Sunday, September 20, 2009
Gema Takbir Itu
Gema takbir itu menggamit hati
Bungkam hati terlerai sendiri
Disirna segala rasa kemegahan
Khali di kota sakinah
tembus ke ruang khashyah
Balutan tarbiyah sang Ramadhan
Menyisih sang tinta dusta
Lembaran khuluq menjadi kudus
Gema takbir itu satu bukti
coret-calit kasih Tuhan
menyiram subur bustan kontang
gantian ranapan kaca harapan
realiti mimpi menjamah atma
jadi tuaian bukti cinta hamba
Gema takbir itu jadi saksi
jawapan penetap pundak sisi
kehampaan kian terisi
usah toleh ke lurah bumi
kerana langit sudah mengerti
ruas jasad dan ruh menerjah meninggi
memburai hijab yang melindungi
Salam Idul Fitri Buat Ayahanda dan Bonda serta kaum keluarga, guru-guru, teman-teman seperjuangan dan seluruh kaum muslimin muslimat seluruh dunia. Semoga diiringi barakah dan keredhaan daripadanya.
Salam ingatan buat teman-teman dan guru-guru serta para pensyarah:
~Pusat Asuhan Tunas Islam Al-Furqan
~Sekolah Kebangsaan Dato' Hj. Zainuddin
~Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya
~Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak
~Fakulti Perubatan,Universti Al-Azhar Kaherah
~Semua warga dan lepasan Sekolah Berasrama Penuh
~Seluruh warga pimpinan dan ahli Alumni Sekolah Seri Puteri
~Seluruh Warga Pimpinan dan ahli Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh (APIS)
~Seluruh Warga Pimpinan dan ahli Alumni Kolej Matrikulasi Gopeng Perak
Thursday, September 10, 2009
Berada Di Puncak: Bahagia atau Bahaya?
Salam hormat buat semua teman yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah, masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk sama-sama disapa titik akhir bulan yang mulia ini, Ramadhan Karim. Semoga mendapat keberkatan dan diberi kemudahan untuk meningkat amalan dan pengabdian kepada Nya.
Dikesempatan yang serba ringkas dan sempit ini, penulis terlintas untuk berkongsi cebisan pandangan yang barangkali dapat dikembang biakkan ideanya oleh para pembaca sekalian. Maudu’ kali ini barangkali agak bersifat umum dan universal.
Berada di puncak yang dimaksudkan di sini mungkin dapat ditafsirkan dalam pelbagai tafsiran. Barangkali di puncak kejayaan, kedudukan mahupun sebarang posisi yang amat diidam-idamkan oleh setiap manusia normal. Pastinya setinggi-tinggi kedudukan itu adalah disertai dengan keinginan mendapat kemuliaan dan penghormatan. Kemuliaan itu bermula dari sesuatu yang mulia juga. Oleh itu kunci kemuliaan itu bermula dari naluri jiwa yang mulia.
Sheikh Muhammad Abduh menyebutkan bahawa kemuliaan itu terbahagi dua:
- Kemuliaan hidup
- Kemuliaan Jasa
Kemuliaan hidup itu, bukan dik kerana harumnya nama dan megahnya rasa. Tapi letaknya pada sejauh mana kesucian amanah memegang nama dan kedudukan itu dipikul. Mananakala, kemuliaan jasa bukan kerana tingginya budi dan bakti yang dicurah dipuji dan dijulang insan. Tapi halnya terletak sedalam mana usaha melepaskan manusia daripada kancah kesusahan serta kejahilan dalam mengembalikan manusia ke pangkal jalan dan menumbuhkan rasa bertuhan dalam segala asapek kehidupan.
Perkara pokok yang ingin diketengahkan oleh penulisan kali ini, adalah untuk kita meninjau dan menilik semula adalah dengan benar kemuliaan yang di patut dikejar oleh seorang manusia terutamanya bagi yang bergelar muslim dan adakah halnya bakal mengundang bahagia atau bahaya?
Sebagaimana yang disebutkan pada awal penulisan tadi, sesungguhnya kemuliaan itu bermula dengan sesuatu yang mulia. Sebagaimana yang telah termaktub dalam fitrah penciptaan, manusia di angkat sedarjat tingginya daripada penciptaan makhluk yang lain. Manusia menjadi pilihan Allah mentadbir susun atur pentadbiran bumi dengan kurniaan akal dan panduan syariat yang dijadikan penunjuk jalan dan batu asas sistem pentadbiran alam.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi”Mereka berkata”Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedang kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu” Dia berfirman”Sungguh, aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui” Al-Baqarah:30
Maka di sinilah yang menjadi titik tolak kemuliaan manusia yang bergelar khalifah. Maka atas kesedaran itu maka kemuliaan yang dikejar bukanlah demi kepentingan nafsu haiwani atau kerana kepentingan duniawi, tetapi kerana didasari perintah yang teragung daripada Penguasa dan Pentadbir Alam Yang Tertinggi.
Bukan sahaja, kerana mandat dan amanah yang dipikul manusia untuk mendukung amanah suci sebagai pemimpin di bumi bahkan, mendapat kemuliaan dan kekuasan itu adalah fitrah yang telah ditakdirkan menapak di atma setiap insan. HAMKA pernah menyebut:
“Keinginan berkuasa adalah naluri yang telah terlekat dalam jiwa manusia. Membunuh keinginan itu sama dengan membunuh manusia itu sendiri. Tetapi agama, kemanusiaan dan falsafah bukan tidak memberi jalan buat mengerjakan dan merebut kekuasaan itu, iaitu kenallah diri dan sempurnakanlah mengisi diri. Itulah setinggi-tingginya dan kadangkala masih kekal kita pikul, tidak pernah rebah,sampai hancur tubuh jasmani kita dalam kubur itu masih ada.”
Berdasarkan kata-kata beliau dapatlah disimpulkan bahawa kekuasaan dan kemuliaan adalah satu anugerah yang perlu disantuni dengan bijak oleh setiap individu yang bergelar muslim. Menyentuh tentang kemuliaan dan kepimpinan, maka perlu ditegaskan bahawa saluran untuk menuju puncak kemuliaan itu perlu benar-benar disaring dan ditilik dengan sebaik-baiknya. Dalam buku Management: Foundation and Practise (Dalton E McFarland) McGregor’s menyifatkan kepimpinan sebagai ‘interpersonal influence,excercised in situations and directed, through the communication process towards the attainment of goals’.
Penulis menyifatkan bahawa peranan dan kepentingan memegang tampuk kepimpinan dan maqam kemuliaan itu harus sentiasa disegarkan landasan, cara dan juga destinasi pilihannya. Oleh itu, atas apa dasar sekalipun halnya mestilah menuju kepada pengabdian kepada Allah untuk mengangkat Agama yang mulia ini kepada setinggi-setinggi kedudukan. Mengambil kira pengendalian dan kawalan dalaman diri, kemahiran interaksi dengan kelompok manusia sejagat dan yang paling utama adalah destinasi puncaknya adalah mardhatillah, keredhaan Allah. Pandangilah dengan mata hati panduan yang diberikan oleh mereka yang terdahulu agar langkah kita tidak tempang dan kewujudan kita di puncak lebih terisi dan dipandu dengan baik.
“Sesiapa yang mengangkat dirinya sebagai pemimpin hendaklah dia mengajar dirinya sendiri terlebih dahulu, sebelum mengajar orang lain dan hendaklah dia mendidik orang lain untuk berakhlakbaik melalui tingkah lakunya sebelum mendidik mereka dengan lidahnya.” Saidina Ali RA
Pastinya tidak mudah dan ringkas jalan menujunya melainkan dipenuhi dengan kesukaran dan cabaran. Berbahagia di jalan ini amat besar nikmatnya. Bahagia yang bakal ditempa itu terbahagi dua. Bahagia di atas rahmat Allah atau Bahagia di atas murka Allah. Sesungguhnya, bahagia itu bukan kerana rasa berbangga dengan kedudukan yg dimiliki namun, tetapi halnya adalah kerana kemampuan serta kudrat untuk memikul kemuliaan ini dapat dilaksanakan dalam redha Allah. Inilah bahagia yang berdiri di atas rahmat Allah.
Intailah kembali dalam diri kita, adakah bahagia ini yang dikecapi selama ini. Selama kita dianugerahi kejayaan yang bertali arus, dijulang-julang, disebut-sebut kemegahannya, di agung-agung kehebatnnya, adakah segalanya itu menyebabkan kita mampir juga kepada kejayaan meletakkan diri sebagai wasilah yang membawa diri sendiri dan manusia kembali kepada Tuhan yang menciptakannya. Atau sekadar berdiri di atas tujuan yang semata-mata untuk kepentingan dunia yang lebih diutamakan.
Jika bukan perkara ini yang sedang menjadi panjimu, maka awas! Sesungguhnya keberadaanmu di puncak bermakna kamu di lahar bahaya. Kamu sedang menjunam tinggi daripada puncak kedudukanmu ke sedalam-dalam jurang kesengsaraan. Bukan lagi kemuliaan yang didakap, namun murka Allah yang terbenam ke dalam dirimu. Hadamkan baik-baik lontaran kalam Khalifah agung ini:
“Tidak ada kemuliaan yang lebih tinggi daripada Islam, tiada kekuatan yang lebih berat berbanding ketaqwaan, tidak ada tempat yang lebih tinggi daripada sifat wara’ dan tidak ada pembantu yang lebih berjaya berbanding taubat”-Saidina Ali R.A
Serulah pada diri dan pada insan, ayuh bersama-sama menuju puncak kemuliaan. Kejarlah puncak itu dalam sebarang sisi sekalipun, kerana pada hakikatnya jika kebenaran yang memandu, maka tujuannya juga adalah benar. Jangan sampai mereka yang tidak memiliki kelayakan itu yang mencurinya sedangkan kita telah dipilih Allah menjadi dutanya. Mengapa kita masih khali di dunia yang tidak berdestinasi. Bahaya mahupun bahagia itu ada racun dan penawarnya jika kamu bijak mencari kunci segalanya.
Wallahualam.
Tuesday, September 8, 2009
Perjalanan Kian Jauh
Peringatan buat semua pemilik ruh perjuangan. Nasib diri jangan dihitung-hitung kerana sudah kita maklumi nasib diri sudah mendapat jaminan andai keraguan pada ketentuan Yang Esa dilenyapkan.
"Jika Allah menolong kamu maka tidak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan kepada kamu) maka siapakah yang akan dapat menolong kamu selain daripada Allah sesudah itu..." Ali Imran:159
Bantuan Allah itu tidak kunjung padam. Bantuan itu hadir dalam pelbagai cara dan rupa serta halnya bergantung pada sejauh mana pergantungan harapan dan setinggi mana keyakinan kita kepadaNYa. Mustahil panji-panji agamaNYa dibiar dipijak dan diinjak-injak sewenang-wenangnya. Infaklah diri sepenuhnya di jalan Allah. Biarpun sememangnya kepahitan dan kepayahan yang ditempa, tetapi sunnah perjuangan seumpama itu yang mendewasakan diri untuk mengenal erti sebuah penciptaan. Semat baik-baik kalam mulia ini:
"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" 9:41
Amaran untuk mereka yang masih enak dibuai kehidupan dunia yang mewah dan indah. Persoalannya Tuhan sedang menanti kamu. Sudahkan kamu miliki jawapan yang ampuh untuk membela kelalaian kamu akan amanah yang diberikan? Sudahkah ada hujah untuk mempertahankan bahawa kamu ini sedang memijak agamaNya? Sudah adakah modal untuk membayar kembali segala nikmat Allah yang kamu dustakan? Sedangkan segala bisik-bisik hatimu untuk mengkhianati agamaNYa sudah DIA ketahui, masih adakah ruang untuk kamu mendabik dada di Bumi ciptaan Nya?
"mereka itulah orang yang hati,pendengaran dan penglihatan mereka dikunci Allah. Mereka itulah orang yang lalai." 16:108
Ternyata kamu tersilap! Malah besar benar kesilapan kamu! Kamulah orang yang benar-benar rugi! Nikmat Allah kamu persiakan. Perjalanan kamu di bumi hanya menempa kehancuran. Pulang kamu ke negeri abadi tanpa bekalan bahkan hanya ditemani gunungan penyesalan yang bakal membawamu ke neraka Jahannam. Tolehlah kembali ke belakang. Masih ada ruang untuk kembali ke fitrah penciptaan. Ingatlah, hidup ini adalah sebuah denai perjalanan. Perlu ada panduan. Perlu ada ikatan. Sesungguhnya, perjalanan kian jauh dan destinasi abadi itu kian hampir! Janganlah lalai dalam merentasi perjalanan ini. Mencicip tiupan semangat daripada catatan perjalanan seorang pejuang....
"Manusia tanpa iman adalah manusia yang kerdil dan kecil. Cita-citanya juga kerdil dan kecil. Tetapi biarpun setinggi mana cita-citanya dan matlamat hidupnya, namun ia tetap bergelimang dengan lumpur bumi, tetap terikat dengan batas umurnya dan tetap terpenjara dalam tubuhnya. Dia tidak bebas dan tidak akan terangkat tinggi melainkan apabila ia berhubung dengan alam ketuhanan yang lebih besar daripada alam bumi dan lebih luas daripada alam diri, iaitu alam yang dapat menghubungkan dunia dan akhirat buat selama-lamanya"~Sayid qutb
Usia kian menginjak, segalanya ditinggalkan satu persatu, hanya yang tinggal harapan yang satu, dapat pulang menuju ke destinasi Abadi ...
"Apa yang ada di sisimu akan hilang dan apa yang ada di sisi Allah itu kekal abadi" An-Nahl:96
Tuesday, September 1, 2009
Bahasa Mata
sedang bahasa mata tumbang ke kali
Mungkin di alang langit itu ada sangsi
Sosok di kaki bumi masih sepi
Bukan salah mata mencuri
Tapi kerana hakiki insani
cuba menyelongkar yang tersembunyi
Jelik cantik di sisi
Bahasa Mata
Tidak punya jawapan yang pasti
Bahasa Mata bukan kunci
Yang tuli juga punya bukti
Akar iman lebih punya sakti
Bahasa Mata mungkin juga mati
Jangan duga mata itu mentari
kerana bahasanya mata
bukan mudah dimengerti