Thursday, September 10, 2009

Berada Di Puncak: Bahagia atau Bahaya?

Salam hormat buat semua teman yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah, masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk sama-sama disapa titik akhir bulan yang mulia ini, Ramadhan Karim. Semoga mendapat keberkatan dan diberi kemudahan untuk meningkat amalan dan pengabdian kepada Nya.


Dikesempatan yang serba ringkas dan sempit ini, penulis terlintas untuk berkongsi cebisan pandangan yang barangkali dapat dikembang biakkan ideanya oleh para pembaca sekalian. Maudu’ kali ini barangkali agak bersifat umum dan universal.


Berada di puncak yang dimaksudkan di sini mungkin dapat ditafsirkan dalam pelbagai tafsiran. Barangkali di puncak kejayaan, kedudukan mahupun sebarang posisi yang amat diidam-idamkan oleh setiap manusia normal. Pastinya setinggi-tinggi kedudukan itu adalah disertai dengan keinginan mendapat kemuliaan dan penghormatan. Kemuliaan itu bermula dari sesuatu yang mulia juga. Oleh itu kunci kemuliaan itu bermula dari naluri jiwa yang mulia.


Sheikh Muhammad Abduh menyebutkan bahawa kemuliaan itu terbahagi dua:

  1. Kemuliaan hidup
  2. Kemuliaan Jasa

Kemuliaan hidup itu, bukan dik kerana harumnya nama dan megahnya rasa. Tapi letaknya pada sejauh mana kesucian amanah memegang nama dan kedudukan itu dipikul. Mananakala, kemuliaan jasa bukan kerana tingginya budi dan bakti yang dicurah dipuji dan dijulang insan. Tapi halnya terletak sedalam mana usaha melepaskan manusia daripada kancah kesusahan serta kejahilan dalam mengembalikan manusia ke pangkal jalan dan menumbuhkan rasa bertuhan dalam segala asapek kehidupan.


Perkara pokok yang ingin diketengahkan oleh penulisan kali ini, adalah untuk kita meninjau dan menilik semula adalah dengan benar kemuliaan yang di patut dikejar oleh seorang manusia terutamanya bagi yang bergelar muslim dan adakah halnya bakal mengundang bahagia atau bahaya?


Sebagaimana yang disebutkan pada awal penulisan tadi, sesungguhnya kemuliaan itu bermula dengan sesuatu yang mulia. Sebagaimana yang telah termaktub dalam fitrah penciptaan, manusia di angkat sedarjat tingginya daripada penciptaan makhluk yang lain. Manusia menjadi pilihan Allah mentadbir susun atur pentadbiran bumi dengan kurniaan akal dan panduan syariat yang dijadikan penunjuk jalan dan batu asas sistem pentadbiran alam.


“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi”Mereka berkata”Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedang kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu” Dia berfirman”Sungguh, aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui” Al-Baqarah:30


Maka di sinilah yang menjadi titik tolak kemuliaan manusia yang bergelar khalifah. Maka atas kesedaran itu maka kemuliaan yang dikejar bukanlah demi kepentingan nafsu haiwani atau kerana kepentingan duniawi, tetapi kerana didasari perintah yang teragung daripada Penguasa dan Pentadbir Alam Yang Tertinggi.


Bukan sahaja, kerana mandat dan amanah yang dipikul manusia untuk mendukung amanah suci sebagai pemimpin di bumi bahkan, mendapat kemuliaan dan kekuasan itu adalah fitrah yang telah ditakdirkan menapak di atma setiap insan. HAMKA pernah menyebut:


Keinginan berkuasa adalah naluri yang telah terlekat dalam jiwa manusia. Membunuh keinginan itu sama dengan membunuh manusia itu sendiri. Tetapi agama, kemanusiaan dan falsafah bukan tidak memberi jalan buat mengerjakan dan merebut kekuasaan itu, iaitu kenallah diri dan sempurnakanlah mengisi diri. Itulah setinggi-tingginya dan kadangkala masih kekal kita pikul, tidak pernah rebah,sampai hancur tubuh jasmani kita dalam kubur itu masih ada.”


Berdasarkan kata-kata beliau dapatlah disimpulkan bahawa kekuasaan dan kemuliaan adalah satu anugerah yang perlu disantuni dengan bijak oleh setiap individu yang bergelar muslim. Menyentuh tentang kemuliaan dan kepimpinan, maka perlu ditegaskan bahawa saluran untuk menuju puncak kemuliaan itu perlu benar-benar disaring dan ditilik dengan sebaik-baiknya. Dalam buku Management: Foundation and Practise (Dalton E McFarland) McGregor’s menyifatkan kepimpinan sebagai ‘interpersonal influence,excercised in situations and directed, through the communication process towards the attainment of goals’.



Penulis menyifatkan bahawa peranan dan kepentingan memegang tampuk kepimpinan dan maqam kemuliaan itu harus sentiasa disegarkan landasan, cara dan juga destinasi pilihannya. Oleh itu, atas apa dasar sekalipun halnya mestilah menuju kepada pengabdian kepada Allah untuk mengangkat Agama yang mulia ini kepada setinggi-setinggi kedudukan. Mengambil kira pengendalian dan kawalan dalaman diri, kemahiran interaksi dengan kelompok manusia sejagat dan yang paling utama adalah destinasi puncaknya adalah mardhatillah, keredhaan Allah. Pandangilah dengan mata hati panduan yang diberikan oleh mereka yang terdahulu agar langkah kita tidak tempang dan kewujudan kita di puncak lebih terisi dan dipandu dengan baik.


Sesiapa yang mengangkat dirinya sebagai pemimpin hendaklah dia mengajar dirinya sendiri terlebih dahulu, sebelum mengajar orang lain dan hendaklah dia mendidik orang lain untuk berakhlakbaik melalui tingkah lakunya sebelum mendidik mereka dengan lidahnya.” Saidina Ali RA


Pastinya tidak mudah dan ringkas jalan menujunya melainkan dipenuhi dengan kesukaran dan cabaran. Berbahagia di jalan ini amat besar nikmatnya. Bahagia yang bakal ditempa itu terbahagi dua. Bahagia di atas rahmat Allah atau Bahagia di atas murka Allah. Sesungguhnya, bahagia itu bukan kerana rasa berbangga dengan kedudukan yg dimiliki namun, tetapi halnya adalah kerana kemampuan serta kudrat untuk memikul kemuliaan ini dapat dilaksanakan dalam redha Allah. Inilah bahagia yang berdiri di atas rahmat Allah.


Intailah kembali dalam diri kita, adakah bahagia ini yang dikecapi selama ini. Selama kita dianugerahi kejayaan yang bertali arus, dijulang-julang, disebut-sebut kemegahannya, di agung-agung kehebatnnya, adakah segalanya itu menyebabkan kita mampir juga kepada kejayaan meletakkan diri sebagai wasilah yang membawa diri sendiri dan manusia kembali kepada Tuhan yang menciptakannya. Atau sekadar berdiri di atas tujuan yang semata-mata untuk kepentingan dunia yang lebih diutamakan.


Jika bukan perkara ini yang sedang menjadi panjimu, maka awas! Sesungguhnya keberadaanmu di puncak bermakna kamu di lahar bahaya. Kamu sedang menjunam tinggi daripada puncak kedudukanmu ke sedalam-dalam jurang kesengsaraan. Bukan lagi kemuliaan yang didakap, namun murka Allah yang terbenam ke dalam dirimu. Hadamkan baik-baik lontaran kalam Khalifah agung ini:


Tidak ada kemuliaan yang lebih tinggi daripada Islam, tiada kekuatan yang lebih berat berbanding ketaqwaan, tidak ada tempat yang lebih tinggi daripada sifat wara’ dan tidak ada pembantu yang lebih berjaya berbanding taubat”-Saidina Ali R.A


Serulah pada diri dan pada insan, ayuh bersama-sama menuju puncak kemuliaan. Kejarlah puncak itu dalam sebarang sisi sekalipun, kerana pada hakikatnya jika kebenaran yang memandu, maka tujuannya juga adalah benar. Jangan sampai mereka yang tidak memiliki kelayakan itu yang mencurinya sedangkan kita telah dipilih Allah menjadi dutanya. Mengapa kita masih khali di dunia yang tidak berdestinasi. Bahaya mahupun bahagia itu ada racun dan penawarnya jika kamu bijak mencari kunci segalanya.


Wallahualam.

1 comment:

Harithmkt90 said...

Salam ziarah dan salam ramadan dari krew apis..bersyukurlah kerana kita diciptakan dengan sebaik2 kejadian..dunia sementara akhirat yang kekal jua. Teruskan usaha dakwahmu..Semoga Allah sentiasa bersama di setiap ketika nti menjalankan urusan duniawi mahupun ukhrawi..