Saturday, July 28, 2012

Kembara~

::.. Bismillahirrahmanirrahim..

Moga ada kesempatan saya menjejak gudang-gudang ini. Sudah tandus benar amatan pada bahan-bahan meligatkan kepala untuk berfikir~

1. Diwan Bookstores
2. BookSpot
3. AUC
4. Al-Kotob Khan


Tuesday, July 24, 2012

Guru Di Anjung Al-Azhar

::.. Bismillahirrahmanirrahim

Dedikasi doa ibu Samiah Rifa'i di anjung Jami' Al-Azhar seolah masih sayup-sayup melantun. Penghujung ufuk merah ramadhan kedua itu membawa penawar. Penawar buat jiwa yang mencari dawa'.

"Yakinlah dengan Tuhanmu, Bukankah engkau membaca kalam-kalamNya?"

Serak-serak suara Ibu Samiah perlahan-perlahan meresap ke lubuk atma paling dalam. Lekas membalut gundah yang mencengkam.

Benar, bumi anak panah ini kaya dengan keajaiban. Walau tidak pernah mengenali siapa aku, ibu Samiah bersungguh benar menitip pesan-pesan buatku.  Bagai guru, bagai ibu.

Moga madrasah ramadhan ini terus mendidik aku. Menemukan aku dengan ramai lagi guru.

Alhamdulillah, Allah masih mahu aku bersekolah di madrasahNya.

Alhamdulillah..Alhamdulillah

Sunday, July 15, 2012

Wan

Bismillahirrahmanirrahim.

Membilang hari menjejak tanah jawi. Mengheret rasa, mampu atau tidak menerima kepulangan kali ini, tiada lagi bertamu menghadap Wan tercinta.

Wan si penghuni setia desa, mungkin bukan pemikir tersohor.

Tapi, Wan juga yang mengajar aku belajar menjadi pemikir saksama. Teliti menata susun bicara dan aksi biar sama rona.

Mungkin tadbirnya hanya sempit sekitar kebun belukar dan teratak pondok tua.

Tapi, dia memberkas aku dengan ihsan dalam tadbir. Wan membentang makna keluasan pada makrifat.

Mungkin belum pernah aku dapati Wan berguru setia dengan mursyid pendidik jiwa.

Tapi, hati budi yang ku kenal itu belum pernah karam di sepertiga malam. Pesanannya selalu sampai pada makna paling dalam.



Rasa ada sudut yang tiada terisi dengan perginya Wan menghadap Yang Maha Pemilik.
Tok pasti lagi sunyi. Sedang dialah peneman setia di sisi.