Tuesday, August 25, 2009

Mulianya Kamu..

Salam Ramadhan Karim...

Bagai disentak dari lamunan yang panjang, melutut menadah kitab di hadapan sheikh benar-benar menyentap hati. Benar-benar memugarkan iman yang kian dihimpit kekusutan sehari-hari menjamah kehidupan yang penuh badai. Ya Allah kekalkan kemanisan ini dalam hati-hati kami...

Kembali tersedar akan kurniaan maqam yang cukup tinggi di sisi Allah yang telah dijanjikan buat sang penuntut ilmu. Dan kitalah yang sedang berada di jalan itu. Betapa tinggi kemuliaannya insan si penuntut ilmu, seluruh makhluk di langit dan di bumi bertasbih memuji dan memohon keampunan untuknya. Tiada nikmat yang tertinggi selain mendapat keredhaan dan kemuliaan di sisi Ar-Rahim. Terasa pedih perit hati melihat jutaan manusia mensia-siakan nikmat ini. Mungkin juga kelompok itu tidak menyedari akan kemuliaan yang dikurniakan untuknya sehinggakan dia sanggup mencemari kemuliaan ini dengan noda yang jijik dan maksiat yang keji.

Lihat ini, bagaimana si mulia itu merendahkan martabat dirinya dengan mendewa-dewakan insan yang tidak sepatutnya disanjung agungkan. Realiti masyarakat yang menolak para ilmuan, fuqaha' dan cendekiawan ke longgokan sampah yang hina, manakala si penglipur lara, penghibur dan pemuas nafsu haiwani di angkat-angkat dan di julang-julang. Remaja-remaja bertuhankan artis dan penghibur yang terang-terang hanya membawa santapan syaitani dan hiasan iblisi. Anak-anak kecil dihidangkan dengan hiburan-hiburan yang membunuh ruh tarbiyah yang sepatutnya ditilik teliti dengan sebaik-baiknya oleh si ibu dan bapa. Kaum keluarga lebih senang berbangga anak-anak menjadi idola-idola hiburan masyarakat daripada menjadi murabbi dan pendekar di medan dakwah. Tidak kurang hebatnya kebobrokan si penuntut ilmu agama Allah yang hanya mengejar ilmu dengan kalamnya bukan dengan qudwah dan uswah hasanahnya. Ilmu bukan untuk mendapat sanjungan, ilmu juga bukan untuk mencari jawapan, tetapi ilmu itu adalah untuk bekalan menghadap SOAL SIASATNYA TUHAN di kehidupan pengakhiran.

Renunglah ke dalam diri. Teliti setiap inci ruas tubuhmu. Adakah benar semuanya berperit jerih menafkah di jalan Allah. Melangkahnya kita di bumiNya dengan redha atau murkaNya. Hirupan dan helaan nafas adakah dengan penuh keinsafan atau dengan penuh ketakburan. Mata sibuk memandang semua yang haram dan syubhah. Jari Jemari kalut menghitung maksiat yang tidak terhitung. Bibir tidak jemu melontarkan kalam pemusnah ketawadhukan. Hati menurut saja panduan sang nafsu gila. Akal sudah hilang pertimbangan iman dan ketenangan ilhamnya. Inikah nilaiannya seorang insan yang mahu diangkat darjatnya di sisi Allah SWT?

Bukankah ilmu itu telah mengangkat kemuliaan yang tiada tolok banding nilainya. Siapakah yang mahu dan mampu untuk mempertahankan kemuliaan ini? Ya, tiada yang lain jawapannya. Hanya mereka yang berilmu dan amal yang memaut teguh pada dirinya. Agungannya hanya Allah, sanjungannya hanya Rasulullah SAW.

Ayuh! Bunuhlah segala kejahilan! Hapuskan segala kemalasan, tambahkanlah mujahadah, agar ilmu itu lebih mencurah pada iman bukannya melimpah ke lubuk kesia-siaan. Alirah hikmat ilmu itu hanya mengalir pada hati-hati yang suci dan bersih daripada segala kebatilan dan kemungkaran. Insafilah, betapa mulianya kamu dipilih Allah menjadi hamba di jalan Ilmu. Kamu sudah dianugerahi sebuah mahligai kemualiaan. Jangan mengkhianati ganjaran itu kerana MULIANYA KAMU......

2 comments:

Nabila H.... said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

salam, satu artikel yg mnarik. mmg inilah realiti masa kini. bkan stakat d malaysia, d msir sndri, d negeri brgelar tanah anbia pn brlaku prkra ini.

tmpat ulama hnyalah d msjid, d tmpat2 talaqi, d mjlis2 agama. ftwa mreka hnya d dlm kitab dn buku. hkum2 hnyalah utk dbaca dn dikaji. adakah itu tjuan islam dtrunkan? islam utk diamalkan.

sma2lah kita mntapkan dri dgn plbgai prsdiaan dn wasilah. utk brdpan dgn msyarakat bkan ssuatu yg mudah.

smga Allah mmprmudahkan sglanya....