Monday, September 13, 2010

Friday, September 10, 2010

Gema Lembayung Syawal

Bismillahirrahmanirrahim::.

Ku titipkan pada embun subuh
Fajar kemenangan menerpa
Panji kesyukuran ku kibar ke angkasa
Biar Manis Ramadhan ku tangisi
Namun Redup Syawal
mententeramkan sukma
padanya ada lembayung yang menabir
Lembayung kesaksian
Lembayung kesyukuran

Moga lembayung ini
bukan lembayung yang menabir
Tapi hijab yang menyingkir
memberi ruang untuk tidak kikir
pada nikmat dan kudrat yang secangkir
tidak juga menjadi ruang untuk mungkir
pada Dia Sang Pentadbir

Wahai Yang Menyaksikan
Wahai Yang Merealisasikan
Ku Binakan harapan
Ku pasakkan keyakinan

Takbir itu yang memerdekakan
Segala mehnah yang memerangkap
Gema itu yang meruntuhkan
segala lelah yang meranap

Allahuakbar!
Allahuakbar!

Abou Rish
3 Syawal 1431
Hening Penghujung Usia


Sunday, September 5, 2010

Demi Perkasa

Bismillahirrahmanirrahim.

Kian deras masa mengalir
Terjunannya melangkau dunia-demi dunia.
Semakin banyak pula catatan semalam ditimbun.
Menimbunkan catatan semalam ke sisi kenangan bukan bererti menyahkan dari pedoman,tapi sebagai komentar pada ingatan bahawa itu gurumu yang setia tiada kenal erti berpaling tadah.

Hanya dirimu yang mampu mengukur, jeram mana lagi yang bakal ditempuh.
Rasa sendiri keras ketukan di dada-dada batuan yang menanti di jurang-jurang jeram.
Hitung sendiri selembut mana, sapaan bayu yang menyinggah menonton layar ceriteramu di layar belantara itu.
Percayalah, bukan kudrat kita menghitung nasib muka,
tapi memang tugas kita melakar di kanvas cita-cita.
Kelelahan semalam dan hari ini bukan bermakna dirimu undur dari terus melakar.
Cuma, menanti masa untuk bingkas demi lukisan yang lebih perkasa.


Abou Rish,
dhuha 26 Ramadhan 1431