Monday, August 24, 2009

Hakikatnya Insan

Dengan Nama Tuhan Yang Menciptakan...

Saat insan itu berkelana di kolum ciptaan alam. Dia mengintai-intai di mana hakikatnya kewujudan dirinya. Andai tidak dibekali bekalan yang memasak teguh di buminya iman dan keyakinan pasti kebuntuan yang dijamah. Bukan suatu kepastian yang ditemui. Namun, tidak bagi yang punya keutuhan keyakinan pada hakikat penciptaan. Betapa Hamka tegar dengan pemikirannya, membawa revolusi ummah sejagat agar kembali mengamati dan menelusuri hakikatnya mencari diri. Pencarian itu tidak ditempa dengan sebuah perjalanan yang sia-sia, tapi dipandui hikmatnya Al-Kitab dan Al-Sunnah, kalamnya auliya' dan ulama pengukuh kefahaman dan capaian akal manusia awam.

Sang Perwira Yunani juga tidak ketinggalan dan tidak jemu mencari satu titik jawapan bagi sebuah penciptaan. Lihat bagaimana tekunnya Socrates membongkar jalannya bentangan langit ke hamparan bumi, meganya alam ke kerdilnya manusia. Tapi, dia tetap hampa kerana jalannya buntu. Bukankah, fitrahnya manusia suka mencari dan meneroka? Tapi mengembara itu pasti perlu kompas panduannya, bukan melulu tanpa tentu arah destinasinya.

"dan pada dirimu sendiri, apakah tidak kamu pandangi?"
(Az-Zariyat:21)

Tidak perlu melangkau jauh ke hamparan alam yang tidak bertepi, kerana pada diri insan itu sudah menghamparkan jutaan rahsia yang masih belum terbongkar. Hakikatnya insan itu adalah dia mengerti akan wujudnya itu bukan dengan kesia-siaan. Tapi, dimahkotakan dengan kemuliaan dan kesempurnaan daripada Penciptanya YANG MAHA SEMPURNA.

Hakikatnya Insan juga menuntut sang manusia itu belajar menyantuni hak dan fitrah.

"Manusia diberi hak dan amanah untuk digunakan, tapi bukan sewenang-wenangnya hak itu digunakan" Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makkiy

Maka, wewenang untuk menggunakan hak itu perlu dipandukan oleh 2 perkara yakni akal dan hukum. Akal sebagai kemudinya kerana sememangnya itulah permata yang membezakan kebatilan dan kebenaran. Manakala hukum itu adalah jalan yang nakhodanya adalah Kitabullah dan Al-Hadis yang punya hukum yang tertinggi. Oleh itu, hakikatnya insan tiada ruang untuk keingkaran. Hanya dia mengenal erti penghambaan...

Wallahualam...

No comments: