Thursday, July 9, 2009

Bila Sang Kancil Tersenyum 2

Dengan nama-Mu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani...

Alhamdulillah, dapat lagi saya menyambung semula catatan tertangguh saya ini.

Sang kancil sudah keluar dari belantara, jadi dapatlah penulis mencungkil jawapan persoalan yang ditinggalkan dalam siri yang lalu. Peringatan untuk diri penulis dan para pembaca, catatan ini hanya pandangan peribadi penulis. Maka, tiada paksaan dan tuntutan untuk pembaca untuk menerima pandangan ini. Mohon bersifat terbuka dan tenang-tenang sahaja menelusuri catatan ini.


Lawatan Deligasi Antarabangsa ke Institusi Pendidikan Elit di Cyberjaya

Pengalaman penulis berpijak di salah sebuah institusi pendidikan elit di ibu kota yang diiktiraf kecanggihan dan keunggulannya oleh pihak-pihak tertentu telah membuka mata penulis. Melakarkan suatu kenyataan dan realiti yang sememangnya di sinilah penulis mengenal wajah sebenar realiti masyarakat. Biarpun hanya bergelar pelajar selama 5 tahun di sana, namun tempoh sesingkat itu banyak mengajar penulis untuk benar-benar terjun menyelam ke dasar jiwa-jiwa insan. Sejujurnya, pada awalnya naluri penulis mohon untuk ingkar arahan ayahanda agar menerima tawaran ke sini. Namun, ketentuan-Nya mengatasi segala. Hemat ayahanda dan bonda sememangnya tepat. Anakanda ini yang masih mentah menilai. Segala figur negatif muncul satu persatu menghantui fikiran ini tatkala menerima surat tawaran ke sekolah elit ini. Mana tidaknya, lokasinya di ibu kota sudah cukup menggerunkan penulis. Begitu luas gerbang pengaruh dan permasalahan mungkin timbul. Berpijak ke sini, bererti berjauhan dengan keluarga. Kebebasan hampir 80% diberikan. Maka, tidakkah bagai menempah bahana sahaja layaknya. Sedangkan penulis sendiri sudah berjaya melayakkan diri untuk mendapatkan tempat di salah satu sekolah beraliran agama yang masyhur di negeri kediaman penulis. Bukankah lebih baik berada di taman-taman soleh berbanding menempa tiket khas di samudera sekular.

Bumi yang begitu banyak berjasa pada penulis

Setahun lamanya, penulis berperang dengan jiwa yang menentang keadaan sekeliling. Ikutkan hati mahu sahaja melompat keluar daripada pagar kesengsaraan ini. Tapi, penulis tidak mahu menjadi anak yang ingkar, anak yang membunuh harapan bonda dan ayahanda. Akhirnya, penulis redha sememangnya takdir penulis bersemi di bumi ini. Peningkatan usia mematangkan dan mendewasakan pemikiran penulis.

Antara program kepimpinan yang pernah dihadiri penulis ketika di bangku sekolah dahulu

Satu persatu lembaran kehidupan di istana puteri ini berjaya penulis lalui. Silih berganti perubahan dan peralihan tertancap pada perhatian mata kerdil ini. Asalnya, terasa begitu kerdil berdiri di tengah-tengah pelajar elit yang rata-ratanya berlatar belakangkan keluarga berada dan golongan elit kotaraya. Tapi, lebih bahagia penulis merasai nikmat 'dibela' oleh pihak kerajaan kerana begitu banyak kemudahan dan kelebihan ditabur di sini. Segala infrastruktur semuanya kelas pertama. Terasa begitu bersyukur. Lelah dan sebak juga terkenangkan sahabat-sahabat seusia di pedalaman dan di luar bandar yang tidak menerima 'nikmat kemewahan' ini sebagaimana yang diterima penulis dan warga sekolah ini. Guru-gurunya bukan calang-calang insan. Berdedikasi dan memiliki jiwa pendidik yang sejati. belum pernah seumur hidup penulis menemui guru yang sanggup mengorbankan segala kepentingan peribadinya hatta nyawanya demi kecemerlangan warga sekolah ini. Secara kasarnya penulis menyifatkan segalanya di sini bersifat 'perfectionist'.Sempurna, tiada cacat cela daripada individu tenaga pengajar, pekerja, sistem sehinggalah ke sekecil perkara, polisinya SEGALANYA MESTILAH SEMPURNA.

Institusi ini adalah lakaran realiti masyarakat!
Tiada penipuan dan kepura-puraan, inilah yang hakiki!


Suatu masa dahulu penulis pernah berbangga dengan misi dan visi sekolah penulis. Begini bunyinya:

Sekolah Seri Puteri menjadi sebuah institusi pendidikan terunggul untuk melahirkan pemimpin yang terbilang dan bermaruah, komited terhadap pendidikan sepanjang hayat, memanfaatkan kehidupan dan sedia berkhidmat kepada masyarakat

Sekolah Seri Puteri as an internationally renowned educational institution, nurturing notable dignified leaders who are committed towards lifelong education, benefiting life and ever ready to serve the community


Antara infrastruktur kelas pertama di Sekolah Seri Puteri

Sememang, inilah antara peniup semangat penulis untuk terus bernafas di sini. Penulis begitu rindukan sentuhan warga pendidik di sini. Peribadi penulis begitu banyak dicorakkan di sini. Sememangnya sudah melangit tinggi pujian yang diterima sekolah dan warganya. Tapi tidak kurang juga yang mencemuh dan mengeji hina. Wahai masyarakat manusia, janganlah kamu butakan mata dan hati kamu, kamu tidak tahu betapa besarnya pengorbanan insan-insan di sini mendidik anak bangsa. Kalian tidak melihat bagaimana peritnya keringat mereka mengalir. Terasa bagai ditatang dengan penuh kasih sayang. Warga di sinilah yang menjadi ibu, bapa dan keluarga kedua penulis. Sekalung penghargaan yang tidak terhingga buat semua warga yang begitu banyak berjasa kepada penulis. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas segala keluhuran budi kalian. Moga beroleh bahagia yang berpanjangan. Seandainya, ada warga dan bekas warga Seri Puteri yang membaca catatan ini, ingin penulis katakan bahawa kalianlah insan yang begitu istimewa. Baik guru-guru, pekerja-pekerja, mahupun kekanda serta adinda warga dan bekas warga SSP.

Namun demikian, ada sesuatu yang mengasak benak ini. Semenjak penulis berpijak di bumi bertuah ini, berceratuk persoalan menanti untuk disempurnakan jawapan. Sehingga kini rasa cinta akan bumi ini membuatkan penulis perlu untuk melakukan sesuatu demi kepentingan generasi mendatang khususnya generasi warga puteri di SSP. Terpanggil juga untuk berkongsi dengan kalian agar sama-sama melakukan pencerahan minda dan mengatur langkah yang lebih segar juga sebagai penunjuk jalan buat generasi yang akan datang. Biarlah sudah hampir 2 tahun bangku sekolah penulis tinggalkan. Namun, mana mungkin begitu mudah penulis melupakan renik-renik peluh yang menitis sepanjang perjalanan di sana.

Penulis tangguhkan dahulu penulisan ini. Sesungguhnya begitu banyak yang ingin dikongsi, sehinggakan penulis terasa sayang untuk meninggalkan satu kalam sekalipun dalam pengkisahan ini. Insyaallah, penulisan akan cuba menyempurnakan penulisan ini dalam siri yang seterusnya. Harap anda setia menjadi pengunjung teratak kecil ini.




KISAS, Bumi Waqofan;
Ada sesuatu yang penulis ingin coretkan tentangnya dalam penulisan akan datang..


INSYAALLAH, MOGA DAPAT LAGI KITA BERTAMU MINDA, BERTEMU KALAM..
Salam Hormat

No comments: