Sunday, June 14, 2009

Senandung Kasih Ayah

Senandung Kasih Ayah...

Ini catatan ikhlas daripada seorang insan bergelar anak..
Buat tatapan semua insan yang bergelar anak, bapa, ibu, isteri, suami, atau mungkin juga kepada yang bakal bergelar isteri dan suami..

Hari ini saya menerima pesanan ringkas dari ayahanda daripada tanah air.
"Salam. Al-Fatihah, Al-Ustaz Fathi Yakan sudah kembali ke rahmatullah.."


Pemergiannya sukar dicari ganti....


Hanya sekadar itu. Biar pun sistem pesanan ringkas itu tidak bernyawa. Biarpun telefon bimbit saya kelu tidak bersuara dan tidak punya dan tidak mampu meluahkan rasa, tapi saya tahu jauh di sudut hati ayahanda, pasti sedikit terkesan. Terkesan dengan peribadi dan jasa Murabbi dan Mujaddid Agung ini. Nama AL-Ustaz Fathi Yakan memang sudah tidak asing lagi bagi semua individu yang mengisytihar kerelaan dirinya bernaungan di bawah panji gerakan Islam. Kilauan permata ilmu kian kabur...

Ayah pasti lagi terkesan, kerana hari ini hari ulang tahun ayah yang ke-53. Ini bermakna hampir setengah abad sudah ayah menjerih pahit maung sebagai insan yang memegang status hamba. Sudah setengah abad rupanya usia ayah. Biar wajah dan kudrat ayah kian dimamah usia, tapi pastinya semangat ayah tidak pernah luntur. Tidak pernah pudar. Biarlah sesiapa pun mahu menafikannya. Tapi, saya sebagai sang anak yang menyaksikan setiap inci ruas kehidupan ayah, teguh mempertahankan kalam ini. Kata orang, jangan menulis peribadi seseorang yang masih hidup. Tapi, saya mohon ingkar. Kerana saya tiada kekuatan untuk membekukan hati ini, memandang sepi dan sekadar membiarkan peluang itu membolos keluar dari kebuk pengalaman. Biar saya mengaut sebanyak-banyak hikmah daripada bentangan nikmat di depan mata ini. Tidak mahu hati ini dibiarkan buta dan tuli dari menilai dan meneladani.

"Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik kepada orang tuanya). Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah,dan menyusuinya sehingga 2 tahun. Bersyukurla kepadaku dan kepada orang tuamu. Hanya kepada aku kamu kembali"
(Luqman:14)

Ayah bukan milikku yang hakiki, tapi Ayah adalah hak milik yang perlu dikongsi..

Mungkin masa bersama keluarga tidak sebanyak mana seperti ayah-ayah lain di dunia luar. Sudah menjadi kebiasaan masa bersama ayah adalah ketika berdiskusi di dalam kereta, mahupun bercucuk tanah di kebun di pinggir senja atau sekadar bertamu wajah dan menelaah koleksi kertas-kertas kumal di teratak keluarga tika saat sudah hampir dinihari. Tapi, bagiku bukan banyaknya masa ayah bersama, tapi sebijak mana masa itu dimanfaatkan. Mungkin, waktu kecilku pernah ku mempertikaikan. Mengapa hidup kami umpama manusia tidak normal(itu hanya pemikiranku ketika usia setahun jagung). Tidak ada melancong tika cuti sekolah. Atau membeli belah sekeluarga di hujung minggu. Atau bersatai-santai minum petang bersama.Tapi, alhamdulillah, akhirnya usia dan masa mendewasakan pemikiran kerdil ini. Ummi sebagai sebahagian pelengkap hidup ayah juga banyak memahamkan diri ini. Ayah bukan milik kita yang hakiki. Ayah adalah hak milik yang perlu dikongsi. Terima kasih ummi, ayah. Hari ini anakmu mengerti. Teringat salah satu sabda baginda Rasulullah SAW. Terasa bagai disuntik semangat dan ilham baharu..

"Allah menjadikan segolongan hambanya memberikan nikmat yang diberikan Allah untuk kemanfaatan hamba-hambaNya yang lain. Siapa bakhil akan kemanfaatan itu terhadap orang lain maka Allah akan memberi nikmat itu kepada orang lain"

Saya tidak mahu direnggut nikmat ini. Saya sudi berkongsi Ya Allah..

Jika ditanya siapa ikon hidup saya selepas Rasulullah SAW. Tiada jawapan lain. Tiada tergugat jawapan saya. DIA ialah AYAH dan UMMI sebagai sayap kirinya...

Mungkin ayah tegas dalam mendidik. Tapi bukan bermakna keras dan kasar. Ayah lebih banyak bersikap penunjuk arah. Bukan pengarah. Menyebabkan tidak terasa seperti ditekan atau dipaksa. Mungkin ada sebahagian anak-anak terutamanya yang berdarah muda, mati-mati menyalahkan bapa. Kerana terlalu tegas mendidik. Sehingga menjadikan bapa sebagai musuh. Walau HAMKA ketika kecilnya juga pernah tergolong dalam insan yang menjadi anti-bapa gara-gara tidak senang dengan gaya bapanya, namun akhirnya beliau sedar, satu kerugian malahan satu dosa jika berperilaku demikian terhadap insan mulia bergelar bapa. Terkenang kata-kata Ibnu Hajar Al-Haitsami:

" Banyak jiwa-jiwa yang tidak mendapat hidayah kerana apabila melihat gurunya tegasa dalam mentarbiyah, dia lari daripadanya. Selepas itu dia melontar pelbagai keburukan dan kekurangan kepada gurunya. Sedangkan guru itu tidak seperti apa yang diperkatakan. Oleh itu, jauhkanlah diri daripada terpedaya denga tohmohan tersebut kerana nafsu sememangnya ingin membinasakan tuannya. Janganlah taat kepada nafsu serakah untuk tidak mentaati guru"

Tidak salah rasanya kite merenung seketika kalam beliau ini. Cicip sedikit pengajaran. Bapa itu juga guru. Bahkan Bapa adalah antara guru terawal buat setiap insan yang kahir ke bumi. Wahai anak, jangan cepat melatah. Jangan cepat menghukum. Jadilah orang yang bijaksana. Bijak menilai dan menyantuni..

Memikirkan siapa yang bakal mewarisi perjuangan ayah, kadangkala membuatkan diri jadi gundah. Hanya berserah pada Allah. Satu-satunya putera tunggal keluarga hanyalah Musatafa Hamidi. Adikku yang seorang ini memang sedikit sebanyak mewarisi sifat ayah. Moga Allah memandunya ke jalan yang terbaik. Dia permata keluarga. Kata orang dialah racun dialah penawar. Memang sejak kecil, ke hulu ke hilir dibawa ayah. Ke majlis pengajian ikut, ke pasar ikut, ke kebun ikut, ke hutan ikut, pendek kata, di mana ada ayah di situ ada Musatafa. Tinggi harapan ayah pada Mustafa, usah dikata. Pernah ayah bercerita, nama Mustafa sudah lama tersemat di hati ayah sejak sebelum ayah berkahwin lagi. Ayah gunakan namanya sebagai Abu Mustafa Hamidi dalam banyak hasil-hasil penulisannya. Alhamdulillah, Allah kabulkan hasrat ayah untuk miliki seorang putera. Biarlah tidak ramai rijal dalam keluarga. Ayah redha. Cuma, jika Abg Mus terbaca catatan ini, ingin ku tinggalkan pesanan buat Abang Mus, sematkan baik-baik. Abang satu-satunya harapan ayah dan keluarga. Jangan punahkan harapan ini. Pilihlah hidupmu baik-baik. Biar ada yang menyambung perjalanan hidup ayah. Moga Abang Mus dapat jadi seteguh ayah...


Abang Mus, Abang harapan keluarga...


Sedikit coretan jari...

Bapa itu RAJA. Pasti anda pernah dengar ini bukan?Peranan seorang bapa dalam keluarga umpama sang khalifah yang mentadbir khilafah kecil. Tidak dapat tidak bila termaterainya pateri pernikahan maka bermula saat itu setiap lelaki itu memikul amanah dan kesanggupan untuk bergelar suami dan juga bapa. Sudah digariskan begitu ketat dan teliti panduan yang diberikan Islam untuk dilandasi. Memikul beban ini bagai meniti di titian yang bersungaikan lahar berapi. Silap langkah padah! Lebih perit apabila mengintai semula ke realiti dunia, berjuang menyambung sunnah perjuangan baginda, pasti menuntut seinfiniti pengorbanan. Bergelar lelaki bukan sekadar membawa sifat si ADAM semata, tapi menjunjung bersama entiti dakwah yang bernyawa. Membawa peribadi diri dan keluarga jua masyarakat yang begitu memerlukan perawat yang benar-benar punya syifa' yang ampuh.

Berapa banyak masjid didirikan, tapi tiada kemakmuran di dalamnya. Hanya sekadar tercatat di atas sekeping sijil perkahwinan. Namun, tanggungjawab memikul beban yang sebenar adakah benar-benar terlaksana. Peranan si suami bukan sekadar menabur kemewahan harta semata, tetapi tugasan mentarbiyah isteri dan anak-anak mengikut acuan Islam yang suci itulah yang menjadi ukuran. Sudah lupakah kita dengan amaran Allah SWT ini??

"Hai, orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka dan bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras yang tidak menderhakai Allah SWT terhadap apa yang diperintah-Nya kepada mereka dan menegrjakan apa yang diperintahkan-Nya" (At-Tahrim:6)

Sikap beringan-ringan dalam pentarbiyah rumah tangga bagai merejam agama yang tercinta ini ke sehina-hina tempat. Membiarkan isteri dan anak-anak selesa bergelumang dosa dan maksiat seolah-olah menjadi kebiasaan dan satu kebanggaan. Inikah nilaian yang harga diri kamu wahai lelaki? Sepatutnya keegoan kamu sebagai bapa dan suami bukan di situ gunanya. Tapi kamu seharusnya menjadikan sifat tegas dan kerasmu itu untuk membentuk dan mendidik keluarga. Biar lembut dalam tegas. Itu adalah yang terbaik. Sejuk mata memandang isteri dan anak-anak santun budi, mulia pekerti, segar iman disemai dan dibajai. Wahai yang bergelar lelaki, bukan ingin menguji atau menunding jari. Sekadar mahu mengkhabari, bahawa HAWA ini sungguh lemah untuk dikasari, sungguh lesu untuk dibiar bersendiri. Maka hulurkanlah bimbingan yang selayaknya apabila kamu mahu memateri janji. Jangan dicampak kaum yang lemah ini ke lembah yang keji.

Untuk mereka yang mengaku pejuang, mahu dikongsi sedikit catatan ini. Mungkin hanya sebutir daripada sepantai pasir warna dunia. Mencarik sedikit perca-perca kehidupan keluarga-keluarga pejuang untuk direnung dan dimuhasabah bersama.


KISAH 1

Sebuah keluarga di teratak usang yang hanya menanti rebah sedang menjamu selera mengisi keroncong si perut yang hanya di alasi nasi dan kicap berlauk masin. Tawa mesra si ibu bapa dan anak memecah ceria seri malam. Namun, segalanya sekadar bagai hanya mimpi indah, bila rumah usang itu diterjah. Diterjah oleh insan-insan tidak berperikemanusiaan berseragam lengkap bersenjata. Si ayah diheret bagai si anjing keparat tidak bermaruah. Berhambur air mata si anak. Sayu tangisan si anak. Si isteri tenang mengiringi 'pemergian' si suami. Hanya kerana apa si bapa diperlaku demikian?Dikatakan 'pengkhianat' negara bila menegakkan ISLAM...

KISAH 2

Hanya beberapa jam debaran menanti disatukan dengan insan tersayang. Sabar menanti kehadiran si ayah sebagai wali. Tersenyum si dara sepanjang hari. Namun segala kemanisan disentap lagi. Rombongan si ayah bukan tiba di teratak seri tetapi berkampung di tirai besi. Bagai disambar halilintar si isteri, melihat suami diperlaku seperti pecacai keji. Hanya kerana LANGKAH SI BAPA SEBAGAI PEMACU KEBANGKITAN UMMAH. Salahkah???

Ribuan lagi kisah yang tidak dapat dicoretkan di sini. cukuplah sekadar ini untuk direnung bersama. Tiada maksud lain yang ingin disampaikan di sini melainkan mahu kita bersama-sama renung kembali. Adakah sekadar cukup membina rumah tangga, memiliki kekayaan anak pinak dan harta. Tapi denai dakwah ditinggal berhutankan lalang. Jika pada zaman muda remaja dahulu, begitu tegar berjuang di kampus, tapi mengapa kini setelah mahligai hidup dibina tiba-tiba sunyi menikus. Terbang ke mana semangatmu itu? Dimamah apa lantang suaramu dahulu? Sudah lenakah dengan keayuan wajah si isteri? Sudah enakkah diulit kekayaan harta duniawi?

Sudah bersediakah kamu wahai insan yang bernama LELAKI???



SERLAHKAN KEIZZAHAN, DAULATKAN PERJUANGAN DINUL ISLAM PENUH GAGAH!!!

No comments: