Namun, titik hitam pembunuhan si adik
bongsu oleh tentera St. John of Jerusalem, membuatkan Aruj dan
Khairuddin bingkas menjadi singa lautan, menuntut dendam. Walaubagaimana
pun, tersungkurnya Kota Andalus yang dinaungi empayar pemerintahan
Uthmaniyah ketika itu, membuatkan misi menunutut bela bertukar menjadi
misi mempertahankan negara. Kehebatan aksi Aruj di perairan Turki-Yunani
itu tidak ternokhtah di situ, walau beliau gugur dalam pertempuran di
Tilmisan.
Khairuddin Barbarossa kemudiannya
menyambung misi suci kekandanya dengan mengetuai armada perang Turki
Uthmaniyah dalam menakluk Semenanjung Iberia. Meskipun hasratnya juga
terkubur dengan kematiannya setelah 14 tahun lamanya mengatur serangan
demi serangan, namun lembaran sejarah merakamkan kewibawaan beliau telah
mengukir prestasi ketenteraan maritim yang paling cemerlang pada zaman
beliau.
Malah, kehebatan keluarga Barbarossa
rupanya benar-benar menghantui para tentera Kristian sehinggakan pada
abad moden ini para pengemudi seni karya barat cuba menyuntik kebencian
dan membusukkan sejarah Barbarossa ini dengan karakter-karakter hitam
dalam karya mereka sebagaimana watak lanun perompak sial dalam filem
Pirates of Carribean dan komik Asterix.
Catatan kisah Khairuddin Barbarossa
barangkali kisah terpencil yang jarang diamati nilainya. Kewibawaannya
lahir dari hak yang dicabuli. Rentetan sejarah hitam, dari kerdil dia
menjadi gergasi. Dari manusia yang tiada visi, menjadi manusia yang tahu
nilai diri malah mengemudi sejuzuk daripada posisi kepimpinan yang
mencorakkan warna-warni sejarah Turki hari ini.
Itulah juga bukti fitrah manusia, ia akan bingkas bangun apabila ada inci haknya yang dicabar. Namun, hakikatnya empangan syariat meletakkan manusia menjadi pemimpin bukan untuk menjaga hak semata, mahupun kerana menjunjung kemajuan manusia tapi, ia adalah persoalan tujuan manusia itu sendiri diciptakan.
Kewujudan manusia di dunia adalah kerana
fungsinya sebagai hamba yang perlu tunduk patuh kepada ketentuanNya. Di
sana sekaligus terangkai bersama tanggungjawab manusia mentadbir bumi
sebagaimana penegasan Allah SWT secara mutlak melalui firmanNya
“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” [2:30]
serta “Dan tidak Aku ( Allah ) ciptakan manusia melainkan untuk
mengabdikan diri kepada Aku ( Allah )” [51: 56]
Maka elemen fitrah dan syariat ini harus
diadun rapi agar manusia memahami dan mendorong diri untuk mengakari
teraju kepimpinan dengan saksama dan bijaksana. Membongkar sisi pandang
yang lebih terbuka, ternyata pada sejarah tamadun manusia turut
membenarkan bahawa ada suatu kuasa yang mengukir ulir-ulir jatuh bangun
nasib manusia.
Apabila meneliti adikarya Maulana Iqbal,
beliau rupanya turut berjabat setuju dengan hakikat ini melalui jalinan
halus dalam syairnya, “Bangsa itu lahir melalui tangan para penyair, jatuh bangun mereka itu berpunca daripada tangan politikus.”
Maulana Iqbal cuba membawa takrif ‘para
penyair’ itu dengan menisbahkannnya sebagai golongan yang selari makna
dengan pengertian ulama-ilmuan, lantas melalui kebijaksanaan dan
kesaksamaan mereka inilah nilai ketamadunan sesuatu bangsa itu diangkat.
Sentuhan halus Maulana ini akhirnya,
turut menyeret kita merenung kelahiran tamadun bangsa Arab yang pernah
disalut dengan syair-syair Jahiliyah. Namun, penularan syair-syair
jahiliyyah ini dapat dipatahkan melalui keindahan gaya bahasa al-Quran
bahkan hakikat kebenaran Kalam Allah itu sendiri merupakan kuasa sakti
yang berjaya membentuk tamadun manusia itu sendiri. Kalam-kalam syariat
yang indah itu jugalah yang memandu teraju kepimpinan tamadun manusia
untuk merangsang dan menggerakkan pembangunan akliah anak bangsa untuk
melakukan perubahan dan kemajuan. Pendeknya, nasib mereka ditentukan
oleh kuasa-kuasa ahli politik. Politikus yang baik akan memajukan
bangsa, demikianlah sebaliknya.
Nukilan seni Maulana ini membumikan
lagi, bahawa kehidupan manusia ini tidak pernah renggang dengan nilai
kepimpinan walau ruang lingkupnya hanya terhad buat dirinya semata.
Konsep ini bukanlah berdiri hanya kerana wujud kemampuan untuk manusia
menguruskan kehidupan, bahkan ia menampung satu sudut kelemahan manusia.
Buktinya, Al-Mawardi sebagaimana Plato, Aristoteles dan Ibnu Abi Rabi’ berpendapat bahwa manusia itu adalah makhluk sosial,
yang saling bekerjasama dan membantu satu sama lain. Beliau meyakini,
kelemahan manusia yang gagal untuk memenuhi semua keperluannya sendiri
serta terdapatnya cacamerba perbedaan bakat, pembawaan dan kecenderungan
semula jadi mendorong manusia untuk bersatu dan saling membantu.
