Saturday, June 19, 2010

Ubiquitous??

Bismillahirrahmanirrahim..

Ubiquitous??

Kamukah itu? Ya, cuba menilik di lapisan yang terdalam. Wujud manfaat dipermukaan sang bumi kerana keraknya yang berlahar. Walau dia tidak zahir pada mata kasar. Tapi, sosok ruhnya bertebaran di mana-mana. Menilai dari puncak yang utama. Jika terasa ada yang memerhati, pasti semua jadi teliti. Sempurna semua gerak geri sehingga tiada cela yang berbaki. Tapi, kerana jiwa itu mati. Hilang semua sensitiviti. Rakus meragut semua fitrah yang suci. Jika dulu, jiwa pernah bersaksi, aku aku mengabdi. Mengapa mudah sekarang engkau melupakan. Oh, aku terlupa engkau INSAN bukan? Namamu sudah menyelak semua aibmu. Tidak malukah kamu?

Bagi yang punya sekelumit rasa pada Sang Pencipta, tiada kesal di jiwa dengan anugerah nama itu. Kerana dia tahu, barah hadir bersama penawar. Biar mati jadi penawar dia rela. Malang lagi, ada yang lupa, Tulisan Yang Mulia itu merakamkan sudahlah kamu PELUPA, kamu TERGESA-GESA pula. Gopoh. Kalut. Mahu raih semua dalam satu jentik. Mustahil. Sukarkah akalmu menerima sehingga peristiwa Khidir yang mulia itu tidak kamu kutip ibrahnya.

Ubiquitous?

Ya, Ilahi itu di mana-mana. Tuhan Timur dan Barat. DIA yang membenarkan lembaran zaman yang kian lusuh itu mencatat semua bukti. Bukti yang tidak akan mati. Walau cuba diinjak sejuta tangan dan hati-hati yang busuk. Hati yang cuba membunuh semua nilai mulia pusaka BAGINDA Rasulullah SAW. Ya, murabbi agung itu Ubiquitous. Tahukah kamu? Atau memang kamu tidak percaya? Titipkan titisan jujur di matamu. Biar hanya lapisan suci yang menilai. Biar mengalir pada hatimu hanya yang bersih sahaja, menakung yang mahal sahaja, mahal nilai di sisi Yang Esa. Subhanallah. Sosok mulia itu sedang menyaksikan umat nasutnya yang sakit. Kamu tahu bukan. Jiwanya tidak pernah dan tidak akan mati.

Ya Rasulullah SAW! Ummatmu ada yang bermimpi mencicip sedikit kemuliaan khuluqmu. Tapi, kadang-kadang ketangkasan mazmumah menyentap kudrat-kudrat kerdil itu. Kudrat itu mungkin miskin sandarannya pada Kekasih Khuluq mulia itu. Bukan pelik andai kudrat itu tersembam ke lumpur durja!

Perwira Ubiquitos,

Pencak di hadapan teman dan lawan adalah terhebat dan agung. Tapi, pencak di hadapan jauh Rabbnya jauh menyembam ke bumi rendahnya. Hebat di mata manusia kerana hebat pengabdian pada pemilik jiwanya, Rabbul 'alamin. Jundi-jundinya bukan gagah pada kudrat dan sasa pada tubuhnya. tapi, perkasa kezuhudan hatinya, melimpah ketenangan pada raut wajahnya. Tangkasnya bukan pada hebat menyakitkan musuh, tapi lunak pada seruan halus menyembuh jiwa yang hitam. Kehebatan kuasanya bukan pada agung takluk jajahan negeri zahirnya tapi terletak pada keluhuran menakluk hati-hati kembali mentaatiNYA.
Sahabat Ubiquitous,

Manis wajah, indah perilaku bukan sekadar berhadapan dengan teman-temannya. Bukan sekadar indah bicara sayang pada saat teman-teman bertamu. Tapi, bayangan temannya bagai sentiasa menjadi cerminanannya. Biar tidak betah menyusun sebaik kalam ketika berbicara, cukuplah sekadar doanya sentiasa menyentuh arash-arash Tuhan. Biar tidak mampu menghadiahkan sebaik pemberian buat temannya, cukup dengan anugerah ahsanul khuluq saat menyantuni temannya walau di kala bala amarah dan fitnah merobek hikmah-hikmah persahabatan. Cindai persahabatan itu sentiasa disiram munajat pada Rabbnya agar rabitah hati mengikat hingga bertamu hari pengadilan.

Anak Ubiquitos,

Mentaati orang tuanya tidak sekadar untuk menjaga hati membalas budi. Tapi, kerana dia mengerti itu jaminan redha Tuhan buatnya. Dia mempersiapkan sebaik-baik amalan kerana dia tahu corek coreng akhlaknya itu umpama mengukir indah nama orang tuaNya di pintu-pintu Jannah, atau menempa-nempa tiang-tiang lahar membara di Jahannam. pada ketiadaan dia di mata orang tuanya, dia tahu meletakkan maruah keluarga muslim pada agungan yang tertinggi. Pantang ada yang cuba menjaja-jaja murahan nilai-nilai Islami semaian Suri Teladan, pasti tangkas dia bangun membela. Dia tidak tahu erti menjadi kuli serakah syaitan durjana yang cuba menyuntik hempedu kederhakaan, kerana dia mengerti Bergegarlah arash Tuhan pada setiap penderhakaan pada walidain.


Isteri dan ibu Ubiquitous,
Mendambakan hidup sepenuhnya pada sang suami setelah pengharapan pada Tuhan di semadi dalam diri. Biar sesekali badai mengetuk mahligai, namun dia memegang rapi amanah Ilahi. Aib dan cela suami disatir,biar menjadi rahsia dia dan suami. Biar sama-sama mengislah kendiri. Sayap kiri itu yang menyokong agar penerbangan sang adam selamat mendarat di perkampungan abadi. Menyantuni suami sebaik-baik santunan. Menjadi rusuk kiri yang mengabdi, bukan mengkhianati. Menjadi al-Munabihah buat anak-anak. baginya, sejadah cinta dijahit tiap saat yang meniti. Agar mampu menampung mizan, menjadi cahaya di bustan impian di Darussalam, agar ditemukan kembali bersama anak-anak dan suami setelah perpisahan fana di dunia. Saat ketiadaan di sisi, doanya sering mengiringi agar keluarga dan suami dipelihara Ilahi.


Suami dan bapa Ubiquitous,

Dia raja. Dia khalifah pada kerajaan kecil. Tadbirnya bukan dengan ego dan kemegahan adam tapi dengan kerendahan hati. Diadun padanya adunan akhlak karimah pada Isteri dan cahaya mata. Memacu perkasa warisan para ulama' dan fuqaha'. 'Izzah membina para mujahidin agama. Bentangan didikan acuan Al-Kitab dan Al-Hadis jadi teras utama. Munajatnya tiada henti agar mahligai tidak dikocak deruan ombak dunia yang memukul hebat.


HAMBA Ubiquitous,

Impiannya agung. Bukan Jannah, tapi Ridhaallah. Khashyah pada Tuhannya mengatasi segala.Pancainderanya semua hanya pada pengabdian. Tiada sanggahan. Tiada persoalan. Tiada ruang untuk kesia-siaan. Cacat cela insan tiada masa untuk dihitungnya. Nikmat dunia bukan kenikmatan, tapi bala untuknya. Hanya kenal dia pada erti murka Tuhan andai dikhianati titah Tuhannya. Masa dan ketikanya hanya bernilai saat hadir di hatinya bahawa ada Yang MEMERHATI segenap derap langkahnya. Ada yang menilai setiap denyutan pada nadinya.

Wallahu3alam




1 comment:

Al-Faqir 'Abdullah Munib ilaiHi said...

As-Salaamu 'alaikum Ukhtuna Dr Hani 'Izzati,

Semoga sentiasa mendapat ilham, pimpinan, nusrah, ketenangan, azwaq kehambaan, kemudahan dalam segala urusan, dimudahkan rezeki.

Semoga terus cemerlang dalam bidang perubatan.

Kami berbangga dengan Ukhtuna yang bergelar mahasiswa Azhar Syarif dalam bidang thib.

Dumtum fi ri'ayatillah.

Ameen ya robbana.