Saturday, December 5, 2009

Dimensi dan Paradigma

Bismillahirrahmnirrahim...

Salam bertamu. Lama benar pena saya tidak melakar bicara. Cuba mencari-cari kekuatan untuk menitiskan secebis rahsia. Namun, DIA yang lebih punya KUASA. Seperti biasa, saya menjadikan tarian jemari dan pencak fikiran saya untuk melorekkan kata.

Beberapa peristiwa yang dijejak saya sejak kebelakangan ini menimbulkan sesuatu di benak saya. 'Pembalikan Dimensi, Membongkar Paradigma'. Betapa besar cita-cita saya. Betapa melangit harapan saya untuk saya menghadam apa yang sedang saya fikirkan. Tapi, masa saya terbatas. Moga kesempitan masa ini bukan halangan.

Kembali. Selama ini kita begitu selesa menilai daripada sudut pandangan kita, dari tempat kita berada, daripada kondisi dan zon yang sedia ada. Pernah terfikir untuk sesekali menongkah arus dan menyanggah kebiasaan? Oh, sukar sekali. Tidak semudah seperti membalikkan sekeping kertas. Tapi, inilah suatu hakikat yang perlu diakui. Betapa kita tidak sedar kadangkala, skop pemikiran begini memberi natijah yang yang kadangkala sumbing dan penuh cacat cela. Kata orang, berfikir 'di luar kotak' itu menjadikan kamu optimis. Barangkali ada betulnya. Bukan tidak bersetuju, sekadar memanipulasikan kenyataan. Tidak sekadar 'di luar kotak' malah perlu mempelbagaikan dimensi pemerhatian dan penilaian.

Teringat kisah KATAK KECIL YANG PEKAK yang pernah dikongsi bsama guru tika usia kecil dahulu. Memang benar, Si Katak pekak berjaya ke puncak menara kerana fitrahnya yang pekak. Dia tidak dengar semua kata-kata peluntur semangat dan cerca hina daripada sekelilingnya. Tapi seperkara lagi yang kita terlepas pandang. Katak Kecil ini punya visi yang hebat kerana dimensi pemikirannya yang berbeza daripada katak-katak yang lain. Sudah jelas di hadapan mata, menara sememangnya tinggi, kudratnya tidak sekuat mana. Tapi binaan pemikirannya yang luar biasa.Natijahnya paradigmanya terbongkar. Daripada mundur kepada maju. Walaupun punya kudrat yang kerdil tapi, bukan itu jadi halangan bahkan itu satu kelebihan.
......................Teladan Sang Katak Kecil ...........................

Lihat, betapa besar dan pentingnya membuka dimensi pemikiran. Dimensi pemikiran dan pengamatan dari sudut yang berbeza bakal mengundang sesuatu yang 'luar bisa' biarpun kamu insan biasa.

Penyelesaian yang baik juga bagi yang mencari pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Barangkali jawapan untuk setiap persoalan dan permasalahan menemui jalan buntu. Bongkarkan semua jawapan dengan mengubah dimensi pemikiran. Untuk yang menyeru, barangkali seruan kamu tidak sampai pada yang diseru, kerana kamu sempitkan ikhtiar kamu. Ikhtiar itu sempit kerana pemikiran kamu yang tidak cukup luas.Barangkali.

Ingat, fitrah penciptaan manusia adalah 'mencari'. Carilah dimensi yang unggul untuk memberi seribu kepastian pada natijah yang hebat. Bagaimana caranya? Saya tinggalkan untuk kalian fikirkan.

"Dan sesungguhnya telah kami turunkan berturut-turut perkataan ini (Al-Qur'an) kepada mereka agar mereka mendapat pengajaran" Al-Qasos: 51

Saya tinggalkan kisah ini buat kalian. Mungkin ada sesuatu yang dapat kalian kaitankan.

Ada seorang lelaki membeli sebidang tanah. Kemudian si pembeli tanah itu menemui sebuah pundi-pundi yang berisi emas. Lalu dia bertemu dengan si pemilik asal tanah tersebut lalu berkata: "Ambillah emasmu ini, kerana saya hanya membeli tanah dan tidak membeli emasnya! Si penjual tanah berkata " Aku menjual tanah dan apa yang ada di dalamnya" Akhirnya kedua-dua meminta keputusan hakim. Oleh itu, sang hakim pun bertanya kepada keduanya: "Adakah kamu mempunyai anak?" Si penjual tanah menjawab:"Saya mempunyai seorang anak lelaki" dan si pembeli tanah menjawab" saya mempunyai anak perempuan" Maka hakim itu pun memutuskan: "temukan dan kahwinkanlah kedua-kedua anakmu itu dan gunakanlah emas-emas itu untuk perbelanjaannya!" Kedua-duanya menerima keputusan hakim dengan senang hati.

Penilaian dan pemikiran anda yang luar biasa pasti mampu mencerna.
~pembalikan dimensi, membongkar paradigma, andai mata hati itu tidak mati....~

Nota jari: Saasatul Ibad berjaya membongkar paradigma saya. Terima Kasih Allah kerana mengilhamkan FT mencoretkan sesuatu seperti itu. Moga Allah melindunginya...

Friday, November 27, 2009

Silam dan Baharu

Jika ku palingkan seluruh cinta ini pada alam
pasti ada dendam yang membungkam
jika ku himpunkan rindu ini pada catatan silam
pasti ada sesal yang terpendam

Namun,
semua resah pasti membalam
kerana derap semalam
padanya ada ajaran
kerana di sampingnya ada degup
yang menyambung sejuta pengertian
lintasan nokhtah dan jendela alam
ada sambungan
yang tiada hentian

ku panah birai sirah
agar tidak jadi umat yang alpa
tidak lupa pada erti titis darah yang merah
jiwa raga pada lembar lama itu sudah tunduk pada titah
mengapa sisipan baharu angkuh pada perintah?


Salam Aidil Adha Buat Semua Muslimin dan Muslimat. Kullu 'am wa antum bikhoir..

Wednesday, November 11, 2009

Laman Catatan Saya Dalam Proses Pembaikan

Salam Hormat Buat Semua...


Maaf,


~Laman Catatan Usang Saya ini Dalam Proses Pembaikan.
Harap maaf atas segala Kesulitan~


Maaf..

Campur Aduk, bolehkah?

Pembacaan saya ke atas subjek fisiologi malam ini, membuatkan saya memikirkan tentang sesuatu. Baiklah, cuba amati baik-baik:

Barangkali tidak salah jika saya mengetengahkan Tindakan Hormon Parathyroid dengan penulisan kali ini. Hormon parathyroid telah ditugaskan Allah dengan keberadaannya dalam tubuh di dalam kelenjar parathyroid yang berlapuk di belakang pundak kelenjar thyroid untuk mengawal atur paras dan tahapan kalsium serta fosfat bukan organik. Peraturannya adalah :

Peningkatan kalsium plasma dan Penurunan fosfat plasma= kalsium X fosfat = KETUMPATAN ADALAH TETAP dalam erti kata lain paras kalsium mesti ditinggikan dan paras fosfat mesti direndahkan

Kesimpulan: tahap dan paras kedua-duanya sama sekali tidak akan mencecah paras yang sama selama-lamanya dalam tubuh badan melainkan akan mengakibatkan ketidaknormalan pada sistem dalam tubuh badan.

Satu lagi analogi yang saya larikan daripada kesaintifikannya tapi dihampirkan dengan logiknya akal yang kaitannya tetap rapat dan mirip kepada Tindakan Hormon Thyroid tadi.

Bayangkan ada air SIRAP dalam sebuah gelas. Jika ditambahkan susu ke dalam gelas yang berisi air SIRAP tersebut, maka dengan itu SIRAP itu bukan lagi SIRAP, tetapi AIR BANDUNG. Hal ini menunjukkan identiti asli segelas AIR SIRAP telah terjejas dengan wujudnya sesuatu yang asing dalamnya yang menukarkannya kepada AIR BANDUNG. Jadi, tidaklah sama nilainya segelas SIRAP dan segelas air BANDUNG.

Senada dengan itu, hal ini yang saya fikirkan:

Demikian jugalah dengan persoalannya pembinaan diri seseorang insan. Mana mungkin sesuatu kejahatan dapat dipadamkan dengan menambahkan kebaikan melainkan kejahatan itu terlebih dahulu mestilah disingkirkan.

Tidak boleh sama sekali sesuatu yang haq itu bercampur dengan kebatilan. Inilah yang cuba diketengahkan dengan analogi AIR SIRAP. Air Sirap yang bercampur dengan susu menggambarkan campur baur akan mewujudkan satu lagi suasana baru dalam gelas yang mungkin menimbulkan kekeruhan air.

Maka, cuba bayangkan bagaimana keruh dan celarunya jika sesuatu yang benar dan bersih bercampur dengan sesuatu yang ingkar dan keji. Dosa bercampur pahala. Maksiat bercampur kebaikan. Oleh hal yang demikian, jika benar kita ingin melakukan penyucian jiwa, hati dan amalan maka, perlu dan wajiblah dibersihkan dahulu segala gelap hitam yang bertapak dalam diri.

Manakala, analogi fungsi Hormon Parathyroid dalam tubuh manusia pula membawakan bahawa untuk memastikan kestabilan atau dalam erti kata yang lain, istiqomah (berterusannya) proses mendidik diri adalah dengan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh melakukan sebanyak-banyak kebaikan serta berusaha sedayanya meninggalkan sebanyak-banyak perkara-perkara yang membawa ke arah kemaksiatan dan terhimpunnya dosa-dosa hatta perkara makruh sekalipun.

Mungkin ada kelainan dan keistimewaan yang tersendiri jika berlaku percampuran material yang mewujudkan variasi yang indah. Tapi, tidak bagi perkara-perkara yang membawa pengabdian kepada Allah SWT. Yang HAQ tetap HAQ, tiada ruang untuk berlaku percampuran dengan KEBATILAN.

Hadis Baginda Rasulullah SAW ini mungkin dapat mewujudkan lebih banyak pencerahan kepada idea yang diketengahkan tadi.

seseorang lelaki itu tidak akan mencapai tahap orang yang bertaqwa sehingga dia meninggalkan perkara-perkara harus kerana khuatir terjebak ke dalam perkara haram
(HR Ibnu Majah)

اتق الله حيث ما كنت وأتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن

" Bertakwalah kamu di mana kamu berada, ikuti perbuatan jahat kamu dengan perbuatan yang baik pasti akan dihapuskan dosa perbuatan jahat itu dan hendaklah kamu berakhlak bersama manusia dengan akhlak yang baik."
(Hr Tirmizi dan Ahmad - hadis bersanad hasan)

Atau kalam Saidina Ali ini lebih pedas membidas:

Sudah cukup untuk engakau dikira pengkhianat apabila engkau menjadi orang yang setia kepada pengkhianat

Ertinya di sini, seandainya diri masih setia menjadi hamba abdi kepada hawa nafsu yang mengabdi ke arah kemungkaran maka, kitalah pengkhianat kepada fitrah kebaikan yang Allah kurniakan.

Awasi dirimu daripada variasi dan campur aduk yang bisa memusnahkan identiti seorang HAMBA. Pencerahan pemikiran dan penyegaran niat perlu sentiasa dilakukan agar selamat jalan yang ditempuh dan benar bekalan yang dibawa.

Hai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah memberikan rahmatNya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan cahaya untukmu yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan serta Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun dan Penyayang.”
Surah Al-Hadid:28

Wallahua’alam..

Tuesday, November 10, 2009

Khabaran Gembira


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, bertambah lagi kaum kerabat Al-Hussin, Syifa' Lutfiah cahayamata ke-4 pasangan bapa saudara dan ibu saudara saya (Pak Tam Sani& Mak Tama Siti)merangkap cucunda ke-34 Nenda Husssin dan Nenda Aisyah selamat dilahirkan. Barangkali masih saya tidak terlewat melayarkan Kalam Tahniah Buat semua kaum kerabat di tanah air. Bertambah meriahlah teratak Wan Hussin=)

Sunday, November 8, 2009

Saya Terkesan..

Bismillahirrahmanirrahim...

Dingin damai pagi ini membawa saya jauh mengembara di destinasi maya. Singgahan saya di sebuah teratak benar-benar mengesankan saya. Ingin berkongsi untuk renungan bersama. Moga ada manisnya dalam setiap denyut nadi yang di tasbihkan setiap saat untuk-Nya, Allahurabbul Jalil..

Amati sebaiknya wasiat As-Syahid Dr Abdullah Azzam ini. Moga segala ketempangan bisa disembuhi.....

As-Syahid menyeru:

Wahai kaum MUSLIMIN,

"Kehidupan kalian adalah jihad, kemulian kalian juga terhasil dari jihad dan kewujudan kalian di atas muka bumi ini terikat dengan ikatan yang berpanjangan dengan jihad."

Wahai para PENDAKWAH,

"Tiada harga kalian berpanas di bawah cahaya matahari melainkan jika kalian menyandang senjata bagi menhadapi golongan toghut yang melampau, orang-orang kafir dan orang-orang yang zalim yang semakin bermaharajalela. Sesungguhnya mereka menyangka bahawa agama Allah ini akan tertegak tanpa jihad, tanpa peperangan, tanpa darah dan air mata, maka mereka yang ragu-ragu itu sebenarnya tidak memahami tabiat agama ini.Sesungguhnya kehebatan para dai'e (pendakwah), kekuatan dan keberkesanan dakwah dan kemulian umat Islam tidak akan wujud melainkan dengan melaksanakan jihad pada jalan Allah.Kejarlah kematian kerana ia akan memberikan kehidupan (yang hakiki). Hindarilah diri dari merasa hebat dengan jumlah kitab yang telah dibaca. Janganlah merasa megah dan mencukupi dengan sembahyang-sembahyang sunnat yang kalian telah biasakan itu. Janganlah kalian membiarkan kerja-kerja yang remeh menguasai kalian sedangkan di sana ada tugas yang lebih besar dan lebih sukar."

Wahai para ULAMA',

"Majulah kalian untuk memimpin generasi ini yang amat dahagakan untuk kembali kepada Tuhannya. Jangan kalian terbelenggu atau cenderung kepada dunia. Jauhilah janji manis pemberian dan sogokan serta hidangan toghut (pemerintah) kerana sesungguhnya hidangan dan sogokan tersebut akan menggelapkan hati dan mematikan fikiran serta menjadi benteng yang mengahalang hubungan kalian dengan masyarakat."

Wahai kaum MUSLIMAT,

"Jauhilah kemewahan dunia kerana ia adalah musuh kepada jihad. Ia juga pembinasa diri manusia. Oleh itu janganlah menunjukkan sesuatu yang berlebihan. Cukuplah sekadar keperluan sahaja.Didik dan latihlah anak-anak kalian dengan kegagahan dan kejantanan serta kepahlawanan dan jihad. Jadikanlah rumah-rumah kalian sebagai kandang-kandang singa dan bukannya reban ayam yangmenunggu gemuk untuk disembelih oleh toghut. Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak kalian kecintaan kepada jihad, keinginan kepada medan perang dan lapangan yang penuh dengan keributan perang.Hiduplah kalian dengan tidak melupakan penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam. Cubalah sedaya upaya menjadikan sehari dalam seminggu, sekurang-kurangnya, hidup bagaikan mujahidin dengan hanya memakan sekeping roti kering tanpa lauk dan meminum secawan teh tanpa gula."

Wahai PEMUDA,

"Biasakanlah kalian dengan nyanyian dan alunan letupan peluru dan dentuman senjata-senjata berat serta gegap gempita jet-jet pejuang dankereta-kereta kebal. Jauhilah nyanyian-nyanyian yang lembut dan muzik-muzik yang mengasyikkan dengan hamparan permaidani merah."

Wahai ISTERIKU,

"Lazimilah sifat zuhud, nescaya engkau akan dikasihi Allah dan berzuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia (jangan meminta-minta) nescaya engkau akan dikasihi manusia. Ketahuilah bahawa Al-Quran adalah bekalan yang paling berharga serta panduan sepanjang hayat. Seterusnya beribadah pada waktu malam (qiamullail) dan berpuasa serta beristighfar dan bertaubat diwaktu dinihari akan mendatangkan kejernihan pada hati dan kemanisan serta hubungan yang baik dalam beribadah.Ianya juga dapat menghilangkan kecintaan kepada dunia. Adapun menjauhkan diri dari menunjuk-nunjuk dan menjauhkan diri dari golongan yang cintakan dunia, akan mendatangkan ketenangan kepada hati. Akhir sekali, aku sangat-sangat berharap agar Allah menemukan kita di Syurga Firdaus seperti mana Dia menemukan kita di dunia ini."

Adapun kalian ANAK-ANAKKU,

"Sesunguhnya kalian tidak pernah bermesra dengan kumelainkan hanya sebentar sahaja. Terlalu sedikit tarbiyyah yang sempat kuberikan pada kalian. Ya, aku terlalu sibuk dengan urusan jihad daripada tinggal bersama-sama kalian Namun apa yang dapat aku lakukan. Bagaimana aku hendak berseronok bersama kalian sedangkan penderitaan umat Islam amat menyiksakan hingga menyebabkan seseorang ibu melupakan anak yang disusuinya. Kedahsyatan yang menimpa dan menyakiti umat Islam telah mengubankan rambut dikepala kanak-kanak (telah lama berlaku). Demi Allah aku tidak sanggup berperak dan berkurung di dalam sangkar bersama-sama kalian seperti ayam bersama dengan anak-anaknya. Aku tidak mampu hidup dengan menyejukkan diri sedangkan kepanasan api dugaan membakar hati-hati umat Islam. Aku tidak rela tinggal bersama-sama kalian sepanjang masa sedangkan realiti umat Islam kini telah mengoyak-rabak jiwa setiap mereka yang mempunyai hati dan akal yang waras. Benar-benar tidak bermaruah jika aku tinggal bersama-sama kalian dengan limpahan kenikmatan diangkat satu hidangan dan dituruti pula dengan hidangan yang lain (sedangkan umat Islam menderita setiap hari). Dengan ini juga aku berwasiat kepada kalian supaya berpegang teguh dengan aqidahsalafus salih (Ahli Sunnah Wal Jamaah) dan jangan kalian menuruti hawa nafsu. Aku juga berpesan dan berwasiat pada kalian supaya sentiasa membaca Al-Quran, menjaga lidah (kata-kata), qiamullail (beribadah di waktu malam), berpuasa sunat, berkawan baik dan sama-sama bekerja dalam gerakan Islam. Namun begitu ketahuilah bahawa pemimpin gerakan Islam tiada hak menghalang daripada kalian berjihad atau memujuk kalian untuk terus berdakwah yang tidak bercirikan kejantanan dan tiada hubungan dengan jihad"

~Wallahu'alam. Moga Allah Melimpahkn Ribuan Rahmat untuk Ummat seluruh alam.
Moga Selamanya AGAMA Ku ini Di Julang Tinggi..

Friday, November 6, 2009

Tandus?

Kalam itu diluncur lagi!

Ya, satu bedilan hebat untuk yang mahu berfikir. Buahnya sekarang adalah benak fikiran yang punya daya untuk mentaakul. Tandus masa? Satu pengingkaran yang nyata. Dua puluh empat jam tiada lebihan dan tiada pengurangan. Hujah itu sudah ampuh. Mengapa perlu ada dalih? Sumpah Tuhan Dengan Masa sudah dilupa?

Tandus kalam? Lembaran agung itu sudah terbentang. Mengapa tidak di singkap teliti? Sekadar menanti untuk diberi? Sia-sia! itu bukan ertinya sebuah hidup. Bukankah yang Terbaik itu yang mampu menerima dan memberi? Satu lagi pengingkaran yang nyata. Hakikat hamba bukan mengikut tuli tapi harus mengabdi!

Satu yang hampir kamu lupa! Tandus budi!Konon sudah lautan keringat dikorbankan. Konon seruan Ilahi kamu sebarkan. Sudah lupa budi bukan untuk dijulang bilang, tapi sisiNya Tuhan yang perlu direntang. Mahligai adabi lupa kamu singgahi. Hanya gemar budi manusiawi yang dikelit rapi.

Tandus medan?
Kompas hidup sudah matikah? Sehingga jarum sudah tidak mampu menunjuk laluan? ruang itu yang kamu sempitkan. sasaran itu kamu yang kecilkan. Sedangkan luas benar bumi Tuhan. Tidak cukup dengan tandusnya kebuk pemikiran kamu, Insan lain pula yang kamu seret ke situ. Kamu fikir kamu cukup perkasa? Atau kamu lupa ada yang lebih BERKUASA?

Tandus lagi?
Bukan salah sumber alam!
Telunjuk bengkok ke sisi!
Kuku Besi atau Diktator Keji, pilihan itu di hati?

Tidak!
Sumber Suci tidak TANDUS,
Fitrah Insani Toriq adalah yang qudus!