Monday, July 6, 2009

Bila Sang Kancil Tersenyum..



Bismillahirrahmanirrahim..

Lama benar papan kekunci ini tidak disentuh jari jemari saya. Sememangnya begitu banyak yang hendak saya lontarkan, tetapi masa begitu menyesakkan kudrat kerdil ini. Namun begitu, saya cuba sedayanya untuk tidak mengabaikan medan tinta saya ini.

Barangkali anda ketawa atau tersenyum sinis membaca tajuk catatan saya kali ini. Barangkali juga kelihatan seperti mahu menceritakan hikayat haiwan-haiwan yang menjadi teman membuai kanak-kanak sebelum tidur. Penulisan saya kali ini bukan sekadar itu untuk saya arahkan. Rasanya tidak salah kiranya saya menjadikan haiwan-haiwan belantara sebagai watak tulisan saya kali ini. Bukankah pandangan mata hati itu yang menilai? Mohon maaf sekiranya haiwan yang dijadikan contoh teladan. Tapi, siapakah kita sebagai makhluk jika tidak menjadikan segala ciptaan-Nya sebagai ajaran dan pengajaran?


Sinonimnya, sang kancil begitu lazim dengan sifat yang cerdik dan pintar serta kaya dengan seribu satu muslihat dan helah. Jadi, apa perkaitannya watak Sang Kancil dan senyumannya dalam bicara kali ini? Sang Kancil telah meniupkan inspirasi kepada saya untuk saya coretkan satu kebenaran yang mungkin ada pihak yang sedar atu mungkin juga langsung terhijab penglihatannya untuk melihat kebenaran dan hakikat ini.




Menyingkap sejarah silam dan rentetan catatan perjalanan pengalaman penulis sendiri, penulis merasakan begitu terpanggil dan menganggapnya sebagai satu tuntutan untuk dideadahkan kepada masyarakat. Mungkin anda biasa mendengar nama-nama masyhur seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Sekolah Sultan Alam Shah, Kolej Tunku Kurshiah, MRSM Jasin, MRSM Langkawi dan pelbagai lagi nama-nama sekolah kelompok Sekolah Berasrama Penuh atau singkatannya SBP dan Maktab Rendah Sains MARA. Sebagaimana maklum, pelajar-pelajar di semua SBP dan MRSM merupakan antara kelompok pelajar yang tersenarai dan terpilih serta memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan besar di MALAYSIA seperti UPSR, SPM dan STAM. Dalam kata lain, mereka inilah yang dikatakan sebagai butir-butir permata harapan negara bagi menerajui kemajuan dan pembangunan negara pada suatu hari kelak. Walaupun demikian, bukanlah bermakna penulis menidakkan kehadiran pelajar-pelajar pintar lain yang bertaburan di seluruh negara.


Penulis kurang arif tentang hal pentadbiran MRSM namun, insyaallah penulis agak sebati dengan SBP. Jadi, moleknya mahu dibicarakan secara lebih mendalam tentang SBP. Secara kasarnya SBP merupakan kelompok sekolah pintar yang merupakan projek besar Kementerian Pelajaran Malaysia dengan visi untuk melahirkan individu yang berkarisma, unggul dan memiliki tahapan intelaktual yang tinggi yang mampu bersaing di dunia global atau secara ringkasnya melahirkan masyarakat minda kelas pertama (first class mentality) yang mampu menjadi tunggak negara kelak. Berikutan itu, kelompok sekolah ini begitu mendapat perhatian berat daripada pihak kementerian.Tidak kiralah daripada sudut sistem pentadbirannya, kemudahan-kemudahan Pelajaran dan Pembelajaran P&P sehinggalah ke sekecil-kecil perkara dalam SBP amatlah dititik beratkan. Pelbagai strategi diatur dari semasa ke semasa untuk memastikan kualiti SBP dipertingkatkan semaksima yang mungkin.

Sekolah Berasrama Penuh kini mencapai 54 buah di seluruh pelosok negara. SBP ini pada awalnya bermula dengan idea untuk menempatkan pelajar-pejalajar pintar yang kurang berkemampuan. Walaubagaimanapun, idea ini telah berkembang dari sehari ke sehari sehinggakan telah membuka sebesar-besar peluang untuk mana-mana pelajar cemerlang di seluruh negara untuk berpijak di SBP. Terdapat SBP yang beraliran Agama, Sains Agama, Sains serta integrasi. KISAS, SMAP Labu dan SMAP Kajang merupakan antara SBP beraliran Sains Agama. Manakala, SBP Integrasi Gombak (INTEGOM), SBPI Sabak Bernam (INTERSABER) dan SBPI Rawang(SEPINTAR) merupakan antara SBP beraliran integrasi.

Salah satu yang menarik tentang SBP adalah wujudnya pengkelasan SBP dwi jantina dan uni jantina (perempuan sahaja atau lelaki sahaja). Antaranya Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Sekolah Dato' Abdul Razak(SDAR), Kolej Melayu Kuala kangsar(MCKK), Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER), Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS), Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) bagi pelajar lelaki sahaja. Sekolah Seri Puteri (SSP), Sekolah Tunku Fatimah (STF), Sekolah Sains Seri Puteri (SESERI), Kolej Tuanku Kursiah (KTK). Kesemua SBP uni jantina ini beraliran sains tulen.

Berbalik kepada tajuk penulisan ini. Perkaitan apakah yang dapat anda perhatikan antara sang kancil dan SBP? Harap para pembaca dapat setia membaca dalam siri yang seterusnya. Ada sesuatu yang saya mahu anda fikir dan renungkan. Yang pastinya impaknya cukup besar bagi masyarakat dan Islam khususnya, jika hal ini mendapat perhatian yang baik daripada anda terutamanya bagi mereka yang pernah menjadi salah seorang warga pelajar, pendidik mahupun pekerja di mana-mana SBP. Nantikan sambungan penulisan ini. Insyaallah, ada manfaatnya.

*penulisan ini bersambung dalam siri kedua

2 comments:

Anonymous said...

salam ziarah...

penulis pandai menarik pembaca...bile agaknye keluar edisi kedua?

Tinta Qubnani said...

syukran atas ziarah.
insyaallah, tunggu sang kancil melompat keluar dari belantara. nanti sama-sama kita cekup sang kancil. Dapat la baca sambungan edisi kedua.

insyaallah, x lama dah tu...=)