Cukupkah sekadar hanya sekadar menjadi seperti pepohon, membiak tumbuh dari benih sesawi tubuh, berjuang bertarung merebut kasih, menyaing perhatian, antara seribu satu teman, daripada Sang Mentari,
Demi mencapai satu impian Melempias pucuk ke bumi, Memburai seribu satu bakti, Walau kadangkala maras, Dengan ancaman tangan-tangan jahat, barangkali ju ga tenahak, Dengan nasib diri, Mengung dengan ketentuan ini, Tapi bukankah Indah Jika aku tidak seperti apa-apa, Hanya sekadar menjadi nyawa yang sedar, akan Hakikat diri sebagai Hamba..
Tadi saya menembak lagi. Tapi saya buntu tembakan saya mengena atau tidak.atau mungkin tersasar, salah langkah sasaran lain yang menjadi mangsa tusukan tajam peluru yang tak berisi belerang itu. Tapi sebetulnya tadi saya tidak pasti perlu atau tidak saya menembak. Menggarap semula segala yang ternokhtah di sukma, sekadar mahu menyampaikan apa yang dirasai oleh saya selama ini. Mungkin ada malangnya, mangsa tembakan saya itu belum sampai masanya untuk menerima bahana tembakan saya.
Peluru saya berbunyi begini “ Perlukah menjawab persoalan itu. Semua orang berhak mendapat dan menikmati frasa kata ‘kesayangan’ dan ‘kepunyaan’. Islam sendiri sudah mengatakan semua berhak untuk menjadi sohibul kasih sayang”. Saya nampak ketiadakpuasan atau mungkin kejelikan terhadap kalam saya pada wajah mangsa saya. Bukan saya berhodoh sanagka. Tapi memang itu yang selayaknya saya terima.
Sebenarnya saya tidak mahu terkeliru dan mengelirukan malah mengharu birukan keadaan dengan segala kalam saya selama ini. Entah apa yang saya tulis ini. Saya hanya mahu manusia mengerti akan pencerahan pemikiran yang sedang saya lalui dan yang sedang saya sendiri mencari. Aduh! Saya sudah penat dengan sekular yang menular dalam diri. Barangkali ini padahnya menjadi seseorang yang bersifat fleksible. Buka maksud saya fleksible itu parah, tapi landasan ke arah fleksible itu yang menyebabkan barah menjadi pemangkin segala sel pembunuh. Senyap tetapi hebat kesannya. Bahkan sepastinya tiada penawar jika sudah menempah tempahan khas dikebuk kematian.
Sekarang senjata saya hanya papan kekeunci dan otak sebesar dua penumbuk yang memandu saya untuk melontar segala keterdesakan perkataan saya sekarang. Rasa bagai mahu menumbuk paparan skrin di depan mata ini. Biar berhambur pekat merah darah dari buku lima saya jika itu cukup untuk saya merasai kepuasan mencerna segala kekontangan yanga melanda. Apa yang dilontarkan bagai hanya di awangan. Tapi saya tidak mahu itu. Biar samapai juga dia ke bumi tidak sesat dan menjadi entiti di angkasa.
Bagaimana seorang yang ingin mencari hakikat Islam dalam mencari erti yang sebenar-benar bagi istilah kasih,sayang,cinta dan suka. Ah! Begitu kontot akal manusia. Kamu tahu, kita memang perlu mengakui hakikat ini. Manusia itu sememang bersifat terlalu terhad. Tidak ada variasi yang berbilang-bilang. Huh! Variasi itu sendiri bermaksud berbilang-bilang dan pelbagai. Nah, lihat lagi bukankah terlalu terhad dan kontot kemahiran dan kemampuan manusia? Saya begitu tidak senang memikirkan hal ini. Mungkin saya sendiri tidak punya kosakata yang baik untuk menerangkan segalanya. Tapi, sememangnya kita perlu mengakui memang Dia YANG MAHA LUAS. Kita hanyalah hasil rekaanNya. Dia berhak menentukan hasil karyaNya. Pesetkah, gemukkah, Sumbingkah. Segala terletak di tanganNya. TanganNya di atas tangan kita.
Berbalik pada peluru saya. Saya mahu katakan di sini bahawa manusia miliki hanya sedikit dan sangat terhad cuma daya untuk menakrifkan sesuatu maksud. Lihat ini, cinta,sayang,suka dan kasih. Saya bagi misalan. Hanya Allah yang berhak dicintai dengan sepenuh hati. Saya mencintai ibu sepenuh hati. Saya cinta akan kamu(makhluk). Saya suka pulasari. Saya kasih akan datuk. Allah kasihkan makhlukNYa. Soleh sayang akan rumahnya. Karim sayang akan khazanah itu. Saidina Umar begitu mencintai rasulullah SAW.
Nah! Bagaimana anda meletakkan pengkadaran bagi maksud dan tafsiran semua ayat ini. Sedangkan penggunaan perkataan hampir sama dan berulang-ulang penggunaannya. Jadi, saya merasakan adalah tidak salah saya meluncurkan peluru tadi. Cuma mungkin sasaran saya tidak benar-benar memahami akan apa yang cuba saya mahu dia fahami dan amati. Atau mungkin saya sendiri menggunakan peluru yang salah. Natijahnya, saya menerima senyuman sinis yang begitu menghiris semangat saya. Tapi bukan itu meneyebabkan sayaterus menyiput sebaliknyadrastik lagi keazaman peluru saya bertukar menjadi peluru berpandu untuk menyerang danmenerjah lagi. Terima kasih wahai mangsa peluruku.
Sesungguhnya, hakikatnya Cinta dan Sayang atau apa-apa lagi perkataan yang sesinonim dengannya membawa maksud yang infiniti. Terpulang bagaimana individu untuk manafsirkannya. Buktinya, banyak sahaja golongan salafussoleh yang telah dihukum dengan begitu ngeri dan kejam kerana perkataan mereka. Pada hakikatnya bukan mereka yang salah. Tetapi sang telinga dan gumpalan pejal dan cecair dalam kepala yang menerima angin kalam mereka yang salah mentafsir. Mungkin tidak dipandu wahyu dan serakah nafsu yang bermaharajalela yang rakus membaham segala kalam demi kepentingan yang busuk dan hanyir dalam diri. Ego bertakhta di hati. Sehinggakan singgahsana kebenaran diroboh dan disental-sentak hingga hanya meninggalkan debu-debu berjisim satu molekul sahaja yang terawang-awang di bawa angin.
Huh! Saya tidak dapat menafsirkan apa yang terdetik di hati kalian. Saya memang mahu menjadi jujur melempiaskan segala yang bersarang di sukma ini. Mungkin saya mempamerkan kebodohan saya. Biar melondeh segala cindai yang menutupi kejahilan ini. Saya mahu mencari kebenaran yang hakiki. Islam itu terlalu universal. Sehinggakan ada yang sesat tersadai, kepenatan dan mungkin akhirnya mengiktiraf dirinya dengan pelbagai maqam yang mungkin dilaknat olehNya. Mungkin juga itu hanya bayangan dalam lapangan daya imaginasi mereka yang terkandas. Bukan saya mengatakan Islam itu melelahkan ummah. Telunjuk saya sendiri tidak mahu kufur pada Penciptanya. Saya tidak juga mahu mendabik dada pada Yang Maha Kaya Agung. Silap-silap menjadi kufur saya ini. Saya hanya mahu memohon izin dariNya untuk menjentik sedikit hati yang ingin mencari hakikat keindahan Islam itu dengan kudrat yang juga dipinjamkan olehnya.
Mengembara mencari hakikat Islam bukan semudah menyertai ekspedisi merentas empat benua dengan pacuan empat roda. Tapi lebih dari itu. Yang pasti kesesatan dan kefuturan pancari-pencari Islam itu kerana mereka terlalai bahawa ada lompong yang tidak ditampal sebelum menyelam ke dasar samudera. Lompong itu apa? Lompong itulah As-sohihul Aqidah. Akibatnya mereka lemas bahkan maut dalam lautan penipuan dan kejahilan yang mungkin sememang tidak Allah mengizinkan hati-hati yang hanyir itu untuk duduk di atasdipan Yang Mulia ini iaitu Ad-Dinul Islam. Ya Allah, aku tidak mahu menjadi pemangkin murkaMu. Aku hanya mahu terus berusaha menggunakan perca kurniaanMU untuk kembali menyulam Iman yang kian merapuh dilanda terik mendung dunia ini.
Perhentian seketika peluru saya ini adalah dengan saya mahu diri saya mengakui bahawa semua mangsa saya punya hak untuk menfsir segala kalam saya. Tapi doa saya biar mangsa-mangsa peluru saya itu mentakwil segalanya bukan mengikut logika akal yang ada nakhoda yang ditabal secara rasmi yakni Nakhoda Keimanan yang Punya kredibiliti dan diiktiraf oleh Yang Teramat Mulia Tuan Wahyu. Kerana apa? Kerana Yang Teramat Mulia Tuan Wahyu itu begitu istimewa. Begitu sempurna sehinggakan tiada tertanding oleh segala peneraju di dunia. Dan hanya satu yang dapat mengungkap segala keelokkan paras rupa dan sifat miliknya iaitu kerana Dia diturunkan ke dunia ini dengan thoriq yang mulia oleh ALLAH RABBUL’ALAMIN....
Nigella sativa, bertebar di seantero dunia mereneh ribuan bakti melimpah samudera jasa mampu kau curah seluas alam raya manfaatmu meski hanya sesawi tubuhmu
Nigella Sativa Rupanya kau lebih mulia daripada si pemilik mata kau celik meski tak punya mata tapi si celik itu buta rupanya
mereka buta dari melihat apa yang kau punya mereka lebih enak mengendong entiti yang tidak berwajah sedang namumu sudah gah hatta harum melata di bibir yang mulia Pembawa Rahmat ke alam Semesta
Wira Akhir zaman itu tabib yang handal tapi mereka sasau menilai masih gila dengan si barat keparat
Nigella Sativa Ku menapak di BUMI ini demi menjejakmu Ada syifa yang ku cari dalam kerdil tubuhmu Syifa itu yang ku cari
Aku tidak mahu lagi terus buta dan sasau jadi si pendokong yang keji jadi si bodoh yang hina yang membuat jiwa mati asbab mubah terus membusung
Aku ingin jadi Si cindai yang jernih putih suci...
Nigella Sativa Aku terus menjejakmu Aku terus mengintai wujudmu mencari wahyu dalam kabut jahiliyyah
entah kenapa pada sepi malam ini terasa bagai ada yang perlu diisi. sudah lama benar dibiar tinta kalam sunyi tanpa bicara. hanya sesekali terkial-kial mengetuk papan-papan kekunci menukil segala yang tersimpul di hujung akal. sinar sepasang mata terus menerus menjadi pemerhati semarak jingga alam bermadah.melukis segala lukisan alam. tidak pernah mati warnanya. malah menjadi cacamerba. hingga terkadang sang penafsir tersalah memandang. melihat dari dimensi yang berbeza. kekadang menjadi iftitah hati, kekadang membawa seribu persoalan yang menanti jawapan yang belum pasti. bukankah Tuhan telah berbicara, Kalam Suci itu hanya menanti untuk dihayati.
Alam itu juga mahaguru untuk yang ingin menjadi penuntut di madrasah kehidupan. tapi mungkin juga layak menjadi penjara buat yang miliki sekeping jiwa yang kontang. Jika alam itu mahaguru, isi alam itu kantung sang guru. kantung itu berisi. kantung itu juga punya erti.
wahai diri, kalammu mungkin enak didengari. Tintamu mungkin bebas menari. Lagakmu mungkin punya identiti tersendiri. Tapi, itu belum cukup untuk melengkapi segala kebuk-kebuk lantaran masih ada duri yang perlu disingkiri, masih ada madu yeng perlu disaringi. Renung ke dalam rona hatimu. Masih suci putihkah? Atau sudah hanyir hitam pekatkah?
Masih ada waktu yang bisa berimu sedikit kesempatan. untuk terus menuju ke puncak amal. Bisa juga jadi loncatan untuk mendaki Al-Ma'rifah. Carilah DIA dalam setiap sisi rimba kehidupan, kelak dapat melihat sang mergastua yang tahu dia punya TUAN. walau bebas melakar segala sempadan. Tapi tetap ada rasa BERTUAN. tidak keruan andai dia merobek rasa itu. Jangan Jemu menggali segala Hikmah.Pelupuk harapan masih mekar. Sandaran tetap segar pada YANG SATU...
Seri Pelangi melakar di dada langit Bagai Pesona Sang Puteri pada buruj di langit Gelora di lubuk sukma tetap membadai walau semanis senyuman dihulur di celahan rekahan resah
Wahai Sang Pelangi Serimu tetap takkan sama Walau dijalin dengan seribu lagi warna Wahai Sang Puteri Pesonamu tak sehebat mana Walau ditambah semega lagi ukiran buruj
Kerana padaku Seri wajah Ummi lebih agung dari segala kecantikan seisi bumi Kerana bagiku juga Pesona kasih Ummi nun jauh lebih hebat membunga di dasar jiwa Nun lebih tinggi dari buruj yang mendada di hamparan langit dunia
Namun Bimbang di colek resah Tsunami merobek Gundah andai diri telah mencarik Cebis hati Ummi lelah memikir Ke mana dan di mana Pengganti Lirih Kasih Ummi Yang tiada penghujung
Hatta senyuman ku hulur Bukan beerti ku sudah bangun dari dengkur Jangan terus tersungkur RahmatNya harus terus diukur Agar dapat jadi Anak yang akur
Ummi, Ku tetap menghitung hari Ku tetap mengintai ke sisi Andai ada ruang untuk terus mengunjur sedikit kudrat Agar bisa dapat menjadi Sang Anak Yang berada dalam sandaran redhamu serta Redha Al-Muhaimin..
~Salam Selaut Cinta Buat Insan Agung Bergelar UMMI~
Mengemis kasih Tuhan Mengintai Redha Ar-Rahman Bagai meniti tipis titian perit Menanti untuk kecundang Membara ruh untuk terus mengembara Di anjung sana tersadai harapan Di simpang sana ada pilihan
Mungkin Kelar meninggalkan kesan Namun manisnya lebih terasa tatkla pesona iman mula mekar Ku bina hijab ini...
Hijab Sang Perindu Bukan kerana ukiran dunia Hijab Sang Perindu Dibina Kerana rindu Dipasak kerana ingin menyatu Dibentang kerana mahu pulang pada Yang Satu
Hijab Sang Perindu Moga tetap dalam kalbumu Moga tenang jiwamu Namun jangan bisa alpa Ada duri sedang menantimu Walau salju sakinah yang menjadi buruanmu...
Salam ku sapa buat sang Pencinta Medan Lembah menantimu untuk dijelajahi Denai menunggumu untuk dijejaki Lereng-lereng jabal setia menumpah segala isi Sedia menanti dan menunggu untuk Diteroka langkah sang perwira
Wahai pejuang srikandi dunia Biar sedikit jenuh Namun cinta padaNya jangan luluh Wahai Pejuang Srikandi Cinta Tinggi pandanganmu menembusi tujuh langit dunia Namun jangan kau lupa Melangit lagi Ketentuan Yang Esa Berpasaklah di atas Aqidah mu yang Haq Agar bisa terus meluncur Mengembara di kembara fantasi Demi mengejar realiti di kota ukhrawi