Maka, akhirnya manusia sepakat untuk
mendirikan negara dan kewujudannya adalah melalui kontrak sosial atau
perjanjian atas dasar sukarela. Atas dasar itu juga Al- Mawardi
berpendapat, bahwa pemimpin negara merupakan garapan khalifah kenabian
di dalam memelihara agama dan mentadbir dunia.
Al- Farabi turut tidak ketinggalan dalam
mengemukakan gagasan konsep kepimpinan apabila beliau tampil dengan
karya agungnya Kota Utama (al-Madinah al-Fadhilah).
Seputar tentang konsep kota ini,
al-Farabi sebenarnya merencam formula kota idealnya dengan mengangkat
dua konsep utama iaitu kepimpinan dan kebahagiaan. Asasnya, kerangka
dasar yang membangun gagasan al-Madinah al-Fadilah ini berpaksikan
konsep kepimpinan yang menuntut perlunya muncul seorang pemimpin yang
memiliki autoriti meneraju manusia ke arah kebahagiaan.
Demikianlah bagaimana cendekiawan
menilai keluasan erti kepimpinan. Ia lahir dari sikap pengawasan dan
pengamatan teliti mereka pada corak pembangunan manusia yang akhirnya
membawa titik temu pandang alam agama dan logik akal manusia.
Elemen inilah yang menyumbang kepada
pola kehidupan yang terkawal dan terarah kepada tujuan yang jelas dan
bermakna. Barangkali keseimbangan ini juga berjaya membuka mata Michael
H. Hart, penulis buku The 100, A Ranking of the Most Influential Persons
in History apabila mengambil langkah drastik dengan memilih Nabi
Muhammad SAW sebagai manusia yang paling berpengaruh di dalam sejarah
manusia sehingga kini. Hart berpendirian bahawa Baginda SAW berkeupayaan yang sangat cemerlang dalam kedua-dua bidang: agama dan pemerintahan.
Pemilihan ini tentunya mengejutkan ramai
pembaca. Hart begitu bersungguh mempertahankan pengaruh Islam dalam
kehebatan prestasi Rasulullah SAW sehingga beliau membandingkan
kombinasi Nabi Isa a.s dan St. Paul dalam agama Kristian ternyata tidak
mampu mengatasi Rasulullah SAW. Lebih lanjut lagi Hart menjelaskan
bahawa Nabi Muhammad saw (tidak seperti Nabi Isa a.s) adalah seorang
pemimpin tentera yang menjadi daya penggerak terbesar kepada kekuatan
bangsa Arab.
Namun apabila kembali meneliti suasana politik semasa
mahasiswa Malaysia di Mesir ini, kemajuan pembangunan fizikal dan
intelektual dewasa kini ternyata tidak mampu menongkah sikap
individualistik di samping opurtunis segelintir mahasiswa yang ternyata
mencarik sedikit demi sedikit nilai ini. Institusi kepimpinan
seolah-olah menjadi medan yang dipandang sepi. Ia tidak lagi dilihat
sebagai mandat tuhan yang perlu dipelihara kesuciaannya. Tidak diambil
pusing siapa yang cuba menjejak takhta kepimpinan di kelompok mereka.
Seharusnya, busana pemimpin yang dipakai
oleh kita hari ini, adalah busana jalinan benang kehambaan yang
mendakap erti bahagia menuju tuhan. Ia bukan sekadar peragaan untuk
kemegahan tapi kerana demi memagari harga diri dan amanah Ilahi.
Oleh itu, renunglah kembali kisah pencil
Barbarossa sehinggalah pendirian Hart. Jika diamati, nilai kepimpinan
dalam Islam adalah berdasarkan modal Tuhan yang menjadikan umat Islam
mudah berubah.
Kuncinya, bukanlah menobatkan diri sebagai pemimpin kerana ada nilai hebat pada diri. Tetapi, kerana tuntutan suci aqidah yang meraja dihati,
seharusnya menjadi rantai tambatan yang menyedarkan seseorang itu untuk
tampil memikul amanah kepimpinan dengan penuh rasa keinsafan seorang
abdi kepada tuhan.
Atas nama Allah swt, dengan usaha membaiki diri yang istiqomah, kefahaman yang jelas dan ibadah yang sahih membentuk kekuatan pemimpin yang mampu mengawasi dan mengetuai masyarakat kepada perubahan dan kebaikan yang lebih sempurna.
Ya, atas kesedaran itu kita mengakui pentadbiran sesuatu komuniti itu memerlukan individu yang benar-benar mahu dan mampu memikul beban pentadbiran.
Maka, mengapa kita mengambil sikap sambil lewa membiarkan komuniti di
sekitar kita berdiri tanpa awasan siapa pemimpinnya dan siapa yang
menobatkan tampuk pimpinannya. Bukankah, kita seolah-olah sedang
merancang kepincangan sistem sosial masyarakat itu sendiri lantaran
sikap yang hodoh ini? Cubalah amati julangan kata oleh Professor Nargis
Albert Labib agar deria kita berfungsi dengan bijaksana dan saksama: “Surveillance is the first step towards prevention.”
*artikel ini ditulis sempena Piliharaya PERUBATAN 2012