Sunday, May 2, 2010

NATIJAH iringannya JUANG

Bismillahirrahmanirrahim..


Bahang kehangatan peperiksaan kian terasa buat seluruh warga mahasiswa di Perlembahan Nil. Masing-masing sudah bersedia dengan pecutan yang bakal menuju destinasi kemuncak, GERBANG PEPERIKSAAN. Namun, dalam kesibukan dan kekalutan, saya dihambat rasa terharu.


Menerima panggilan daripada teman seusai kuliah petang semalam benar-benar menggamit rasa syukur dan sebak. Rupanya dalam klimaks masa yang meruncing masih ada insan yang mendamba dan tidak lupa akan santapan untuk kalbunya demi mengejar sesuatu yang jauh lebih berharga daripada kecemerlangan natijah peperiksaan. Ya, santapan jiwa, mencari PENCIPTA.


“Ukhti, adik-adik mahu bertemu petang ini, dalam pukul 3 petang. Mahu bergabung dengan adik-adik smart circle (SC) enti katanya.” Tenang sahabat dihujung talian memberi perkhabaran.


Pendek kalam, walaupun lewat sejam daripada masa yang dirancang, teratak kekanda saya jadi sasaran. Wajah-wajah ceria memenuhi circle di ruang tamu dan kali ini saya tidak berseorangan, teman saya, KENTAL dan kekanda saya ada bersama. Semangatnya lain. Rona-rona di langit juga lain. Seolah-olah turut sama turun ke tanah bumi menyaksikan mata-mata dan hati-hati ini bertamu. Secebis perbincangan kami bersama:


NATIJAH iringannya JUANG.

“Begins from the end of mind”. Ya, itu permulaannya dan iringannya adalah juang. Sebagai manusia biasa, formula merealisasikan impian adalah usaha. Merentasi sejarah silam sudah cukup menampung seribu bukti bahawa usaha adalah satu kewajipan hatta para anbiya walaupun sudah dijanjikan Allah SWT dengan kemenangan atau kebenaran, tetapi Allah SWT tetap meletakkan suatu ketetapan bahawa setiap pembawa risalahNYa tetap perlu berusaha.


“dan sekiranya Kami kehendaki nescaya Kami hapuskan sahaja daya penglihatan pada mata mereka. Sekiranya Kami berbuat demikian nescaya mereka akan terus teraba-raba mencari jalan keluar, maka bagaimanakah agaknya mereka akan dapat melihat semula? Dan sekiranya Kami kehendaki, kami juga akan menjadikan mereka kaku di tempat mereka, lantas mereka tidak dapat maju ke hadapan atau mundur ke belakang.” (Yaasin:66-67)


Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT berkuasa untuk mematahkan sahaja segala rencana musuh dalam membantu para rasul mencapai kemenangan dengan mudah. Allah SWT juga boleh mengizinkan para rasul menggunakan mukjizat yang dikurniakan untuk melemahkan musuh. Namun, sesungguhnya di sebalik ketetapan ini terselit mesej yang cukup padat daripada Allah SWT kepada para rasul dan umat manusia bahawa kejayaan yang dicapai dengan cara demikian bukanlah dikatakan hasil perjuangan yang dituntut Allah SWT.


Sebaliknya, erti kemenangan sebenar adalah apabila adanya usaha dan pengorbanan dalam mencapai natijah yang disasarkan. Biarlah natijahnya kadangkala tersasar daripada yang diimpikan, namun perkara utama adalah setiap usaha ke arah menuju impian itu ada nilai yang tersendiri daripada Allah SWT.


Jaminan Allah SWT bukti Kasih Sayang

Suatu yang lebih berharga adalah apabila jaminan Allah SWT mengiringi langkah juang kita. Bukankah Allah SWT ada menyebut:


“oleh itu Kami jadikan musuh yang menentang setiap nabi itu terdiri daripada manusia dan jin yang saling membantu menggodanya. Tetapi yakinlah bahawa sekiranya Tuhanmu mahu terus menjagamu, nescaya mereka tidak mampu melakukan sesuatu terhadapmu. Oleh itu biarlah mereka melakukan apa yang mereka mahu.” (Al-An’am:112)


Jaminan Allah SWT inilah sepatutnya menjadi peniup semangat kita untuk terus berusaha dalam hidup. Inspirasi daripada rentetan perjuangan para rasul seharusnya mengalir dalam seluruh saraf tubuh-tubuh yang mahu berjuang.


