercucuk tanam. Manakala selepas tenggelam matahari, mereka akan memulakan sesi pengajian secara yang tersembunyi. Apabila kedudukan mereka dikesan oleh pihak polis, mereka akan membawa kitab masing-masing berpindah ke tempat lain, sama ada di ladang-ladang mahu pun di celah pergunungan.
Menghantar Anak Muridnya Ke Merata Tempat Untuk Persediaan Dakwah
Süleyman Hilmi Tunahan sentiasa menggalakkan anak-anak muridnya supaya merantau dan membuka pusat-pusat pengajian al-Quran di sana. Katanya, “pergilah kamu semua ke kampung halaman masing-masing dan bukalah Dar al-Quran serta asrama pelajar di sana. Ajarkan anak-anak umat Muhammad s.a.w. Kitab Allah dan agama-Nya. Jika kamu laksanakan ini semua, aku lepaskan kamu. Seandainya tidak, akan kugenggam leher kalian!”
Pada tahun 1949, kerajaan telah membuka kembali sekolah agama hasil tekanan yang dikenakan oleh umat Islam di Turki. Apabila Parti Demokrat mendapat mandat memerintah pada tahun 1950, aktiviti-aktiviti Islam kembali aktif. Terkabullah pada masa itu impian Süleyman Hilmi dan beliau dapat mengajar semula secara sempurna. Pada masa itu, masjid-masjid sudah tidak berimam, malah jika ada berlaku kematian, jenazah menanti di masjid untuk disembahyangkan. Di zaman derita itulah Süleyman Hilmi terus gigih berbakti.
Sekolah menghafal al-Quran dan pendidikan bermanhajkan metodologi al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan akhirnya ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1952.
Kehidupan yang penuh derita dan sengsara ketika mengajar dan membesarkan anak-anak muridnya, menjadikan Süleyman Hilmi menderita fizikal badannya. Pada 16 September 1959, al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan pulang kepada Allah ketika merah Maghrib melabuh tirai. Pengerusi Parlimen pada masa itu, İbrahim Kırazoğlu meminta supaya jenazah Süleyman Hilmi dikebumikan berhampiran makam moyangnya Sultan Muhammad al-Fatih dan cadangan itu mendapat kelulusan Perdana Menteri.
Keesokan harinya orang ramai mula membanjiri perkarangan Masjid Sultan Muhammad al-Fatih. Akan tetapi pihak polis telah mengeluarkan arahan agar jenazah Süleyman Hilmi tidak dikebumikan di Masjid Sultan Muhammad al-Fatih. Pihak polis menggali sendiri kubur di kawasan Karacaahmet dan akhirnya jenazah al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan dikebumikan di situ. Benarlah seperti yang pernah disebutkan oleh beliau pada suatu hari, “mereka akan takutkan kematian kita sama seperti mereka takutkan kehidupan kita”.
Semoga Allah merahmati insan seperti Süleyman Hilmi Tunahan yang memikul amanah mendidik anak bangsa agar sinar Islam terus bercahaya di celah gelombang Riddah Atatürk dan regimnya.
PENGAJARAN BUAT UMMAH
Terlalu banyak yang boleh dibentangkan tentang peranan yang telah dimainkan oleh ketiga-tiga orang tokoh itu tadi. Malah masih ramai lagi Ulama’ yang telah berjuang bermati-matian mempertahankan kedaulatan Ummah di ambang kebinasaan Khilafah Othmaniyyah.
Namun, perlu diperhatikan suatu perkara:
Tidakkah situasi yang berlaku di era Mustafa Sabri, Said al-Nursi dan Süleyman Hilmi itu masih wujud hingga ke hari ini? Tidakkah sekularisma masih menjadi isu utama yang membunuh umat Islam hari ini? Tidakkah liberalisasi agama, liberalisasi wanita, jenayah serban putih (songkok hitam?) dan pelbagai lagi cabaran dan rintangan yang telah diperangi oleh tokoh-tokoh itu, adalah juga masalah yang sedang membelenggu kita hari ini?
Kertas kerja ini tidak mengupas hal-hal perbezaan pendapat di antara pandangan ketiga-tiga tokoh tadi dengan pandangan Muhammad Abduh, Rasyid Ridha dan Jamaluddin al-Afghani. Kertas kerja ini juga tidak membentangkan signifikasi aliran mazhab Maturidiah yang menjadi teras ilmu Aqidah di era Othmaniyyah. Kertas kerja ini juga tidak menyentuh tentang perbezaan fiqh Ulama Kurdi yang bermazhab Syafie dengan Ulama Turki yang bermazhab Hanafi.
Semuanya itu tidak relevan kerana masalah sebenar kita adalah SEKULARISMA. Sesungguhnya perbalahan kita terhadap isu-isu yang tidak relevan hanya mengukuhkan sahaja perjalanan masyarakat kita meninggalkan agama Allah yang suci ini.
