Tuesday, August 31, 2010

Merentasi Aplikasi Konsep Kemerdekaan dan Etika Kerja Dalam Pengurusan Organisasi (siri akhir)

Cabaran Mengaplikasi Konsep Kemerdekaan Dalam Pengurusan Organisasi

Tidak dinafikan, pelbagai halangan pasti datang menongkah bagi setiap pelaksanaan sesuatu amalan kebaikan. Perbezaan latar belakang hidup, perbedaan sosiobudaya, dan perbezaan pegangan serta agama ahli dalam sesebuah organisasi merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi. Sesungguhnya, walau apa jua cabaran yang bertandang, keberkesanan pelaksanaan konsep ini dalam sesebuah organisasi tertakluk kepada beberapa perkara berikut.

  1. Kesediaan organisasi untuk diterajui oleh barisan pimpinan yang memahami Islam sebagai satu sistem hidup bukan sebagai adat atau kebiasaan. Pemimpin tersebut juga benar-benar mengamalkan tuntutan-tuntutan agama dalam segenap kehidupan.
  2. Kesedaran konsep bekerja dalam organisasi adalah sebagai satu tanggungjawab dunia dan akhirat yang tidak menuntut kepada bayaran atau ganjaran dunia semata-mata.
  3. Penilaian prestasi kerja secara holistik iaitu merangkumi penetapan sasaran kerja dan penilaian prestasi sistem akhlak dan moral pekerja yang menyeimbangkan pembentukan peribadi individu dan kemajuan tamaduan insan.

Kesimpulan

Sesungguhnya pengurusan sumber manusia dalam sebuah organisasi itu hakikatnya menuntut untuk semua pihak kembali kepada fitrah manusia iaitu fitrah bertuhan. Kemerdekaan itu telah lama diberikan tuhan kepada hambanya. Merdeka untuk membuat pilihan. Namun, pada pilihan itu diberikan panduan agar manusia mengerti nilai kebaikan dan keburukan yang akan hadir pada pilihannya itu. Sari pati kalamNya yang berbunyi:

“ Dan kami menunjukkan kepadanya dua jalan (kebaikan dan kejahatan)” 90:10

Inilah kemerdekaan jiwa yang telah dianugerah tuhan. Maka, biarlah jiwa merdeka itu sentiasa kaya nilai pekerti yang mulia. Akhlak serta nilai etika kemanusian dan rasa bertuhan yang digemburkan pada jiwa yang merdeka itu pasti melestarikan lagi erti sebuah kemerdekaan. Tidak sekadar membuahkan rasa ketenangan bahkan di situ terjalin bersama organisasi manusia yang pengurusannya yang penuh ketelusan dan kejujuran lantas mengangkasakan tamadun manusiawi yang padanya memiliki segenap penghambaan pada Rabbul Alamin, Tuhan yang mencipta dan menakluki.

Pepatah orang tua-tua menyebut:

Tidak usah kami diberi kata,

Dipakai kata akan luntur,

Tidak usah kami diberi nasi,

Dimakan nasi akan habis,

Berilah kami hati yang suci, wajah yang jernih,

Budi baik di bawa mati...

No comments: