Tuesday, June 9, 2009

Warkah Cinta

Bismillahirrahmanirrahim.....

Alhamdulillah, masih berdegup jantung ini. Masih bernyawa ruh di jasad ini. Maka, masih ada yang terus menerus perlu
digagahi. Meskipun, lelah dan perit terasa tapi realiti tetap realiti. Tidak ternafi realiti adalah janji. Janji yang telah terpateri sejak azali lagi. Patri itu kukuh, tiada yang boleh merengkuh. Benar wahai Ibnu at-Thoilah. Mata hati kamu memadang tembus ke dimensi dunia. Kamu melihat dari dunia yang berbeza:

Janganlah engkau menjadi syak mengenai janji itu ketika tiada terjadi yang dijanjikan, sekalipun ia telah ditentukan waktunya, agar tiadalah terjadi dengan demikian itu pengurangan pada basirah-mu (penglihatan mata hati) dan pemadaman bagi cahaya sarirah-mu (rahsia
batin).”

Tatkala saat semangat saya luluh, saat itulah warkah cinta daripadaNya hadir. Saya jadi terkesima, kehadirannya tidak lambat walau sesaat. Saya jadi lupa bahawa saya ini memang jadi perhatianNya. Terima kasih wahai Pemilik Cinta. Tiada yang lebih layak menerima Cinta ini selainMu. Jadi syahdu menatap kalam dalam warkah cinta ini:

'Biar sesibuk mana, Warkah ini tetap akan Ku tatap'


“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat.....”
(Al-Baqarah:186)

Dua puluh empat jam yang lalu, terasa seperti gelap pekat pandangan saya, hampir tersungkur saya ini. Hilang semangat saya dibawa hawa panas terik musim ini. Bukan kerana kepitaman, tapi kerana mata hati saya seolah-olah tiba-tiba karam dibelenggu gelombang-gelombang yang melanda pemikiran kerdil ini. Tumpuan saya jadi mencapah. Hilang arah. Syukur, saya tidak karam terus. Hanya sekadar menerima tempias sahaja. Tempias yang bisa menyedar dan menyegarkan semula.

Mengamati hikmah Ibnu At-Thoilah ini membawa saya kembali bugar untuk menelusuri rentetan masa kehidupan yang tidak berhenti berputar. Mungkin kadangkala kita menjadi lelah dalam menghadapi hari-hari yang penuh dengan cacamerba rupa dan cara. Kadangkala perkara yang berlaku itu tidak mahupun disaksikan oleh kedua anak mata kerdil ini jauh sekali untuk menjejaki dan merasainya sendiri. Namun, seperti saya coretkan pada awal tadi, kita tidak boleh menafikan realiti yang telah dijanjikan Allah untuk kita.

Jangan ditanya mengapa ini yang diperoleh atau mengapa ini yang diberi Allah. Tapi seharusnya kita berteleku dan mengamati seketika apakah yang Dia mahu kita cungkil dan bongkar. Kerana kebijaksanaan itu hadir apabila seseorang itu bijak mengeksploitasi segala sumber di sekeliling. Biar sumber itu berupa nikmat mahupun musibah. Pastinya, semua itu umpama inspirasi-inspirasi baharu yang Allah tiupkan pada kita dalam sedar mahupun tidak. Rasulullah SAW memberi satu lagi garapan yang baik bagi menyuluh jalan yang lebih jelas. Baginda bersabda:

“Ketahuilah bahawa apa yang menimpamu tidak akan meleset, dan apa yang tidak menimpamu pastinya tidak akan sampai kepadamu.”(HR at-Tirmizi dan Ahmad)

Oleh itu, sememangnya perkara yang hadir itu pasti hadir. Tidak boleh dielak atau ditolak. Tapi, keperluannya sekarang adalah bagaimana kita menyantuninya. Inilah seni kemahiran yang tidak diperoleh dari mana-mana institusi pendidikan, tapi dijuruskan kita untuk terarah padanya melalui khazanah yang sudah begitu lama bertapa. Hanya menanti sang penuntut melutut dan menyerahkan sepenuh hati untuk merimbun dan menyuburkannya. Khazanah itulah Al-Quran dan As-Sunnah. Cuba buka mata hati kita. Sedikit hiburan untuk hati yang sedang lara merana. Masih anda ingat kisah Nabi Ayub a.s yang diuji Allah dengan derita penyakit ditanggung selama 18 tahun lamanya. Tahu bagaimana santunnya Baginda menghadapinya? Bukan Baginda merayu meratap pada Allah atas kelelahan dan keperitan sakitnya, bahkan dia malu pada Allah untuk berbuat demikian. Namun, dengan penuh kerendahan Baginda berdoa pada Allah SWT. Dengarlah lantunan doanya:

....Ya Tuhan, Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua Penyayang.” Al-Anbiya:83
Aku sekarang sedang sakit dan penawarnya terletak pada TanganMu. Apabila Engkau melihat bahawa aku telah sampai pada keadaan di mana Engkau Redha dengan kesembuhanku maka sembuhkanlah aku.Wahai Tuhanku! Penawar yang paling aku sukai adalah apa yang Engkau sukai, atau sesuatu yang Engkau sukai”

Sehinggakan apabila para sahabat yang menziarahi dan bertanyakan perihal penyakitnya dan mahu mencari doktor untuknya, Baginda hanya menjawab: “Allah yang lebih mengetahui apa yang menimpaku dan doktor telah datang kepadaku”. Sahabat bertanya lagi: “lalu apa yang doktor katakan padamu?” Jawab Baginda: “Sesungguhnya Dia berkata: Sesungguhnya Aku melakukan apa sahaja yang AKU kehendaki”

Kisah Ibnu Taimiyah merentap lagi hati saya. Ketika diuji Allah dengan penyakit yang luar biasa dan ditanyakan perihal penyakitnya ketika diziarahi, beliau hanya berdiam lalu mengangkat kepalanya dan berkata:

“Jiwa-jiwa mati kerana penyakitnya,sedang para penjenguk tidak tahu akan apa penyakit yang dideritainya.Jiwa yang mengadu sakitnya pada bukan kepada KEKASIHNYA, dia tidak berlaku adil”

Nah! Saksikan betapa seninya para auliya’ dan para anbiya’ dalam menyantuni segala pancaroba yang diuji ke atas mereka.

Pesanan untuk diri. Nikmat juga adalah ujian. Kita begitu tenahak dan ruwat bila diuji dengan dengan kesusahan. Ketika itu baru basah sejadah kita meratap. Tapi kita jadi bagai merak jingga bila ditabur nikmat yang membuak. Hingga saat itu tikar sejadah jadi basi dan sepi...

Ini amaran untuk merak-merak yang fikir sayapnya itu sudah mampu menggapai awan..

Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang di sisi Allah akan kekal”
An-Nahl:96

Ayuh teman! Kita ini hanyalah seinci daripada semega ukiran karya YANG MAHA KAYA. Dia berhak untuk memanipulasi dalam segala bentuk ukiranNya itu. Cuma kita hanya mampu dan perlu adalah menjadi ukiran yang merdesa. Ukiran yang tahu beradab sopan dengan PENCIPTANYA. Ukiran yang sedar bekas-bekas ukiran itulah yang memberi wajah dan seri pada dirinya. Dia tetap perlu turut akan kemahuan PENGUKIRNYA... Wallahu’alam..

No comments: