Tuesday, August 31, 2010

Merentasi Aplikasi Konsep Kemerdekaan dan Etika Kerja Dalam Pengurusan Organisasi (siri 1)

Merentasi Aplikasi Konsep Kemerdekaan dan Etika Kerja

Dalam Pengurusan Organisasi

Oleh:Hani ‘Izzati Yaakub

“Kemerdekaan ialah engkau rasai dengan perasaan yang jernih, hak yang engkau perlu ketahui, dan waktu itu engkau rasai apa pula kewajipan engkau pada orang lain. Engkau merdeka dan bebas mengembangkan sayap, menurut kemahuan hati untuk membuktikan engkau berhak. Engkau boleh mengeluarkan apa yang terasa di hatimu, asal engkau menghormati pula kemerdekaan orang lain dan engkau bayarkan kewajipan yang diminta oleh masyarakat kepada engkau”

Falsafah Hidup -HAMKA-

Definisi demi definisi dirajahkan pada erti sebuah kemerdekaan. Namun, pada hakikatnya,kemerdekaan bagi individu itu tidak sekadar bebas daripada cengkaman jajahan fizikal, kemerdekaan yang hakiki adalah apabila pemikiran dan tindak tanduk individu itu sendiri bebas daripada segala belenggu pengaruh yang mampu mencacatkan dan merencatkan perkembangan diri dan kehidupannya. Seiring bersama itu juga, merdeka bagi insan telah meletakkan asas nilai-nilai kemanusiaan yang mencorak peribadi individu itu sendiri.

Namun, bagi individu bergelar muslim, tidak cukup pada nilai kemanusiaan bahkan, kemerdekaan itu sendiri lahir daripada konsep kehidupan bertuhan. Ketetapan Allah sebagai tuhan yang mencipta dan mentadbir telah meletakkan panduan kehidupan manusia melalui RasulNya dan kitabNya agar manusia tidak tersasar daripada tujuan asal mereka diciptakan.

Bagaimana Konsep Kemerdekaan membentuk Peribadi Muslim

Kefahaman bahawa merdeka itu bukanlah bererti bebas tanpa batasan telah membentuk satu sistem yang seimbang dalam pembentukan pemikiran dan tabiat manusia. Batasan yang disebutkan bukanlah bermakna seseorang itu disekat daripada bertindak dan berfikiran kreatif dan kritis dalam mengatur percaturan hidupnya, sebaliknya batasan-batasan inilah yang menjaga manusia daripada melakukan kezaliman atau melanggar hak-hak asasi insan sehingga menimbulkan kacau bilau dan pencabulan hak sesama manusia bahkan hak terhadap alam di sekitarnya.

Jelasnya, merdeka dalam diri individu muslim itu lahir daripada sistem yang telah ditetapkan oleh Islam yang membuka seluas-luasnya ruang kepada penganutnya untuk mengamal sistem tersebut. Sistem yang cukup sempurna ini mengambil kira seluruh aspek kehidupan merangkumi pengurusan jasad dan rohani individu, pentadbiran masyarakat, material dan seluruh isi alam. Inilah yang disebutkan sebagai ad-Din (cara hidup) yang merencana setiap rinci asas kehidupan. Keyakinan bahawa Allah sebagai sebaik-baik pentadbir dan sebaik-baik pencipta telah meletakkan satu keyakinan dalam diri muslim iaitu setiap detik kehidupan mereka adalah di atas percaturan Allah dan setiap satu daripada tindakan mereka juga adalah di bawah penilaian Allah yang bakal diberi ganjaran dan pembalasan pada hari akhirat kelak. Inilah yang dinamakan sifat taqwa seorang muslim.

Menyorot pengertian merdeka daripada HAMKA telah memberi satu tafsiran holistik pada makna kemerdekaan apabila beliau sendiri bersetuju dengan konsep kemerdekaan individu adalah dengan panduan bukan pada kebebasan melulu. Beliau menakrifkan kemerdekaan bukan sahaja berolehnya ketenangan dan kebebasan diri bahkan beliau menekankan peri penting erti sebuah kemerdekaan pada mengertinya hak diri dan kewajipan diri pada pihak lain juga. Inilah pendefinisian merdeka yang perlu dihadam oleh generasi merdeka hari ini.

Kesan penghayatan konsep kemerdekaan dalam kehidupan Muslim

Hasil kefahaman dan penghayatan individu muslim terhadap konsep kemerdekaan maka, lahirlah keharmonian hidup apabila individu itu saling mengetahui kewajipan dan hak sesama mereka. Kefahaman terhadap konsep ini juga dapat menolak kefahaman-kefahaman yang menyimpang dan tersasar yang menyebabkan manusia terjerumus ke dalam kancah ketandusan moral dan tidak beretika. Hal ini sekaligus, dapat mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan dalam sistem pentadbiran tamadun manusia. Tidak dapat tidak, sistem pentadbiran itu sendiri adalah terdiri daripada sebuah organisasi yang terdiri daripada golongan yang memimpin dan dipimpin.

Budaya Hedonisme misalnya, yang membawa konsep mencari keseronokan tanpa batasan adalah antara agenda yang telah merobek nilai-nilai dan etika manusia. Hal ini lantaran, manusia mencipta wewenang atau kuasa melakukan segala kehendak diri tanpa memikirkan kesan terhadap masyarakat umum. Konsep inilah antara racun yang perlu dibasmi daripada kefahaman erti kemerdekaan dalam diri individu. Hal ini jugalah yang menyebabkan permulaan berlakunya barah dalam organisasi pentadbiran masyarakat.

Bersambung..