PELAN BERTINDAK
Berdasarkan latar belakang sejarah permulaan menentang Sekularima yang telah dimulakan oleh ketiga-tiga tokoh itu tadi, kertas kerja ini mencadangkan supaya:
1.Para Ulama, pemimpin masyarakat, pendidik dan pendakwah menggunakan menggunakan teori Pareto iaitu, memfokuskan daya usaha kepada subjek 20% yang menjadi punca kepada kerosakan masyarakat yang berlaku pada 80% yang berbaki.
2.20% yang sepatutnya menjadi tumpuan kita adalah soal penggembelengan tenaga serta kesatuan fikiran dan amal untuk merawat derita oleh racun sekularisma yang telah memutuskan hubung kait hidup mereka dengan Islam.
3.Perselisihan seperti isu Kaum Muda vs. Kaum Tua, pertembungan manhaj Salaf dan Khalaf, persoalan Wahhabism dan isu-isu lain yang seumpama dengannya, adalah sebahagian daripada 80% krisis masyarakat kita, namun puncanya terletak pada 20% itu tadi.
4.Para Ulama’, pemimpin masyarakat, pendidik dan pendakwah hendaklah menggunakan segala ruang dan peluang yang ada ke arah menyampaikan mesej Islam.
5.Memastikan adanya tenaga seperti Sheikh al-Islam Mustafa Sabri Efendi di dalam siasah negara kita, wibawa seperti Badiuzzaman Said al-Nursi di medan dakwah tanah air ini dan wujudnya komitmen dan kecintaan kepada ilmu seperti al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan di gelanggang pendidikan di bumi Malaysia yang kita cintai ini.
Firman Allah SWT:
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya mengabdikan diri kepada Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (Ali Imran 3: 79)
[7] M. Guboglu, Paleografia si Diplomatica Turco – Osmana, Bucharest, 1958, muka suratThe Ottoman Empire: The Classical Age 1300 – 1600, (London, Peoenix, 1997), muka surat 41). 167, faksmili no. 7, (petikan daripada Halil Inalcik,
[8] Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi, Al-Daulah al-Othmaniyyah: ‘Awâmil al-Nuhoodh wa Asbâb al-Suqooth, (Amman, Dar al-Bayâraq, 1999), muka surat 773.
[9] Halil İnalcık, The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 – 1600, (London, Peoenix, 1997), muka surat 181
[11] Taşköprülüzâde Ahmed (1495 – 1561) adalah ahli ensiklopedia Othmaniyyah dan guru sekolah. Beliau paling dikenali kerana tulisannya Shakâik al-Nu’mâniya, iaitu sebuah biografi di dalam Bahasa Arab yang mengumpulkan 522 sarjana Othmaniyyah dan Mawdû’ât al-‘Ulûm iaitu sebuah ensiklopedia Sains.
[12] Kâtip Çelebi (1609 - 1657) juga dikenali sebagai Hacı Halife, atau nama sebenarnya Mustafa Ibn 'abd Allah merupakan seorang ahli Sejarah Othmaniyyah yang terkenal, pakar Geografi dan juga seorang ahli bibliografi. Antara karangannya yang paling utama adalah Kashf al-zunun'an asami al-kutub wa al-funun (The Removal of Doubt from the Names of Books and the Sciences) yang mengumpulkan maklumat tentang 15,000 buku di dalam Bahasa Arab, Turki dan Parsi yang terbit di zamannya.
[13] Cenksu Üçer, Ali b. Ahmed el-Hittî'nin es-Seyfu'l-Bâtır Adlı Eseri ve Mezhepler Tarihindeki Yeri (Samsun, OMÜ İlahiyat Fakültesi Dergisi, 1998).
[14] Rujukan biografi Mustafa Sabri Efendi diolah semula daripada buku Al-Othmaniyyun fee al-Taareekh wa al-Hadhaarah, oleh Muhammad Abdul Hamid Harb, (Damascus, Dar al-Qalam, 1999) muka surat 311 – 330 dan halaman web MUSTAFA SABRI EFENDI http://www.enfal.de/ecdad99.htm
[15] Rujukan biografi Badiuzzaman Said al-Nursi diolah semula daripada bukuAl-Othmaniyyun fee al-Taareekh wa al-Hadhaarah, oleh Muhammad Abdul Hamid Harb, (Damascus, Dar al-Qalam, 1999) muka surat 364 – 393 dan buku Bediuzzaman Said Nursi oleh Şukran Vahide, terbitan Sözler Publication, Istanbul.
[16] Rujukan biografi al-Imam Süleyman Hilmi Tunahan diolah semula daripada buku Al-Othmaniyyun fee al-Taareekh wa al-Hadhaarah, oleh Muhammad Abdul Hamid Harb, (Damascus, Dar al-Qalam, 1999) muka surat 394 – 422 dan halaman web http://www.tunahan.org.
Kertas kerja ini dibentang oleh Ustaz Hasrizal di AUDITORIUM UTAMA
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) KUALA LUMPUR (4 FEBRUARI 2006bersamaan5 MUHARRAM 1427HanjuranExcellent Management And Skills)