Saturday, December 5, 2009

Dimensi dan Paradigma

Bismillahirrahmnirrahim...

Salam bertamu. Lama benar pena saya tidak melakar bicara. Cuba mencari-cari kekuatan untuk menitiskan secebis rahsia. Namun, DIA yang lebih punya KUASA. Seperti biasa, saya menjadikan tarian jemari dan pencak fikiran saya untuk melorekkan kata.

Beberapa peristiwa yang dijejak saya sejak kebelakangan ini menimbulkan sesuatu di benak saya. 'Pembalikan Dimensi, Membongkar Paradigma'. Betapa besar cita-cita saya. Betapa melangit harapan saya untuk saya menghadam apa yang sedang saya fikirkan. Tapi, masa saya terbatas. Moga kesempitan masa ini bukan halangan.

Kembali. Selama ini kita begitu selesa menilai daripada sudut pandangan kita, dari tempat kita berada, daripada kondisi dan zon yang sedia ada. Pernah terfikir untuk sesekali menongkah arus dan menyanggah kebiasaan? Oh, sukar sekali. Tidak semudah seperti membalikkan sekeping kertas. Tapi, inilah suatu hakikat yang perlu diakui. Betapa kita tidak sedar kadangkala, skop pemikiran begini memberi natijah yang yang kadangkala sumbing dan penuh cacat cela. Kata orang, berfikir 'di luar kotak' itu menjadikan kamu optimis. Barangkali ada betulnya. Bukan tidak bersetuju, sekadar memanipulasikan kenyataan. Tidak sekadar 'di luar kotak' malah perlu mempelbagaikan dimensi pemerhatian dan penilaian.

Teringat kisah KATAK KECIL YANG PEKAK yang pernah dikongsi bsama guru tika usia kecil dahulu. Memang benar, Si Katak pekak berjaya ke puncak menara kerana fitrahnya yang pekak. Dia tidak dengar semua kata-kata peluntur semangat dan cerca hina daripada sekelilingnya. Tapi seperkara lagi yang kita terlepas pandang. Katak Kecil ini punya visi yang hebat kerana dimensi pemikirannya yang berbeza daripada katak-katak yang lain. Sudah jelas di hadapan mata, menara sememangnya tinggi, kudratnya tidak sekuat mana. Tapi binaan pemikirannya yang luar biasa.Natijahnya paradigmanya terbongkar. Daripada mundur kepada maju. Walaupun punya kudrat yang kerdil tapi, bukan itu jadi halangan bahkan itu satu kelebihan.
......................Teladan Sang Katak Kecil ...........................

Lihat, betapa besar dan pentingnya membuka dimensi pemikiran. Dimensi pemikiran dan pengamatan dari sudut yang berbeza bakal mengundang sesuatu yang 'luar bisa' biarpun kamu insan biasa.

Penyelesaian yang baik juga bagi yang mencari pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Barangkali jawapan untuk setiap persoalan dan permasalahan menemui jalan buntu. Bongkarkan semua jawapan dengan mengubah dimensi pemikiran. Untuk yang menyeru, barangkali seruan kamu tidak sampai pada yang diseru, kerana kamu sempitkan ikhtiar kamu. Ikhtiar itu sempit kerana pemikiran kamu yang tidak cukup luas.Barangkali.

Ingat, fitrah penciptaan manusia adalah 'mencari'. Carilah dimensi yang unggul untuk memberi seribu kepastian pada natijah yang hebat. Bagaimana caranya? Saya tinggalkan untuk kalian fikirkan.

"Dan sesungguhnya telah kami turunkan berturut-turut perkataan ini (Al-Qur'an) kepada mereka agar mereka mendapat pengajaran" Al-Qasos: 51

Saya tinggalkan kisah ini buat kalian. Mungkin ada sesuatu yang dapat kalian kaitankan.

Ada seorang lelaki membeli sebidang tanah. Kemudian si pembeli tanah itu menemui sebuah pundi-pundi yang berisi emas. Lalu dia bertemu dengan si pemilik asal tanah tersebut lalu berkata: "Ambillah emasmu ini, kerana saya hanya membeli tanah dan tidak membeli emasnya! Si penjual tanah berkata " Aku menjual tanah dan apa yang ada di dalamnya" Akhirnya kedua-dua meminta keputusan hakim. Oleh itu, sang hakim pun bertanya kepada keduanya: "Adakah kamu mempunyai anak?" Si penjual tanah menjawab:"Saya mempunyai seorang anak lelaki" dan si pembeli tanah menjawab" saya mempunyai anak perempuan" Maka hakim itu pun memutuskan: "temukan dan kahwinkanlah kedua-kedua anakmu itu dan gunakanlah emas-emas itu untuk perbelanjaannya!" Kedua-duanya menerima keputusan hakim dengan senang hati.

Penilaian dan pemikiran anda yang luar biasa pasti mampu mencerna.
~pembalikan dimensi, membongkar paradigma, andai mata hati itu tidak mati....~

Nota jari: Saasatul Ibad berjaya membongkar paradigma saya. Terima Kasih Allah kerana mengilhamkan FT mencoretkan sesuatu seperti itu. Moga Allah melindunginya...

No comments: