Friday, July 31, 2009

Hani Al-Miftah

Kota Peradaban Itu Mahkota Ketamadunan, Mahligai Cendekiawan Itu Takhta Ilmu dan Keteladanan...

Hampir seminggu pena ini tumpul, bukan tidak mahu menitiskan aliran tinta, tapi masa lebih merindui untuk setia di sisi memasak kewajipan yang menggunung. Sesekali benak juga terasa tumpul, kerana kakunya pena. Tapi, jiwa mahu terus merdeka, akal mahu terus mencerna segala yang menembusi ruang mata. Istirehat saya di Musolla selama sejam tempoh hari, rupanya bukan santai yang hampa. Hati saya melonjak girang. Bagai sang burung bebas daripada sangkar. Tidak sia-sia tangan saya membelek kepingan-kepingan kumal risalah dalam khazanah musolla. Mata saya tiba-tiba sahaja bagai ditarik-tarik untuk mengamati kepingan-kepingan fotokopi sebuah buku setebal hampir 800muka surat. KESUSASTERAAN ARAB, ANDALUS, ABASIYAH DAN ZAMAN MODEN sebuah buku hasil tangan Omar Khalid menjadi sasaran saya.

Kesempitan masa saya, menyebabkan saya perlu menggunakan semaksimum mungkin kemampuan saya untuk menilik lembaran ini berkenaan sekurang-kurang untuk mengetahui hujung pangkal jutaan aturan kalimah yang terbentang di depan mata. Kemahiran membaca secara cepat dan tepat sesuatu bingkisan membantu saya untuk mengetahui secara kasar kandungan buku berkenaan.

Sebetulnya, sudah lama tidak menatap bahan bacaan berunsur sastera sejak menjejak kaki ke bumi asing ini. Alhamdulillah, runtunan hati ini didengar Tuhan. Saya ketemu lagi dengan pengubat rindu sinergi minat saya. Walaupun bukanlah secara serius penglibatan saya dalam dunia sastera, namun minat padanya tidak pernah luput. Entah dari mana bermula minat dengannya saya sendiri kurang arif. Sedar-sedar sahaja jemari saya begitu kental mahu melirikkan kalam atas segala yang dipintas mata dan disambar minda.

Berbunga-bunga hati saya melihat nama saya ditukik dihelaian Daftar Isi: Ibn Hani' Al-Andalusi Sasterawan Andalusia. Barangkali nampak jauh tersasar kerana gerangan pemilik nama itu mengalir darah si Adam dalam waridnya. Tapi tidak mengapa, sekurang-kurang nama ini yang membuka dimensi hidup saya. Masih terbayang-bayang senyuman para profesor dan doktor yang mengajar di kuliah saya. Mana tidaknya, terdengar sahaja nama saya pasti diiringi dengan kenyataan yang sudah saya lali dengannya. "Kamu tahu, di sini pemilik namamu itu adalah Rijal" Sudah biasa telinga saya mendengar. Tidak mengapa. Saya tetap punya nama. Pastinya ayahanda dan bonda juga menyandarkan sesuatu untuk nama yang dianugerahkan buat saya. Mungkin juga minat saya pada sastera adalah kerana tempias daripada sejarah sang pemilik nama. Jadi, ada apa dengan nama? Sudah tentu kerana nama itu sendiri membawa bersama maksud yang beerti buat sang pemilik nama. Maka, jangan dipandang enteng pada nama yang kalian miliki. Teliti dan renung baik-baik, sesungguhnya bersama nama itu hadirnya semega amanah. Mungkin dalam sedar, mungkin juga langsung tidak terbit sinar cakna itu. Ayuh! mahu saya kongsi bersama catatan saya tentang si pemilik nama Ibn Hani'. Moga-moga menjadi inspirasi pembuka mata hati saya. Saya membawa nama bukan sebarang nama. Bersamanya perlu diiring cahaya ilmu, pasak keimanan dan kubah ketaqwaan. Biar tidak lekang erti pengabdian sang hamba.

Latar Belakang

Ibn Hani' al-Andalusi atau nama sebenarnya Abu Al-Qasim Muhammad bin Hani' berasal daripada keturunan arab suku Bani Azdi. Beliau juga pernah dikaitkan dengan Al-Mahallab Bin Abi Sufrah seorang pahlawan yang begitu gagah dan hebat dalam menentang golongan Khawarij. Kemenangan perjuangan menentang golongan Khawarij merupakan antara pencetus kemasyhuran Al-Mahallab. Selain itu, wujud juga satu nama penyair lain di Andalus iaitu Ibn Hani' al-Hakami atau lebih dikenali sebagai Abu Nuwas/ Abu Nawas.

Bapa Ibn Hani' berasal daripada daerah Mahdiyyah iaitu daerah terletaknya pusat pemerintahan Fatimiyah di Maghrib. Bapanya juga merupakan seorang penyair dan sasterawan yang ulung pada zamannya. Maka tidak hairanlah jiwa Ibn Hani' turut mewarisi bakat dan minat yang sama seperti ayahandanya. Walaubagaimanapun, bapanya merasakan keberadaannya di Maghribi tidak dapat membawa langkahnya lebih panjang dalam bidang kesusateraan. Oleh hal yang demikian, beliau memutuskan untuk bermusafir ke Seville, Andalus sebuah bandar pertemuan segala ilmu ketika itu. Di sinilah Ibn Hani' dilahirkan dan dibesarkan. Beliau dilahirkan pada 320H (922M) / 326H (938M) iaitu pada zaman Abd Rahman Al-Nasir dan anaknya Al-Hakam.

Ibn Hani' merupakan seorang yang begitu meminati bidang falsafah selain mengikut jejak bapanya dalam bidang kesusasteraan. Pemikirannya dalam bidang falsafah secara kasarnya banyak mengikut jejak Abu 'Ala al-Ma'ari. walaupun begitu, pemikirannya dianggap keterlaluan bagi masyarakat Seville ketika itu. Namun, atas simpati dan nasihat kerajaan Seville yang begitu menghargai sumbangannya, Ibn Hani' dinasihatkan agar keluar daripada kota tersebut. Beliau kemudiannya membawa diri ke Adwah, Maghribi. Di sinilah beliau bertemu dengan Panglima Jawhar dan menukilkan karya yang memuji-muji kehebatan Panglima Jawhar. Di kemudiannya mengatur langkah ke bandar Al-Zab dan sekali lagi menghasilkan karya pujian buat Jaafar bin Ali dan adiknya Yahya. Kehebatan dan keunikan karyanya akhirnya sampai ke pengetahuan Pemimpin kerajaan Fatimiyah, Maghribi, Al-Muiz Lidinillah al-Fatimi. Baginda memberi penghormatan kepada beliau dengan melantiknya sebagai penyair kerajaan.

Setelah itu, apabila panglima Jawhar al-Saqili iaitu panglima al-Muiz menawan Mesir, al-Muiz berpindah ke sana dan membina pusat pemerintahan di Kaherah. Ibn Hani' tidak ketinggalan mengikut al-Muiz ke sana. Baliau juga memohon untuk pulang menjemput keluarganya untuk turut serta bersamanya di Kaherah. Namun demikian, nasib tidak menyebelahinya apabila beliau akhirnya dijemput mengadap Ilahi ketika dalam perjalanan beliau ke sana. Beliau terbunuh di Bandar Barga pada tahun 362H (973M) pada usia yang masih muda iaitu 36 tahun. Al-Muiz begitu sedih dan kecewa apabila menerima perkhabaran tentang kematiannya. Penghargaan beliau terhadap jasa-jasa Ibn Hani' da[at dilihat melalui kata-kata baginda yang berbunyi:

" Orang itu kami berharap dapat berbangga dengannya terhadap penyair-penyair di timur tetapi apakan daya"

Puisi Ibn Hani'

Puisinya banyak bertemakan pujian, ghazal, gambaran kekecewaan, kebanggaan dan juga ratapan.

Seandainya umur beliau dipanjangkan Allah, barangkali generasi kemudiannya dapat menikmati lebih manfaat daripada karya-karya hasil titipan tangannya.

Bersama-sama catatan ini saya sertakan antara bait-bait puisinya. Moga beroleh manfaat daripadanya.

Masa memberi sesuatu yang bernilai
tetapi merebutnya kembali,
mungkin si bakhil memberi sesuatu tetapi mendengkinya,
Apabila ia memberi dan memenuhi sesuatu keperluan
dengan satu keperluan dengan satu tangan mereka dikaraunya,
dengan tangan yang lain pula,
Tetapi gagal juga orang yang mengharapkan sesuatu dari masa,
ia diketahui oleh mereka yang derita dan sengsara,
Apabila kehidupan diketuhkan ia menjadi subur,
apakah kehidupan selesa cepat berakhir,
ia mengingatkan orang yang leka dan menyedarkan orang yang tidur.


~rujukan: Ibrahim Ali Abu Khasyah: Tarikh Al-Adab al-Arabi Fi Andalus halaman 316



1 comment:

Anonymous said...

salam sayang buatmu.hasil coretan y bisa meruntuhkan keegoanku.bergenang air mataku kala membacanya lantas gugur berderei mutiara 2 jernih menyembah bumi ucapan terima kasih buat penulis y sentiasa membantuku dlm memegang kalimah tauhid