Juang itu perlukan kesungguhan

‘melepas batuk di tepi tangga’. Indah kiasan orang lama mengingatkan. Berusaha biar sehabis daya. Jangan sekadar culas-culas dan bersambil lewa. Lagi indah nasihat daripada kalam suci mengingatkan:


“dan berjihadlah bersungguh-sungguh demi untuk memelihara agama Allah”

(Al-hajj:78)


Lihatlah, betapa teliti Allah SWT menyusun kalamNya untuk tatapan umat manusia. Hatta perkara sekecil ini diingatkan. Ingat, kejayaan perlukan usaha dan usaha itu perlukan kesungguhan!


Imam Abu Hanifah r.a berkata:

“ Sesungguhnya aku mendapat ilmu dengan kesungguhan, pujian (pada Allah SWT) dan bersyukur kepadaNya. Setiap kali aku memahami dan mendapat taufiq sesuatu ilmu atau kalimat, aku menyatakan: Alhamdulillah ta’ala, maka bertambahlah ilmuku.”

Subhanallah..


Juang itu ada Strategi

Pasti kelam kabut keadaan jalanraya yang bersimpang siur dan sibuk jika tiada polis keselamatan atau lampu isyarat yang mengawalnya. Begitulah juga, usaha dan kerja yang tiada strategi dan sistem yang menyusun atur perjalanannya. Mahu tidak mahu, strategi perlu dirancang dengan teliti agar segala perancangan dapat dilaksanakan dan akhirnya membuahkan natijah yang diidam-idamkan. Insyallah. Orang kulit putih di seberang sana juga percaya bahawa matlamat perlukan startegi!


“we must look for ways to be an active force in our lives. We must take charge of our own destinies, design a life of substance, and truly begin to live our dreams.”

-Les Brown


Kita yang bergelar muslim bagaimana?


Perjuangan jangan ditangguhkan!

Rasa tertarik mahu berkongsi firman Allah SWT ini:


“dan (hendaklah diingatkan bahawa) bahawa mereka yang Kami panjangkan umur, Kami boleh menjadikannya nyanyuk. Oleh itu mereka mestilah berwaspada.”

(Yaasin:68)


Peringatan yang baik untuk si penangguh masa dan yang bersantai-santai melakukan ibadah. Ya, benar kita punya masa. Tapi, tiada jaminan masa yang ada menjanjikan sesuatu yang berharga. Bukankah begitu? Oleh itu, perjuangan juga menuntut kita membuang segala tabiat menangguh. Formulanya mudah, selagi punya masa, punya kudrat, punya kemampuan dan punya segala kelebihan segerakan tindakan!


Kita mahukan natijah yang luar biasa, maka perjuangannya juga menuntut sesuatu yang luar biasa. Ayuh, terus berusaha. Tiada nokhtah pada erti perjuangan. Teruslah bermohon pada Allah SWT agar berterusan menerima hidayah dan kekuatan daripadaNya.


Sejenak bersama:

Subhanallah. Sesekali duduk bertadabur bersama ayat-ayat suciNya dan membandingkan dengan sulaman rutin harian hidup memang membuahkan kemanisan yang tiada taranya. Akhir pertemuan SC hari itu, daripada semua kesimpulan adik-adik SC saya, maka dapat saya menyimpulkan:


“jangan berangan kalau tiada perjuangan!”

*nota kaki:
1)Smart Circle
(SC) dikenali sebagai kumpulan usrah di Malaysia. Smart Circle bagi mahasiswa Pengajian Sains Hayat di Perlembahan Nil dikendalikan sepenuhnya oleh PERUBATAN, wadah rasmi mahasiswa Sains Hayat di Mesir.
2)Semoga dikuatkan Allah SWT untuk kita menghadapi imtihan kali ini, insyaallah.
3)Sebetulnya, ini entry tertangguh saya. Jadi, jangan bertangguh lagi!!!

Rujukan:
-Tafsir Surah Yaasin dari Perspektif Sains dan Sejarah- Zawawi Haji Ahmad
-Al-Qiyadah Mua'thirah-Jamal Madhi
-Put Your Dream To The Test-John C. Maxwell

No comments: