Syukur bukan kerana senang,
Tapi kerana masih ada peluang,
syukur bukan kerana agung,
Tapi kerana ada harapan yang masih menggunung,
syukur bukan kerana sempurna,
tapi kerana masih mampu mencerna,
syukur bukan kerana miliki adab terpuji,
tapi kerana masih ada ruang mengabdi,
syukur bukan kerana punya hati,
tapi kerana kurnianya akal yang tertinggi,
syukur bukan kerana gagah berpencak,
tapi kerana ada duri yang mencacak,
syukur itu hakikatnya indah,
jika yang zuhud yang meredah,
syukurlah menjadi kuli di jalan Allah,
daripada menjadi raja di medan bedebah...
Friday, October 30, 2009
Wednesday, October 7, 2009
Tersungkur dan Bangun?
"Hamparan alam mengajar erti kehidupan"
Salam pertemuan kembali buat teman-teman.
Masih berkekalankah semangat dan keazaman untuk terus segar dan teguh setelah begitu hebat dugaan datang meribat dan merengkuh kegagahan diri? Sekadar merenung dan menerjah catatan alam yang benar-benar mengajar erti untuk memahami lumrah hidup. Pahit manis, suka duka hidup adalah corak yang benar-benar memberi warna warni keindahan helaian cindai kehidupan.
Teori mudah yang biasa dilontarkan: sudah tersungkur bangun kembali! Teori memang mudah diluncurkan. Tetapi realiti dan praktikalnya barangkali tidak semudah yang disangkakan. Biarkan batang tubuh sendiri yang menanggung. Jangan mudah menelan semua kalam yang dituturkan orang. Sepadat kata-kata ini, sepadat itu juga maksud yang mahu penulis hulurkan. Kelemahan dan kegagalan bukan ukuran, namun sejauh mana pergantungan pada DIA PENGGERAK ALAM SEMESTA itulah ukuran. Amati baik-baik bait-baik kalam Ibnu Atthailah ini, barangkali dapat meniup sedikit inspirasi dan menyegarkan kembali kegersangan jiwa.
“Tampilkanlah dengan sesungguhnya sifat-sifat kekuranganmu kelak Allah akan membantu dengan sifat-sifat kesempurnaanNya. Bersungguh-sungguhlah dengan kehinaanmu, nescaya Dia membantumu dengan kemuliaannya. Bersungguh-sungguhlah denga ketidakberdayaanmu kelak Dia akan menolongmu dengan kekuasaanNya, bersungguh-sungguhlah dengan kelemahan kelak Allah akan membantumu dengan kekuatanNya.”
Barangkali kalam suci ini lebih manis untuk dinikmati:
"dan musibah yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan kamu sendiri, dan Allah memaafkan banyak dari kesalahan-kesalahan kamu" 2:30
Ya! sudah ketemu jawapannya. Badai yang datang itu kunci segala. Jadilah penilai yang baik! dan hadamlah baik-baik semua perkara yang hadir menyapa diri. Andai tersungkur, terpulanglah untuk bangun atau terus duduk membisu. Kaku bukan bererti undur, cuma perlukan ruang untuk mengumpul daya dan kekuatan. Jangan terburu-buru untuk bangun, kerana mungkin bangkitnya kamu itu belum tepat pada masa dan ketikanya. Alam ini guru. Berhemahlah dengannya kelak pasti terbongkar segala rahsia!
Subscribe to:
Posts (Atom)