Sunday, June 7, 2009

KIBRIT Merah Itu..

Bismillahirrahmanirrahim...

Saat ini bulan di penghujung embun seperiga malam menyaksikan aliran tinta ini mengalir lagi. Lama saya menyepi. Menyendiri, kerana perlu untuk saya cuba mengerti dan memahami satu persatu yang melintas di ruang mata. sehinggakan saya termangu dan menjadi dungu sejenak. Tapi, rupanya Allah masih mahu saya terus mengamati. Dia temukan saya dengan Kibrit Merah itu. Kamu tahu apa itu KIBRIT? Barangkali kelihatan sudah bersawang dan berhabuk diselaput debu kerana saya bicarakan tentang dia.

Biarlah. Tapi inilah yang saya temui semalam setelah saya mengambil langkah berani mati dengan menggadaikan hampir satu jam masa yang sepatutnya saya berikan buat sang kitab Histologi saya. Maafkan saya wahai Histologi. Bukan saya meminggirkan kamu. Sekadar saya mahu mengisi kekosongan dan kebeningan minda saya saat ini. Biar saya cicip sedikit ketenangan, agar saya lebih waras menghadapi kamu dalam medan pena, kertas dan akal yang terakhir saya untuk semester ini.

Berbalik pada Kibrit saya. Kata Imam Al-Ghazali pada si anak dalam kitabnya Ayyuhal Walad:

"dan apabila guru itu telah bersifat dengan sifat-sifat yang mulia ini, maka sebenarnya itu adalah 'nur' daripada 'anwar' Nabi SAW yang layak utnuk diikuti. Tapi kewujudan guru yang mempunyai sifat ini sangat jarang sekali, lebih sukar wujudnya daripada Al-Kibrit Al-Ahmar(belerang yang merah)"

Pada saya, Al-Imam sedang memandu muridnya dalam meneliti adab menjejaki seorang guru yang benar-benar punya ramuan yang mampu menjanjikan sajian peribadi indah pada si penuntut. Hakikatnya Al-Imam telah pun menyatakan betapa bukan mudah mencari nilai ini. Kerana betapa ramai pendidik yang gah mendada langit mengakui mereka adalah seorang pendidik anak bangsa. Namun, hakikatnya sejauh mana si PENDIDIDK itu mendokong panji-panji PENDIDIKAN? Kibrit Merah mencetuskan sesuatu buat saya. Penulisan saya kali ini bukan mahu mengupas isu pendidikan sebetulnya. Cumanya, saya mahu menjadikan kibrit ini sebagai satu indikator buat semua perkara. Jika Al-Imam meletakkannya sebagai kayu ukur untuk apa yang telah saya nyatakan tadi, maka saya juga berjabat setuju dengan beliau untuk menjadikannya satu tanda aras.

Logiknya, pernah anda melihat belerang yang punya sifat warnanya merah? Barangkali mustahil. Mungkin juga wujud. Jadi saya katakan di sini bahawa INFINITI adalah sahabatnya. Mungkin anda menyanggah pendapat saya. Tidak mengapa, khilaf itu indah jika disulam taqwa. Saya tetap mahu teruskan.

Mengapa INFINITI? kerana Tidak dapat dispesifikasikan nilainya. Terlalu banyak kemungkinannya. Pengkadaran untuk menjejaki KIBRIT MERAH adalah INFINITI. Jadi, demikian jugalah segala perkara dalam hidup. Paling biasa kedengaran, mencari iman bagai mencari mutiara di lautan dalam. Bukan berjaya atau tidak yang menjadi persoalan. Tapi, apa yang ingin saya nyatakan adalah pengalaman sebuah pencarian itu adalah ukuran. Tidak penting sedikit atau banyak. Kualiti yang mengambil tempat teratas, bukan Kuantiti.

Maka, saya melihat di sini bahawa setiap sesuatu itu nilaiannya dan nikmatnya yang sebenar ialah bukan dengan banyaknya kita mencuba dan meneroka, tapi sejauh mana kita benar-benar bersungguh-sungguh mendalaminya. Bukankah amalan itu sendiri nikmatnya adalah apabila kita mampu beristiqomah walaupun hanya dengan sedikit rutinnya. Mengapa begitu? Sebabnya jelas, kerana mahu kita menjaga kualiti...

Azan Subuh dah berkumandang. Tunggu dulu, saya sambung nanti catatan ini. Masih belum terang dian saya...

"kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai"
-Al-FAjr:28-

No comments: